Showing posts with label Jelajah. Show all posts
Showing posts with label Jelajah. Show all posts

Friday, 18 August 2017

Percutian di Pulau Langkawi

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.


Lama juga rasanya saya tak update entry travel. Kali terakhir rasanya saya ke Melaka hari itu untuk mengikuti program. Tapi saya tak update di blog sebab tak rasa macam banyak yang boleh diceritakan selain intipati program. Untuk entry kali ini, saya ingin berkongsi tentang percutian saya ke Pulau Langkawi selama tiga hari dua malam. Sebenarnya, percutian saya kali ini memang sama sekali tidak dirancang. 

Atuk dan nenek saudara saya datang untuk mengunjungi kami di Kulim dan memang dah ajak kami untuk pergi ke Langkawi. Tapi maklumlah, semua bekerja. Saya teringin juga nak ikut tapi kena jaga gym. Rancangan asalnya cuma Wan dan adik saya sahaja yang ikut. Jadi hari Selasa baru-baru ini, adik dan Wan pun sudah bersiap untuk pergi ke Langkawi. Kira-kira sepuluh minit sebelum nak bertolak, mak saya tiba-tiba suruh saya pergi. Sebelum tu tak bagi. Maka dalam masa beberapa minit tu, apa lagi, mak tolong saya pack baju dengan kadar ekspres. Dan bagasi saya terus dicampak ke dalam bonet kereta Tok Uncle seolah-olah diusir. Dramatik sikit di situ. Pendek cerita, that was how I ended up having this trip.

Sementara menunggu feri

Sebagai seorang yang bermastautin di Kedah, tak terkira berapa kali dah saya ke Langkawi. Tapi agak lama jugalah tak ke sana. Selalunya orang yang ke Langkawi akan pergi Island Hopping untuk meneroka pulau-pulau di Pulau Langkawi. Maklumlah, Langkawi terkenal dengan 99 buah pulaunya. Kali ini, kami tak pergi Island Hopping, tetapi lebih kepada Island Shopping. Eheh.

Dalam banyak bulan, bulan Ogoslah sebenarnya musim yang tidak berapa sesuai untuk ke Langkawi kerana Ogos merupakan bulan paling lembap disebabkan penerimaan hujan yang tinggi. Hari pertama kami ke sana, memang hujan. Sekejap hujan sekejap berhenti. Tapi ada satu kelebihan pergi ke sana waktu-waktu begini. Tak ramai orang! Cubalah kalau anda pergi waktu cuti sekolah, memang akan ramai orang.

Alhamdulillah, bila tak ramai orang ni, banyak benda jadi murah. Kereta sewa pun boleh didapati dengan harga RM60. Hotel pun dapat murah. Hotel kami adalah hotel budget sahaja, berjimat cermatlah sikit. Kami menginap di De Baron Waterfront Hotel dengan harga RM60 satu malam. Memang murah, bukan? Walaupun murah, alhamdulillah saya boleh tidur dengan selesa. Lokasi hotel juga boleh dikatakan strategik sebab boleh bergambar di tepi laut dan berdekatan dengan restoran dan kedai –kedai.

Jalan sikit depan hotel, ada kedai bernama Rams yang menjual banyak barangan seperti pinggan mangkuk dan coklat. Banyak jugalah pilihan yang menarik di situ. Wan berjaya mendapat baju baby untuk cucu-cucunya dengan diskaun sebanyak 70%. Ada harga baju tu asalnya RM30 lebih tapi selepas diskaun dapatlah dalam RM9. Apa lagi, cucu baby Wan ada 4 orang lelaki. Seorang dapat sehelai. Lawa-lawa pula tu. Baju untuk cucu baby perempuan tak banyak pilihan. Saya carikan di jeti saja. 

Betapa gigihnya Wan dan adik mencari baju baby

Hari pertama, memang kami bershopping sahaja. Wan dapat baju baby, saya dapat coklat. Saya dan adik belikan coklat-coklat yang dikirim oleh orang rumah. Mars, Kinder Bueno, Daim. Saya pula beli M&M dan dapat headphone sebagai free gift. Beli tiga travel pack M&M, boleh dapat satu headphone. Saya coklat-coklat lain tak minat sangat, minat M&M sahaja. Beli tiga pack berlainan perisa tu pun tak pastilah boleh bertahan berapa lama.

Gambar Google

Hari kedua di Langkawi, barulah kami berkesempatan pergi ke tempat-tempat menarik yang boleh bergambar. Kami brunch (breakfast + lunch) di gerai tepi jalan sahaja. Tok Uncle tahu gerai-gerai yang menyediakan makanan sedap. Kemudian kami pergi ke Kamdar. Wan dapat banyak kain. Sayalah tukang mengangkat kainnya tu. Selepas puas bershopping, kami singgah di tepi pantai untuk bergambar. Saya tak pasti nama pantai tu, tapi pantai tersebut bersebelahan dengan lapangan terbang. Terdapat juga gerai-gerai makanan di tepi pantai. Sempat jugalah menikmati ais kacang sambil menghayati pemandangan sekeliling.

Kalau pergi pantai mesti kena bergambar, kan? 

