Monday, 6 February 2012

Diari#31 : Seminggu di KUSESS

Alhamdulillah, pada 31 Januari yang lalu, saya telah mendaftar di SMS Kuala Selangor yang lebih dikenali sebagai KUSESS. Ketika dalam perjalanan ke Dewan Prima, kami disambut oleh Majlis Perwakilan Pelajar dengan ucapan salam. Selesai mendaftar, ada pula rombongan yang tolong mengangkat barang-barang saya yang banyak tu ke dorm. Kebetulan dorm saya berada di tingkat atas sekali. Sistem pemarkahan di sini adalah dikira melalui rumah. Saya termasuk dalam rumah Waja. Jika salah seorang berbuat salah, maka markah rumah yang akan ditolak dan begitulah sebaliknya.

Dalam kelas 4 Zamrud, ada 23 pelajar baru yang kebanyakannya dari sekitar Selangor. Cuma 5 orang jika tidak salah saya luar dari negeri Selangor. Alhamdulillah, saya dapat bergaul dengan rakan-rakan sekelas dengan mudah. Cuma saya mendapati sedikit kejanggalan untuk bergaul dengan rakan-rakan dorm. 

Menjadi 'budak baru', setiap apa yang hendak dilakukan saya terpaksa fikir berkali-kali. Takut jika apa yang dilakukan itu salah. Alhamdulillah, ada juga yang sudi membantu dan menunjukkan perkara yang patut saya lakukan. 

Di Kusess, saya agak terkejut juga apabila ada yang mengenali saya sebagai seorang novelis meskipun tidak diberitahu. Katanya, dia mengenali saya ketika membuat promosi di Karnival Pendidikan Shah Alam tempoh hari. Sebelum ini, saya memang selalu bergerak untuk promosi buku tetapi mungkin setelah ini, aktiviti tersebut terbatas.

Paling lucu bagi saya, apabila guru hendak keluar kelas. Semua orang mengucapkan 'terime kasih' dan bukannya 'terima kasih' seperti kebiasaannya di Kedah. Mungkin lama-lama nanti saya akan terbiasa dengan situasi ini. 

Budaya bersalaman dengan guru memang lazimnya diamalkan di sini. Tanda kita menghormati guru-guru Kusess. Namun, saya memerhatikan setakat ini, pelajar di sini seolah-olah hidup berpuak-puak. Senior dengan senior dan junior dengan junior. Itu setakat yang saya perhatikan. Mungkin perspektif saya ini salah, siapa tahu. Saya harap, saya akan dapat menyesuaikan diri di Kusess dengan segera. InsyaAllah.

27 Februari ini, ujian pertama bakal bermula. Saya harap, kalian mendoakan agar saya mendapat keputusan yang cemerlang. InsyaAllah. Saya akan berusaha. Kerana banyak ketinggalan, saya harus ulangkaji sendiri. Di sini, kebanyakan subjek dimulakan dengan bab 2 atau 3, padahal ada yang bab pertama pun belum habis di Badlishah dulu. Tidak mengapalah. Tiada alasan untuk mencapai kejayaan.