Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Sedar tak sedar, dah masuk bulan Februari untuk tahun 2017.
Sekejap sahaja masa berlalu. Tak lama lagi pun semester baru akan bermula dan
saya akan disibukkan kembali dengan assignment, tutorial, kuiz dan sebagainya. Sudah
lama saya teringin nak buat entry tentang refleksi tahun 2016, tetapi hari ini
baru berkesempatan untuk update. Seperti
tahun-tahun sebelum ini, saya akan buat entry untuk refleksi semula detik-detik
bermakna yang terjadi pada saya sepanjang tahun 2016.
Tahun 2016 merupakan satu tahun yang banyak memberikan
pengalaman baru kepada saya terutamanya dari segi pengalaman bekerja dan
kemasukan ke universiti. Saya sempat bekerja di kedai buku sekolah rendah dan
menjadi seorang guru tuisyen dalam tempoh beberapa bulan menunggu keputusan
universiti. Dan fasa di alam universiti pula merupakan satu fasa yang banyak
mengubah hidup saya. Tak mahu membebel panjang, jom baca highlight 2016 saya!
Walaupun Thailand hanya bersempadan dengan Malaysia, pada
usia 20 tahun barulah pertama kali saya dapat menjejakkan kaki ke sana. Kami
melawat tempat-tempat menarik seperti Muzium Magic Eye 3D, Floating Market dan berjalan
di Pantai Samila. Percutian ini sangat bermakna kerana dapat meluangkan masa
bersama-sama keluarga. Saya ada menghasilkan vlog di Hatyai yang panjangnya
selama 25 minit sebab tak tahu nak cut bahagian mana. Semuanya menarik. Dan
foto-foto yang kami ambil di sana juga sangat cantik.
Alhamdulillah, selama satu tahun setengah bergelut dengan
STPM di Pusat Tingkatan 6 Mod 1 SMK Taman Mahsuri (kini dikenali sebagai Kolej
Tingkatan 6 Kulim), akhirnya saya berjaya mendapatkan keputusan yang agak memberansangkan.
Walaupun bukanlah 4 rata, dapat pointer 3.83 pun sudah dikira agak bagus kerana
melebihi daripada jangkaan saya. Keputusan inilah yang akhirnya melayakkan saya
untuk mendapat tempat di universiti saya kini.
Saya sudah semakin jarang menghasilkan shortfilm di YouTube
channel saya dan lebih banyak menghasilkan vlog. Walaupun begitu, saya berjaya
merakamkan sebuah filem pendek kolaborasi dengan adik saya berjudul Potret. Alhamdulillah,
ramai yang memberikan respon positif untuk Potret. Kalau anda belum tonton
lagi, silakan ya.
Pada bulan Jun, sekali lagi saya dan keluarga pergi ke
Hatyai. Kali ini, sepupu-sepupu saya turut serta untuk percutian kami. Saya
mendapat banyak pengalaman baru seperti menaiki gajah, menaiki ATV dan pertama
kali juga ice-skating. Saya berjaya mencipta rekod tidak jatuh untuk beginner.
Walaupun tak adalah laju macam pro. Ice-skating adalah satu pengalaman
menyeronokkan dan kalau boleh saya nak main lagi di masa akan datang,
insyaAllah.
Saya juga telah menganjurkan satu giveaway untuk kali kedua.
Alhamdulillah, giveaway mendapat sambutan yang menggalakkan dan berjalan dengan
lancar. Ini adalah salah satu cara apresiasi saya kepada pembaca blog Nafas
Baru dan rakan-rakan blogger. Saya harap dapat anjurkan lagi giveaway seperti
ini.
Program ini juga adalah salah satu program yang bermakna
bagi saya kerana saya mengajak rakan-rakan sekolah rendah untuk berprogram di
SK Sungai Ular, Kulim iaitu sekolah rendah kami dulu. Dalam masa yang sama,
saya dapat berkumpul kembali bersama rakan-rakan sekolah rendah yang telah lama
terpisah. Seronok dapat mendengar kisah hidup masing-masing. Semoga kami dapat
berkumpul lagi untuk PESAK 2.0 pula!
Siapa yang tidak seronok apabila mendapat tawaran kemasukan
ke universiti? Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana terpilih untuk
melanjutkan pelajaran lagi di peringkat ijazah sarjana muda. Berkat keputusan
STPM saya, kini saya sedang menuntut bidang Pengurusan di Universiti Sains
Malaysia. Saya yakin, segala yang Allah rancangkan, ada hikmahnya. Terus
percaya.
Alhamdulillah, menjadi satu penghargaan buat saya apabila
diberikan anugerah oleh penduduk kampung walaupun sebenarnya saya tinggal di
rumah taman. Kami disatukan di bawah satu jawatankuasa iaitu JKKK Kampung Paya
Tok Betok. Saya mendapat anugerah ini kerana telah berkhidmat sebagai guru
tuisyen kampung. Saya mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains
kepada murid UPSR dan SPM. Rindu pula rasanya nak berjumpa budak-budak tu lagi.
Itulah antara highlight penting saya untuk tahun 2016. Semoga tahun 2017 ini, banyak lagi momen-momen menarik yang dapat saya corakkan bersama insan-insan yang bermakna dalam hidup saya. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca coretan ini. Bagaimana pula dengan 2016 anda?
No comments:
Post a Comment