Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Salam Maal Hijrah. Saya harap masih belum terlambat untuk
saya mengucapkannya.Tahun baru. Tapi sebenarnya tidaklah membawa perbezaan yang
ketara. Hari-hari adalah hari yang baru. Setiap hari ada kehidupan yang baru,
setelah kita bangun daripada tidur. Celik mata, nafas baru, dan setiap hari
saya berharap agar hari ini lebih baik dari semalam. Saya tak akan berhenti
bersyukur kerana sampai saat ini saya masih diberi peluang untuk hidup.
Mungkin, kita tak rasa sangat dengan perubahan tahun baru
sehebat peralihan tahun mengikut kalendar Masihi. 2014 ke 2015. 2015 ke 2016.
Itu yang selalu orang nantikan. Jarang pula dengar orang tunggu detik-detik
peralihan 1435H ke 1436H atau 1436H ke 1437H. Jarang ada. Bahkan, saya sendiri
pun tak akan ingat tarikh kalendar Hijrah melainkan tarikh-tarikh penting, khususnya
pada bulan Ramadan. Tarikh kalendar Masihi pun saya selalu lupa sebenarnya.
Padahal, sepatutnya tarikh Hijrah yang perlu kita raikan, lebih
daripada yang lain. Melalui penghijrahan Rasulullah dan para sahabatlah
mencetuskan sejarah besar dalam Islam. Menjadi satu identiti yang perlu kita
banggakan. Tapi saya faham, nak buat macam mana, kita terpaksa ikut sistem
dunia hari ini. Sambut tahun baru pada 31 Disember setiap tahun menunggu detik
12 malam. Kerana sistem dunia jugalah, kita terpaksa berkumpul berhibur pada
malam kemuncak itu. Kerana sistem dunia kita harus keluar meraikannya bersama
rakan-rakan berlainan jantina. Saya faham. Sistem dunia menyebabkan kita
begini. Tapi... kalau benar sistem dunia
yang memaksa kita, kenapa ada juga golongan yang bersederhana sahaja? Adakah
mereka pemberontak terhadap sistem dunia?
Foto carian Google |
Setiap hari, ada banyak perkara yang saya fikirkan. Tapi
saya tak mampu untuk luahkannya. Mungkin saya tidak pintar berkata-kata, atau
mungkin saya juga telah tunduk pada sistem dunia. Entahlah. Pada pendapat saya,
dunia hari ini sangat hebat. Betapa hebatnya pengaruh dunia sampai berjaya
menundukkan jutaan penghuni di atasnya. Ada dua propaganda dunia yang sekarang
ini belum berjaya saya buang dalam fikiran ini. Satu, kecantikan. Dua, kemewahan.
Saya tak tahu macam mana perspektif orang lain tentang
kecantikan. Saya menyedari bahawa kecantikan, ketampanan, kesempurnaan,
semuanya merupakan aset yang menjadi subjek penting dalam diri seseorang. Maksud
saya, memang tak ada salahnya mementingkan kecantikan dan sebagainya. Bahkan
ibu saya sendiri seorang pengusaha salun kecantikan. Tapi sedikit mengecewakan
apabila kecantikan itu menjadi obsesi utama atau kriteria utama dalam
menghakimi seseorang individu. Apabila membicarakan tentang seseorang individu,
soalan yang akan dilontarkan seperti “Dia cantik tak?” atau “Dia kacak tak?” sehingga
saya sendiri pun jadi terikut menanyakan soalan yang sama.
Banyak sistem dunia hari ini yang menjadi bias atau pilih
kasih melalui kecantikan seseorang. Dari alam pekerjaan sehinggalah ke alam perkahwinan.
Tidak peduli jika ada orang yang lebih layak. Saya berikan contoh. Ada dua
orang lelaki yang memohon pekerjaan yang sama. Calon A begitu tampan, penuh
pesona, tapi tiada pengalaman bekerja. Calon B pula berkaca mata bingkai tebal,
tak ada aura yang menarik padanya, tetapi pernah beberapa kali bekerja di
syarikat lain sebelum itu. Si majikan yang bias memilih calon A tadi untuk
menjadi pekerjanya. Padahal calon B lebih layak diberi peluang untuk bekerja.
Semacam ada satu ketidakadilan berlaku di situ. Saya tidaklah katakan semua
orang mementingkan kesempurnaan fizikal, tetapi majoritinya begitu berdasarkan
apa yang saya amati.
Ada sesetengah situasi yang memang memerlukan kecantikan
fizikal, mungkin, for whatever reason it is. Mungkin untuk pupuk keyakinan diri
seseorang. Mungkin untuk membantu melariskan jualan. Saya tak kata salah
pentingkan kecantikan, mana ada salah. Tapi jangan sampai kita terlalu dikaburi
dengan kecantikan sehingga merugikan diri sendiri.
Foto carian Google |
Saya tak begitu pandai menilai seseorang itu cantik atau
tidak. Setiap kali ada yang bertanya tentang kecantikan, saya sebenarnya tak
tahu nak bezakan. Serious. Saya lihat dia ada mata, ada hidung, ada mulut, sama
juga seperti orang lain. Dia cantik kerana Allah jadikannya lengkap anggota
fizikal. Kadang, mungkin beza hidung mancung sedikit, wajah lebih cerah, kulit
tidak dipenuhi jerawat. Adakah itu yang menjadikannya cantik? Saya tak tahu.
Serious. Kadang, saya hendak tahu juga macam mana orang boleh bezakan orang
cantik dengan orang tidak cantik. Saya memang tak tahu nak menilai orang dari
segi fizikal.
Cantik bagi saya, adalah peribadi mereka. Dan sampai hari
ini, saya susah nak jumpa orang yang betul-betul cantik. Saya sendiri pun tak
cantik. Orang yang cantik bagi saya adalah mereka yang menjaga tutur kata,
tidak cepat panas baran dan rajin. Saya pernah jumpa orang sebegini dan bagi
saya, mereka cukup cantik.
Propaganda yang kedua pula adalah kemewahan. Hari ini,
semakin ramai orang yang sanggup menjadi miskin untuk berpura-pura kaya.
Memandangkan nilai mata wang pun semakin jatuh hari ini, wang dan kemewahan
menjadi elemen penting dalam kehidupan hari ini. Manusia jadi berlumba-lumba
untuk memaparkan kemewahan yang dimilikinya. Orang lain beli barang mahal, kita
pun tak mahu ketinggalan membelinya. Bahkan kita mahu mendapatkan sesuatu yang
lebih canggih daripada itu. Kadang, saya pun terlalu teruja mendapat sesuatu
sehingga ingin tunjuk pada dunia yang saya memilikinya. Macamlah orang lain tak
ada.
Bila kita post sesuatu atau tunjukkan sesuatu kepada orang
lain, mungkin ada seorang dua yang akan memujinya. Tapi ada sebahagian yang
lain rasa cemburu kerana tidak mampu mendapatkan sesuatu seperti yang kita miliki.
Dan mungkin ada sebahagian yang lain pula mendoakan keburukan kepada kita. Kita
tak tahu semua itu. Kadang, saya risau juga dengan foto-foto yang saya post di
Instagram. Saya suka ambil foto yang cantik, menarik bagi saya, dan kongsikan
kecantikan itu kepada mereka yang ingin melihatnya. Saya risau juga kalau ada
yang tidak selesa dengan foto-foto tersebut. Tapi bila difikirkan kembali,
kalau orang tak suka foto kita, sudah tentulah mereka tidak akan mengikuti
perkembangan kita, bukan? Tapi saya tetap mengelak daripada post foto barang
yang saya beli atau terima. Walaupun mungkin barang kita beli seperti beg
berharga RM5 pun orang boleh cemburu. Sebaiknya sekadar kongsikan hidup kita,
bukannya kongsikan kemewahan dengan orang lain. Kehidupan boleh membawa beribu
kenangan, tetapi kemewahan akan perlahan-lahan hilang.
So yeah, kita sebenarnya kena lihat sesuatu itu dari sudut
pandang yang lain. Bukan semua yang kita rasa buruk itu, teruk buat kita. Dan bukan
semua yang kita rasa baik itu, bagus buat kita. Dunia ni hanya sementara,
segala yang kita ada hanya pinjaman semata. Kecantikan, kekayaan, kepintaran,
keseronokan, semuanya sementara. Semuanya pasti akan beransur pergi, hilang
dalam sepi.
No comments:
Post a Comment