Tuesday, 17 October 2017

Tanggung dan jawab.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Maaf kerana menghilang untuk beberapa ketika. Seperti biasa, alasannya adalah kesibukan di universiti. Memandangkan saya terlibat dalam persatuan, jadi komitmen yang diberikan lebih bertumpu ke situ. Dan tidak lupa juga ujian pertengahan semester yang mencabar (walaupun objektif sahaja).

Bagi saya, subjek-subjek semester ini dua kali ganda lebih menggerunkan daripada subjek semester satu dulu. Tambahan lagi, semester ini saya sudah mula belajar subjek minor dari pusat pengajian lain. Salah satu subjek minor yang saya ambil ialah Communication and Society, kelasnya pada hari Jumaat, jam 3 hingga 5 petang. Waktu pembelajaran yang teramat mencabar. Serius. Sehingga sekarang, saya masih tidak mampu memahami apa sebenarnya yang hendak disampaikan untuk subjek ini.


Apa pun, sebagai seorang mahasiswa, belajar merupakan tanggungjawab  utama kita. Tanggung dan jawablah dalam peperiksaan nanti. Dalam masa yang sama, penglibatan saya dalam persatuan juga banyak mengajar saya tanggungjawab baru yang harus saya pikul. Kalau dulu, saya lebih menganggap diri saya sebagai seorang pengikut. Sekarang, saya perlu meletakkan diri saya sebagai seorang pemimpin organisasi. Untuk memimpin sebuah organisasi yang besar, memang bukan mudah. Saya tidak tahu cara pimpinan orang lain, tapi inilah sedikit sebanyak refleksi yang boleh saya kongsikan tentang kepimpinan. 

Pertama, kalau kita tidak serius dengan jawatan yang dipegang, kita cuma akan menyusahkan pihak-pihak yang lain. Saya pada awalnya tidak nampak peranan saya, tetapi lambat laun setelah bergerak dalam kumpulan, saya mula rasakan keseriusan di situ. Apa yang saya galas, bukannya benda main-main lagi. Kalau setakat bercakap di mulut yang saya boleh buat, tetapi langsung tidak mainkan peranan, tak ada gunanya juga. Macam yang saya kata, akhirnya saya cuma akan menyusahkan pihak yang lain.

Saya mengaku, sebagai mahasiswa, satu cabaran untuk saya serius dan fokus terhadap tugas saya. Saya tak tahu macam mana orang boleh memikul banyak jawatan dalam persatuan dan memberikan 100 peratus komitmen dalam semua jawatannya. Ramai yang saya kenal begitu. Kalau saya, tak dapatlah nak capai tahap sedemikian rupa. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran pula. Haha. Walaupun satu cabaran untuk membahagikan masa belajar dan masa berpersatuan, saya akan cuba. Sebab nama pun cabaran, bukan?

Kedua, pemimpin perlu peka dan mengambil tindakan.  Saya sedar yang orang lain bergantung kepada pemimpin untuk mengambil tindakan. Kalau tidak, buat apa perkara atau masalah itu diutarakan kepada pemimpin? Saya terkesan dengan satu ayat yang disampaikan oleh seseorang. “Harap ada tindakan lepas ni, dan bukannya sekadar mendengar sahaja.” Lebih kurang begitulah. Dia menyatakan ayat itu dalam intonasi biasa tetapi maksudnya cukup mendalam bagi saya. Point is, semua orang boleh menjadi pendengar. Menjawab “ya, baik, dinotakan, okey” dan sebagainya. Tetapi, berapa ramai yang boleh bertindak untuk merealisasikan perkara tersebut? Kalau setakat berkata kosong, lebih baik diam daripada memberi harapan semata.


Ketiga, mengenal pasti skop tugasan kerja itu adalah amat penting. Saya banyak belajar ketika memegang jawatan sebagai pengarah projek dulu. Sebagai seorang pengarah projek, kita perlu melihat daripada semua skop tugasan. Bukannya semata-mata memfokuskan apa yang kita nak buat sahaja. Tugas setiausaha, bendahari, jawatankuasa yang lain juga perlu diberikan perhatian. Saya adalah tunggak kepada seluruh jawatankuasa tersebut. Kalau bukan saya yang membantu atau memantau skop tugasan mereka, what’s the point of being the head?

Menjadi seorang ketua, bukan sesuatu yang mudah. Tapi kalau diberi pilihan antara pengarah projek, setiausaha atau bendahari dan tidak ada pilihan lain, saya akan memilih pengarah projek kerana saya lagi tidak suka skop tugas setiausaha dan bendahari. Sepanjang hidup saya minta dijauhkan daripada dua peranan itu. Haha. Saya minta maaf kepada semua setiausaha dan bendahari yang mungkin sedang membaca entry ini.

Keempat, bekerja dalam organisasi ni, kita perlu belajar menerima orang. Lainlah kalau kita bekerja dengan komputer, tak ada masalah. Tapi hakikatnya, kita akan bekerja dengan manusia yang mempunyai emosi, ego dan pendapat tersendiri. Kadangkala, pendapat kita mungkin tidak akan sama dengan pendapat orang lain. Di situlah saya belajar untuk bertolak ansur dan cuba untuk tidak mementingkan diri sendiri.

At the end of the day, saya yakin, semua orang dalam organisasi itu mahukan yang terbaik. Jadi saya perlu mencari titik persamaan dalam pendapat semua orang. Satu perkara penting yang perlu diingatkan, jangan lupa yang kita bekerja dalam organisasi dan bukannya secara individu. Serius saya katakan, bekerja dalam organisasi sedikit sebanyak mengajar saya untuk tidak pentingkan diri sendiri. Belajar untuk lebih cool. Belajar untuk menerima dan memberi teguran.


Kelima, selesaikanlah tugasan yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan. Saya bukanlah orang yang layak mengulas panjang tentang ini, sebab saya pun kadangkala gagal berperang dengan masa. Saya selalu juga buat kerja akhir minit, tapi saya akan pastikan kerja tersebut siap sebelum tempoh deadline yang diberikan. Eheh. Yalah tu. Sembang. Apa pun, sebagai seorang pemimpin, saya mengharapkan juga subordinat saya menyiapkan tugasan sebelum deadline. Kalau dibiarkan saja melepasi tarikh deadline, apa fungsi deadline, kan? Saya harap, kepada sesiapa yang sering bertarung dengan deadline, belajarlah untuk menyiapkan tugasan pada waktunya.

Rasanya cukuplah lima isi di atas. Terasa macam buat esei pula. Saya sekadar merefleksi diri dalam bentuk penulisan. Mungkin kepada sesiapa yang bekerja dalam organisasi atau persatuan pun dapat mennghubung kait perkara-perkara yang telah saya nyatakan. Yang penting, dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan pemimpin, jangan lupa pula tanggungjawab terhadap agama. Itu sudah semestinya perlu menjadi prioriti kita.

Kadang, sebab persatuan, ada juga orang yang mengabaikan agama. Ada yang menjadi gila. Maka pesan saya kepada diri dan kepada semua, tanggung dan jawablah apa yang telah diamanahkan kepada anda. Sesungguhnya, cabaranlah yang akan menjadikan kita lebih matang dalam menempuhi kehidupan dewasa. Ingat satu perkara juga, Allah tidak akan membebani kita melainkan sesuai dengan kemampuan kita.

Terima kasih kerana membaca. Have a nice day.

2 comments: