Masyarakat kita memang terlalu mudah melatah pada pandangan saya. Ya, termasuklah diri saya sendiri yang kadang terlalu cepat melatah dalam membuat keputusan dan mengutarakan pendapat atas sebarang jenis isu, meskipun isu-isu kecil di sekeliling kita. Kita terlalu cepat memberikan respons tanpa membuat pertimbangan terlebih dahulu, pintar bersuara tetapi gagal bertindak.
Sekarang pun kita boleh lihat pada isu “kerusi terbang” yang melibatkan pertelingkahan akibat perbezaan pendapat. Persoalannya, perlukah sampai wujudnya kerusi yang dilayangkan dan sebarang jenis pergaduhan lain? Mungkin pelakunya tidak sedar akan impak yang mereka wujudkan akibat perbuatan mereka, tetapi umum yang menonton menerusi saluran televisyen akan memperlihatkan tindakan itu sebagai tindakan yang kurang matang.
Sekiranya ada isu yang melibatkan pergaduhan dua pihak ternama, mungkin akhirnya mereka mampu menyelesaikannya sesama sendiri dan masing-masing memohon maaf. Namun demikian, isu tersebut menjadi berlarutan dek kerana sesetengah pihak yang suka mengapi-apikan lagi perkara itu. Di sini jelas, terang, nyata lagi bersuluh betapa tidak matangnya pemikiran masyarakat kita (termasuk saya). Kita melantik diri sendiri menjadi pihak ketiga, walhal kadang kita langsung tidak terlibat pun dalam kes tersebut.
Begitu juga dengan hal-hal yang berkaitan dengan produk tempatan yang boleh dilihat menerusi isu coklat (rasanya semua sudah dapat meneka syarikat apa). We jump into conclusions too fast. Akhirnya tindakan kita itu yang membawa kepada ketegangan sosial dan ekonomi tempatan.
Bertitik tolak tentang status halal, rakyat secara semberono menghukum pihak JAKIM atas kenyataan DNA babi yang dikesan. Walhal JAKIM sebenarnya menerima bantuan dalam beberapa agensi sebelum mengeluarkan pengesahan sijil halal. Saya tahu bukan mudah hendak dapatkan title halal itu. Banyak peringkat yang perlu dilalui sebelum berjaya mendapatkannya.
Ramai yang mengutarakan persoalan mengapa begitu mudahnya JAKIM meluluskan halal produk. Tahukah anda proses pengiktirafan halal itu bukannya senang dan JAKIM tidak akan meluluskannya dengan begitu mudah. Tidak pula masyarakat mempersoalkan tentang tindakan pihak lain (bukan JAKIM) yang membocorkan maklumat berkaitan keputusan analisis produk tersebut. Hurm. Mudahnya kita menghukum.
Saya teringat kembali sewaktu isu tentang kehilangan pesawat sedang hangat diperkatakan dulu (masih lagi tertanya-tanya hingga kini). Bukti masyarakat kita mudah melatah paling obvious dengan kemunculan Raja Bomoh yang kononnya mampu meramal di mana keberadaan pesawat itu. Tidak usah hairan, ada juga golongan yang percaya dengan kuasa ramalan bomoh itu. Malu saya apabila kisah Raja Bomoh itu turut disiarkan di siaran berita negara lain. Kita terlalu mudah untuk percaya tanpa sebarang usul periksa, apatah lagi dalam keadaan yang terdesak!
Betapa mudahnya kita melatah dan menghukum juga dapat dilihat melalui institusi paling kecil, iaitu institusi kekeluargaan kita sendiri. Sebagai contoh, apabila anak-anak menunjukkan slip keputusan peperiksaan kepada ibu bapa, mereka terus menjatuhkan hukuman serta-merta. Bukan semua, majoriti sahaja.
Saya masih ingat setiap kali mendapat keputusan yang kurang memberansangkan ibu akan bertanya terlebih dahulu dengan soalan, “Kenapa dapat keputusan macam ni?” dan beberapa soalan yang lain. Kemudian barulah hukuman dijatuhkan, tetapi ibu akan memberikan dorongan dengan ayat ugutan yang berbunyi “Lain kali, kalau tak dapat, siaplah.”
Betapa beberapa baris ayat yang disoal mampu mengubah keadaan menjadi lebih baik. Cuba bayangkan anak yang terus dihukum terutama dengan tengkingan, sudah tentulah mereka akan terasa hati dan membuat kesimpulan yang bukan-bukan. Kita dapat lihat di sini bahawa interaksi dan respons merupakan aspek penting dalam menunjukkan kematangan, bukannya tindakan yang cepat melatah.
Walau apa pun isu yang kita terima, sebaiknya kita gunakan kelebihan akal fikiran yang Allah SWT sudah kurniakan pada manusia. Betapa mulianya ilmu itu dapat dilihat melalui kalam Allah dalam al-Quran seperti “Wahai orang-orang yang berfikiran” dan “Wahai orang-orang yang berilmu”. Bukankah ini jelas menunjukkan nilai estetika orang yang berfikir? Isu-isu semasa akan terus terjadi, dan sumbangan akal yang matang amat diperlukan dalam kalangan masyarakat. Jadi sebelum menghukum secara membuta-tuli, penting untuk kita tekankan beberapa aspek; kaji dengan teliti, rujuk orang yang pakar serta rujuk al-Quran dan sunnah yang merupakan sumber rujukan utama kita.
Ingatlah, Islam dan Malaysia, memerlukan otak-otak yang geliga, yang mampu menggerak dunia.
- Saya yang tidak sempurna.
No comments:
Post a Comment