“Macam manalah dia boleh suka
dekat arnab tu?” Itu komen saya setelah menonton satu iklan di televisyen.
Iklan di gelanggang ais kalau tidak silap di mana terdapat seekor arnab yang
jatuh cinta terhadap seseorang di dalam yang sedang meluncur di dalam
gelanggang. Arnab itu ditolak jatuh tetapi diselimutkan oleh pujaan hatinya.
Lebih kurang begitulah. Kemudian, adik saya memandang saya dan berkata, “Cinta
itu buta.” Saya sengaja menafikannya, lalu adik menyuruh saya untuk membuktikan
cinta itu tidak buta. Hurm. Benarkah cinta itu buta? Secara amnya, jika
definisi cinta itu antara lelaki dan perempuan, sudah tentulah saya bukan orang
yang tepat untuk berbahas tentang itu memandangkan saya sendiri tidak ada
pengalaman bercinta.
Jadi saya terokai
definisi-definisi cinta yang lain seperti cinta seorang hamba terhadap Tuhan,
cinta seorang ibu terhadap anak, cinta seorang abang terhadap adik, cinta
seorang nenek terhadap cucu dan sebagainya. Secara jujurnya, saya tidak dapat
menyangkal pernyataan cinta itu buta kerana apabila difikirkan kembali, saya
menemui logik pernyataan itu. Cinta memang buta. Misalnya cinta seorang hamba
kepada Allah. Manusia tidak melihat Allah. Allah melihat manusia, tetapi tidak
pula memperlihatkan dirinya kepada kita.
Sekiranya cinta itu hanya akan hadir
jika kita melihat antara satu sama lain, bagaimana kita boleh meraih cinta
daripada Allah? Manusia boleh mendekatkan diri kepada Tuhan melalui
ibadah-ibadah dan menerapkan sifat ihsan dalam diri, iaitu satu perasaan
seolah-olah kita melihat Allah dan Allah melihat kita. Melalui solat dan doa
pun sudah boleh memupuk rasa cinta kepadaNya. Semua itu terbukti jika kita
imbas kembali kisah-kisah nabi dan wali Allah. Mereka tidak melihat Allah,
tetapi rasa cinta yang terbit dala
m diri mereka begitu tinggi sehinggakan
mereka mencintai Allah lebih daripada diri sendiri. Semoga kita juga dapat
mencapai tahap cinta yang sedemikian, meskipun tidak sehebat cinta nabi dan
para sufi.
Cinta seorang ibu kepada anaknya
pula sudah lahir sejak ibu mendengar khabar tentang kehamilannya. Si ibu akan
sentiasa berdoa keselamatan anaknya dan menjaga pemakanannya supaya anak dalam
kandungan mendapat nutrien yang secukupnya. Murninya kasih ibu yang sanggup
membawa anak dalam kandungan ke sana ke mari bersama kesakitan. Apatah lagi
jika anaknya menendang-nendang dalam perut. Si ibu tidak perlu melihat anaknya
untuk mencintainya.
Cinta itu buta kerana mengundang
satu perasaan rindu yang teramat meskipun kita
tidak melihat orang yang dicintai itu. Cinta yang buta jugalah boleh
menyebabkan seseorang terjatuh ke dalam lubang kerana tidak melihat jalan yang
dituju. Cinta memang buta, bukan setakat buta tapi pekak, bisu, gila dan
macam-macam lagi, bergantung pada bagaimana cinta itu ditafsirkan.