Setelah itu, kami singgah di Perdana Quay untuk membeli roti di The Loaf Bakery & Café. Perdana Quay ni kalau kena dengan musim dia, mesti ramai orang. Selalunya pelancong asinglah yang suka ke situ. Di situ kita boleh melihat kapal-kapal yang banyak. Katanya milik anak Tun Dr. Mahathir. Saya tak pastilah.

The Loaf Bakery & Cafe

Sepanjang deretan Perdana Quay ada banyak bar dan restoran yang tidak halal. Saya jeling-jeling jugalah tempat tu. Banyak menyediakan bir untuk pelancong asing. Tapi jangan risau, banyak kedai yang tutup sebab tak ada pengunjung pun sewaktu saya pergi tu. Macam yang saya katakan, bukan musim. Nasib tidak berapa menyebelahi kami sebab roti-roti di The Loaf banyak sudah habis. Wan pun beli sahaja apa yang ada. Yang menghabiskannya saya. Sebelum beredar, sempat jugalah saya bergambar di situ sebab pemandangannya memang menarik. Sesuai sangat untuk bergambar.

Bakal pemilik kapal-kapal di belakang tu

Sedar tak sedar, hari pun dah lewat petang. Sebelum pulang, kami singgah dulu di Dataran Lang. Kalau pergi Langkawi tapi tak singgah di dataran ini memang tak sah. Gambar saya di Langkawi dulu entah ke mana. Terdelete atau virus rasanya. Jadi kita ambillah gambar yang baru. Seperti yang dijangkakan, di Dataran Lang pun tidak berapa crowded. Waktu kami bergambar tu lebih kurang dalam pukul 7 dan matahari hampir nak terbenam. Memang cantik timing. Kalau ada kamera DSLR tu memang cantik sangat. Kamera Samsung pun jadilah.

Duduk tengah jalan tak apa, jangan makan tepi jalan.

Subhanallah.

Setelah puas bergambar seharian, kami singgah McDonald untuk membeli makan malam dan terus pulang ke hotel. Dua malam jugalah saya tidur awal dalam jam 10-11 lebih sebab tak ada benda nak dilakukan. Hendak tonton televisyen, cuma ada beberapa siaran sahaja. Tak ada rancangan yang menarik. Laptop pun tak dibawa. Tapi baguslah juga, saya dapat tidur dengan tenang tanpa banyak memikirkan benda lain.

Hari ketiga pula, pagi-pagi Wan sudah ajak mencari barangan di kedai Rams depan hotel tu. Katanya nak beli pinggan bertingkat. Dan memang betul, bertingkat-tingkat jugalah yang dibawa pulang. Berkotak-kotak. Disebabkan nak mengurangkan beg, kami sumbat kotak-kotak tersebut dalam bagasi selagi termampu. Tok Uncle complain, katanya datang hari tu beg normal. Bila balik, makin kembung. Eheh.

Selepas check out, masih ada banyak lagi masa sebelum pukul satu. Jadi kami singgah di De Baron Resort untuk akses ke tepi pantai. Masuk pintu resort dan keluar ke pantai. Keistimewaan resort tersebut ialah kolam renangnya yang terletak di sebelah pemandangan laut. Dan dekorasi tamannya juga menarik perhatian. Kalau cuti sekolah, mesti ramai yang akan ke sana. InsyaAllah, nanti saya akan edit vlog percutian ke Langkawi. Dan di tepi resort itulah banyak saya mengambil video. Juga di tepi pantai.

Sebelah ada lagi satu kolam renang tapi ramai budak.

Cantik dan kreatif resort ni

Sebelum ke jeti, kami brunch di sebuah kedai makan ikan bakar. Kedai-kedai makan ni tak ada nama rasanya tapi memang banyak yang menyediakan makanan sedap. Mungkin anda perlu cuba satu per satu untuk tahu kedai makan yang terbaik. Kalau bab makanan ni saya minta maaf, saya tak berapa pandai memberikan rekomendasi kepada orang. Selesai makan, kami terus ke jeti untuk feri pukul 1 petang. Sementara menunggu, sempat saya mencari t-shirt untuk baby Amanda dan ayah. Selepas itu, akhirnya kami pun pulang menuju ke jalan yang lurus.

Dan kini, saya sedang menaip di gym sementara menunggu pelanggan. Berpijak kembali di bumi yang nyata. Eheh. Walaupun percutian saya pendek, alhamdulillah saya dapat juga rasa nikmat bercuti yang singkat. Untuk masa terdekat ni, saya tak ada rancangan untuk travel tapi sekali-sekala travel tanpa dirancang ni bagus juga. Kalau diberi peluang, negeri yang jarang saya teroka ialah Kelantan dan Terengganu. Harapnya satu hari nanti saya berpeluang untuk travel di tempat-tempat menarik negeri tersebut. InsyaAllah.

Gambar banyak tudung asyik kena tiup angin

Terima kasih kepada anda yang membaca dan nantikan vlog saya di youtube.com/nurina24. Jangan lupa subscribe ya!

*Update*

Sunday, 9 April 2017

Konvensyen Kepimpinan Kelab PEMADAM IPT

Konvensyen Kepimpinan Kelab PEMADAM IPT kali ke-2 yang bertempat di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 5-8 April 2017 telah pun melabuhkan tirainya.


Alhamdulillah kerana banyak input yang telah saya peroleh sepanjang konvensyen ini berlangsung dan satu penghargaan apabila diberi peluang menjadi pengacara majlis di SK Pengkalan Tentera Darat untuk Program Mahasiswa@Sekolah.



Konvensyen ini telah dihadiri oleh 18 IPTA dan satu IPTS di seluruh Malaysia. Saya berpeluang bertukar pengalaman bersama mahasiswa-mahasiswi daripada universiti lain. Harap selepas ini dapat meneruskan jelajah di universiti lain pula. InsyaAllah.








Sunday, 5 June 2016

Chang Puak Camp, Hat Yai


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

29 Rejab 1437. Tinggal sehari sahaja lagi untuk masuk ke bulan Ramadan. Cepatnya masa berlalu. I’m looking forward for tomorrow!

Alhamdulillah, semalam saya baru pulang dari percutian bersama keluarga ke Hat Yai, Thailand untuk kali kedua. Orang cuti sekolah saya pun sibuk nak bercuti padahal dah lama habis sekolah. Bukan apa, kali ni kami ke Hat Yai membawa keluarga sepupu pula. Konon nak jadi tourist guide kepada mereka. Kononnya. Hakikatnya saja nak bercuti sekali lagi. Eheh.

Kalau waktu kali pertama dulu kami ke Magic Eye 3D Museum dan Pantai Samila, kali ini kami pergi ke destinasi yang lain pula. Percutian kali ini pun lebih panjang sedikit daripada yang sebelumnya. Saya ingin menceritakan serba sedikit tentang Chang Puak Camp yang menjadi salah satu tarikan di Hat Yai. Kata pemandu pelancong kami, Chang dalam bahasa Thailand bermaksud gajah. Puak tu saya tak pasti maksudnya apa. Mungkin puak gajah. Kem ini dinamakan sempena gajah kerana haiwan tersebut yang menjadi tarikan utama di situ.

Chang Puak Camp

Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung di kem ini. Antaranya seperti naik gajah, menembak, memanah dan ATV Driving (All Terrain Vehicles). Ada juga pertunjukan gajah tetapi saya tak sempat nak tengok. Dan tak adalah berapa berminat pun nak tengok. Bayaran untuk setiap aktiviti berbeza harganya. Ada yang 300 baht, ada yang 500 baht. Kalau dalam Ringgit Malaysia, kita boleh anggarkan 100 baht bersamaan dengan RM10. Atau lebih kurang RM12.50. Saya mengambil pakej untuk buat semua aktiviti yang ada dengan harga 1000 baht. Kira lebih jimat kalau ambil pakej tersebut.

Untuk aktiviti pertama, saya mencuba tarikan utama di situ terlebih dahulu iaitu menaiki gajah. Masa keseluruhan naik gajah adalah sekitar 40 minit kalau tak salah saya. Gajah tu cuma jalan masuk ke dalam hutan sahaja. Di pertengahan jalan, tukang bawa gajah berhenti seketika dan sempat lagi menjual aksesori yang diperbuat daripada gading gajah. Dan sudah tentulah harganya mahal. Susah sikit nak berkomunikasi sebab mereka tak faham bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Bagi isyarat tangan sajalah. Secara peribadinya saya tak berapa recommend naik gajah sebab tak ada thrill sangat. Saya sekadar nak mencuba benda baru. Dan saya tak pastilah sebab musim atau apa tapi hutan di situ sangat kering kontang. Susah nak nampak daun pun di pokok seperti di dalam foto.Tapi Thailand memang cuacanya lebih panas dari Malaysia.

Pabila si kembar naik gajah

Selepas menaiki gajah, saya beralih ke aktiviti menembak menggunakan pistol angin. Aktiviti yang ini semua orang nak cuba tapi entah kena entah tidak. Ada 20 peluru disediakan. Saya berjaya kena 7 daripada 20. Eheh. Oklah tu daripada tak kena. Bayaran untuk menembak cuma 100 baht kalau anda nak buat aktiviti menembak sahaja. Kebetulan waktu kami sekeluarga pergi ke kem ini tak ramai orang jadi senanglah nak main, tak perlu beratur dan sebagainya. Tetapi pada musim cuti sekolah rasanya mesti ramai. Oh ya, pelajar di Thailand cuti pada bulan Februari/Mac dan Oktober. Tak sama dengan sistem cuti di Malaysia.

B.B Gun Shop

Kemudian, saya mencuba ATV Driving. ATV ni lebih kurang macam menunggang motosikal cuma bezanya ada 4 roda. Jadi orang yang tak pernah tunggang motosikal pun boleh naik ATV dengan selamat, insyaAllah. Saya rasa kalau anda datang ke kem ini anda perlu menaiki ATV! Barulah mencabar. Bayaran untuk ATV Driving sahaja adalah 500 baht. Saya tak pasti sama ada dikira berdasarkan masa atau jumlah lapse (pusingan). Nak tanya pun pekerja di situ tak faham. Saya rasa mungkin lain kali kena belajar basic bahasa Thailand untuk memudahkan komunikasi.

Afza acah confident

Seterusnya saya melakukan aktiviti memanah. Memandangkan pertunjukan gajah masih belum dibuka pada waktu itu, jadi saya boleh menukar tiket tersebut dengan aktiviti lain. Jadi saya tukarkan kepada memanah untuk adik memandangkan dia tak ambil pakej penuh. Maka kami pun memanahlah beramai-ramai. Sayangnya, daripada 10 anak panah saya tak ada satu pun yang kena. Haha. Afza dan Khalisah berjaya kena satu. Oklah tu, tak pulang dengan tangan kosong.

Aktiviti memanah

Di Chang Puak Camp ni sentiasa ada jurugambar di mana-mana. Selepas mereka tangkap gambar kita, mereka akan print dan jual. Terpulanglah sama ada nak beli mahupun tidak. Tapi kalau kita bawa kamera sendiri lebih bagus, banyak gambar yang boleh ditangkap. Secara keseluruhannya, saya boleh rate kem ini 3.6 daripada 5 bintang. Jadi kalau anda bercuti ke Hat Yai, jangan lupa singgah di sini!

Selepas menghabiskan masa di Chang Puak Camp, petang itu saya dan keluarga pergi ke Central Festival, sebuah pusat beli belah yang terletak berhampiran dengan hotel kami.

Jadi duta kejap

Central Festival ni merupakan salah sebuah pusat beli belah terbesar di Hat Yai. Banyaklah barangan yang dijual di situ. Uniqlo pun ada. Tapi apa yang menarik di sini ialah ada tempat ice skating! Bayaran untuk masuk ke Sub Zero Ice Skate Club hanyalah 250 baht berserta 50 baht deposit (akan dikembalikan). Maka saya pun mencuba ice skate untuk kali pertama. Bagi saya, ice skate ni agak senang berbanding dengan roller blade. Kalau anda berminat untuk cuba ice skating di Hat Yai, pergilah ke Central Festival. Cuma jangan pergi waktu cuti Thailand sebab mungkin akan ada ramai orang pada masa tu.

Orang tengok depan kami tengok bawah

Itu baru hari pertama di Hat Yai dan macam-macam benda kami lakukan. Tak termasuk membeli belah lagi. Hari-hari seterusnya kami cuma banyak membeli barang dan ke Pasar Terapung sekali lagi seperti yang pernah saya cerita dalam entry sebelum ini.  Jadi kalau anda nak rasa sendiri pengalamannya, kenalah pergi ke Hat Yai! Tak salah kalau nak rehatkan diri dan bersantai bersama orang tersayang. :)

How technology affects us 

Terima kasih kerana membaca dan Salam Ramadan!



Monday, 18 April 2016

Hat Yai, Thailand


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, saya dan keluarga baru pulang dari percutian di Hat Yai, Thailand. Trip kami kali ini sangat berbaloi walaupun cuma dua hari satu malam sahaja. Seawal jam 6.30 pagi selepas Subuh, kami sudah bertolak ke destinasi menaiki van. Sampai di sempadan Thailand melepasi imigresen Malaysia, kami bertukar kepada van VIP. Van tu saja namanya van VIP, penumpangnya bukan VIP pun. Tapi saya agak teruja kerana pertama kali melihat van canggih dilengkapi dengan karaoke, lampu seperti lampu disco dan pendingin hawa yang menyelesakan. Pendek kata, perjalanan kami begitu selesa, alhamdulillah.




Waktu di Thailand satu jam lebih awal dari Malaysia. Sekitar tengah hari, kami singgah di Magic Eye 3D Museum dahulu sebelum menuju ke hotel. Bagi saya muzium 3D ini lebih kurang sama sahaja seperti muzium-muzium 3D yang pernah saya masuk, cuma setiap kali masuk muzium seperti itu, perasaan teruja untuk bergambar dengan ilustrasi di situ pasti ada. Maka kami pun bergambar dengan hampir keseluruhan ilustrasi sebab nak manfaatkan 400 bath bayaran masuk satu kepala. Secara kasar, 400 bath nilainya lebih kurang RM40.

Setelah puas bergambar di muzium 3D itu, saya dan keluarga singgah di Kai Tod Decha & Sea Food untuk makan tengah hari. Saya tak adalah ambil gambar makanan, tapi kalau anda tonton vlog saya anda boleh melihat serba sedikit makanan yang disediakan di restoran tersebut. Saya cuma boleh katakan minuman yang disediakan sangat manis. Di mana-mana tempat persinggahan pun menyediakan minuman yang manis. Kalau anda tidak mahu menghidap penyakit kencing manis, silalah sediakan botol mineral sepanjang perjalanan ya. Eheh.

Setelah itu, barulah kami tiba di Lee Gardens Plaza Hotel. Hotel ini hotel 3.5 bintang kalau tak salah saya. Kolam renangnya masih dalam penyelenggaraan ketika itu. Setelah solat dan berehat, kami teruskan perjalanan ke Samila Beach. Samila Beach atau Pantai Samila ni memang merupakan tarikan kepada pelancong dan penduduk tempatan sendiri. Sepanjang pantai anda boleh melihat ramai peniaga tempatan yang menjual barang dan makanan. Di pantai tersebut juga menyediakan servis menunggang kuda berbayar. 150 bath dikenakan. Saya memang suka nak menunggang kuda, tapi kalau kuda yang ada orang tarik kemudian jalan di tepi pantai ni tak adalah mencabar sangat bagi saya. Lagipun kami banyak habiskan masa untuk bergambar sahaja di tepi pantai.




Saya pun tak pastilah. Setiap kali saya ke pantai mesti nak bergambar. Rasanya kalau buat koleksi gambar di tepi pantai sudah boleh buka galeri. Eheh. Tapi iyalah, siapa yang tak sukakan pantai bukan?




Saya tak berapa perasan tapi tak jauh dari lokasi kami di hujung pantai tersebut ada juga pesta atau festival yang diadakan, cuma kami tidak melibatkan diri. Tarikan utama di situ juga adalah Coconut Ice Cream yang dijual di dalam tempurung kelapa.




Setelah bersiar-siar di Pantai Samila, kami meneruskan perjalanan pula ke Klonghae Floating Market atau lebih dikenali sebagai Pasar Terapung.




Banyak juga tarikan dan barangan menarik yang dijual di pasar tersebut. Pasar ini dibuka setiap hari Jumaat hingga Ahad sahaja. Pasar Terapung ni terwujud untuk menggabungkan budaya Buddha dan Muslim. Kebanyakan peniaga di situ pun beragama Islam. Jadi insyaAllah makanan yang dijual di situ adalah halal. Dah tiba di pasar, maka kami pun bershopping la mengikut kemampuan. Setelah berbelanja di Pasar Terapung pun kami masih singgah di beberapa pasar yang lain untuk membeli belah. Sudah penat bershopping saya pun pulang ke hotel dan merehatkan fizikal dan mental untuk perjalanan esok hari.




Keesokan harinya pun banyak  dihabiskan untuk membeli belah sahaja. Tapi saya rasa di Vietnam dulu saya lebih banyak berbelanja berbanding di Thailand. Sebab di Vietnam banyak terkenal dengan kain. Sebelum pulang ke Malaysia, kami sempat juga singgah di I-City, tapi pada waktu pagi tempat tersebut masih belum beroperasi jadi kami hanya mampu bergambar tanpa cahaya yang bergemerlapan bersama patung-patung di taman itu. Akhirnya, kami pun bertolak pulang ke Malaysia. Waktu malam jugalah sampai di rumah.




Saya boleh katakan perjalanan kami sangat berbaloi, alhamdulillah. Banyak tempat-tempat yang menarik dan pengalaman baru diperoleh. Secara peribadi, saya paling suka Pantai Samila disebabkan banyak tarikan di sana. Kalau hendak mandi pun boleh sebenarnya di situ. Tapi bila kita berjalan di tepi pantai pun sudah cukup menenangkan jiwa di samping menghayati dan mensyukuri ciptaan Allah. Apa yang paling menarik adalah apabila kita travel bersama keluarga.




Saya harap suatu hari nanti saya akan dapat melancong ke negara-negara yang lain juga, insyaAllah. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang coretan perjalanan saya, silalah menonton vlog yang telah saya hasilkan ini. Walaupun tak seberapa, harapnya memuaskan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa.



Tuesday, 15 December 2015

Vietnam Part Two



Baca part one di SINI

Hari ketiga pula lebih kepada sightseeing. Kami menempah bas yang membawa kami ke Sungai Mekong. Siapa yang belajar sejarah mesti tahu tentang Sungai Mekong ni. Jadi tak perlulah saya ceritakan lebih lanjut. Tourist guide kami pun begitu peramah dan suka buat lawak yang tak berapa nak lawak. Perjalanan dari Bandar ke Sungai Mekong memakan masa hampir sejam. Sepanjang perjalanan saya dapat melihat kehidupan masyarakat di Vietnam. Saya juga dapat melihat kehijauan sawah padi di sepanjang perjalanan. Tourist guide kami namanya Chao kalau tak salah saya. 

Kata Chao, orang di Vietnam yang meninggal dunia akan disemadikan di kawasan sawah padi. Setiap orang akan ditanam di kawasan tanah hak milik masing-masing. Jadi, setiap orang di sana perlu memiliki tanah. Menurut kepercayaan mereka, orang miskin yang tidak mampu memiliki tanah akan hidup lama atau tidak mati kerana mereka tidak mempunyai tanah atau sawah padi untuk menanam mayat mereka.

Setibanya di lokasi, kami dibawa menaiki bot terlebih dahulu untuk ke pulau-pulau di sana. Sampai di pulau perhentian pertama, kami ditunjukkan cara-cara penduduk Vietnam memproses produk berasaskan kelapa. Chao menunjukkan cara-cara membuat gula-gula kelapa. Too bad saya memang tak makan kelapa. Jadi saya tak boleh nak cerita sedap atau tidak gula-gula yang mereka hasilkan. Rupa-rupanya, gula-gula kelapa ni pun ada banyak versi. Dicampur dengan peanut butter, kopi, dan sebagainya. Kemudian kami dibawa pula untuk melihat cara penduduk membuat kuih apung. Saya tak pasti namanya, tetapi masih juga berasaskan kelapa.

Salah satu pulau yang kelihatan

Dan the best part of the day, kami dibawa menaiki kereta kuda untuk menuju ke destinasi seterusnya. Saya tak pasti sebenarnya kami hendak ke mana, so I just enjoy the ride. Di Malaysia mana ada orang guna kereta kuda dah sebagai pengangkutan utama. Setelah itu, sekali lagi kami menaiki bot untuk ke perhentian kedua. Pulau Unicorn. 

Pulau ni memang unik. Ada 6000 penduduk di Unicorn Island. Penduduk di pulau ini menyanyi dan menghiburkan pelancong sebagai aktiviti sara diri. Di samping itu, mereka juga dikatakan hanya memakan buah-buahan saja untuk kehidupan. Maka saya pun bersantai di pulau itu sambil makan buah-buahan dan menikmati persembahan mereka. Buah-buahan di Vietnam sama sahaja seperti di Malaysia. Cuma saya rasa mereka tak ada durian. Eheh. 

Buah-buahan yang disajikan

Bahagian terakhir perjalanan kami adalah menaiki sampan. Satu sampan boleh memuatkan 5 orang penumpang dan 2 pengayuh sampan. Melalui sampan itulah kami meredah Sungai Mekong untuk pulang. What a journey! 

Mari kita bersampan

Saya ada merakam perjalanan kami jadi rasanya tak perlu saya ceritakan lebih lanjut. Pulang dari Sungai Mekong, kami singgah pula di Russian Market. Russian Market ni merupakan sebuah pusat beli-belah yang agak terkenal di sana. Tapi waktu kami ke sana, banyak barangan yang dijual adalah winter clothes atau barangan untuk musim sejuk. Sayang sekali Malaysia tak ada musim sejuk. Kami end up tak beli apa sangat pun di sana. Dan begitulah kami meluangkan hari ketiga di Vietnam.

Akhirnya, sudah tiba hari keempat. Hari untuk pulang ke Malaysia. Saya boleh katakan memang bagasi kami beranak-pinak. Alhamdulillah, semua kain untuk kawan-kawan telah berjaya saya dapatkan. Tak termasuk lagi kain yang dibeli oleh ibu dan nenek saya. Kami sempat lagi berjalan di deretan kedai di hadapan hotel dan membeli barang-barang terakhir sebelum pulang. Hari terakhir tak banyak aktiviti sangat. Awal pagi lagi kami sudah bertolak ke lapangan terbang dan sekitar jam 5 petang sampai juga kami di Pulau Pinang.

Pendek kata, saya sangat bersyukur kerana mendapat peluang untuk kembara di negeri asing. Eceh. Apa yang boleh saya rumuskan sebenarnya Vietnam ni adalah syurga kepada mereka yang mahu bershopping. Ramai juga orang yang membeli kain di Vietnam untuk urusan perniagaan. So yeah tak rugi jika anda mahu melancong ke Vietnam. Rugilah juga sikit dari segi kewangan tapi apa salahnya menimba pengalaman baru. The best part di Vietnam bagi saya adalah hari ketiga iaitu perjalanan kami meredah Sungai Mekong. Saya harap selepas ini saya dapat travel ke negara lain pula untuk menimba pengalaman baru. 

That's all. Thank you for reading.





Vietnam Part One



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Mungkin entry ini agak terlambat, tapi saya tetap ingin berkongsi dengan anda pengalaman saya semasa bercuti di Vietnam tempoh hari. Alhamdulillah, rezeki saya dan ibu bapa dapat menjejakkan kaki di bumi Vietnam untuk kali pertama. Kami mendapat pakej pelancongan yang menawarkan harga agak murah, jadi ibu saya tidak mahu melepaskan peluang ini. Percutian kami ke Vietnam adalah selama 4 hari 3 malam.

Sebelum saya bertolak ke Vietnam, saya sudah memaklumkan terlebih dahulu kepada kawan-kawan rapat saya. Mereka masing-masing mengirim wang untuk membeli kain yang dijual dengan harga murah di Vietnam. Sebut pasal Vietnam, sudah tentulah terkenal dengan kain-kain yang murah. Maka saya mempunyai satu misi ke Vietnam. Misi mencari kain!

Dari Kulim, kami menaiki kereta untuk ke Lapangan Terbang Bayan Lepas. Kami menaiki flight selama 45 minit jika tak salah saya ke KLIA. Kemudian dari KLIA pula kami berlepas ke Vietnam dan memakan masa hampir sejam. 

Menunggu di KLIA


Kami memilih Malaysian Airlines kerana tambangnya yang berpatutan. Cuma saya tidak berapa menggemari sandwich yang dihidangkan. Mungkin kerana saya yang cerewet dalam pemakanan. Kami jamak taqdim Zohor dan Asar di KLIA kerana takut lambat sampai di sana. Waktu kami sampai di Lapangan Terbang di Vietnam adalah sekitar jam 5 petang. Kalau di Malaysia, 5 petang baru hendak masuk Asar. Di Vietnam sudah masuk waktu Maghrib. Waktu di Vietnam adalah satu jam lebih lambat dari Malaysia.

Berbeza dengan KLIA, keluar sahaja dari lapangan terbang di Vietnam kita sudah pun menjejakkan kaki di kawasan pekan. Keadaannya lebih kurang sama dengan Bangladesh. Keluar-keluar sahaja sudah boleh melihat pekan. Saya bercuti di Vietnam bersama ibu bapa dan nenek. Namun, bersama-sama kami turut ada beberapa kawan ibu saya yang turut serta. Kira macam kami pergi secara rombongan. Kami mendapatkan dua teksi untuk menuju ke hotel kami, Thanh Thu Hotel. Sebutannya lebih kurang macam Hantu Hotel.

Saya sangat terkejut apabila pemandu teksi kami membawa kami ke hotel dalam keadaan berlawan arus. Maksud saya, kenderaan datang dari depan dan kami berada di jalan yang salah. Rupa-rupanya, memang begitulah keadaan pemanduan di Vietnam. Di sana, ada lebih banyak motosikal dan skuter daripada kereta. Dan kenderaan bebas menggunakan mana-mana jalan pun sesuka hati mereka. Lampu isyarat yang sedia ada cuma sekadar tiang di pertengahan jalan, tidak digunakan. Perjalanan ke hotel memang cukup mendebarkan saya, lebih dahsyat daripada keadaan di Bangladesh.

Setelah sejam lebih, barulah kami di di hotel. Kami pun berehat terlebih dahulu di bilik masing-masing. Tepat jam yang dijanjikan, semua orang berkumpul di lobi hotel dan memulakan misi untuk bershopping. Kebetulan hotel kami terletak di lokasi yang sangat strategik. Hotel kami terletak betul-betul di Ben Thanh Market, kawasan pasar yang menjual pelbagai jenis barangan. Kalau di Malaysia, bolehlah dikatakan sama seperti Jalan Tunku Abdul Rahman. Ada kain, baju, jubah, topi, mainan, beg tangan dan macam-macam lagi. Tetapi ibu saya berkeras supaya saya tidak membeli apa-apa barang terlebih dahulu, katanya esok kami akan berjalan ke tempat lain pula dan mungkin ada barang yang lebih murah. 

Antara baju yang dijual

Oh ya, untuk makan pula, tak perlu risau tentang makanan halal. Di deretan kedai berdekatan hotel kami saja sudah ada dua hingga tiga buah restoran halal yang menjual makanan seperti nasi lemak, nasi goreng, roti canai, dan sebagainya. Pendek kata keadaannya lebih kurang sama macam Malaysia. Tak rasa terasing di sana. Kebanyakan penjual dan peniaga kedai makan pun fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Jadi tidak ada masalah komunikasi yang timbul. Untuk hari pertama, kami sekadar meninjau-ninjau sahaja suasana di Vietnam dan menikmatinya.

Hari kedua adalah hari yang mencabar. Seharian kami habiskan masa dengan bershopping. Serious. Saya berusaha gigih untuk mendapatkan kain-kain yang dipesan oleh rakan-rakan. Benarlah seperti yang dikatakan, kain di Vietnam memang murah. Sehelai kain baju kurung 3 meter setengah boleh saya dapati dengan harga RM25 sahaja atau bersamaan 125 000 dong. RM1 bersamaan 5000 dong. Lebih kurang begitulah. Basically, kalau kita bayar guna ringgit Malaysia kita yang lebih untung. Ibu dan nenek saya masih tak faham konsep dong dan ringgit ni, jadi setiap kali kami bergerak dari satu kedai ke satu kedai atau setiap kali ingin bertanya harga barang, mereka akan merujuk kepada saya. Tak apalah. Uji minda. Eheh.

Hari itu, kami bukan sahaja bershopping di Ben Thanh Market tapi kami berjalan mungkin hampir satu bandar rasanya. Terdapat banyak kedai kain yang menjual kain dengan harga yang murah. Kemudian sambil-sambil itu kami mencari souvenir untuk diberikan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga. Ya lah, takkan hendak pulang dengan tangan kosong. Nenek saya yang berusia 60-an pun gigih berjalan meredah bangunan-bangunan di Vietnam.

Di tengah Kota Vietnam

Kami masuk dari satu kedai ke satu kedai yang lain dan akhirnya agak sesat dalam perjalanan pulang. Tapi satu pengalaman yang seronok sebab bukan selalu dapat luangkan masa untuk bershopping dengan family ni. Barangan yang berjenama pun boleh didapati dengan harga yang murah. So yeah, begitulah kami menghabiskan hari kedua di Vietnam.


Bersambung...






Monday, 4 May 2015

Ulu Legong Hot Spring




Tadaaa!

