Aminah dan Amirah sudah mengambil wuduk dan bersiap-siap
untuk mendirikan sembahyang Maghrib berjemaah di surau. Memang itulah kelaziman
mereka setiap kali waktu Subuh, Maghrib dan Isyak di asrama. Selepas iqamah,
bilal lelaki di hadapan menyebut beberapa ayat iaitu “Rapat-rapatkan saf,
penuhkan saf hadapan terlebih dahulu.” Maka Aminah pun segera menuju ke saf
paling hadapan, tetapi lengannya sempat ditarik oleh Amirah.
“Bukankah perempuan lebih afdal solat di saf belakang?” soal
Amirah sambil memerhatikan barisan jemaah lelaki yang sudah bersedia untuk
mendirikan solat di hadapan. Tirai surau memang dibuka pada setiap kali waktu
solat Maghrib maka mereka dapat melihat barisan jemaah lelaki dengan jelas. “Kita
kan lebih afdal solat di saf paling hadapan?” balas Aminah. Masing-masing
bingung memikirkan persoalan-persoalan yang sedang menari rancak di minda
mereka.
Akhirnya mereka membuat keputusan untuk solat di saf paling
hadapan. “Eh Aminah, bukankah kita sepatutnya memberikan ruang kepada
kakak-kakak senior untuk solat di saf hadapan?” Amirah semakin runsing. “Siapa
cepat dia dapatlah,” ujar Aminah sambil menarik tangan Amirah ke saf sebelah
kiri. Amirah lalu menyoal lagi, “Bukankah saf sebelah kanan lebih afdal?”
Kerana sudah lambat dan imam pun sudah memulakan solat, Aminah menyuruh mereka
untuk solat di situ sahaja. Lalu, kedua-dua sahabat itu akhirnya mendirikan
solat berjemaah di saf hadapan.
Itulah antara situasi yang acapkali dialami oleh sebahagian
besar daripada kita. Pelbagai pertanyaan yang timbul apabila berkaitan dengan
solat jemaah. Apabila bertanya kepada ustaz A, jawabnya lain. Jumpa pula ustaz
B, jawabnya lain pula. InsyaAllah, berdasarkan pengetahuan dan setelah
diselidiki, saya ingin berkongsi satu rumusan tentang permasalahan ini,
khususnya untuk kaum muslimah. Berdasarkan situasi yang saya berikan sebentar
tadi, kita dapat mengeluarkan beberapa persoalan iaitu:
1. Adakah wanita
lebih afdal solat di saf hadapan atau belakang?
Rasulullah bersabda: ‘Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf
yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir, manakala sebaik-baik saf
bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang
pertama.’ (Riwayat Muslim).
Nah, di sini sudah jelas bahawa terdapat perbezaan bagi
jemaah lelaki dan jemaah wanita. Bagi jemaah lelaki, lebih afdal solat di saf
hadapan dan sebaliknya bagi jemaah wanita. Namun, menurut sebahagian ulama’
hadis ini ditujukan buat mereka yang bersembahyang jemaah dalam keadaan yang
tiada halangan/tabir/tirai. Hal ini kerana dikhuatiri wanita itu boleh menjadi
fitnah. Yalah, selesai sahaja solat, silap-silap jemaah lelaki pusing 180
darjah untuk menjeling mencari calon isteri solehah di belakang. Tetapi,
sekiranya kita solat berjemaah dalam keadaan yang mempunyai halangan seperti
tirai, wanita tetap lebih afdal untuk solat di saf paling hadapan.
2. Adakah golongan
yang lebih berusia lebih afdal solat di saf hadapan?
Rata-rata orang Melayu beranggapan bahawa orang tua-tua yang
lebih layak dan afdal untuk memenuhkan saf hadapan.
Riwayat Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda: ''Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi
Tuhan-Nya?'' Kami bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di
depan Tuhan?" Jawab Nabi: "Menyempurnakan barisan pertama dan rapat
benar dalam barisan." (Riwayat Muslim)
Menurut hadis di atas, orang yang memenuhkan saf hadapan
sama tarafnya dengan para malaikat yang sentiasa menjaga kesempurnaan saf
mereka. Oleh itu dapatlah kita simpulkan bahawa mereka yang berada di saf
paling hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan lebih mudah
memperoleh rahmat-Nya. Dan selalunya golongan yang lebih berusia itu lebih
banyak ilmunya daripada golongan muda. Jadi tidak hairanlah mengapa golongan
tua yang lazimnya memenuhi saf hadapan. Tetapi golongan muda pun sudah banyak
melahirkan orang alim dan hebat dalam ilmu agama, misalnya Imam Syafie dan
Sultan Muhammad al-Fateh. Sekarang pun sudah banyak orang muda yang memimpin
jemaah kerana ilmu agama mereka yang tinggi. Tetapi andai kata kita mempunyai
peluang untuk memenuhi saf hadapan, rebut sahajalah peluang itu.
|
Sumber carian Google |
3. Adakah saf kanan
lebih afdal daripada sebelah kiri?
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ
يُصَلُّونَ عَلَى مَيَامِنِ الصُّفُوفِ
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya
berselawat ke atas orang-orang yang berada di saf sebelah kanan.” (Sunan Abu
Daud, no. 676. Dinilai hasan oleh Ibnu Hajar dan al-Albani)
Hadis tersebut telah menjelaskan bahawa solat di sebelah
kanan mempunyai lebih keutamaan daripada solat di sebelah kiri.
Namun, sejujurnya di asrama, saya lebih gemar untuk
mendirikan solat di saf paling hadapan kerana saya selalu datang awal dan
kebanyakan makmum di belakang akan lewat untuk mendirikan dan merapat-rapatkan
saf. Suasana di belakang juga kadangkala bising dan mengganggu tumpuan untuk
solat. Oleh itu, kita dinasihatkan untuk mencari tempat solat yang selesa dan
jika melihat orang yang sedang mendirikan solat, hormatilah mereka dengan tidak
berbuat bising.
Beberapa persoalan daripada para sahabat juga ingin saya
selitkan dalam artikel kali ini sebagai perkongsian untuk semua.
4. Apakah hukum membuka
tirai pemisah antara jemaah lelaki dan perempuan?
Harus membuka tirai. Dahulu di Masjid Nabawi pun tidak ada
tirai, begitu juga di Masjidil Haram. Wanita yang menutup aurat dengan sempurna
pun sudah menjadi tirai.
5. Apakah hukum
membaca Bismillah sebelum al-Fatihah?
Para ulama berselisih pendapat tentang membaca Bismillah
sebelum membaca al-Fatihah. Adakah Bismillah itu dianggap sebahagian dari surah
al-Fatihah itu sendiri atau tidak. Bagi Imam Syafie, Bismillah adalah
sebahagian daripada surah al-Fatihah, kerana itu ia hendaklah dibaca bersama
al-Fatihah. Jika solat itu solat yang nyaring (bacaan kuat) maka hendaklah
dibaca nyaring oleh imam. Jika solat itu solat yang tidak nyaring maka hendaklah
dibaca secara sembunyi oleh imam.
Mudah-mudahan penulisan ini bermanfaat untuk
semua. Majulah ummah demi Islam!
Sumber rujukan: