Sunday, 26 September 2010

Cerpen: Sebuah Kemaafan

Pagi nirmala. Awan berambal-ambalan di langit. Cahaya matahari segan silu menembusi awan untuk memancar ke serata permukaan bumi. Kedinginan memeluk alam. Udara segar mentah. Bebas bertiupan ke mana-mana. Burung bebas berterbangan riang. Flora bergoncang perlahan. Daun yang berpaut pada pohon berguguran. Aroma bunganya pula menusuk hidung. Harum. Damai. Tenang memenuhi ruang.Sesekali angin dingin pagi itu memberus lembut pipi Tini yang sedang berteleku di jendela kamarnya. Pandangannya asyik memerhatikan keindahan alam ciptaan Tuhan. Dia hanya mampu bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Maha Kuasa. Meskipun begitu, kalbunya masih dilanda badai resah. Tini gelisah. Pertanyaan demi pertanyaan menerobos masuk ke dalam mindanya.

Mengapa? Persoalan itu dilontarkan kepada rama-rama yang sedang menari-nari di hadapannya. Derita itu sudah dialaminya sejak beberapa hari yang lepas. Sejak seorang wanita yang tidak dikenalinya datang ke Rumah Kasih. Wanita itu berpakaian buruk, wajahnya sangat pucat. Ekspresi kesedihan jelas terpampang di raut wajahnya.

“Tidak!” itu jawapan keras Tini. Wanita itu mengaku bahawa dia ialah ibunya. Mak Timah ingin membawa pulang Tini ke rumah. Tangan Tini ditarik halus. Senyuman terkoyak pada bibir wanita tua itu. Tangan Tini terketar-ketar. Kehidupannya di Rumah Kasih.

“Tidak!” Tini menjerit mengejutkan para penghuni Rumah Kasih. Mereka memandangnya. Seorang gadis berumur sekitar empat belas tahun menghampiri Tini. Bahu Tini disentuh lembut. Tini berpaling. Farah Sofea. Gadis itulah satu-satunya teman yang benar-benar memahami perasaannya. Teman suka dan duka. Farah Sofea tersenyum indah.

“Tini, kau baliklah ke rumah Mak Timah. Dia ibu kandung kau,” pujuk Farah Sofea lembut. Sorotan matanya memerhatikan Tini di hadapannya. Ada riak marah pada wajah mulus gadis itu.

“Balik? Ibu kandung? Ibu apa yang sanggup membuang anaknya, Farah?” Tini membentak. Jiwanya kacau. Geram. Selama empat belas tahun, dia hidup dengan dunia yang tidak beribu. Masakan tiba-tiba sahaja wanita itu mengakui dirinya sebagai ibu kandung Tini? Tidak.

Farah Sofea menggeleng. Dia kenal benar sifat sahabatnya itu. Keras kepala. Tini masih belum boleh menerima hakikat yang sebenar. Jiwanya terlalu sakit. Perit. Dia tahu, Mak Timah tidak membuang Tini dengan sengaja. Dia terpaksa. Arwah ayah Tini yang mengancam akan membunuh Tini seandainya bayi itu tidak dibuang. Dia malu. Malu ada anak yang cacat.

Farah Sofea memerhatikan tangan kanan Tini. Kudung sejak dilahirkan. Mak Timah dapat mengenal Tini kerana kecacatannya itu. Farah Sofea mengambil posisi duduk di sebelah Tini. Bahu mereka berdua bersentuhan. Tini masih lagi dibelenggu emosi. Segugus nafas tenat dileraikan dari dada.

Farah Sofea memetik kata-kata Norman Vincent Peale untuk dilontarkan kepada Tini. Masalah itu tanda kehidupan, semakin banyak masalah anda, semakin hidup jiwa anda.

“Ini dugaan, Tini. Dugaan Allah SWT untuk kau. Kau kena selesaikan masalah ini secara rasional.” Farah Sofea menatap wajah temannya itu. Senyuman masih belum hilang di bibirnya. Tini menghela nafas panjang. Dia harus kuat menempuhi dugaan itu. Dia harus kental. Tabah. Tini melakar senyuman untuk Farah Sofea.

Pintu kamar diketuk berkali-kali. Ummi Aida, wanita yang sangat penyayang itu merupakan pengasas Rumah Kasih. Sifat keibuan jelas terpampang pada wajahnya. Ummi Aida menghampiri Tini dan farah Sofea. Sepucuk surat berwarna biru dihulurkan kepada Tini. Tini mendongak. Aneh.

Sepanjang empat belas tahun dia membesar di situ, belum pernah dia menerima surat. Tini mencapainya. Surat tersebut dikoyakkan. Mak Timah yang menulis surat itu. Mak Timah redha seandainya Tini tidak mahu tinggal dengannya. Bahkan Mak Timah seakan-akan memaksa Tini untuk terus tinggal di Rumah Kasih. Tini mengerutkan dahi. Tempoh hari Mak Timah benar-benar memaksanya pergi tetapi kini dia malah memaksa Tini untuk terus tinggal di situ. Tini kebingungan.

Farah Sofea membaca isi kandungan surat tersebut. Aneh. Mengapa pula Mak Timah berubah keputusan? Tini dan Farah Sofea saling berpandangan.

Keesokan harinya, Tini mengambil keputusan untuk berbincang dengan ibunya. Hatinya sudah tekad. Dia ingin merungkai segala persoalan yang terkubur dalam benaknya. Dan jawapannya hanya satu. Mak Timah.

Farah Sofea yang sudah siap bertudung menghampiri. Semalam Tini meminta supaya Farah Sofea menemankannya. Mana mungkin dia ke sana sendirian. Hatinya masih belum utuh. Dia masih belum berani berhadapan sendirian dengan ibu kandungnya itu. Farah Sofea memegang lengan Tini. Mereka berpimpinan. Tini bersyukur kerana mempunyai teman seperti Farah Sofea yang sanggup menemaninya di saat senang mahupun susah.

Tini menyepak batu-batu kecil di sepanjang perjalanan. Sejujurnya hatinya resah. Sangat resah. Dia tidak pernah kenal siapa ibunya yang sebenar. Agak-agaknya bagaimana perwatakan Mak Timah ya? Baik atau buruk? Jika baik, Tini nekad untuk tinggal bersamanya, menyusuri liku-liku kehidupan bersama, berkongsi kisah suka duka serta meluahkan segala apa yang terbuku di hati. Jika buruk, Tini nekad untuk tetap tinggal di Rumah Kasih. Sekurang-kurangnya anak-anak di situ sangat peramah. Mereka bersatu hati.

Tiba-tiba Tini tersenyum kecil. Dia sudah tidak sabar lagi untuk menemui Mak Timah. Langkahnya semakin deras. Kadangkala Farah Sofea terpaksa menarik tangannya agar langkah mereka sama. Sejujurnya hati Tini sedang melonjak-lonjak riang. Oh ibu, bagaimana kehidupan kita kelak?

Akhirnya mereka berdua tiba di hadapan sebuah rumah papan yang kecil. Bumbungnya beratapkan daun nipah. Tini mengesat-ngesat matanya. Adakah ini kehidupan yang dilalui ibunya setiap hari? Sedangkan penghuni Rumah Kasih semuanya mendapat keperluan yang cukup. Apatah lagi waktu sumbangan daripada mana-mana yayasan diterima.

Senyuman di bibir Tini berengsot pergi. Pintu rumah itu diketuk perlahan. Bunyi orang terbatuk-batuk kedengaran. Pintu dibuka. Mak Timah muncul di muka pintu. Matanya sedikit membesar. Tidak percaya anaknya datang ke rumah.

Farah Sofea bersalaman dengan Mak Timah diikuti Tini. Tangan Tini terketar-ketar. Hatinya berdesir-desir. Perasaan tenang dan nyaman menyelinap ke dalam dirinya. Hatinya tertanya-tanya apakah perasaan yang dialaminya kini. Mak Timah mempersilakan kedua-dua gadis itu masuk. Tidak ada kerusi. Tidak ada sofa. Mereka cuma mampu duduk di atas lantai. Tini meliar memerhatikan kondisi rumah itu. Serba kekurangan. Tini sedih akan kondisi kehidupan ibunya itu.

Belum sempat Mak Timah duduk, sekujur tubuh itu telah jatuh terjelupuk ke atas lantai. Mata Tini membesar. Farah Sofea juga kehairanan. Mereka berdua segera mendapatkan Mak Timah. Farah Sofea membantu Tini mengangkat ibunya perlahan-lahan lantas diletakkan di atas tikar.
Tini mendapatkan tuala basah. Wajah tua ibunya itu dibasahkan. Tidak lama kemudian Mak Timah terbatuk-batuk. Tini aneh. Bingung.

“Ibu, apa sebenarnya yang terjadi?” Tanpa disedari, titisan air mata mula bergenang di kelopak mata gadis itu. Mak Timah memerhatikan anaknya lantas menyeka air mata di pipinya.

“Ibu menghidap penyakit ganjil. Sebab itulah ibu suruh Tini tinggal sahaja di Rumah Kasih,” ringkas sahaja penjelasan Mak Timah tetapi mampu menggugat hati Tini. Tini terpana. Sungguh tidak disangka. Jiwanya dilanda perasaan hiba. Dia menyesal. Sangat menyesal.

Tini memeluk ibunya dengan erat. “Maafkan saya, ibu. Saya berjanji tidak akan mengingkari kata-kata ibu lagi,” kata Tini.

Wednesday, 22 September 2010

Motivasi: La Tahzaan

Kesedihan. Itu yang sering kita rasakan tatkala menghadapi dugaan dan ujian Allah, sama ada senang atau sukar. Kita menangis kerana gembira. Kita juga menangis kerana sedih. Air mata memang telah diciptakan oleh Ilahi untuk mengalir. Tangisan. Itu yang sukar sekali dielakkan oleh manusia. Namun, tangisan juga bererti kita ini normal. Bukankah begitu?Kiranya kita diberikan ujian yang berat oleh Allah SWt, itu ertinya Dia menyayangi kita. Allah ingin menguji adakah kita benar-benar kuat dalam menghadapi dugaan-Nya.

Tangisan dan air mata kebanyakannya mengalir tatkala kita bersedih. Tangisan mungkin boleh disembunyikan pada hakikatnya, namun kita juga tidak boleh mengelak daripada menangis di khalayak ramai. Pesan saya, La Tahzaan. Janganlah bersedih. Mungkin dugaan yang berat membuatkan air mata kita mengalir. Dan bagaimana untuk kita membendung perasaan malu daripada tangisan itu?

Pada pendapat saya, seperti yang saya katakan pada awalnya, air mata memang telah diciptakan oleh Ilahi untuk mengalir. Mungkin kita tidak kuat. Mungkin kita lemah. Ya, kerana sesungguhnya hanya Allah SWT yang kuat. Manusia lain juga lemah. Mereka juga tidak pernah terlepas daripada menangis. Dalam islam, tiada perbezaan di antara makhluk Allah. Kita semua sama. Cuma iman di dada yang menjadi perbezaan segalanya.

Setiap orang diberikan situasi yang berlainan untuk menangis. Menangis mungkin kerana malu, mungkin kerana sedih. Tetapi Allah SWT telah mentakdirkan banyak hikmah di balik setiap kejadian itu. Tidakkah kita berasa senang kerana ada hikmah yang menanti kita? Kita juga boleh mengambil iktibar daripada masa lalu untuk menggunakannya di masa hadapan. Siapa tahu?

Menangis kadangkala disertai unsur kemarahan. Ya, sering hal yang demikian terjadi. Tetapi di sini segalanya berbalik pada kekuatan utama, iman. Iman dan sabar. Seandainya kita yakin bahawa kita mencintai Allah, maka yakinlah juga yang Insya Allah cintamu itu dibalas. Manusia diciptakan dengan 1001 perasaan. Yang kuatnya mungkin hasad. Ketahuilah bahawa hasad orang lain itulah yang sesungguhnya membantumu. Kerana apa? We learn from our enemies. Seringnya insan yang bergelar sahabat hanya akan memujuk kita andai kita bersedih. Tetapi orang lain yang mempersendakan kita menggambarkan yang sebaliknya. Saya rasa lebih baik kita merebut peluang ini, untuk membaiki kelemahan diri, demi mendapat redha Ilahi. Insya Allah.
Wallahualam bissawab.

Monday, 20 September 2010

Diari#4: Manusia Itu Tidak Bersendirian

Manusia. Siapa yang tidak pernah dibelenggu masalah? Kadang-kadang manusia itu berasa sunyi tatkala tiada teman, dirundung masalah, mahupun ditinggalkan kekasih..?? Saya mungkin tidak pernah lagi berasa sunyi, benar-benar sunyi, kerana saya yakin ada yang menemani.Kadangkala, kita mungkin ditinggalkan rakan, atau mungkin sekali dipulaukan. Tetapi saya yakin, mungkin Allah telah mentakdirkan apa yang terbaik untuk kita. Segalanya telah tertulis di Luh Mahfuz. Mungkin setiap kali kesunyian itu datang, Allah mengutuskan seorang hamba-Nya sama ada secara sedar atau tidak. Tatkala kita dicengkam sunyi, Insya Allah akan ada yang membantu. Mungkin sesorang yang kita kenal, mungkin seseorang yang kita tidak kenal, mungkin melalui makhluk Allah yang lain, haiwan peliharaan misalnya dan banyak lagi cara yang Allah kurniakan untuk membantu kita. Allah itu Maha Penyayang.

Nasihat saya, peganglah pada kalimah La ilaha illallah. Berimanlah pada kalimah itu, nescaya Allah akan mengasihimu. Seandainya kalian dirundung masalah, bersabar. Sabar itu membentuk iman, dan iman itu tempatnya di syurga. Mungkin ada yang menyedari tentang kehadiran 'teman' anda itu, mungkin ada yang tidak mempercayainya. But trust me, we learn from the past and mistakes.
Saya juga selalu berpegang pada ayat motivasi itu. Ayat yang sukar saya tempuhi cabaran untuk mengenalnya. Segala masa lalu dan kesalahan kita itu Insya Allah akan membentuk peribadi kita yang sekarang. Bahkan, mungkin boleh membuatkan kita lebih tabah dan tenang.

Jika kalian menyangka kalian benar-benar kesunyian, Allah kan ada? Dia sentiasa menemanimu, saat kalian susah dan senang. Dia melihatmu, melihat apa yang dilakukan hamba-hamba-Nya. Tidakkah kita berasa malu, kiranya Allah melihat kita sebagai seorang hamba yang sering mempersoalkan takdirnya, yang selalu mengalah pada dugaan-Nya. Saya juga malu.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini, walau teruk dan sukar mana dugaan yang melanda diri kalian, ingatlah, manusia itu tidak bersendirian. Terpulang kepada anda untuk memikirkan kebenaran ini. Allahu Akbar!

Sunday, 19 September 2010

Islam: Perbezaan Amin Orang Islam dan Kristian

Kali ini saya diajukan lagi persoalan daripada seorang sahabat, tentang perbezaan Amin, Ameen dan Amen. Saya sudah menerangkan padanya, tetapi saya tidak berpuas hati dengan penerangan saya dan berharap dia boleh memahami dengan lebih lanjut setelah membaca entry kali ini. Saya cuma manusia biasa, yang risau dan gentar andai kata tersalah memberi penerangan. Saya amat berharap para pembaca yang lebih arif tentang hal ini bisa menegur kiranya saya salah. Oleh itu, saya telah membuat sedikit penyelidikan di internet dan berharap maklumat yang diberikan dapat membantu.

Sebelum itu, biarlah saya memberikan definisi Amin@Ameen. Ertinya, Ya Tuhan, perkenankanlah. Penggunaan kata Ameen amat penting sebagai harapan dan doa kita agar Allah menerimanya. Insya Allah. Seringnya, untuk kaum muslimin, penggunaan kata Amin lebih kerap kali digunakan. Saya pula lebih senang menulis Ameen atau kadang-kadang Aamiin bagi menyamakan secara langsung apa yang saya tulis dengan perkataan bahasa Arab.


Hasil pencarian dan penyelidikan saya di internet, orang Kristian lazimnya menyebut Amen dan bukannya Ameen. AMEN (yang diucapkan oleh penganut kristian) dan AMIN (yang diucapkan oleh umat ISLAM) adalah berasal dari perkataan dan bahasa yang sama, iaitu dari bahasa Ibrani (bahasa yang dengannya diturunkan kitab Zabur kepada Nabi Daud AS), jadi Amin dan Amen dari segi istilahnya adalah sama. Namun tidak sama dalam sudut TAUHID nya. Apabila kita umat ISLAM mengucapkan AMIN, hakikat memohon diperkenankan itu adalah semata-mata daripada Allah SWT sepertimana saya tulis sebelum ini "Ya Tuhan, perkenankanlah". Tentunya kalian sendiri tahu bezanya apabila penganut kristian mengucapkan AMEN.

Orang-orang Kristian pula menggunakan Amen, bukannya Amin.Cara mereka melafazkan perkataan 'men' dalam Amen, sama seperti kita melafazkan perkataan 'men', yang membawa maksud lelaki@ man. (plural) Saya lebih senang menggunakan Ameen, kerana saya lebih suka dengan penggunaan dua 'e' yang melembutkan lafaz kalimah tersebut sekaligus benar-benar menyerupai sebutannya dalam bahasa arab.

Wallahu'alam bissawab.

Monday, 6 September 2010

Cerpen: Diari Anak Yatim Piatu

“Duhai diari, hari ini merupakan Hari Raya Aidilfitri yang ketujuh buatku semenjak ketiadaan ibu dan ayah. Aku sangat merindui mereka. Aku masih ingat lagi, setiap kali aku menangis, ada yang akan menyeka air mataku. Setiap kali aku sedih, ada yang akan memujukku. Setiap kali aku sunyi, ada yang akan menemaniku. Setiap kali aku tertawa, ada yang akan tersenyum di sebelahku. Setiap kali aku dirundung masalah, ada yang akan mententeramkanku. Setiap kali aku jatuh, ada yang akan menghampiriku, menarik tanganku, dan membantuku bangun kembali. Aku masih ingat lagi semua itu. Tetapi segalanya telah hilang. Cahaya hidupku juga semakin hilang. Sebenarnya aku cemburu! Aku lihat, remaja yang lain masih ada ibu bapa. Mereka masih boleh berpimpinan tangan dengan orang tua masing-masing. Mereka boleh bergurau senda, bahkan mereka masih boleh tertawa seenak-enaknya dengan keluarga. Tetapi aku? Siapa yang mahu menerima aku?”“Ah, hidup! Kadangkala aku berasa tidak adil diperlakukan begini. Tetapi arwah ibu sering berpesan, Tuhan itu tidak akan memberikan cubaan yang melebihi kemampuan hamba-Nya. Adakah aku mampu menghadapi semua ini? Aku tidak tahu! Aku bingung! Andai sahaja ibu dan ayah di sini, akan aku peluk mereka, cium mereka, pegang tangan mereka, bersalaman dengan mereka, dan aku akan menyampaikan bahawa aku sangat mencintai mereka. Tetapi mereka sudah tiada. Aku sendiri. Teman-teman yang lain tidak menyukai aku. Aku bingung! Remaja yang lain, bila tiba Aidilfitri, mereka terlampau seronok. Minta maaf dengan ibu bapa tidak ikhlas. Semuanya hendak makan yang enak, mengumpul duit raya atau bermain mercun. Aku tidak minta semua itu. Aku tidak mahu. Aku ingin menyalami orang tuaku. Aku sangat menyayangi mereka.”
“Duhai diari, aku lihat semua orang pakai baju yang cantik. Lihatlah aku. Ah, cuma memakai kain pelekat dan baju melayu beberapa tahun yang lepas. Untuk apa aku berpakaian cantik? Untuk ditertawakan? Aku tidak sanggup. Sudah tujuh tahun aku hidup begini. Aku masih ingat, dulu waktu aku berumur sembilan tahun, baju rayaku lengkap sekali. Bahkan semua yang melihatku memujiku. Tetapi aku tidak minta dipuji, kerana semua ini rezeki Allah. Aku lihat remaja lelaki kebanyakan menggayakan baju-baju mereka. Aku tidak boleh menafikan yang kadangkala aku cemburu. Tetapi aku bersyukur. Aku bersyukur kerana masih ada baju. Ada lagi insan yang bernasib malang dari aku. Aku cuma ingin kenal erti sebenar Aidilfitri. Aku buntu. Apakah Aidilfitri sekadar mengumpul duit raya, menggayakan baju dan makan makanan yang lazat? Aku berharap ada insan yang sudi menghulurkan tangannya padaku, agar kami sama-sama merayakan Aidilfitri yang mulia ini. Tetapi siapalah aku yang hina ini? Cuma anak yatim piatu yang minta belas orang lain. Ah, tidak malukah aku??”

Thursday, 2 September 2010

Diari#3: Suatu Pembebasan


Apabila kebebasan dibebaskan dari pembebasan, semuanya menjadi serba terkurung, didera keresahan. Cuma erti pembebasan yang sebenar itu hanya mampu dilihat dari perspektif diri masing-masing. Semua orang itu punya fikiran yang tersendiri, semuanya tidak sama. Akhirnya saya bebas dari belenggu ini. Suatu perangkap kehidupan dan juga dugaan. Tetapi tidak mustahil pembebasan itu akan datang kembali menuntut haknya.Pembebasan. Apa ertinya? Bulan kemerdekaan iaitu 'pembebasan' sudah lepas. Adakah ini bererti kemerdekaan itu hanya dibiarkan bersendirian, tanpa teman? Kemerdekaan yang sentiasa cuba dikejar oleh pejuang-pejuang tempatan dahulu harus dicontohi. Mereka punya semangat yang kuat dan tabah. Alhamdulillah. Tanpa mereka, apakah mungkin kita bisa melayari internet kini, duduk di pejabat, menonton televisyen dan menjalani rutin harian? Tidak. Merdeka itu mungkin cuma dilihat dari segi luaran. Tetapi dalamannya? Pada pendapat saya, merdeka itu harus disertai bukan sahaja zahirnya tetapi batinnya juga.
Kadangkala kita duduk termenung memikirkan masa depan. Memikirkan apa yang bakal terjadi dalam kehidupan kita seterusnya. Ya, MUNGKIN sahaja kita berasa bebas. Bebas tanpa jawapan. Sebenarnya, Allah SWT sudah menyediakan sesuatu yang lebih baik dari kita. Segala persoalan yang rancak menari di minda kita, jawapannya ada dalam al-Quran. Kadangkala kita ingin kesenangan. Ingin 'ekspres'. Mencari melalui internet dan buku-buku rujukan. Tetapi dengan mencari dan menghayati sendiri Kalamullah, insya Allah segalanya akan menjadi lebih teratur. Kehidupan akan menjadi lebih senang. Cuma sekadar perkongsian, agar erti pembebasan dan merdeka itu bisa difikirkan sendiri oleh empunya diri.