Monday, 27 August 2018

Salam Aidiladha

Bismillahirrahmanirrahim.

Harap saya masih belum terlambat untuk mengucapkan salam Aidiladha kepada semua pembaca blog Nafas Baru. Tahun ini kami tak buat korban. Ibu bapa dan abang saya sedang menunaikan ibadah haji di Mekah dan insya Allah akan pulang dalam tiga minggu lagi. Setakat ini, mereka baik-baik saja di sana. Rasanya, ini merupakan kali pertama saya beraya tanpa ibu bapa di sisi. Nasiblah raya haji. Kalau raya Aidilfitri tu rasa peliklah juga tak beraya dengan orang tua. 

Antara resipi raya haji kami tahun ni ialah rendang ayam, nasi impit kuah kacang, nasi ayam, apam hipster (rekaan adik), lemang dan ayam olek (resipi keluarga). Saya pun tahu ejaan sebenar ayam olek tu. Tapi setiap kali perayaan kami, memang akan wajib ada hidangan tersebut. 



Tahun ini, pak ngah saya membawa kami tiga beradik bercuti di Gunung Jerai, Kedah. Saya pernah beberapa kali ke sana, tapi lama juga dah tak jejakkan kaki di Gunung Jerai. Kami bertolak dari Kulim lebih kurang jam 10-11 pagi dan sampai di sana dah nak hampir pukul 1. Jarak Gunung Jerai dari Kulim sudah melebihi 90km jadi kami boleh solat jamak di sana. 

Macam biasa, perjalanan nak naik bukit tu berliku-liku, lebih kurang macam perjalanan ke Cameron Highland. Tapi yang ni lagi mencabar rasanya. Iya lah, gunung yang tertinggi di Kedah gitu. 

Semasa perjalanan naik, cuaca hujan. Tapi bila kami dah sampai atas bukit tu, hujan turun mencurah-curah macam nak mandikan kami. Saya yang berbaju kurung ayu pada hari itu, habis basah. Awalnya kami berteduh bawah chalet berdekatan. 


Memandangkan hujan sangat lebat dan macam tak nak berhenti, kami bergerak ke Restoran Puncak Kedah berhampiran kawasan tersebut. Kami memesan minuman sambil merenung masa depan yang mencurah seiring dengan air hujan. 




Memang betul tekaan kami, hujan hari itu berlarutan sampai malam. Bukan rezeki hari itu untuk bergambar di atas Gunung Jerai. Akhirnya kami check in di Nur Kasih Chalet. Kata pak ngah, homestay dan chalet lain semua sudah penuh. Nampaknya memang ramai yang datang untuk beraya di Gunung Jerai.

Dipendekkan cerita, keesokan hari tu kami check out dari homestay dan sempat singgah di Tanjong Dawai untuk membeli ikan bilis. Dah alang-alang ada di Tanjung Dawai, saya dan keluarga singgah di Pantai Merdeka naik bot. Sempatlah makan ais kacang dan bergambar di sana. 




Selepas selesai membeli ikan bilis, bergambar di Pantai Merdeka, maka kami pun pulang ke Kulim. Rasanya masih belum puas sebab tak dapat bergambar banyak di Gunung Jerai. Nak pergi ke sana lagi tak tahu bila. InsyaAllah, jika ada rezeki, bolehlah saya ke sana lagi.




No comments:

Post a Comment