Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Dah lama cari kesempatan untuk menulis tetapi baru ada
peluang. Minggu ini adalah minggu yang sangat padat tapi alhamdulillah, sangat
menyeronokkan. Semua benda yang kita buat, kenalah seronok. Barulah hidup akan
sentiasa dikelilingi aura positif. Kalau aktiviti yang kita buat tu kita tak
suka, sudah tentu rasa bosan.
Apa pun, saya dengan berbesar hatinya nak beritahu bahawa
kini secara rasminya saya bergelar seorang mahasiswi universiti! Macam tak
percaya rasanya. Selama hampir 13 tahun bergelar pelajar sekolah, kini sudah
berubah status kepada mahasiswi. Saya tahu benda ni bukanlah satu perkara untuk
digemparkan, but you don’t know how long I’ve been waiting for this moment.
Adalah dalam sembilan bulan juga selepas STPM. Hanya pelajar lepasan STPM yang
akan rasa apa yang saya rasakan ini. Tapi serius, tempoh sembilan itu memang
cukup lama. Saya faham kena tunggu tempoh tersebut sebab nak selaras dengan
pelajar matrikulasi, diploma, A-Level dan sebagainya. Tapi bayangkanlah sendiri
sembilan bulan. Sesiapa yang mengandung pun sempat melahirkan anak.
Sudah hampir seminggu saya di sini. Dan dalam masa seminggu
juga, banyak pengetahuan baru yang saya peroleh. Betullah apa orang kata, ilmu
ni sangat luas. Ilmu tidak akan berkembang kalau kita tetap berada dalam posisi
yang sama tanpa berganjak. Jadi, tuntutlah ilmu walau apa jua caranya dan di
mana juga anda berada. Tak semestinya di universiti. Tapi terokalah tempat
baru, suasana baru. Mungkin majlis-majlis ilmu, kuliah, aktiviti-aktiviti
kemasyarakatan, pekerjaan, terserah kepada anda. Apa yang anda minat.
Serius
saya katakan, ilmu bukan saja ada dalam universiti. Ilmu ada di mana-mana,
asalkan kita sendiri yang mahu mencarinya. Tapi universiti pun salah satu
platform penting dalam menyebarkan ilmu. Jadi, saya boleh katakan yang
universiti pun penting sebab banyak peluang menuntut ilmu dan kemahiran yang disediakan.
Ikutlah kata hati dan pilih yang terbaik. Saya pun telah membuat pilihan
sendiri untuk memulakan nafas baru di sini. Eh, macam kena pula entry ni dengan
nama blog. Eheh.
Ada banyak kelebihan di universiti ni. Pertama, wifinya
sangat laju. Ya, itu merupakan aspek yang paling penting dalam kehidupan
seorang mahasiswa. Harapnya wifi akan terus laju sehingga saya menamatkan
pengajian di sini. Hidup di universiti juga tak terlalu terikat pada peraturan
macam peraturan asrama dulu. Tak adalah waktu yang wajib untuk buat itu buat
ini. Cuma yang agak membebankan adalah kerana tidak dibenarkan membawa
peralatan elektrik di sini. Jadi makanan pun terpaksa dibeli. Susahlah nak
jimat wang. Dan ampaian untuk menjemur pakaian pun agak terbuka. Nak jemur baju
pun jadi segan manalah tahu ada yang mengintai.
Tapi sebenarnya saya bukanlah nak fokuskan pasal orientasi
atau kemudahan di universiti. Saya cuma nak menyentuh tentang insecurities.
Rasanya saya tak pernah lagi menulis tentang insecurities dalam blog ini. Jadi,
apa itu insecurity? Kepada yang dah tahu, teruskan langkau pembacaan anda.
Insecure ni berasal daripada perkataan ‘secure’ yang bermaksud selamat atau
terjamin. Insecure pula adalah bertentangan dengan perkataan secure. Insecure
ni adalah sejenis perasaan yang tak yakin pada diri sendiri, rasa rendah diri,
rasa orang lain lebih hebat dan sebagainya. Perasaan ni semua orang akan ada,
kecuali mereka yang rasa diri mereka lebih hebat daripada semua orang.
Jadi, adakah perasaan insecure ni satu perasaan yang negatif
dan tak patut ada dalam diri kita? Secara peribadinya, saya rasa insecurities
adalah sesuatu benda yang positif. Kenapa saya berkata begitu? Sebab saya
sendiri pun ada insecurities (singular: insecurity). I’m not sure if this is
okay to share with you guys but I need to explain this. Terlebih dahulu saya meminta
maaf jika ada classmate yang membaca ini. Dalam kelas saya dulu, saya selalu
mendapat tempat pertama. Bukanlah semua peperiksaan tetapi majoritinya. Sebenarnya
ramai yang pandai di dalam kelas saya, dan saya kagum dengan kebanyakan mereka.
Macam-macam bakat yang ada. Buktinya ramai juga yang berjaya menyambung
pelajaran di peringkat universiti. Cuma entahlah nasib rezeki celah mana saya dapat
tempat pertama. Jadi bila kita berada di dalam kedudukan yang selesa, perasaan
insecure itu sangat kurang. Mungkin bukan saya seorang sahaja yang faham
perasaan ini. Mungkin anda juga begitu. Bila ada ujian atau pertandingan
sebagainya, kita akan kurang memandang yang bawah dan insecure kepada mereka
yang berada di atas kita. Bila berada di tempat pertama, kedudukan akan menjadi
selesa, kerana tak ada orang di atas kita.
Guys, itu semua EGO. Perasaan yang semua orang ada. Puas
hati. Ego. Rasa diri dah cukup bagus. Tak ada insecurity. Dan orang-orang
begini, yang sentiasa berpuas hati dengan apa yang dimiliki, tak akan dapat
bergerak ke hadapan. Tak ada progres. Maka di sinilah perasaan insecure itu
penting dalam hidup. Perasaan insecure saya wujud apabila melihat ada
pelajar-pelajar kelas lain yang mendapat top five dalam batch.
Seriously? Top students? Macam mana mereka boleh pandai
sampai macam tu? Macam mana mereka study? Macam mana mereka bahagikan masa?
Macam mana boleh bijak sangat?
Begitulah persoalan-persoalan yang timbul bila tahu ada yang
lebih bagus daripada kita. Jadi dari situ saya akan cuba improve lagi. Walaupun
dah jadi terbaik di dalam kelas, saya masih lagi mahu mencuba untuk jadi yang
terbaik di dalam tingkatan. Sebab saya insecure! Saya rasa rendah diri. Ada
yang jauh lebih hebat daripada kita. Saya rasa tak yakin dengan diri sendiri
untuk perform yang terbaik.
Saya rasa, insecure itu adalah sesuatu yang positif untuk
saya. Mempunyai rasa rendah diri mampu menjatuhkan ego kita, tapi janganlah
terlalu melampau insecure sehinggakan tahap keyakinan diri pun tidak ada. Saya
tahu, ada dalam kalangan kita yang terlalu insecure melihat kejayaan orang
lain, sehingga menyalahkan diri sendiri, rasakan diri tak cantik, tak pandai,
tak hebat, dan segala-galanya yang negatif.
Contohnya, bila saya dah masuk di alam universiti, mereka di
sini semuanya hebat belaka. Setakat yang saya tanya, semuanya pointer 3.8 dan
ke atas. Coursemates saya pula majoriti berbangsa Cina dan rata-ratanya
mendapat tawaran daripada tiga universiti awam. Can you imagine how insecure I
become? Saya bukan bersikap racist atau apalah tapi saya berani katakan bangsa
Cina lebih rajin belajar daripada bangsa Melayu berdasarkan pengalaman saya.
Tapi, perasaan insecure itu bukanlah satu tiket untuk saya
mengalah. Sebaliknya adalah tiket untuk saya terus memperbaiki kelemahan yang
ada dan berjuang dengan lebih bersungguh-sungguh. Bukankah sepatutnya
insecurities itu mendorong kita untuk berusaha lebih? Bukannya untuk mengalah
dan berputus asa. Jangan. Jangan.
Yakinlah dengan diri sendiri. Bunyi macam senang, tapi
itulah hakikatnya. Memanglah anda ada kekurangan yang tersendiri, dan mungkin
anda rasa kekurangan itu banyak. Tapi percayalah, Allah ciptakan manusia
berbeza antara satu sama yang lain. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan
yang tersendiri. Mungkin ada orang yang anda nampak dia begitu sempurna, tapi
hakikatnya dia juga punya kekurangan. Dan mungkin anda rasakan diri anda penuh
kekurangan, tapi hakikatnya anda unik. Anda juga mempunyai kelebihan
tersendiri. Saya selalu percaya setiap orang mempunyai bakat tersendiri.
Bezanya adalah sama ada mereka manfaatkan atau tidak bakat tersebut.
Kalau anda masih belum menemui kelebihan sendiri, carilah
sehingga jumpa. Sebab hidup ni adalah satu perjalanan panjang. Kalau tak jumpa
pada awal perjalanan, mungkin boleh jumpa tak lama lagi. Selagi anda terus
berjalan. Sebab kalau tak berjalan, memanglah tak akan jumpa kelebihan tu.
Saya juga sedang insecure kerana anggap saya lemah dalam
bidang pengajian saya. Tapi saya belum pun lagi bermula, jadi saya tak akan
tahu kan sama ada saya mampu atau tidak? Manalah tahu, silap haribulan boleh
jadi dekan. Eheh. Tak salah nak berangan kan?
Don’t underestimate yourself. You are unique. Allah created
you the way you are. Love yourself. Be yourself. Strive for excellence.
Senyum dan terus percaya.