Saturday, 19 February 2011

Cerpen: Harapan

Cerpen kali ini saya tujukan khas sempena hari guru yang akan datang. Saya sangat menghargai pengorbanan para guru yang telah mendidik saya sehingga ke hari ini. Mungkin masih terlalu awal, tetapi sengaja saya titipkan cerpen ini untuk bacaaan anda. Malah, saya telah pertaruhkan cerpen ini untuk pertandingan di sekolah. Hihi. Okay, terimalah Harapan ...

Embun pagi sudah menumpang teduh di atas dedaun pohon. Burung-burung sedang berkicauan riang di udara, bebas berterbangan tanpa sebarang keresahan semahunya. Udara pagi itu dingin sekali dan sesekali menyapa lembut wajahku yang berkulit sawo matang ini. Cuaca pagi itu sungguh tenang, segar dan damai. Aku sedari tadi cuma berteleku di jendela kamar tanpa memikirkan apa-apa. Fikiranku kosong saat ini. Mataku sesekali melingkar ke arah jam dinding yang pada waktu itu menunjukkan tepat jam tujuh pagi.

‘Aduh, sudah terlambat!’ aku bermonolog sendirian lantas mencapai beg sekolahku dan segera menuju keluar dari rumah. Ternyata ayah sudah menghidupkan enjin keretanya dan menungguku. Baru aku teringat, usai mandi dan bersiap aku cuma mengelamun memanjang.

Perjalanan ke sekolahku mengambil masa lima belas minit, belum ditambah tolak lagi dengan kesesakan sepanjang perjalanan. Setelah tiba di sekolah, kelihatannya pengawas yang bertugas telah menunggu di pintu pagar, bersama guru disiplin sekolah, Cikgu Rahman. Namun, hatiku langsung tidak bergetar dan terjejas sedikitpun.

“Muhamad Amir!” pekikan yang memecah kedinginan pagi itu kelihatannya menyeru namaku. Langkah laju yang diorak segera dihentikan. Aku memandang wajahnya, sambil membuat muka selambaku.

“Saya rasa ini kali kesepuluh kamu ditangkap datang lewat. Apa masalah kamu sebenarnya?” suara lantang guru disiplin yang cukup terkenal di sekolah itu menyoalku. Aku cuma menjungkit bahu, sambil mengunyah gula-gula getah kegemaranku. Cikgu Rahman yang kemarahannya sudah tidak mampu dibendung lagi menghampiriku serta memegang erat kedua-dua belah bahuku.

“Amir, esok saya mahu berjumpa dengan ibu bapa kamu,” wajah kebapaan itu sedikit mengusik kalbuku, namun keegoanku tetap memuncak. Aku mengangkat kening sahaja tanda setuju. Cikgu Rahman kemudiannya melepaskanku pergi, alasannya aku tidak tahu.

Suasana persekolahan pada waktu pagi memang suasana yang paling aku benci. Aku malas mahu bangun pagi, bertarung dengan kedinginan air subuh dan membanteras nafsuku untuk terus tidur. Menurutku, tingkatan empat langsung tidak membawa sebarang perubahan atau era baru dalam kehidupanku. Memang sesi persekolahan untuk tahun baru ini baru sahaja bermula, tetapi aku akan terlambat hampir setiap hari. Lazimnya tatkala aku tiba di sekolah, perhimpunan telah pun habis, persis sekarang. Aku tersenyum puas. Rakan-rakan sekolahku semuanya sedang bergerak masuk ke kelas masing-masing dan bersemangat untuk belajar. Ada yang sedang berbual-bual dan tidak kurang juga yang hampir berlanggar sesama sendiri akibat kekalutan yang terlampau. Aku tersengih sendiri.

“Mir! Pengetua!” seru Anas teman sekelasku lantas membunuh lamunanku. Hatiku bercampur perasaan cemas, namun aku segera menangkisnya. Tuan Haji Idris. Itulah yang tertera pada tanda nama pengetua sekolah. Walaupun Tuan Idris suka bergurau, tetapi para pelajar akan jadi takut untuk menyapanya kerana dia ada angin.

Dalam sekolah ini, cuma ada dua orang yang paling aku tidak suka, iaitu Cikgu Rahman dan Tuan Idris. Semenjak tahun lepas, aku sering berulang-alik ke bilik guru dan pejabat hanya untuk dihadapkan kepada mereka berdua, seolah-olah aku ini pesalah yang telah melakukan hukuman berat. Aku kemudiannya mengorak langkah sedarap menuju ke kelas dan mengambil posisi duduk di sebelah Anas seperti biasa bagi mengelak daripada bertembung dengannya.

Cikgu Rahman yang berjambang itu pula mengatur langkahnya ke dalam kelasku. Dia seperti harimau beranak muda. Aku cuma mampu mengeluh. Cikgu Rahman mengajar subjek sejarah untuk para pelajar tingkatan empat.

Seperti biasa juga, aku terlupa untuk membawa buku teks sejarahku. Semua manusia tidak sempurna, mudah terlupa. Cikgu Rahman melontarkan pandangan tajam ke arahku setelah arahannya untuk mengeluarkan buku teks tidak kuikuti.

“Muhamad Amir, mana buku teks kamu?” Soalan basi. Sudah terang lagi bersuluh, tidak ada di atas mejaku. Mungkin Cikgu Rahman perlu memakai kaca mata pula selepas ini. Aku cuma menjungkit bahu dengan selamba. Cikgu Rahman yang bengis itu kelihatannya sedang menahan marah.

“Berdiri di luar kelas segera!” bentaknya. Aku perlahan-lahan bangun dan bergerak. Muka protes. Untung sahaja hari ini aku tidak dirotan oleh Cikgu Rahman seperti biasa, ertinya aku terselamat. Aku berdiri tegak bagai sedang menyanyikan lagu Negaraku di hadapan kelas. Perasaanku bahagia sekali kerana tidak perlu belajar sejarah untuk hari ini. Alangkah bahagianya hatiku apabila turut ditiup angin tenang pagi. Damai. Namun angin tenang itu seolah-olah sedang menyampaikan suatu perkhabaran yang buruk kepadaku. Firasatku sungguh mengena. Mataku tertancap pada Tuan Idris yang sedang menghampiriku. Kebetulan dia sedang membuat rondaan pagi pada hari itu dan mungkin aku telah menjadi mangsanya yang pertama.

“Ikut saya ke pejabat!” Ringkas sahaja arahannya tetapi membawa makna yang cukup dahsyat. Di sekolah ini, sesiapa yang disuruh pergi ke pejabat sama sahaja ertinya dengan menempah maut. Namun, aku sudah beberapa kali menempah maut tetapi ajal itu di tangan Tuhan. Ternyata aku masih selamat. Aku membuntuti Tuan Idris sambil mengeluh panjang. Sudah lepas dari mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya.

Pejabat sekolah memang agak menyeramkan tetapi sungguh luas dan menyamankan kerana dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa. Ternyata tidak sia-sia juga aku ke sini. Sudahlah dingin, boleh santai juga!

Tuan Idris berdehem. Aku yang khusyuk menyesuaikan diri di atas sofa secara automatik berdiri dan menukar tempat duduk di hadapan mejanya.

“Amir, pertama sekali saya mahu kamu berterus-terang dan jujur sepanjang kita berbicara ini. Boleh?” Persoalan pertama dilemparkan olehnya. Aku mengangkat kening dengan selamba tanda setuju. Tuan Idris mengangguk.

“Kamu ada masalah di rumah?” Aku menelan liur. Gaya pengetua sudah sama dengan tukang tilik. Pintar meramal dan cuba membongkar kepincanganku. Aku yang ditakhluki keegoan cuma menggeleng.

“Masalah kewangan? Kesihatan? Kawan-kawan?” Sekali lagi geleng.

“Kenapa kamu selalu datang lewat ke sekolah?”

“Malas bangun.” Mata Tuan Idris sedikit membesar. Tidak percaya dengan jawapan selambaku barangkali. Aku cuma menuruti permintaannya untuk tidak berbohong.

“Kenapa selalu tidak membawa buku ke sekolah?”

“Lupa. Bukankah itu fitrah manusia?” Sekali lagi pengetua mengangguk. Entah apa yang difikirkannya juga aku tidak tahu. Aku sudah cukup kenal dengan perangainya yang suka angguk dan geleng itu. Aku cuma menjawab semua pertanyaan yang diajukan dengan selamba hinggalah akhirnya aku disuruh pulang ke kelas. Menurut aku, perjumpaan ini cuma sia-sia.

Begitulah sikapku dalam kehidupanku seharian. Suka memprotes dan melawan kata-kata guru. Aku langsung tidak menghormati mereka. Aku ingin mendapatkan kemasyhuran dan perhatian. Aku tidak suka dikongkong. Aku mendapat kepuasan. Malah, setiap kali aku tersalah dalam membuat latihan sejarah, aku semakin berani menyalahkan Cikgu Rahman yang tidak mengajarku bersungguh-sungguh persis peribahasa tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket. Peduli apa aku? Yang penting, aku puas.

***

Subuh beralih. Berengsot-engsot. Aku lambat-lambat turun ke bawah. Namun, suasana pada pagi itu telah dicemarkan dengan perdebatan ayah dan ibu, seperti biasa. Aku sungguh tidak menyukai semua ini. Aku benci.

“Lain kali tidak perlu lagi pulang ke rumah, tinggallah di rumah isteri kedua itu!” ibu meninggikan sedikit suara, marah dengan sikap ayah yang lupa pada janji.

“Berapa kali abang beritahu, abang terlupa! Bukankah itu fitrah manusia?”

Dan begitulah seterusnya. Aku sudah serik.

“Ayah! Ibu! Boleh tidak ayah dan ibu hentikan semua ini? Bising!” Aku sudah tidak mahu mendengar perbalahan mereka lagi, kerana aku tidak sanggup.

“Mir! Pergi masuk kereta. Sudahlah hari-hari bangun lambat, menyampuk perbualan orang tua pula!” ibu memarahiku. Aku mengeluh panjang. Orang lain makan nangka orang lain kena getahnya. Aku sengaja menghempas pintu kereta dengan kuat tanda protes. Paling tidak, di sekolah aku boleh mendapatkan ketenangan meskipun aku sendiri tidak tahu mengapa.

Suasana persekolahan masih berjalan seperti biasa, tiada yang luar biasa melainkan sikap Cikgu Rahman. Jika dahulu aku sering ditegurnya, entah mengapa kini dia tidak menegurku pula atas setiap kesalahan yang dilakukanku. Sudah penat barangkali.

Waktu untuk subjek sejarah sudah bermula. Aku cuma berteleku di atas meja, memikirkan masalah orang tuaku yang tidak pernah selesai tanpa menyedari kehadiran Cikgu Rahman di sebelahku.

“Amir?” Aku terkejut. Panggilan namaku itu segera membunuh lamunanku. Aku memandang tepat mata guru disiplin merangkap guru sejarahku itu. Panggilan itu lembut, langsung tidak menggambarkan ketegasan seorang guru disiplin.

“Buku teks?” Aku menggeleng tanda terlupa seperti kelazimanku. Kemudian tanpa dipinta aku terus mengatur langkah untuk berdiri di luar kelas, mencari sedikit ketenangan. Aku tidak pernah malu apabila didenda di khalayak ramai kerana aku sudah terbiasa dengan kondisi tersebut.

Beberapa minit kemudian, aku menyedari Cikgu Rahman berdiri di sebelahku sekali lagi. Ketinggianku hampir sahaja menyamai ketinggiannya. Cikgu Rahman memegang erat bahuku. Kali ini aku mendapat suatu kelainan dan semakin tenang.

“Sebenarnya apa yang mengganggu fikiran kamu?” Cikgu Rahman cuba mendekatiku sebagai seorang abang. Aku diam membisu.

“Jangan segan untuk berkongsi dengan saya. Kamu ada masalah keluarga, ya? Cuba ceritakan. Paling tidak, jika kamu mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab, janganlah pula kamu mengabaikan perasaan hati kamu sendiri.” Cikgu Rahman mengukir senyum. Entah kenapa aku tidak menyenangi pernyataannya itu. Aku rimas. Cikgu ini seolah-olah menyibukkan dirinya ke dalam kehidupanku. Aku segera mengatur langkah untuk keluar dari sekolah. Hatiku memberontak. Aku tidak peduli lagi sesiapa yang cuba menghalangku.

