Sunday 22 March 2020

Sambutan October Fest (Beer Festival) di Munich, Germany


Bismillahirrahmanirrahim.

28 September 2019. Berbanding dengan nama-nama bandar lain di Jerman, saya yakin ramai yang biasa mendengar nama Munich. Munich merupakan ibu negeri Bavaria, dan orang Jerman lebih senang memanggilnya Munchen. Munich ni terkenal dengan seni bina, budaya dan paling penting, October Fest. October Fest selalunya bermula pada penghujung September dan berlangsung hampir seminggu atau lebih. Selain Berlin, kata orang Munich ni antara tempat wajib melawat kalau anda dah sampai di Jerman. Sesi orientasi kami masih belum habis, jadi Munich ni adalah lokasi trip kami yang terakhir sebelum tamatnya sesi orientasi pelajar exchange OTH Regensburg.

Alhamdulillah, saya teruja kerana berpeluang untuk ke Munich. Seperti biasa, kami perlu mencari lima orang dalam satu kumpulan untuk menggunakan ‘Bayern Ticket’. Tak perlu bayar mahal, jika berkongsi tiket akan jadi murah dan cuma itu sahaja yang diperlukan untuk perbelanjaan trip kami. Makan minum itu terpulang pada diri masing-masing. Kali ini, saya berkumpulan tak sama macam trip ke Wurzburg. Kami bertukar-tukar orang pula. Saya, Felia dan Anja masih gerak sekali sebab dari dormitori yang sama (Haus Hemma). Kami mengajak dua rakan exchange dari Korea Selatan untuk mengikuti kumpulan kami kali ini. Lily dan Claudia.

Perjalanan dari Regensburg ke Munich mengambil masa dalam 1 jam 30 minit atau lebih. Sepanjang perjalanan dalam kereta api, banyak perkara yang kami bualkan. Anja, Lily dan Claudia teruja untuk mencuba ‘minuman’ di October Fest. October Fest merupakan satu festival tahunan (beer festival) yang disambut untuk meraikan perkahwinan putera mahkota Bavaria dengan puteri raja dari Sachsen-Hildburghausen sejak tahun 1810. Kira macam Royal Wedding gitu. Apa yang menarik tentang festival ni, di sinilah orang ramai akan memakai Dirndl dan Lederhosen iaitu pakaian tradisi masyarakat Bavaria, atau lebih tepat lagi Jerman. Cuma banyak sejarah yang bermula di Bavaria, jadi Bavaria boleh dikatakan bandar terpenting juga di sini. Saya bersyukur sebab berpeluang untuk belajar di Bavaria.

Mungkin ramai yang tertanya, kenapa sibuk-sibuk nak pergi festival bir? Ya, terpulang pada individu untuk membuat penilaian masing-masing. Bagi saya, buat apa kembara ke negara orang jauh-jauh, naik pesawat 15 jam kalau hendak duduk rumah semata-mata. Baik duduk di Malaysia saja. Bir adalah aset terpenting di Jerman dan umum mengetahui Jerman dikatakan sebagai antara negara terbaik pengeluar bir. Hidup di Jerman, bergaul dengan masyarakat sana, bir ni dah sebati dengan mereka. Boleh dikatakan macam mana pentingnya kedai mamak dan kedai nasi kandar untuk kita, bar dan bir adalah benda normal buat mereka. Dan satu-satunya tempat lepak waktu malam. Cuma seperti yang saya maklumkan dalam entry sebelumnya, saya akan cuba mengelak daripada masuk bar sahaja. Saya akan cuba ‘open’ tentang budaya lain, cuma saya tak nak masuk bar sahaja.

Jadi, mungkin anda boleh bayangkan serba sedikit betapa pentingnya October Fest ni buat masyarakat Jerman. Dan saya tak akan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman dan suasana budaya mereka. Nanti saya ceritakan lebih lanjut.

Sampai sahaja di Munich, kami bergerak melawat tempat-tempat penting dahulu seperti Marienplatz, English Garden, Hofgarten dan Nymphenburg Palace. Tutor kami yang menjadi ‘tourist guide’ kami.  Saya tak tahu nak gambarkan macam mana, tapi bagi saya tempatnya memang cantik terutamanya di English Garden. Palace pun cantik juga.


Marienplatz ni ditemui oleh Henry the Lion, Duke of Bavaria dalam seribu tahun yang lepas. Dulu dikenali sebagai tempat berkumpulnya petani dan artisans (pekerja kraf) untuk menjual hasil mereka. Selain itu, tempat ini juga dijadikan tempat untuk festival dan pertandingan.

Marienplatz
Patung bergerak jam 12 tengah hari
With Vesa

Hofgarten wujud dari abad ke-17 lagi. Taman ini dihidupkan dengan  Italian-style ala-ala Renaissance. Di tengah-tengah taman ini pengunjung dapat melihat sebuah astaka yang dibina untuk goddess Diana. Ada lapan jalan dalam taman ini tapi semuanya bercantum dengan astaka. Hofgarten juga dijadikan tempat untuk beriadah. Sukan Petanque pun sering diadakan di sini dan kalau ada, memang susahlah nak cari tempat untuk jadi penonton sebab ramai orang. Nasiblah waktu saya berkunjung ke sana, tak ada sebarang event. Cuma di tengah-tengah astaka, ada pemuzik yang membuat persembahan dengan piano. Sofia (Latvia) sempat lagi duduk menghayati pemain itu bermain piano. Bila saya terfikir saat menulis entry ni, baru saya teringat yang Sofia ni main piano. Padanlah waktu orang lain semua dah jalan, dia masih duduk di situ. Yang saya pun sibuk tunggu dengan Sofia sebab tak nak dia berseorangan. Tapi saya masih ingat, suasana pada petang itu damai saja, cuaca sejuk panas, tenang, dan kami cuma diiringi irama merdu dari piano. Kalau bukan disebabkan ikut rombongan, mungkin saya dan Sofia dah tunggu lebih lama di situ.
  
Hofgarten

Nymphenburg Palace, dibina sebagai kediaman musim panas untuk kelahiran putera mahkota Max Emanuel pada 1662


Setelah melawat tempat-tempat ini, kami diberi kebenaran oleh tutor untuk ke October Fest atau merayau, terpulang pada kami. Setiap orang boleh menaiki kereta api ke Regensburg pada bila-bila masa sebelum jam 3 pagi, asalkan bersama kumpulan tiket masing-masing. Untuk nak mudahkan urusan balik, jadi semua orang bergerak dengan kumpulan masing-masing.

Kami langsung menuju ke October Fest, highlight utama kami. Jika anda masih ingat atau pernah membaca entry saya tentang DULT, festival ini boleh dikatakan hampir sama dengan DULT cuma October Fest lebih besar daripada itu. Saya teruja selepas memasuki gerbang utama festival. Senang cerita, suasanya ibarat Pesta Pulau Pinang bulan Disember; walaupun saya tak pernah ikut serta. Atau ibarat funfair yang sangat meriah. Kami teruja nak naik ride yang mana satu. Saya dah pernah naik ferris wheel dengan Paula dulu, jadi mungkin nak cuba sesuatu yang berlainan kali ini. Akhirnya setelah berdebat nak naik permainan yang mana, kami putuskan untuk naik roller coaster. Bayarannya adalah sebanyak 7 Euro per individu. Bila difikirkan mahal juga tapi apa lagi yang perlu dibuat di funfair kalau bukan untuk berhibur? Tapi saya end up naik satu ride sajalah sebab dah jadi berkira lepas tu.

Suasana di sekitar October Fest



Lily gayat, jadi dia cuma tunggu di bawah sahaja. Dah lama saya tak naik roller coaster. Serius tak ingat bila kali terakhir saya naik. Mendebarkan juga ride kami, dua pusingan. Tapi rasanya tak cukup dua pusingan tu, macam nak banyak lagi. Selepas berseronok naik roller coaster, masing-masing pun lapar nak cari makanan. Bab-bab makanan ni, sudah tentulah tak banyak sangat pilihan untuk saya. Kalau ada pilihan pun, saya jadi berkira sebab bab duit. Jadi akhirnya, inilah pilihan saya. Kegemaran saya tak kira di Malaysia atau di Jerman. Strawberry bersalut coklat. Pendek kata kalau ada kombinasi strawberry dan coklat, itulah pilihan saya. Itulah makanan tengah hari bajet saya.


Selepas itu, Anja sudah tak sabar nak masuk ke dalam khemah October Fest. Masuk sahaja ke dalam, memang sesak dengan keramaian manusia. Kami terpaksa mencelah-celah untuk berjalan. Ada orang bernyanyi, bermain muzik dan segala macam suasana pesta yang boleh anda bayangkan. Cuma kami tak berlama di dalam khemah, masuk ikut pintu utama keluar ikut pintu belakang saja. Masing-masing tahu tak ada tempat duduk dan saya sendiri tak akan duduk pun kalau mereka yang lain nak duduk. Dan rasanya semua faham yang saya tak minum bir.

Sepanjang jalan keluar, saya membuntuti Felia dari belakang. Tiba-tiba saja, ada seorang lelaki yang menyentuh bahunya, nak ajak minum sekali. Felia menolak pelawaannya dan sambung jalan ke luar. Susah juga rasanya bila berjalan dengan rakan-rakan yang cantik ni. Berjalan dalam khemah yang dipenuhi orang minum bir, sudah pastilah ada sedikit rasa janggal disebabkan saya seorang yang memakai tudung. Tapi masa tu saya cuma fikir dalam hati, “Tak ada orang yang peduli pun kau pakai tudung.” Semua orang sedang sibuk dengan hiburan masing-masing. Dan selalunya dengan pemikiran begitulah saya ‘survive’ untuk enam bulan di Jerman.

Dalam khemah (tent)

Senyum macam terpaksa

Anja sedikit kesal sebab hari tu tak dapat minum di pesta, tapi minggu depan tu dia datang balik ke Munich untuk tujuan minum. Selepas puas menikmati suasana dan budaya di pesta, kami patah balik ke English Garden. Kali ni untuk tujuan lebih bersantai dan menghayati kecantikan taman. Sempatlah juga bergambar di sana.


Bersantai di English Garden



Dalam jam 6 petang lebih, kami menuju ke Haupbahnhof (main station) untuk mengambil kereta api jam 7. Kami tak nak balik lewat sangat sebab nak berehat. Kalau nak konklusikan trip kali ini, saya rasa bertuah juga sebab dapat pengalaman melihat budaya orang Jerman, satu suasana atau vibe yang berlainan dengan Malaysia. Selalu saya cuma melihat dalam vlog YouTubers sahaja tentang October Fest, tapi bila dapat alami sendiri, adalah juga rasa satu kepuasan untuk diri.


Munchen ist wunderbar!

No comments:

Post a Comment