Salam Ramadhan diucapkan kepada semua pembaca yang setia membaca blog picisan ini. Alhamdulillah, kita masih dikurniakan kesempatan oleh Allah untuk menunaikan ibadat puasa sehingga hari ini. Memandangkan bulan ini bulan puasa, maka timbullah banyak isu tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berpuasa. Saya diajukan dengan satu soalan, apakah hukum mendengar MP3 ketika berpuasa. Saya bukanlah seorang yang arif tentang hukum, namun saya cuba menjawab persoalan tersebut berdasarkan pengetahuan yang sedia ada.
Apa yang pernah saya pelajari dahulu, pahala puasa seseorang itu akan berkurangan sekiranya dia mengerjakan perkara-perkara yang lagha. Justeru, mendengar muzik yang melalaikan seseorang hanya akan mengurangkan pahala puasanya jadi kita perlu sedaya upaya untuk mengelakkan hal terbabit daripada terjadi. Bak kata ustaz dan ustazah, bulan puasa ini adalah bulan suci yang dikurniakan Allah kepada umat Islam untuk mengumpulkan pahala sebanyak mungkin dengan melakukan amal ibadat dan merebut peluang mendekati Tuhan. Allah sudah pun membantu kita dengan mengikat para syaitan yang suka menghasut. Jadi, inilah peluang kita untuk berbuat amal sebaik mungkin.
Inisiatif lain, kita bolehlah cuma berubah dengan mendengar lagu-lagu yang merapatkan kita dengan Allah seperti Maher Zain, Zain Bikha dan lagu-lagu nasyid. Tetapi, dengan mendengar lagu-lagu sedemikian sahaja tidak memadai. Kita pun haruslah berusaha untuk tambah solat-solat sunat, banyakkan baca al-Quran. Alhamdulillah, jika di rumah jarang saya mendapat kesempatan untuk solat Tarawikh dan hendak buat sendiri pun susah. Tetapi sekarang, saya boleh perbanyakkan Tarawikh malah rasa seronok pula apabila berjemaah bersama-sama rakan-rakan. Mungkin itulah nikmatnya bulan Ramadhan yang mulia ini.
Berbalik kepada pangkal cerita, puasa seseorang itu tidak akan terbatal sekiranya dia memakai earphone dan sewaktu dengannya. Puasa dianggap terbatal hanya jika sesuatu benda yang termasuk ke dalam telinga melepasi gegendang. Jadi secara kesimpulannya, kepada semua yang sudah terbiasa mendengar lagu-lagu Barat dan sebagainya, kita kenalah kurangkan mendengar lagu-lagu tersebut dan marilah mencuba sesuatu yang baru iaitu nasyid. InsyaAllah, mudah-mudahan niat dan amalan baik kita akan diterima oleh Allah.
No comments:
Post a Comment