Assalamualaikum.
Saya telah mengikuti sebuah camping trip, satu join venture dengan adik-adik tingkatan 3-5 dari SMK Padang Serai, Kedah baru-baru ini. Saya dan barisan MPP yang lain diberi peluang untuk mengendalikan mereka sebagai satu pengalaman baru buat kami. Secara tak langsung, kami dapat memupuk sifat ‘leadership’ yang lebih kuat dalam diri masing-masing.
Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di Pantai Kerachut. Subhanallah, tempatnya memang sangat indah dan menyejukkan mata yang memandang. Antara kelebihan Pantai Kerachut ialah kawasan ini merupakan kunjungan pelancong, tempat memancing dan juga pusat pemeliharaan penyu. Saya sempat melihat anak-anak penyu yang masih kecil dan comel berenang-renang.
Terdapat dua pilihan untuk tiba di pantai ini, iaitu sama ada menaiki bot atau jungle-trekking. Saya tak ingat jarak perjalanan jungle-trekking, tetapi ini merupakan trek terpanjang yang pernah saya lalui setakat ini. Saya tak sedar pun bila masa saya meninggalkan rakan-rakan yang lain. Pusing-pusing belakang sudah tidak ada orang. Apa lagi, saya teruskan sahaja perjalanan sehingga ke penghujungnya. Alhamdulillah tak ada jatuh atau tergelincir. Kalau tersilap langkah, memang boleh mencederakan diri sendiri. Saya nasihatkan kepada sesiapa yang berminat untuk jungle-trekking di sini supaya berhati-hati dalam perjalanan.
Hari pertama perkhemahan, kami dibahagikan kepada 10 kumpulan dan banyak melaksanakan aktiviti-aktiviti yang mencabar kreativiti, terutamanya untuk orang yang langsung tidak kreatif seperti saya. Nak kena guna pen marker warna-warnilah, buat coraklah, dan macam-macam. Saya paling lemah kalau disuruh buat corak dan warna ni. Apa pun kami dapat selesaikan misi dengan baik. Aktiviti pada waktu malam pula agak terbatas disebabkan tidak ada elektrik di dewan. Jadi pada malam itu, MPP mengadakan perjumpaan bersama senior-senior fasilitator dengan hanya bertemankan lilin. Saya end up tak boleh tidur langsung sehingga ke pagi.
Hari kedua pula aktiviti kami agak padat. Ada program dengan barisan alumni SMK Padang Serai yang sudah berkerjaya dan ada yang masih belajar. Pendek kata, mereka semua orang hebat-hebat. Saya paling suka tengok game ‘Caca Merba’ yang mereka cipta. Peserta perlu membuat satu barisan panjang. Peserta paling belakang akan diberikan arahan untuk melukis satu item dan perlu transfer lukisan daripada satu peserta ke peserta yang lain. Selalunya, peserta terakhir akan melukis rajah yang agak berlainan daripada orang pertama yang melukis tadi. Permainan ini menguji betapa cepat kita peka terhadap lukisan/informasi yang kita terima dan kecekapan kita untuk mengalihkannya ke dalam bentuk lukisan semula. Jika gagal menerima informasi dengan sempurna, maka lukisan kita akan menjejaskan keseluruhan hasil organisasi.
Selesai program bersama alumni, kami MPP diberikan amanah oleh fasilitator untuk mengendalikan aktiviti explorace. Saya ditugaskan untuk menjaga checkpoint empat, dan tugasan yang akan diberikan kepada peserta terpulang kepada kami masing-masing. Setiap kumpulan yang datang ke checkpoint kami terpaksa menjawab soalan sastera yang agak kompleks terlebih dahulu. Selesai menjawab sastera, mereka terpaksa pula pecahkan kod angka dan huruf yang kami sediakan. Jawapan kepada kod pula adalah berkaitan dengan pengajian am, iaitu tarikh dan peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di Malaysia. Setelah berjaya ‘break-the-code’, barulah misi sebenar bermula, iaitu mencari barang yang tersembunyi di dalam pasir.
Sebenarnya ada rasional di sebalik semua tugasan diberikan. Soalan sastera dan kod adalah untuk menguji dan memaksa peserta menggunakan pemikiran kritis masing-masing. Saya sengaja suruh mereka mencari barang di dalam pasir untuk menguji keazaman dan kesungguhan peserta. Sayang juga bila ada yang mengalah dan mengeluh.
