Saturday, 20 June 2015

Ramadan Reading List



Assalamualaikum dan salam Ramadan!

Macam mana puasa anda hari ini?? Harap masih diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus memaksimakan ibadah sepanjang bulan ini. InsyaAllah.

Alhamdulillah, hari ini saya sungguh teruja kerana berjaya mendapatkan sebuah buku yang sudah lama saya mahu beli. Buku apa yang membuatkan saya gembira sangat ni?




Tadaaaa!




Ya, Misi 4Flat karya Afiq & Nazry Salam terbitan PTS! Saya mengikuti komik ini sejak watak utama Aizad dan Zahid masih berada di tingkatan tiga lagi. Eheh. Komik ini bukannya sekadar komik biasa, tetapi sebuah cerita tentang perjuangan sahabat dalam bersama-sama meraih tangga kejayaan. Bukan seorang sahaja yang mahu berjaya. Lebih tepat lagi, konsep one for all and all for one.

Bagi saya, komik ini sesuai untuk pelajar yang ingin mengembalikan semula semangat belajar atau mengambil motivasi daripada kisah yang dipaparkan. Saya sengaja tidak mahu membacanya lagi. Mungkin saya akan membacanya tengah malam nanti. Kalau tidak, saya mungkin telah mendedahkan sinopsis atau keseluruhan cerita kepada anda. Tak seronoklah nanti kalau anda dah tahu jalan cerita. Harganya cuma RM9.90 sahaja, jadi cepat-cepatlah ya dapatkan di kedai buku berhampiran anda.

Selain Misi 4Flat, saya juga membeli novel Lilin Pun Dipadamkannya, tulisan Wiwid Prasetyo dengan harga RM 19.00 terbitan Kemilau Publika.


Novel setebal 305 halaman ni merupakan sebuah novel  kepemimpinan tentang Umar bin Abdul Aziz. Mungkin ramai yang pernah mendengar tentang kisah seorang pemimpin yang sanggup memadamkan lilin kerana bimbang akan digunakan untuk tujuan peribadi. Pemimpin itu tidak lain tidak bukan Umar bin Abdul Aziz yang begitu hebat dalam pemerintahannya. Mungkin anda lebih jauh mengenali beliau daripada saya.

Beliau merupakan salah satu tokoh yang sangat saya kagumi. Bukan senang nak jadi pemimpin. Saya sendiri pun kadang keberatan nak pikul amanah yang diberi. Novel ini saya tambahkan ke dalam koleksi peribadi saya. I’m looking forward to read it.

Saya juga ada mendapatkan majalah Dewan Sastera (RM 6.50) terbitan DBP dan ini merupakan kali pertama saya membelinya.


Mungkin sebagai pelajar sastera, saya perlu mendapatkan beberapa bahan bacaan untuk membantu saya dalam bidang ini. Sastera ni bukan sekadar mengkritik karya, malah juga untuk menghasilkan karya bermutu untuk audien. Kita berkongsi ilham, berkongsi karya, untuk menyampaikan mesej yang bermakna. Alangkah bagusnya kalau saya mampu menghasilkan karya yang berkualiti. Sampai hari ini, saya tak pernah yakin dengan diri sendiri. Harap saya akan dapat sesuatu yang bermanfaat daripada majalah ini.

Bercakap tentang sastera, saya agak teruja kerana pada semester ketiga ini, akhirnya kami akan diajar tentang penulisan kreatif dan penyuntingan. Saya tak pernah dapat pendidikan khusus untuk mengarang karya sebelum ini, jadi saya akan usaha lebih untuk mempraktikkan apa yang bakal saya pelajari nanti. InsyaAllah.

Saya juga tidak ketinggalan membeli majalah Gen-Q edisi terbaru bulan Ramadan.


Saya suka majalah ini kerana artikel-artikelnya bagus dan kolumnisnya juga tidak asing lagi seperti Dr. Hj. Zahazan, Ustaz Pahrol dan Ahmad Fedtri Yahya. Artikel terbaru Ahmad Fedtri ialah Ramadan: Mendidik Fizikal dan Mental yang Sihat. Sangat menarik.

Ahmad Fedtri Yahya merupakan bekas pelajar dan alumni sekolah saya, SM Sains Kuala Selangor (KUSESS) dan merupakan pelajar cemerlang suatu ketika dahulu. Beliau juga merupakan salah satu inspirasi buat saya dalam bidang penulisan mahupun bidang pengacaraan. Melihat daripada gaya beliau bercakap sahaja sudah boleh tahu beliau seorang yang banyak membaca dan berpengetahuan luas. Bukan beliau sahaja, malah ramai lagi kolumnis Gen-Q yang menulis artikel bermutu. Oleh itu, jangan lupa dapatkan majalah ini dengan harga RM 7.50 sahaja di pasaran!

Tak rugi kita membelanjakan wang untuk sesuatu yang bermanfaat, terutamanya untuk dapatkan ilmu pengetahuan. Secara keseluruhannya, kebanyakan perbelanjaan saya digunakan untuk membeli buku berbanding barang-barang yang lain. Terlalu banyak buku  di rak dan saya sayang mahu menjual atau memberikan mana-mana buku yang ada. Apa yang patut saya lakukan ya dengan buku-buku yang ada? Entahlah. Apa pun, sekiranya ada sesiapa yang mahu rekomen sebarang bahan bacaan, bolehlah berbuat demikian tanpa segan silu. Hidup ini adalah untuk berkongsi, dan mendapatkan manfaat daripada perkongsian itu.

Okehh. Selamat membaca! Assalamualaikum.


Thursday, 18 June 2015

Persediaan?



Assalamualaikum dan salam 1 Ramadhan.


“Emotional hurt is the price a person has to pay in order to be independent.” – Haruki Murakami

Saya membaca blog seorang sahabat, dan alhamdulillah, dia akan melangkah ke satu tahap lagi dalam kehidupan, iaitu perkahwinan. Marriage. Saya sangat gembira dengan khabar ini. Kalau dia gembira, saya juga akan tumpang gembira. Saya tahu dia bukan jenis orang yang mudah untuk menerima seseorang dalam hidupnya, maka saya yakin, kalau lelaki itu pilihannya, itu pasti yang terbaik untuknya.

Kadang, saya sendiri tidak sedar, masa begitu pantas berlalu. Kita tak selamanya akan tersekat dalam dunia kanak-kanak dan dunia remaja. Lambat laun, akan tiba masanya untuk menjadi dewasa, berumah tangga dan mempunyai anak. 

Saya tahu kenyataan ini. Tapi saya selalu membohongi diri sendiri dan menganggap diri ini masih muda. Masih banyak yang perlu dikejar. Saya selalu mengenepikan segala pemikiran tentang perkahwinan sebab saya takut. Sebab saya masih belum bersedia. Mungkin saya takut pada komitmen. Mungkin.

Saya selalu tekankan pada diri sendiri, “This is not the right time for that.” Pada hakikatnya, kita tak pernah tahu pun bila masa yang sesuai itu akan tiba, bukan? Entahlah. Saya tahu, dalam setiap langkah kita, kita sebenarnya perlu menyediakan diri untuk menjadi seorang isteri atau suami yang bagus untuk calon zauj/zaujah nanti. 

But maybe I am trying my best. Saya cuba untuk belajar bersungguh-sungguh, cuba untuk lakukan yang terbaik dalam setiap aspek hidup saya, cuba untuk tidak mencemarkan diri saya dengan percintaan kosong, untuk bakal suami nanti. Ya, itulah persediaan saya.

Sebenarnya, kita tak perlu rasa kecewa pun apabila melihat rakan-rakan yang lain dengan pasangan mereka masing-masing. Kita, perempuan, perlu banyak belajar untuk berdikari. Hidup sendiri. Tidak terlalu bergantung harapan pada yang lain. Sebab akan tiba juga satu masa, kita terpaksa buat keputusan sendiri. 

Perempuan ni berbeza dengan lelaki, hati kita lebih lembut dan rapuh. Kalau kita terlalu bergantung harap pada lelaki yang belum tentu jodoh kita, mungkin akan tiba juga satu saat dia pergi. Pada waktu itu hatimu akan retak dan jika tak kuat, mungkin ada yang sampai mahu bunuh diri. Nauzubillahiminzalik.


Berbeza kalau kita kuat dan berdikari dari sekarang. Belajar untuk menepis segala gangguan atau godaan walaupun sukar. Lambat laun, kita akan terbiasa dengan jiwa yang kental dan insyaAllah, jodoh yang Allah hadirkan kelak itulah yang terbaik untuk kita. Saya yakin dengan janji Allah. Saya yakin, setiap orang, ada jodoh masing-masing. Kita susah-payah cari pasangan pun, belum tentu lagi itu jodoh yang terbaik untuk kita. 

Maka, prioriti saya sekarang hanya terletak pada ibu bapa saya. That’s why I’m not trying hard to attract anyone. Sebab perempuan atau lelaki ni bila dah suka pada seseorang, dia akan cuba untuk dipandang oleh crush dia. Pakai tudung lawa-lawa, sikat rambut bagi kemas (lelaki), bila lalu depan orang yang disukai terus control ayu atau control macho. Kita tak perlu jadi orang lain. Kalau betul seseorang itu ikhlas, dia akan terima kita seadanya, bukan?

Mungkin Ramadhan ni, Allah bagi kita semua peluang untuk refleksi diri, banyakkan ibadah, cuba kenal dengan Allah lebih mendalam. Kalau kita usaha untuk kenal dengan Allah, saya yakin kita akan dapat jawapan yang kita cari dalam hidup ini, atau paling tidak sekurang-kurangnya dapat mencari jalan keluar bagi sebarang masalah yang dihadapi. Saya juga masih perlu memperbaiki banyak lagi kelemahan diri. Masih banyak jawapan yang perlu dicari.