Wednesday, 8 April 2020

Apa Kecoh-Kecoh Isu Doraemon Ni??

Bismillahirrahmanirrahim.

Sekali lagi, saya terdetik untuk bersuara tentang isu yang semakin diketengahkan di tengah-tengah krisis COVID-19 ini. Mungkin umum sudah pun tahu tentang isu ‘Doraemon’ yang viral sehingga banyak juga parodi yang dibuat tentangnya. Kalau yang tidak faham, baru-baru ini pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ada mengeluarkan poster tentang aktiviti yang boleh dilakukan di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Poster tersebut menyeru kaum wanita untuk meniru suara Doraemon dan memfokuskan tentang perhiasan diri wanita di rumah. 

Mungkin kalau saya tengok poster tu tanpa fikir panjang, saya tak rasa apa-apa. Tapi kalau fikir panjang, wajar sajalah banyak pihak terbangkit amarah mereka melihatnya. Bagi saya, bahagian yang paling kurang sedap adalah poster tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, di mana objektifnya membangunkan wanita. Tapi ayatnya seolah-olah meletakkan wanita pada tahap kelayakan suri rumah sahaja. Tapi saya tak rasa cuma segelintir pihak saja yang beranggapan ‘wanita = kerja rumah’. Saya rasa sebahagian besar rakyat Malaysia masih mempunyai mentaliti sedemikian.

Kes ni mungkin dah selesai atau patutnya dah semakin senyap.  Bukanlah sengaja saya nak bangkitkan semula, cuma kalau bukan sebab isu Doraemon ni pun, saya rasa lambat-laun saya akan menulis juga tentang isu hak-hak wanita dalam masyarakat. Saya banyak belajar daripada pengalaman saya belajar di Jerman baru-baru ini. Saya bukanlah seorang yang berilmu, cuma nak suarakan pendapat sendiri sahaja. Kalau di negara Eropah, ada banyak gerakan Feminisme (gerakan yang memperjuangkan hak wanita) yang diwujudkan dan golongan artis Barat juga turut memainkan peranan besar dalam menyokong gerakan tersebut. Kalau di Malaysia pun ada pejuang-pejuang Feminisme, contoh macam Marina Mahathir. 

Cuma pendapat peribadi saya, saya nampak gerakan Feminisme di Eropah jauh lebih besar dari Malaysia. Sebab apa? Bagi saya, Malaysia sudah pun mempraktikkan sama rata lelaki dan perempuan dalam sektor pekerjaan, tapi tidaklah secara total. Wanita boleh jadi menteri. Itu salah satu simbol kita mempraktikkan ‘equality’. Jadi secara umum, kita dilihat sebagai negara yang praktikkan sama rata hak jantina. Hakikatnya, masih banyak lagi sektor perniagaan di negara ini yang masih membandingkan jantina dalam pengambilan pekerja. Ya, mungkin saya faham kalau bidang kerja yang perlu angkat barang. Tapi macam mana pula dengan bidang seperti kejuruteraan, misalnya? 

Contoh terdekat saya, saya mengenali seseorang yang mempunyai ijazah yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan. Tapi semasa sesi temuduga, dia memakai baju kurung dan pihak penemu duga menyatakan dalam pekerjaan itu ramai lelaki jadi mungkin akan menyebabkan dia tidak selesa. Dan mungkin daripada perwatakannya yang dilihat lembut, dia tidak diterima bekerja. Beberapa syarikat yang lain pun tidak menerimanya bekerja dan hari ini dia bekerja dalam bidang yang lain. Saya tidak pasti sama ada banyak faktor lain yang menyebabkan dia tidak diterima bekerja, tapi tidak mustahil juga dia ditolak kerana dilihat lembut. Selain contoh ni, saya rasa kita memang tak dapat nafikan banyak majikan yang mencari pekerja mengikut jantina, walaupun pekerjaan itu tidak semestinya dilakukan oleh orang lelaki. Apa pun, semuanya terpulang kepada syarikat masing-masing. Boleh jadi ada yang selesa bekerja dengan lelaki, ada yang selesa bekerja dengan wanita. Point saya ialah perbezaan pemilihan jantina dalam sektor pekerjaan ini wujud di Malaysia.

Saya juga tak dapat nak katakan negara kita merupakan negara yang praktikkan ‘equality’ disebabkan mentaliti ‘wanita = kerja rumah” yang saya katakan awal-awal tadi. Saya rasa, budaya Malaysia banyak didedahkan dengan perempuan perlu memasak, basuh pinggan, kemas rumah dan sebagainya. Budaya Indonesia juga sama setahu saya, sebab saya pernah tinggal bersama rakan-rakan Indonesia dan melihat budaya kita yang tidak jauh lari bezanya. Tak perlu lihat jauh, saya sendiri sewaktu kecil sudah mempunyai mindset bahawa perempuan perlu basuh pinggan, mungkin sebab banyak melihat kaum isteri yang selalu basuhkan pinggan suami lepas makan, serta banyak lagi faktor dan senario lain. Jadi secara automatik pun contoh kalau ada situasi saya makan bersama rakan-rakan dan ada rakan lelaki, kaum perempuan yang automatik akan jadi lebih sibuk. Bahkan saya pun anggap tolong hidang makanan, basuh pinggan, satu benda yang natural.


Saya mula nampak sikit kepentingan equality ini selepas tinggal di Jerman. Contoh situasi, ada rakan lelaki yang datang di dormitori kami di Jerman. Dormitori kami ada ruang rehat yang cukup luas jadi selalu kami ajak rakan-rakan datang melepak di situ. Dah tentulah di Jerman rakan-rakan saya ramai bukan Melayu dan nak tak nak saya kena bergaul juga dengan rakan lelaki disebabkan lifestyle Barat. Kalau di Malaysia bawa lelaki masuk dormitori memang buang tebiat dah. Saya bukannya jenis  yang berkawan dengan lelaki sangat, saya tradisional dalam modern. Gitu. Kalau berkawan, selalunya untuk kepentingan persatuan atau politik. Lepas habis projek, habislah. Jadi mungkin banyak aspek juga yang saya terlepas pandang daripada sudut pandangan lelaki sebab selalunya bergaul dengan rakan perempuan saja. Tapi di Jerman, saya perlu blend in dengan rakan-rakan lelaki untuk kepentingan sosial di sana. 

Berbalik kepada cerita rakan lelaki tadi, saya offer secawan minuman coklat panas dan lepas dah habis minum dan dia nak balik, saya kata tak perlu basuh cawan. Nanti saya basuhkan. Memang itu kan adat kita Melayu? Memuliakan tetamu gitu. Padahal kalau dapat tetamu yang basuh juga pinggan di dapur, dalam hati lega. Rakan kami tu kemudian insist juga nak basuh. Saya pun insist juga nak basuh. Automatik kan? Saya cakap, “It’s okay, just leave it.” Dia tanya, “Why?” Saya jawab, “We are girls.” Kononnya macam kerja basuh pingan ni dah sebati la dengan perempuan. Kemudian dia balas, “So?” Dan basuh juga cawan tu. Perkataan “So?” dia itulah yang banyak membuatkan saya berfikir selepas itu. Sebab, saya tak ada jawapannya.

Contoh lain, saya dan rakan-rakan (campur lelaki perempuan) duduk semeja sewaktu event makan malam yang dianjurkan oleh universiti kami. Saya duduk bersama rakan dari Indonesia dan beberapa rakan Jerman. Makanan kami dihidangkan secara buffet pada malam itu, jadi satu demi satu kumpulan meja perlu bangun ambil mengikut giliran. Setelah selesai giliran kami, Matt (Jerman) bertanya pada rakan Indonesia saya. Di mana dia ambil garfu sebab dia terlepas pandang. Felia secara automatik terus bangun tolong ambilkan. Kemudian, hampir setengah jam selepas itu saya dengar mereka berdebat tentang isu equality. Matt sangat terkejut sebab Felia tolong ambilkan garfu untuk dia. Katanya, kalau dengan girlfriend dia, tak mungkin akan buat macam tu. 

Bagi saya, rasa terkejut Matt tu logik sebab saya dah biasa mendengar cerita rakan Jerman saya, Paula tentang cara hidup orang Jerman. Mereka sangat direct. Matt cakap, kalau girlfriend dia, mesti dah suruh ambil sendiri garfu. Matt juga tambah terkejut apabila Felia cerita selalunya dia yang akan tolong ayahnya untuk hal-hal kecil berbanding adik-beradik lelaki yang lain (bagi kita benda biasa). Terus dilabelkan tak adil layanan keluarga terhadap anak perempuan.  Felia pun cuba menjelaskan dari sudut pandang budaya kita, tapi mungkin sampai sekarang Matt masih tak dapat terima. Rupa-rupanya di Eropah, sekecil-kecil hal yang perempuan buat pun boleh dikatakan sebagai layanan tak adil kepada wanita.

Walaupun ramai golongan lelaki yang mengiktiraf golongan wanita di negara Eropah, hakikatnya terdapat juga negara yang masih enggan mengiktiraf golongan ini dalam bidang kepimpinan. Saya pernah bersembang dengan rakan saya dari Croatia, yang menceritakan susahnya wanita untuk jadi menteri di negaranya. Bagi saya, kerajaan negara tu memainkan peranan yang penting. Kalau kerajaan sendiri tidak mengiktiraf golongan wanita, anggap wanita lemah, susahlah masyarakatnya untuk maju. Di Jerman, Perdana Menterinya merupakan seorang wanita, Angela Merkel. Sampai ke tahap itulah mereka mengiktiraf wanita. Walaupun perkara ni dilihat sebagai satu benda yang baik, secara peribadi saya akan tidak bersetuju sekiranya Perdana Menteri Malaysia seorang wanita. Eh, kontra pula? 


Walaupun sekarang saya lebih menyebelahi hak sama rata wanita dan lelaki dalam beberapa aspek, saya tetap menyokong golongan lelaki sebagai pemimpin negara. Jadi menteri tak ada masalah, cuma jadi ketua negara, seeloknya lelaki daripada sudut pandang saya. Sebab kita ada garis panduan agama. Saya dari dulu berpegang dengan lelaki adalah selayaknya yang menjadi khalifah. Bukanlah saya kata wanita tak boleh jadi ketua negara dan merendahkan status wanita. Cuma peribadinya saya yakin Tuhan ciptakan karakter lelaki dan perempuan berbeza, perempuan jauh lebih lembut hatinya, lemah tu saya akui (dari aspek angkat barang berat) cuma bukan lemah mental. Tapi dari aspek angkat barang berat tu pun ada juga wanita yang mengatasi kekuatan lelaki. Yang tu anugerah Tuhan bagi. Dan kaum lelaki, boleh berfikiran tak terlalu mengikut emosi. Bukan semualah. Ada juga lelaki yang sensitif emosinya.

Bercakap tentang equality ni, saya tak adalah nak membangkang wanita jangan berlebihan dalam buat kerja rumah. Terpulang pada individu. Kalau tak ada masalah nak bantu ahli keluarga lain, buat sajalah. Tanggungjawab semua kan. Saya pun bukannya jenis rajin buat kerja rumah, cuma kalau disuruh tu insyaAllah buatlah. Cepat lambatlah bezanya. Tak adalah nak merungut pun ni kerja ayah patut buat, abang patut buat. Kalau kita sengaja suruh kadang-kadang, dia buat tu, alhamdulillah. Haha.

Susah nak cakap, tapi saya tak rasa kita terlepas daripada persepsi wanita kena buat kerja rumah ni. Cuma kalau mungkin satu hari saya berkeluarga nanti, kalau sajalah… saya rasa saya akan layan anak perempuan dan anak lelaki secara sama rata. Marah sama rata. Cuma adalah aspek sikit-sikit yang membezakan tu. Tapi rasanya dalam beberapa tahun terdekat ni tak nampak pun masa depan nak berkeluarga. Haha.

Mungkin ada aspek dalam entry saya yang anda setuju, mungkin ada yang anda tidak setuju. Semua ini hanya pendapat peribadi semata-mata. Kepada yang membaca entry saya sampai habis, ya, anda, bolehlah berkongsi pendapat anda tentang isu equality ni. Macam mana persepsi anda dan sejauh mana anda rasa kedudukan yang patut wanita ada dalam masyarakat. Jika ada sebarang isu sensitif yang tidak sengaja saya tulis dalam entry ini bolehlah maklumkan pada saya. Kadang risau juga dalam dunia media sosial ni kalau orang tersalah tafsir atau kita tersilap tulis, boleh terus jadi viral.

Apa pun, terima kasih kerana membaca!

No comments:

Post a Comment