Beberapa minggu yang memenatkan. Selalu tidak menghadirkan diri ke kelas persediaan (prep) petang dan malam gara-gara sibuk dengan pertandingan teater peringkat negeri.
Pada awalnya saya ditugaskan oleh guru untuk menulis skrip bagi pertandingan ini. Alhamdulillah, ini merupakan satu peluang untuk saya terus mempelopori bakat yang ada dalam diri ini. Skrip yang ditulis oleh saya merupakan hasil inspirasi daripada sebuah cerpen yang berjudul Sebutir Pasir di Kaki. Skrip tersebut berkisar tentang konflik perebutan harta dan kasih sayang. Gara-gara ingin mendapatkan kembali hak miliknya, Rasyid terpaksa melepaskan gadis yang disukainya.
Namun atas sebab-sebab yang tertentu, akhirnya kami memilih untuk mementaskan sebuah teater yang berjudul Mencari Azizah. Cikgu Hasnah ada bertanya sama ada saya mahu menjadi pelakon atau pengarahnya. Pelakon? Sudah tentu tidak! Saya langsung tidak ada kemahiran berlakon. Maka saya memilih untuk menjadi pengarah teater ini. Memang saya akui, ini bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja. Saya akan bekerja dengan ramai lagi pelakon yang hebat. Saya jadikan pementasan ini sebagai satu cabaran yang perlu saya sahut.
Cabaran yang pertama, mencari pelakon. Cikgu ada memberi pandangan supaya saya mengambil pelakon daripada rakan-rakan sekelas supaya senang untuk saya bekerja. Dan memang benar, ramai juga yang berbakat dalam kelas saya. Setelah saya amati, akhirnya saya memberikan nama-nama kepada cikgu. Maka bermulalah latihan dan sesi meng-edit skrip.
Waktu paling banyak diambil untuk menyiapkan backdrop pentas. Skrip pula harus dipanjangkan sehingga 15 minit. Alhamdulillah, cikgu membawa tenaga cikgu-cikgu teater dari luar untuk turut sama membantu mengajar pelakon. Buat saya, menjadi seorang 'ketua' untuk kali ini berbeza daripada sebelum-sebelum ini kerana saya belum pernah terlibat lagi dalam dunia pengarahan dan lakonan. Cabarannya banyak. Tetapi alhamdulillah, Allah banyak membantu saya supaya bersabar sepanjang bergelar seorang pengarah ini.
Teater ini bertemakan kasih sayang seorang seniman yang terpisah dengan isterinya yang berlainan bangsa. Selamat yang hidup berkelana selalu terbayangkan dan termimpikan Azizah atau nama asalnya iaitu Ai Ling. Cerita yang berlatarkan tempat iaitu di Pasar Seni tersebut menampilkan masyarakat Malaysia pelbagai kaum dengan kerjaya masing-masing seperti penyanyi jalanan, pelukis, penjual muruku, dan tukang kasut. Watak utama iaitu Selamat juga berhadapan dengan pemuzik jalanan anak-anak muda yang mengetengahkan genre muzik moden namun anak-anak muda tersebut begitu menghormatinya.
Cerita bermula dengan usikan rakan-rakan Selamat yang asyik terkenangkan Azizah menyebabkan Selamat terus mengelamun dan terkenangkan kisahnya dengan Azizah. Keluarga Azizah menentang minat Azizah dalam kesenian Melayu. Selamat juga terkenangkan detik-detik perpisahannya dengan Azizah pada malam terakhir persembahan mereka. Lamunan Selamat terhenti apabila dia dikejutkan oleh kumpulan anak muda yang turut ingin menyanyi di situ. Mereka berbicara tentang tujuan masing-masing bermain muzik dan mereka akhirnya sama-sama menyayanyi dengan menggabungkan genre muzik lama dan baharu.
Selesai bermain muzik, salah seorang anak muda yang bermain muzik tersebut mengajak Selamat pulang mengikutnya kerana kasihan kepada Selamat yang hidup melarat. Pelukis yang bernama Salina banyak mendengar luahan hati Selamat dan jatuh hati terhadapnya. Namun Selamat tetap setia kepada Azizah. Daniel terkejut melihat potret yang dilukis oleh Salina atas permintaan Selamat mirip wajah ibunya.
Selamat akhirnya kembali kepada qada dan qadar setelah mengetahui Azizah sudah tiada. Keinsafannya semakin mendalam setelah membaca surat terakhir dan bertemu Azizah dalam khayalannya. Selamat menyesal kerana hidup dalam kealpaan kerana terlalu mencari Azizah tanpa menyedari bahawa ada cinta yang lebih Agong.
Barisan pelakon teater Mencari Azizah.
Secara keseluruhannya, meskipun tidak berjaya menggondol tempat, tetapi saya gembira kerana ada juga wakil pelakon ke peringkat kebangsaan. Cuma sedikit terkilan kerana mungkin saya gagal menjadi seorang pengarah yang baik. Tidak mengapalah, semua ini merupakan suatu pengalaman yang berharga buat saya.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Hasnah serta guru-guru yang lain kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya. Segala yang baik datang daripada Allah tapi segala yang terkurang iu berpunca daripada kelemahan diri saya sendiri. Terima kasih juga kepada pengurus pentas, pengendali audio, props, pencahayaan dan pelakon-pelakon atas kerjasama yang diberikan. Tahniah atas hasil kerja yang begitu mantap.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Hasnah serta guru-guru yang lain kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya. Segala yang baik datang daripada Allah tapi segala yang terkurang iu berpunca daripada kelemahan diri saya sendiri. Terima kasih juga kepada pengurus pentas, pengendali audio, props, pencahayaan dan pelakon-pelakon atas kerjasama yang diberikan. Tahniah atas hasil kerja yang begitu mantap.
Tamat sudahlah teater. Selepas ini, akan mula sibuk mengendalikan penerbitan majalah sekolah pula. Doakan penerbitan majalah Paradigma akan berjalan dengan lancar.
p/s: Sesiapa yang nak tengok rakaman teater boleh inbox saya.
Nurina Izzati
160912
1454
No comments:
Post a Comment