Buat peserta yang gagal melaksanakan tugasan, salah seorang daripada ahli kumpulan perlu dikambus ke dalam timbunan pasir. Ya, itu juga idea nakal saya. Kami cuma akan menyuruh peserta lelaki sahaja yang menjadi korban. Rasionalnya, saya hendak melihat siapa yang sanggup berkorban dan tahap kesabaran mereka. Alhamdulillah, kumpulan-kumpulan yang dikenakan penalti langsung tak ada masalah melakukannya. Bila saya lihat peserta ditanam hidup-hidup, saya sebenarnya rasa tak sampai hati. Mereka pula yang senang hati mengerjakan rakan sepasukan.
Pada malam kedua tersebut, aktiviti kumpulan diteruskan lagi. Alhamdulillah elektrik sudah boleh digunakan sehingga 12.30 tengah malam. Kami disuruh untuk membuat menara daripada penyedut minuman. Sekali lagi, aktiviti ini memerlukan kreativiti dan daya pemikiran yang tinggi untuk menghasilkan menara yang tinggi, teguh dan kreatif. Saya tak tahu apa keputusan untuk game bina menara, tetapi saya agak berpuas hati dengan kerjasama daripada adik-adik sepasukan yang bagi komitmen dan mendengar arahan. Saya memang menggunakan kuasa autokratik agaknya sebagai ketua kumpulan. Tapi dalam sesetengah situasi yang mendesak, saya rasa seorang pemimpin memang perlu buat apa yang dirasakan terbaik untuk kepentingan semua.
Aktiviti seterusnya untuk malam itu ialah pembentangan rancangan perniagaan dan persembahan sketsa daripada setiap kumpulan. Menjadi kumpulan yang terakhir memang sangat memberi tekanan kepada kami kerana semua peserta sudah mengantuk dan jam hampir menunjukkan 12.30, waktu untuk lights off. Banyak yang saya nak bentangkan tentang rancangan syarikat kami tetapi tak sempat sebab rushing. Untuk sketsa, alhamdulillah adik-adik bagi komitmen yang baik. Walaupun masa untuk berfikir tak panjang, kami dapat juga sampaikan idea kami kepada yang lain. Harapnya begitulah. Truth to be told, that was my first time acted in front of so many people. Jadi budak nakal pula tu. Pada pandangan saya, untuk menyampaikan sebuah mesej yang berkesan, sketsa itu adalah salah satu pilihan yang baik.
Hari ketiga pula, kami digemparkan konon-kononnya akan dibawa masuk ke dalam hutan secara ‘blindfold’. Ada batu licinlah itulah inilah. Bulat-bulat saya percaya. Rakan-rakan MPP dilepaskan dahulu sambil memakai penutup mata. Saya tawarkan diri untuk jalan dahulu sebab bimbangkan rakan-rakan yang lain. Ada salah seorang daripada kami yang sakit kaki sebenarnya. Bila orang belakang terlepas pegangan, saya punyalah panik takut mereka masing-masing terpisah. Kemudian kami diasingkan juga sambil berpaut pada tali rapia yang dipasang. Apabila selesai cabaran, saya disuruh membuka penutup mata. Guess what, rupa-rupanya kami cuma berjalan pusing-pusing di campsite. Malunya.
Sebelum majlis penutup, saya dan rakan-rakan sempat berjalan di tepi pantai. Mulanya rancang sekadar mahu bergambar tapi akhirnya semua menjadi basah. Siapa tak basah bila tiga orang kawan tolak masuk ke dalam laut? Walaupun rasa bersalah terlewat sampai ke dewan disebabkan salin pakaian, saya berpuas hati dapat luangkan masa berkualiti bersama rakan-rakan tersayang.
Pendek kata, perkhemahan tiga hari dua malam di Pantai Kerachut ni banyak mengajar saya benda baru. Seriously. Kumpulan saya berjaya mendapat tempat ketiga, walaupun saya tak tahu macam mana. Sudahlah ketua kumpulan kena potong 20 markah sebab tak bawa “biskut amanah”. Erm. Apa pun, tempat atau kedudukan tu tak membawa makna sangat. Paling penting, bila kita dah berjaya menyelesaikan tugas yang diberi, itulah erti kemenangan yang sebenar.
rugi lahaku tak dapat ikut
ReplyDeleteaku ajak tak nak
Delete