Malam semakin larut. Ibu bapaku masih belum pulang lagi daripada menziarahi datuk yang sakit di kampung. Aku masih leka menonton televisyen. Tiba-tiba aku terdengar bunyi jendela kamarku dibaling batu. Lantas aku segera membuka jendelaku. Bunyi cengkerik jelas kedengaran menusuk telingaku. Namun kulihat tiada sesiapa pun di hadapan rumahku. Angin malam yang dingin menyapa wajahku yang berkulit sawo matang ini.
“Haa!” sergahan Kamaruzzaman agak mengejutkanku. “Kau ni Zam, suka kejutkan aku,” aku memarahi Kamaruzzaman. Tujuan kedatangan lelaki berkaca mata itu adalah untuk mencabar ku di dalam satu lagi perlumbaan motor haram. Tetapi, kali ini aku harus bertanding dengan Bob Azma yang sangat terkenal di kalangan pelumba haram. “Aku tunggu kau di tempat biasa pukul satu,” lalu beredarlah Kamaruzzaman dari situ. Bob Azman? Itu yang melayang-layang di dalam kotak mindaku.
Apabila aku teringatkan kata-kata Iskandar Dzulkarnain iaitu tidak ada apa yang mustahil bagi orang yang berani mencuba, aku mengambil kunci motorku dan beredar dari rumah. Tidak terlintas langsung kata-kata Kipli yang sering memarahiku atas perbuatanku selama ini.
Aku sudah hampir tiba di medan perlumbaan. Sorakan rakan-rakanku jelas kedengaran. Apa yang mengejutkanku, Kipli juga turut ada di sana. Belum sempat aku mengukir sekuntum senyuman, Kipli bersuara. “Aku datang sini Cuma ingin menasihatkan kau.” Kipli juga sempat memetik sabda Rasulullah SAW, “Akhlak yang buruk merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.”
Tohmahan-tohmahan negatifku terhadap Kipli mengakibatkannya beredar dari situ. Perlumbaan kini bermula. Bob Azman mendahuluiku di sepanjang jalan. Aku langsung tidak ada kesempatan untuk memintasnya. Timbul rasa iri hati dan dengki dalam hatiku. Aku memecut laju dan berhasrat ingin melanggar Bob Azman. Rancanganku tidak menjadi apabila Bob Azman mengelak dan menyebabkan aku terbabas ke dalam gaung. Aku terdengar bunyi ambulans dan polis. Malam itu benar-benar menjadi sebuah tragedi yang dasyat untukku.
Sejurus selepas aku sedar, ibu bapaku menangis di sisiku. Rupa-rupanya aku berada di hospital. Aku cuma boleh menangis meratapi nasibku. Benarlah sabda Rasulullah SAW, “Hasad dengki memakan kebaikan seperti api memakan kayu api.” Aku sedih dan hiba atas kehilangan kedua-dua belah kakiku yang terpaksa dipotong.
Kenapa aku begitu egois ketika Kipli menasihatiku? Kini, nasi sudah menjadi bubur. Tidak mungkin aku dapat memutarkan waktu kembali. Aku termenung di tepi jendela hospital sambil terduduk dia atas kerusi rodaku. “Assalamualaikum, Khir,” sapa Kipli. Kipli meminta maaf kerana tidak sempat menjengukku. Kelelakianku mulai gugur tatkal air mata berderai jatuh ke pipi. Seharusnya akulah insane yang harus memohon maaf kepada Kipli. Benarlah kata Abu Bakar As-Siddiq, “Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetap dibalas dengan buah.”
Aku memohon maaf kepada KIpli. Aku terasa ibarat orang yang gagal dalam dunia ini. Kipli berkata, “Kita tidak belajar dari kejayaan kita, sebaliknya kita belajar dari kegagalan kita.” Aku bersyukur kerana mempunyai seorang sahabat yang ikhlas dalam persahabatan kami. Aku hanya ingin mengungkapkan, “Terima kasih Kipli”.
Hasil karya,
Nurina Izzati binti Mohmad Soib