Monday, 12 August 2013

Cinta Itu Memang Buta



“Macam manalah dia boleh suka dekat arnab tu?” Itu komen saya setelah menonton satu iklan di televisyen. Iklan di gelanggang ais kalau tidak silap di mana terdapat seekor arnab yang jatuh cinta terhadap seseorang di dalam yang sedang meluncur di dalam gelanggang. Arnab itu ditolak jatuh tetapi diselimutkan oleh pujaan hatinya. Lebih kurang begitulah. Kemudian, adik saya memandang saya dan berkata, “Cinta itu buta.” Saya sengaja menafikannya, lalu adik menyuruh saya untuk membuktikan cinta itu tidak buta. Hurm. Benarkah cinta itu buta? Secara amnya, jika definisi cinta itu antara lelaki dan perempuan, sudah tentulah saya bukan orang yang tepat untuk berbahas tentang itu memandangkan saya sendiri tidak ada pengalaman bercinta.

Jadi saya terokai definisi-definisi cinta yang lain seperti cinta seorang hamba terhadap Tuhan, cinta seorang ibu terhadap anak, cinta seorang abang terhadap adik, cinta seorang nenek terhadap cucu dan sebagainya. Secara jujurnya, saya tidak dapat menyangkal pernyataan cinta itu buta kerana apabila difikirkan kembali, saya menemui logik pernyataan itu. Cinta memang buta. Misalnya cinta seorang hamba kepada Allah. Manusia tidak melihat Allah. Allah melihat manusia, tetapi tidak pula memperlihatkan dirinya kepada kita. 

Sekiranya cinta itu hanya akan hadir jika kita melihat antara satu sama lain, bagaimana kita boleh meraih cinta daripada Allah? Manusia boleh mendekatkan diri kepada Tuhan melalui ibadah-ibadah dan menerapkan sifat ihsan dalam diri, iaitu satu perasaan seolah-olah kita melihat Allah dan Allah melihat kita. Melalui solat dan doa pun sudah boleh memupuk rasa cinta kepadaNya. Semua itu terbukti jika kita imbas kembali kisah-kisah nabi dan wali Allah. Mereka tidak melihat Allah, tetapi rasa cinta yang terbit dala
m diri mereka begitu tinggi sehinggakan mereka mencintai Allah lebih daripada diri sendiri. Semoga kita juga dapat mencapai tahap cinta yang sedemikian, meskipun tidak sehebat cinta nabi dan para sufi.

Cinta seorang ibu kepada anaknya pula sudah lahir sejak ibu mendengar khabar tentang kehamilannya. Si ibu akan sentiasa berdoa keselamatan anaknya dan menjaga pemakanannya supaya anak dalam kandungan mendapat nutrien yang secukupnya. Murninya kasih ibu yang sanggup membawa anak dalam kandungan ke sana ke mari bersama kesakitan. Apatah lagi jika anaknya menendang-nendang dalam perut. Si ibu tidak perlu melihat anaknya untuk mencintainya.


Cinta itu buta kerana mengundang satu perasaan rindu yang teramat meskipun kita  tidak melihat orang yang dicintai itu. Cinta yang buta jugalah boleh menyebabkan seseorang terjatuh ke dalam lubang kerana tidak melihat jalan yang dituju. Cinta memang buta, bukan setakat buta tapi pekak, bisu, gila dan macam-macam lagi, bergantung pada bagaimana cinta itu ditafsirkan.

No comments:

Post a Comment