Saturday, 11 May 2013

Selamat Hari Mematangkan Diri, Kawan



10 Mei 2013 merupakan satu tarikh di mana salah seorang sahabat saya, Farhahnajihah telah secara rasminya bergelar seorang remaja berusia 17 tahun. Sebenarnya saya sudah lama menunggu hari ulang tahun kelahirannya sejak bulan lepas lagi. Bahkan, ada satu kisah lucu yang terjadi sewaktu saya pergi membeli kad ucapannya.

Setelah selesai membeli kad, saya melintas jalan yang sesak dengan kenderaan. Namun tiba-tiba sahaja di pertengahan jalan, kad itu terjatuh di atas jalan. Saya memandang ke kanan dan kebetulan sebuah kereta sedang meluncur laju. 

Pada saat itu saya terjebak dalam dilema sama ada saya perlu bergegas dan mengambil kad tersebut ataupun  tidak. Namun, saya hanya mampu berdoa dengan harapan kad itu tidak dilenyek dan menjadi kotor. Alhamdulillah, kad itu masih kekal indah tidak dilanggar. Saya pantas mengutip kad itu dan meneruskan perjalanan ke rumah. Sampai sahaja di rumah, terus sahaja saya membuka kad untuk menulis ucapan, namun segala yang saya ingin luahkan tidak mampu untuk dicatatkan ke atas sekeping kad itu. Akhirnya saya sekadar menulis ucapan yang biasa-biasa sahaja buatnya. 

Beberapa minggu saya menyimpan kad itu dan alhamdulillah berjaya juga diserahkan kepadanya semalam. Menjelang malam sebelum ulang tahun kelahirannya, tiba-tiba sahaja dia datang dan berbual-bual di dorm saya. Saya berasa gembira kerana mempunyai harapan untuk menjadi orang pertama yang mengucapkan 'Selamat Hari Lahir' kepadanya. Saya terus berbual-bual dengannya dengan perasaan yang tidak sabar sebenarnya untuk mengucapkan selamat kepadanya. Namun dalam keadaan yang leka berbual, saya tidak menyedari jam telah menunjukkan waktu 12 tengah malam dan saya hanya mampu menjadi orang kedua yang mengucap selamat kepadanya. Meskipun hampa, namun saya tetap gembira. Kami meluangkan masa bersama-sama. 

Kebetulan, hari Jumaat itu bersamaan dengan hari balik bermalam di mana semua pelajar diwajibkan untuk pulang. Pada awalnya saya sudah memutuskan untuk pulang tetapi tatkala mendengar kisahnya bahawa ibu bapanya tidak ada di rumah, saya terus menukar keputusan dan mengajaknya untuk tinggal bersama di asrama. Cuma itu sahaja solusi yang mampu saya fikirkan pada ketika itu. 

Hari yang sepatutnya menggembirakan dia tidak berjalan seperti yang sepatutnya. Cuma tinggal saya sahaja untuk menemaninya pada malam ulang tahun kelahirannya dan saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengisi hari itu. Cuma sekadar perbualan hati ke hati bersama. Berbicara tentang cita dan harapan masing-masing. Pada awalnya saya berfikir untuk keluar dari asrama supaya dapat menggembirakan hatinya, tetapi malangnya saya cuma mengundang kehampaan baginya tatkala harapan kami tidak kesampaian. 

Walau apa pun yang terjadi, saya akan sentiasa mendoakan segala yang terbaik untuk sahabat saya yang satu ini. Semoga kejayaan sentiasa mengiringinya walau ke mana pun dia berpijak di atas muka bumi indah ciptaan Allah ini. Semoga persahabatan kita akan kekal, hingga ke jannah. 

Saya tidak mampu untuk memberinya hadiah, namun saya harap video yang tidak seberapa ini dapat menggambarkan bahawa saya dan rakan-rakan berhajatkan yang terbaik untuk dirinya.


 photo sign-2_zps160b16ac.png

2 comments:

  1. selamat mematangkan diri ya buat kawan adik.. :)

    ReplyDelete
  2. selamat hari jadi untuk kawan adik.. terharunya dapat sahabat macam adik.. :D

    ReplyDelete