Thursday 27 May 2010

Islam: Sanggul Tinggi Diharamkan

Sebenarnya ramai di kalangan umat Islam yang masih terbawa-bawa dengan fesyen 'sanggul tinggi'. Kesedaran tentang hukum Islam masih kabur. Saya juga baru terbaca hadis ini (maklumlah, saya masih kerdil dan cetek ilmu) di sebuah laman web dan tertarik untuk menyebarkannya kepada seluruh umat Islam. Banyak golongan remaja yang mungkin belum menyedari akan hakikat ini. Walau apapun, haram tetap haram! Berikut hadis yang dimaksudkan:


“Dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini” Hadith riwayat Muslim.


Dalam hadith tersebut kita dapat melihat Rasulullah telah memberi gambaran awal mengenai ciri-ciri umat akhir zaman, yang mana lebih spesifik lagi, boleh dikatakan wanita pada zaman kini, yang lebih gemar untuk berfesyen, dari atas sehingga ke bawah, seolah-olah menerima perubahan dan peredaran zaman yang semakin maju dan canggih serta tidak mahu dianggap ketinggalan zaman.
Hal ini juga telah disebut di dalam Al-Quran yang suci, Surah An-Nur, ayat 31, di mana Allah Taala telah menyebut kewajipan seorang wanita untuk menjaga segala yang tersurat akan dirinya. Walaubagaimanapun, kita sekarang lebih suka untuk menyedapkan hati, menenangkan diri, mengabaikan yang hakiki, dengan mengambil pendapat-pendapat yang lebih ringan tanpa berasas (maafkan saya kerana saya menyebut hal ini).
Saya ingin menyatakan bahawa kita tidak sibuk untuk mengomen orang bertudung yang bersanggul tinggi, akan tetapi apabila kita disebut atau mengimani Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan berpegang kepada agama yang satu, maka kita hendaklah melaksanakan syariatnya secara menyeluruh dan bukan separuh-separuh. Dan bagaimana pula dengan orang yang tidak bertudung, secara mutlaknya mereka tidak melaksanakan perintah Allah secara zahirnya walaupun mereka sudah arif akan tuntutan ini. Walaubagaimanapun, segala-galanyanya terletak kepada perhitungan Allah di akhirat kelak. Saya bukanlah Tuhan yang menentukan segala-galanya. Saya cuma hamba-Nya yang hina. Firman Allah Taala di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195, yang bermaksud: "...dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah...."
Oleh itu, para muslimah terutamanya yang remaja di luar sana d iharapkan jangan terikut-ikutkan fesyen terkini yang ada kalanya menyalahi syariat Islam.
* Sumber: Google. Gambar lucu ini cuma sekadar renungan diri dan para muslimah di luar sana. Tidak ada tujuan mengaibkan sesiapa. Maaf andai ada khilaf.

11 comments: