Saturday, 14 May 2016

Tukar Username & Hari Komensmen


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Baru selesai mengemas homestay. Kepada yang mungkin belum tahu, kami ada mengusahakan sebuah homestay di Taman Camar, Kulim, Kedah. Saya pernah merakam kemudahan yang ada dalam homestay tersebut. Sesiapa yang kebetulan nak singgah di area tu bolehlah hubungi saya untuk tempahan.


Saya sebenarnya ingin memaklumkan beberapa perubahan pada akaun media sosial saya walaupun rasanya tak penting pun. Eheh. Sekadar ingin berkongsi kepada yang ingin mengetahui. Saya sudah memadamkan akaun WeChat sebab rasanya tidak ada kepentingan pun buat saya. Semenjak baru buat WhatsApp sekitar hujung tahun lepas, WeChat sudah tidak lagi memainkan peranan penting. Semua orang memilih untuk berkomunikasi melalui WhatsApp.

Tapi terus terang saya katakan, saya pun tidaklah begitu menggemari WhatsApp. Aplikasinya tidak begitu privasi dan kalau lambat balas mungkin ada yang terasa hati. Tak semua orang faham konsep ‘wifi lambat’, ‘tak ada mobile data’ dan ‘saya ada hal penting’. Saya tidaklah menspesifikasikan kepada rakan-rakan saya sebab rasanya tak ada pun dalam kalangan rakan yang bersifat sedemikian. Saya cuma nyatakan dalam bentuk general. Apa pun, buat masa sekarang saya masih lagi akan kekal dengan WhatsApp kerana ahli keluarga saya menggunakan aplikasi tersebut untuk berhubungan.

Saya juga telah menukar username Twitter dan Instagram, kedua-duanya daripada @nurinasoib kepada @nafasbaru_ . Tak ada sebab spesifik pun, saja rasa nak tukar. Akaun ask.fm masih kekal dengan username lama @nurinasoib . Tak penting pun sebenarnya. Tapi manalah tahu kalau ada yang nak cari. Manalah tahu. Instagram pun saya tidak kerap masukkan gambar baru, selalunya kalau ada gambar yang saya rasa betul-betul ada nilai sentimental baru saya masukkan. Ask.fm apatah lagi. Bila rasa bosan dengan semua benda baru saya buka.

Bercakap tentang media sosial, dalam masa terdekat ini insyaAllah saya akan memuat naik sebuah filem pendek terbaru di YouTube. Anda boleh layari laman YouTube saya di youtube.com/nurina24 dan silalah langgan ya. Saya tak mahu cerita banyak cuma saya boleh nyatakan yang saya ada berlakon dalam video tersebut. Walaupun secara logiknya memang semua video saya ada lakonan saya. Nak buat macam mana, tak mampu nak upah pelakon. Eheh.

Menyentuh tentang lakonan ni, teringat pula saya tentang tawaran dari USM baru-baru ini. Saya mendapat dua tawaran untuk menghadiri temu duga USM, satu kos lakonan dan pengarahan, satu lagi kos grafik komunikasi. Tapi dua-dua saya tak pergi. Saya memanglah berminat dengan industri perfileman dan yang berkenaan dengannya, tapi bila saya baca pengalaman mereka yang telah ditemu duga, saya putuskan untuk tidak pergi.


Katanya, calon yang ditemu duga untuk kos lakonan dan pengarahan ni akan disuruh untuk berlakon, menari atau berkawat. Kalau setakat berlakon mungkin saya boleh gagahkan diri, tapi saya memang tak akan sekali-kali menari. No. Never. Fullstop. Maka saya cuma boleh berharap agar dapat kos pengarahan semata-mata tanpa lakonan. Saya tak nak berlakon, cuma nak mengarah. Sebab itu saya mungkin akan pergi ke temu duga Aswara yang dijadualkan dua minggu lagi dalam kos Filem & Televisyen. Saya pernah ceritakan tentang Aswara dalam entry saya yang lepas. Bagi kos grafik komunikasi pula, saya rasa grafik bukanlah sesuatu yang saya nak jadikan keutamaan buat saya. Dan satu lagi sebab saya memang tak yakin langsung dengan skil grafik saya. Secara ringkasnya, sebab-sebab itulah saya tidak pergi ke temu duga USM tempoh hari.

Jadi dalam masa terdekat ini ada dua tarikh penting prioriti saya, iaitu tarikh temu duga Aswara dan juga hari graduasi saya atau dikenali juga sebagai Hari Komensmen. Saya masih ingat lagi janji dulu katanya nak buat hari graduasi kami di hotel, tapi nampaknya tak terjadi seperti yang dijanjikan. Biasalah, kadang saya pun tak ingat apa yang saya janjikan. Apa pun, saya akan pergi untuk memberi sokongan kepada pihak-pihak yang sudah bersusah payah menguruskan penerima anugerah dan mengukur saiz jubah.

Bukan senang nak uruskan hari graduasi dengan penerima-penerima anugerahnya yang ramai pula tu. Kemudian perlu mengepos surat jemputan satu per satu ke rumah penerima anugerah lagi. Banyak prosedur. Walaupun surat jemputan masih belum sampai ke rumah saya sampai hari ini. Mungkin sebab saya duduk di Kulim jadi surat akan tiba lewat. Jubah kami pula hanya perlu disewa dengan harga RM10 untuk digunakan selama beberapa minit berbanding dengan kos hari graduasi sekolah lain. Saya berharap agar majlis tersebut dapat berjalan dengan lancar terutamanya kerana nama saya hampir di penghujung barisan. Semoga apa yang dirancangkan menjadi, insyaAllah. :)

So yeah, itu sahaja coretan saya sebelum saya sambung mengedit video. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca.