Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Alhamdulillah, saya dan keluarga baru pulang dari percutian di
Hat Yai, Thailand. Trip kami kali ini sangat berbaloi walaupun cuma dua hari
satu malam sahaja. Seawal jam 6.30 pagi selepas Subuh, kami sudah bertolak ke
destinasi menaiki van. Sampai di sempadan Thailand melepasi imigresen Malaysia,
kami bertukar kepada van VIP. Van tu saja namanya van VIP, penumpangnya bukan
VIP pun. Tapi saya agak teruja kerana pertama kali melihat van canggih
dilengkapi dengan karaoke, lampu seperti lampu disco dan pendingin hawa yang
menyelesakan. Pendek kata, perjalanan kami begitu selesa, alhamdulillah.
Waktu di Thailand satu jam lebih awal dari Malaysia. Sekitar tengah hari, kami singgah di Magic Eye 3D Museum dahulu sebelum menuju ke hotel. Bagi saya muzium 3D ini lebih kurang sama sahaja seperti muzium-muzium 3D yang pernah saya masuk, cuma setiap kali masuk muzium seperti itu, perasaan teruja untuk bergambar dengan ilustrasi di situ pasti ada. Maka kami pun bergambar dengan hampir keseluruhan ilustrasi sebab nak manfaatkan 400 bath bayaran masuk satu kepala. Secara kasar, 400 bath nilainya lebih kurang RM40.
Setelah puas bergambar di muzium 3D itu, saya dan keluarga
singgah di Kai Tod Decha & Sea Food untuk makan tengah hari. Saya tak
adalah ambil gambar makanan, tapi kalau anda tonton vlog saya anda boleh
melihat serba sedikit makanan yang disediakan di restoran tersebut. Saya cuma
boleh katakan minuman yang disediakan sangat manis. Di mana-mana tempat
persinggahan pun menyediakan minuman yang manis. Kalau anda tidak mahu
menghidap penyakit kencing manis, silalah sediakan botol mineral sepanjang
perjalanan ya. Eheh.
Setelah itu, barulah kami tiba di Lee Gardens Plaza Hotel.
Hotel ini hotel 3.5 bintang kalau tak salah saya. Kolam renangnya masih dalam
penyelenggaraan ketika itu. Setelah solat dan berehat, kami teruskan perjalanan
ke Samila Beach. Samila Beach atau Pantai Samila ni memang merupakan tarikan
kepada pelancong dan penduduk tempatan sendiri. Sepanjang pantai anda boleh
melihat ramai peniaga tempatan yang menjual barang dan makanan. Di pantai
tersebut juga menyediakan servis menunggang kuda berbayar. 150 bath dikenakan.
Saya memang suka nak menunggang kuda, tapi kalau kuda yang ada orang tarik
kemudian jalan di tepi pantai ni tak adalah mencabar sangat bagi saya. Lagipun
kami banyak habiskan masa untuk bergambar sahaja di tepi pantai.
Saya pun tak pastilah. Setiap kali saya ke pantai mesti nak bergambar. Rasanya kalau buat koleksi gambar di tepi pantai sudah boleh buka galeri. Eheh. Tapi iyalah, siapa yang tak sukakan pantai bukan?
Saya tak berapa perasan tapi tak jauh dari lokasi kami di hujung pantai tersebut ada juga pesta atau festival yang diadakan, cuma kami tidak melibatkan diri. Tarikan utama di situ juga adalah Coconut Ice Cream yang dijual di dalam tempurung kelapa.
Setelah bersiar-siar di Pantai Samila, kami meneruskan perjalanan pula ke Klonghae Floating Market atau lebih dikenali sebagai Pasar Terapung.
Banyak juga tarikan dan barangan menarik yang dijual di pasar tersebut. Pasar ini dibuka setiap hari Jumaat hingga Ahad sahaja. Pasar Terapung ni terwujud untuk menggabungkan budaya Buddha dan Muslim. Kebanyakan peniaga di situ pun beragama Islam. Jadi insyaAllah makanan yang dijual di situ adalah halal. Dah tiba di pasar, maka kami pun bershopping la mengikut kemampuan. Setelah berbelanja di Pasar Terapung pun kami masih singgah di beberapa pasar yang lain untuk membeli belah. Sudah penat bershopping saya pun pulang ke hotel dan merehatkan fizikal dan mental untuk perjalanan esok hari.
Keesokan harinya pun banyak dihabiskan untuk membeli belah sahaja. Tapi saya rasa di Vietnam dulu saya lebih banyak berbelanja berbanding di Thailand. Sebab di Vietnam banyak terkenal dengan kain. Sebelum pulang ke Malaysia, kami sempat juga singgah di I-City, tapi pada waktu pagi tempat tersebut masih belum beroperasi jadi kami hanya mampu bergambar tanpa cahaya yang bergemerlapan bersama patung-patung di taman itu. Akhirnya, kami pun bertolak pulang ke Malaysia. Waktu malam jugalah sampai di rumah.
Saya boleh katakan perjalanan kami sangat berbaloi, alhamdulillah. Banyak tempat-tempat yang menarik dan pengalaman baru diperoleh. Secara peribadi, saya paling suka Pantai Samila disebabkan banyak tarikan di sana. Kalau hendak mandi pun boleh sebenarnya di situ. Tapi bila kita berjalan di tepi pantai pun sudah cukup menenangkan jiwa di samping menghayati dan mensyukuri ciptaan Allah. Apa yang paling menarik adalah apabila kita travel bersama keluarga.
Saya harap suatu hari nanti saya akan dapat melancong ke negara-negara yang lain juga, insyaAllah. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang coretan perjalanan saya, silalah menonton vlog yang telah saya hasilkan ini. Walaupun tak seberapa, harapnya memuaskan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa.
Sedapnya aiskrim kelapa!
ReplyDelete