Reza merupakan seorang remaja yang berusia 15 tahun. Sebagai seorang remaja, pastilah dia ingin hidup bebas persis seperti yang lain. Namun, kemiskinan sedang membelenggu dirinya. Ibu bapanya masih hidup, cuma mereka bukanlah seperti ibu bapa mithali yang lain. Ibu dan bapa Reza malas bekerja dan sering menjadikan satu-satunya anak tunggal mereka iaitu Reza sebagai hamba. Reza hanya akur kerana tidak mahu dicop sebagai anak derhaka.
Saat anak-anak remaja yang lain sedang asyik bermain bola di halaman kampung, Reza termenung di anjung tangga melayani fikirannya. “ Termenung apa ni, Abang Reza?” Reza dikejutkan dengan suara manis seorang gadis yang berusia 13 tahun, Arina. Adiknya yang kini menghidap barah otak hanya tinggal dua bulan untuk hidup. Dia tahu, Arina yang periang itu semakin hari semakin pendiam tetapi masih kental dan berjuang untuk melihat senyuman di wajah abangnya. “ Mesti ingatkan Kak Fira….” usikan adiknya itu sedikit pun tidak menyakitkan hatinya. “ Tidak, abang suka tengok kawan-kawan kita main bola,” jawabnya. “ Kalau begitu, kenapa abang tidak turut serta bermain?” persoalan itulah yang ditanya berulang-ulang kali kepadanya. Layakkah dia bermain dengan yang lain? Tiada tarafnya Reza jika dibandingkan dengan mereka. Paling tidak, dia hanya akan diejek atau diusir. Berlapikkan alasan ‘kawan’, itulah yang sebenarnya cuba ditutup Reza bagi memastikan Arina senang melihatnya bahagia.
Reza tahu cuma seorang sahaja rakannya yang layak digelar rakan, Safirah. Meskipun Reza miskin, Safirah banyak membantu dan sering mengulangkaji bersamanya. Pertemuan mereka bermula apabila Safirah diganggu sekumpulan pelajar jahat. Rezalah yang menyelamatkannya. Semenjak dari hari itu, Safirah juga kenal akan erti teman. Reza kadang kala berasa ragu-ragu apakah persahabatan mereka dibina atas dasar terhutang budi atau kasih sayang sebagai teman. Dua bulan sudah berlalu dan Reza semakin resah memikirkan Arina yang makin pucat dan terlantar di atas katil. “Adik, adik kena kuat semangat, adik tak boleh tinggalkan Abang Reza.” Itulah kata-kata yang sering diungkapkan Reza untuk menguatkan semangat Arina. “ Abang Reza, masa itu akan berlalu juga. Saat itu pasti akan datang. Abang Reza sabar ya dengan mak dan ayah. Doakan Rina masuk syurga….”ucapan lemah yang dibuat oleh Arina menimbulkan rasa sedih di dalam hati Reza. Tetapi Reza tidak mahu adiknya tahu dia sedang bersedih. Reza cuba memendam segala perasaan sedih yang melanda dirinya. Arina yang semakin tidak berdaya itu pergi ketika itu juga, meninggalkan Reza bersama dua orang tua yang laksana iblis bertopengkan manusia itu. Tiada tergambarnya lagi kesedihan Reza apabila air matanya membasahi pipi.
“ Assalamualaikum Abang Reza,” suara halus manis itu kadang-kala menyerupai suara Arina. Tetapi bukan. Arina sudah tiada lagi di dunia yang fana ini. Mungkin Arina sekarang sedang bahagia di syurga. Reza menjawab salam Safirah besertakan tangisan akibat terlalu sedih memikirkan peristiwa tiga tahun yang lalu. “Terima kasih Fira sebab sudi temankan Abang. Tidak lama selepas Fira pergi ke kota, ibu bapa abang pula yang pergi tinggalkan abang. Abang fakir hidup abang sudah sendiri, sebatang kara.” kata Reza. “ Abang, Fira balik ini tidak lama, cuma sekadar mengisi kekosongan cuti semester.” Safirah memberitahu Reza bahawa Reza boleh menceritakan segala masalah kepadanya. “Kadang-kala abang tertanya-tanya, adakah di sana Rina akan rindukan abang, meskipun kami berdua hidup di dunia yang berbeza.” Petang itu diisikan dengan curahan hati Reza akan pemergian adiknya. Sehingga kini, Safirahlah yang masih berhubung dengannya sebagai kawan.
Ketika di pertengahan jalan, Reza terserempak dengan Zaid, Haron dan Fuad yang sering melepak di pondok buruk bersebelahan Warong Pak Kader. Seperti biasa, adalah alasan mereka untuk mengejek anak muda yang berpapa kedana itu. Kebetulan, Safirah sedang makan di Warong Pak Kader. “ Kalian tidak retikah menghormati Abang Reza seadanya?” Pelbagai persoalan dilontarkan Safirah kepada mereka. Kini, Safirah yang telah menjadi penyelamat Reza. Bapa Safirah memanggil Safirah pulang. Maka tidak sempatlah Reza berterima kasih kepadanya. “ Ah, aku akan berterima kasih kepadanya besok.” Bulan kini berganti matahari. Reza terlari-lari ke rumah Safirah memendam hasrat untuk mengucapkan terima kasih kepadanya. “ Assalamualaikum…. Fira… Fira…..” Bapa Safirah yang muncul di pintu. “ Safirah ada, Pak Cik?” tanya Reza.
“ Kau dah terlambat…Safirah baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir sebentar tadi.” Saat itu, hati Reza bagai dirobek. Hasratnya yang terpendam kini hanya tinggal kenangan. Safirah meninggal dunia kerana punca yang tidak diketahui. Reza termenung jauh. Andai waktu ini masih boleh berputar kembali, akan dipercepatkan langkah kakinya mengucapkan terima kasih. Satu ungkapan yang lahir tulus ikhlas dari hatinya. Dia sedar dia tidak sepatutnya sekali pun meragui kejujuran Safirah.
Saat itu jugalah Reza benar-benar mengharapkan Safirah mengingati kasih Reza kepanya sebagai seorang sahabat. “ Fira, kau memang takku lihat lagi, namun kasihmu kepada persahabatan kita selama ini akan tetap abadi di hatiku bersama-sama saat yang berlalu…..”
Hasil nukilan,
Nurina Izzati binti Mohmad Soib