Ya, inilah kek belated birthday saya dan kakak saya yang menyambutnya dalam bulan yang sama. Dan memang tak tipu, alhamdulillah, kek ini sangat lazat berbanding dengan kek-kek coklat yang lain. Saya tak pasti di mana anda boleh mendapatkannya, tetapi pokok pangkalnya memang sedap. Kek kedua untuk birthday saya tahun ini. 

Sebenarnya, saya ingin berkongsi dengan anda beberapa foto menarik sepanjang percutian kami sekeluarga ke Kolam Air Panas Ulu Legong atau lebih dikenali sebagai Ulu Legong Hot Spring. Termasuk kali ini, sudah tiga kali kami ke Ulu Legong. 


Setiap kali ke sana, ada sahaja perubahan yang baru. Dulu tak perlu bayar kalau tak silap saya, tetapi sekarang sudah dikenakan tiket untuk masuk. Dulu cuma ada beberapa kolam sahaja, sekarang sudah ada penambahan kolam-kolam lain.




Untuk pengetahuan pembaca yang mungkin belum tahu tentang kewujudan tempat ini, Ulu Legong terletak di Kedah. Ada tiga buah kolam dengan tahap kepanasan yang berbeza disediakan di sini. Rasanya belum pernah ada lagi orang yang masuk ke dalam kolam pertama disebabkan tahap didihan air yang begitu tinggi. Mungkin sekadar rendam kaki sahaja. Biasanya saya akan masuk ke kolam kedua atau ketiga. Tempat ini memang bagus untuk merehatkan minda. Rendam kaki pun sudah cukup. Saraf kita banyak terletak di tapak kaki jadi air yang panas tersebut boleh sedikit sebanyak merawat saraf-saraf kita.


Di samping itu, Ulu Legong juga ada menyediakan kawasan rekreasi dan refleksologi. Tapi sudah tentu ada pantang larang tertentu kepada orang yang berpenyakit atau hamil. Takut-takut rendaman kaki dan refleksologi itu boleh mengganggu sistem dalam badan mereka.

Bilik yang kami sewa pula terletak di atas bukit. Memanglah perlu panjat tangga yang agak tinggi tetapi pemandangan dari atas sungguh mengagumkan. Indah. Boleh perhatikan gelagat budak-budak yang seronok main air. Tenang. Pada waktu petang hingga malam pula, ada gerai-gerai yang dibuka untuk jualan. Gerai yang paling laris sudah tentulah gerai ais krim. Dapat makan ais krim memang nikmat ketika berada di kolam air panas. Percayalah.


Pada waktu malam pula, kami sekeluarga masak BBQ di tempat yang telah disediakan. Pengunjung perlu membawa bahan dan arang sendiri tetapi tempat untuk membakarnya sudah disediakan oleh pihak pengurusan. Ayam, sosej, ubi kentang, ubi kayu, ikan, kambing, dan daging, semuanya kami bakar. Alhamdulillah, semuanya habis. Bukan selalu nak buat family outing begini. Jadi, kepada sesiapa yang teringin nak buat family outing, saya boleh sarankan Ulu Legong Hot Spring kepada anda. 


Thursday, 19 March 2015

Cameron Highlands!



Assalamualaikum.

Selepas Pantai Kerachut, Cameron Highlands pula yang menjadi destinasi percutian untuk saya. Seingat saya, kali terakhir saya ke sini adalah ketika saya masih berada di sekolah rendah. Suhu di Cameron Highlands sudah tidak sedingin dulu lagi. Dulu, keluar sahaja kereta saya sudah menggigil kesejukan. Sekarang, suhunya biasa-biasa sahaja. 

Tempat penginapan yang dipilih untuk percutian 3 hari 2 malam kami adalah di Villa Dahlia. Harga penginapan adalah berpatutan dan biliknya sungguh selesa. Villa Dahlia menawarkan harga yang agak murah berbanding hotel-hotel lain yang ada di Cameron Highlands. Jika anda berkunjung ke Cameron Highlands, anda tidak boleh lepaskan peluang untuk memetik sendiri strawberry di ladang dan singgah ke ladang teh di sini. 


Pandangan dari apartment

Sudah lama saya teringin mahu makan buah strawberry dan alhamdulillah, semua jenis strawberry saya makan di sini. Strawberry yang dipetik sendiri, strawberry kering, ais krim bersalut strawberry, ais krim Malaysia strawberry, dan termasuklah strawberry cicah coklat. Strawberry menjadi sangat enak apabila disaluti coklat. Sungguh lazat. Kepada yang masih belum mencubanya, saya sarankan anda rasa! 

Saya masih belum puas mahu menjelajah Malaysia. Masih ada lagi lokasi-lokasi percutian menarik yang belum saya kunjungi. Kadang, kita tak perlu ke luar negara pun sebab nikmat Allah ni luas, ada di mana-mana sahaja. Saya paling seronok melihat bunga-bunga ciptaan Allah yang berwarna-warni dan pelbagai jenis di sini. They are so gorgeous! Tak percaya kata-kata saya?








Candid 



Ladang Teh




Sedikit hasil fotografi yang mampu saya kongsikan bersama anda. Saya suka kongsikan apa yang dilihat pandangan mata kasar saya, supaya kita sama-sama dapat menghayati kebesaran Allah. Subhanallah.