Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum. Salam Aidiladha.
Alhamdulillah, saya telah selamat
sampai ke Kedah semalam. Tahun ini kami menyambut Hari Raya Aidiladha di Batu
Pahat, Johor dan Sungai Buloh, Selangor. Boleh dikatakan, minggu ini, setiap
hari kami travel dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Selalunya perjalanan
kami sama ada ke Selangor ataupun Johor akan memakan masa sekitar lima hingga
enam jam, termasuk berhenti rehat di RNR dan sebagainya.
Selalunya, kita mesti akan
mendapat pertanyaan “Asal mana?” dari rakan-rakan atau orang yang baru
dikenali. It’s a bit complicated for me to answer the question. Seperti yang
diketahui oleh sebahagian besar anda (sebab majoriti yang membaca blog ini
adalah mereka yang mengenali saya), saya dilahirkan di Scotland. Sampai umur
saya sekitar tiga tahun, kami pulang ke Malaysia. Ibu saya orang Selangor dan
ayah saya orang Johor. Kami tinggal di TTDI Jaya, Shah Alam. Ketika saya
berusia sekitar empat tahun rasanya, kami pindah ke Kedah kerana ayah saya ditukarkan
kerja di sini. Walaupun telah menetap agak lama di Kedah, saya tak berapa
pandai bertutur dialek Kedah kerana sudah terbiasa dengan dialek KL yang sering
dituturkan oleh ibu bapa saya. But still, saya cuba. Sis cuba. Sebab itulah
orang akan pelik kalau saya kata saya orang Kedah.
Bertahun-tahun lamanya di Kedah,
akhirnya ketika saya berada di tingkatan empat saya mendapat tawaran belajar di
sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Selangor selama hampir dua tahun. Jadi
setiap kali hujung minggu, saya akan menginap di rumah ibu saudara saya di
Kelana Jaya, berhampiran dengan Paradigm Mall. Setelah tamat SPM, saya sambung
belajar di Kedah semula.
Apa yang boleh saya kata, setiap
lokasi yang telah saya nyatakan sebentar tadi masing-masing memainkan peranan
penting dalam hidup saya. Semuanya ada nilai sentimental yang tersendiri. Ada
perbezaan yang jelas ketara antara kehidupan di Kedah, Selangor dan kampung di
Johor.
Batu Pahat, Johor
Saya paling suka setiap kali
pulang kampung di Johor. Bagi saya, zaman kanak-kanak setiap kali pulang ke
kampung adalah yang terindah. Ramai sanak-saudara dan sepupu-sepapat. Banyak
aktiviti yang dilakukan bersama. Di Johor juga ada banyak tradisi yang
tersendiri. Tradisi perkahwinan dan tradisi menjelang perayaan. Saya boleh
katakan, berdasarkan apa yang saya amati, semangat kejiranan di sini adalah
lebih tinggi berbanding dengan tempat-tempat lain yang biasa saya pergi. Setiap
kali ada kenduri kahwin, masing-masing secara automatik sudah tahu tugasan
mereka. Kehidupan di sini seperti keluarga besar yang saling melengkapi antara
satu sama lain.
Pada waktu subuh, memang
kedengaran jelas bunyi kokokan ayam. Udaranya dingin, segar. Ada dusun, ada haiwan
ternakan. Dulu, mandi pun menggunakan air kolah. Sekarang sudah renovate
menjadi bilik air moden di dalam rumah. Pada musim perayaan pula, ada kumpulan
marhaban yang bertandang dari satu rumah ke rumah yang lain. Saya tak pasti
negeri mana yang masih mengamalkan adat ini. Mungkin ada juga di Kedah, tapi
tidak di kawasan perumahan saya.
Batu Pahat, Johor |
Apa yang paling penting,
makanannya. Macam-macam jenis makanan. Terbaru, saya baru tahu resipi Ingkong.
Bahkan ini kali pertama saya mendengarnya. Ingkong adalah ayam kari. Sebelum
masak, seperti biasa kita perlu cuci ayam, buang usus segala tetapi semua organ
dalaman yang lain akan diikat dan dimasukkan semula ke dalam perut ayam.
Kemudian masak dalam kari. Beres. Pokok pangkalnya, saya tak akan pernah rasa
rugi pulang ke kampung kerana ketenangannya dan makanannya.
Kelana Jaya
Keadaan di sana memang sibuk.
Kenderaan lalu lalang, bangunan tinggi mencakar langit, manusia yang sentiasa
sibuk. Tapi saya suka. Sebab kehidupan di sana banyak mengajar saya erti
berdikari. Pertama sekali, dari SM Sains Kuala Selangor (KUSESS) saya akan
menumpang mana-mana kenderaan rakan untuk ke stesyen bas berdekatan. Kemudian,
tunggu bas. Kalau terlambat sampai di stesyen bas, mungkin terpaksa tunggu
lebih lama untuk naik bas. Saya bersyukur kerana ada seorang rakan, Diana Esmellia
yang banyak mengajar saya tentang KL Sentral, KTM dan LRT. Dapatlah saya pulang
dengan selamat dan pantas. Saran saya, lebih baik kita memiliki kad Touch N Go
jika mahu menggunakan perkhidmatan kenderaan awam di sini termasuklah bas.
Lebih mudah dan tak perlu beratur untuk membeli tiket.
Di sana juga banyak program yang
diadakan terutamanya seperti pesta-pesta buku dan forum. Jadi, memandangkan
saya tinggal di sana, saya berpeluang untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala
Lumpur dan berjumpa dengan penulis-penulis tanah air. Sekarang, dah tak dapat
dah peluang seperti itu. Dan di KL juga ada banyak pusat beli-belah terkemuka
dan restoran yang menarik. So yeah, memang bagus tinggal di bandar metropolitan
ni. Tapi kehidupan di sana mungkin tak berapa tenang kerana persaingan dan
kesibukan yang melanda. Entahlah. Mungkin kalau saya rasa sendiri bekerja di KL
baru saya akan tahu perasannya.
Kulim, Kedah
Alhamdulillah, saya bersyukur
dengan tempat tinggal sekarang. Walaupun kelihatan agak kosong, tetapi saya
nampak perubahan di sini. Pusat beli-belah seperti Landmark Kulim dan Tesco
telah didirikan. Dan mungkin, sekitar empat, lima tahun akan datang sebuah
lapangan terbang akan dibina di sini. Kalau jadilah. Tak lama lagi mulalah
orang ramai akan mencari peluang pekerjaan di Kulim dan mungkin kepadatan
penduduk akan bertambah. Entahlah. Saya tak mampu meramal masa depan di sini.
Apa
yang saya tahu, banyak nostalgia dari saya tadika, sekolah rendah, sekolah
menengah di Kulim. Jadi secara tak langsung, memang bandar ini ada nilai
sentimentalnya yang tersendiri pada saya. Kalau di kampung ada ketenangan, di bandar
metropolitan ada kesibukan, bagi saya di sini 50-50. Tenang dalam sibuk.
Setakat itu sahajalah ulasan pagi ini. Walau di mana pun kita berada
sebenarnya, bersyukurlah selagi ada bumbung untuk berteduh dan ada makan minum
yang cukup. Alhamdulillah. Asalkan kita pandai jaga diri, insya-Allah semuanya
akan baik-baik sahaja. Oh ya, kepada rakan-rakan saya yang baru mendaftar di universiti,
jaga diri baik-baik. Hargai tanah yang kita pijak, ya?
p/s: Mohon tembakan doa kalian untuk peperiksaan saya pada minggu hadapan. Hanya Allah yang selayaknya membalas kebaikan kalian.
p/s: Mohon tembakan doa kalian untuk peperiksaan saya pada minggu hadapan. Hanya Allah yang selayaknya membalas kebaikan kalian.
No comments:
Post a Comment