Wednesday, 9 April 2014

Filem-Filem Pendek Melayu Kegemaran Saya dan Isu Vlogger Muslimah



Assalamualaikum.

Mungkin anda pernah menyaksikan video-video pendek yang pernah saya muat naik di channel saya (Nims Productions) di YouTube sebelum ini. Saya banyak menonton filem-filem pendek dan vlog yang memberikan saya inspirasi untuk terus menghasilkan video, meskipun video saya cuma sekadar video picisan sahaja. Saya sangat mengagumi usaha pemuda-pemudi di Malaysia yang mampu menghasilkan bahan tontonan yang menarik kepada umum melalui channel masing-masing. Paling menarik apabila video yang dihasilkan mampu membawa nilai dan pengajaran yang positif kepada masyarakat.

Antara vlogger Malaysia kesukaan saya sudah tentulah mereka yang sudah tidak asing lagi di dalam dunia YouTube seperti Mr The All Shared dan Aiman Azlan yang sentiasa kreatif dalam menyampaikan pelbagai mesej positif kepada masyarakat. Selain menonton vlog, saya suka menonton filem-filem pendek yang dihasilkan oleh anak Melayu kita. Siapa lagi yang mahu menyokong filem pendek Melayu jika bukan orang Melayu sendiri, bukan?

Selalunya jika saya membuka mana-mana YouTube yang tidak menarik minat saya, saya akan langsung menutupnya. Tetapi berikut adalah dua filem pendek yang berjaya menyentuh jiwa saya sebagai seorang penonton. Meskipun berulang-ulang kali menontonnya saya tidak akan berasa bosan. Setakat ini, belum ada lagi filem pendek yang mampu menandingi keunikan filem-filem pendek ini mengikut penilaian saya. 

1. PASPORT EKSPRES - REWAN ISHAK

Filem pendek ini begitu menarik dari segi videografi dan jalan penceritaannya. Banyak mesej yang boleh kita ambil daripada kisah yang disampaikan. Anda perlu menontonnya sendiri untuk membuat penilaian.


2. SEBELAH SAYAP - MAT LUTHFI

Buat penggemar karya Mat Luthfi, saya pasti filem pendek ini sudah tidak asing lagi buat anda. Saya sangat menyukai kualiti rakamannya dan jalan cerita yang cuba dibawa. Mesej yang dipaparkan begitu menyentuh jiwa saya.


Saya berikan lima bintang untuk kedua-dua filem pendek ini meskipun sudah lama ditayangkan di YouTube. Bukan senang untuk menghasilkan karya yang mampu menarik minat masyarakat dalam masa yang sama menonjolkan mesej dan pengajaran yang bermakna. Saya sangat berharap dapat menghasilkan filem-filem pendek yang bermutu seperti ini. 

Jika difikir-fikirkan, kebanyakan YouTubers di Malaysia terdiri daripada golongan lelaki. Dan berdasarkan status-status yang pernah dikeluarkan oleh saudara Aiman Azlan dan Mr The All Shared, mereka menggalakkan agar lebih ramai vlogger muslimah yang tampil untuk berdakwah melalui alam maya kerana ada banyak perkara yang lebih mudah disampaikan oleh kita, muslimah sendiri berbanding disampaikan oleh mereka. 



Berdasarkan pendapat saya sendiri sebagai seorang muslimah, sudah tentulah ramai yang malu untuk menggunakan pendakatan dakwah melalui vlog. Tetapi jika malu berdakwah, sampai bila pun tak akan berdakwah. Hurm, apa kata kita dengarkan pendapat vlogger Shaika Nadwa tentang isu ini? 


Apa pun, setiap orang ada pendapat dan alasan sendiri tentang isu ini. Saya tidak mahu mengulas panjang cuma saya juga sebenarnya berharap lebih ramai vlogger muslimah yang tampil untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Kaedah menyampaikan mesej melalui YouTube mungkin lebih efektif daripada membaca kerana masyarakat Melayu kita lebih gemar menonton daripada membaca rasanya. Mungkin.

Menjadi seorang vlogger muslimah tidak ada salahnya dalam Islam, asalkan kita mematuhi adab-adab sopan dan tidak melanggar disiplin seorang muslimah. Yang penting, niat utama kita adalah untuk menyampaikan sesuatu kepada masyarakat, bukannya sekadar mengejar populariti murahan atau tumpuan para ikhwah di luar sana. Nope. Antara disiplin muslimah yang perlu ditekankan adalah seperti tidak bertabarruj (makeup tebal-tebal) ataupun sengaja membuat sebarang aksi yang menggoda. Vlogger muslimah, adalah seorang yang dapat menjadikan muslimah lain terinspirasi dengan ceritanya.

Menurut pandangan peribadi saya sendiri, sudah ramai vlogger wanita yang membuat video tentang cara-cara pemakaian shawl. Mungkin buat muslimah yang ingin berkecimpung dalam bidang vlog boleh mencuba pula untuk menekankan tentang isu-isu feqah wanita dan dakwah Islamiyyah? Insya Allah, sekiranya niat kita adalah untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi, pasti Allah akan mempermudahkan urusan kita pula. Saya juga sedang mencuba untuk membanyakkan lagi video yang bersifat dakwah, tetapi mungkin bukan vlog. Kepada pencinta YouTube sekalian, jangan lupa untuk kunjungi channel saya, Nims Productions selepas membaca entry ini.

Jazakumullah. Semoga Allah menerima usaha-usaha kita dalam bidang video ini.

No comments:

Post a Comment