“Amir!” Namaku diseru kuat dari belakang. Aku tetap dengan pendirianku. Langkahku semakin melaju.

“Kereta!” Aku sungguh terperanjat apabila Cikgu Rahman ternyata memberiku amaran tentang sebuah kereta yang mendekat. Aku menoleh ke belakang namun kereta itu telah pantas menghampiri. Sangat pantas. Segalanya terjadi dalam sekelip mata sahaja.

***

Aku membuka mata perlahan-lahan. Kabur. Samar-samar. Sepi bercampur sejuk. Aku rasa sungguh lemah dan tidak berdaya.

“Mir, Amir …” Ayah menyentuh lembut tangan kananku. Ibu mencontohinya tetapi di tangan kiriku. Aku cuba untuk bersuara, tetapi tersekat-sekat. Aku menanyakan ibu tentang situasi yang telah terjadi. Nyata, aku telah ditimpa kemalangan, tetapi bukan kerana dilanggar. Aku hampir-hampir dilanggar tempoh hari, tetapi Cikgu Rahman telah bertindak proaktif menolakku ke tepi jalan. Aku terjatuh dan terlanggar batu besar di tepi jalan lantas kornea mataku rosak gara-gara itu. Cikgu Rahman yang kemalangan sekarang. Aku juga diberitahu bahawa ada penderma yang kebetulan telah meninggal dunia mendermakan matanya buatku.

“Ibu …”

“Ya, sayang?”

“Cikgu Rahman, bagaimana kondisinya sekarang?”

“Dia tenang. Dia baik-baik sahaja.” Aku dapat menangkap ada nada sayu pada suara itu. Aku menyesal dan sedih. Hatiku sakit. Aku telah menyakiti guru-guruku terutamanya Cikgu Rahman sebaliknya dia yang telah menyelamatkan nyawaku. Aku insaf dan terkesima. Oh Tuhan, apakah yang telah aku lakukan?

***

Sekian lamanya aku tidak bersekolah akhirnya dapat jua aku menjejakkan kaki di sini. Aku tersenyum lebar. Aku datang dengan harapan dan azam yang baru. Aku bukan Muhamad Amir yang dahulu lagi. Pertamanya, aku harus mencari Cikgu Rahman untuk meminta maaf dan berterima kasih padanya. Tidak ketinggalan juga semua insan yang pernah aku sakiti dan ingkari dahulu. Oh, berdosanya aku.

Niat aku itu dibatalkan apabila namaku dipanggil oleh pengetua sekolah ke pejabat. Aku memerhatikan kondisi sekeliling. Masih tidak berubah. Di sinilah pejabat yang sering aku kunjungi dahulu. Aku mengambil posisi duduk di hadapan Tuan Idris. Aku mencium tangannya lantas menyatakan kekesalanku yang amat. Aku benar-benar insaf. Tuan Idris kemudiannya mengeluarkan sebungkus kotak yang berbalut lantas diserahkan kepadaku. Aku terkejut.

“Untuk siapa?” soalku. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Sudah tentulah hadiah itu untukku. Tetapi dari siapa?

“Cikgu Rahman yang serahkan kotak ini pada saya sebelum dia pergi.” Aku tergamam. Pergi? Cikgu Rahman ditukarkan sekolah? Aku segera mengoyak balutan hadiah tersebut untuk mengetahui isinya. Sejadah baru?

“Untuk apa semua ini?”

“Amir, dulu sebelum kamu dan dia kemalangan, Cikgu Rahman saban hari runsing memikirkan tentang kondisi kamu. Dia takut jika cara tegurannya membuatkan kamu semakin bermasalah. Dia selalu mengadu kepada saya tentang kerunsingannya itu. Dia menitipkan bungkusan ini buat kamu. Katanya, cuma kamu tahu apa yang perlu dilakukan.”

Tanpa disedari, air mata kelelakianku yang sedari tadi bergenang di tubir mata mengalir jua. Aku perlahan-lahan menyeka air mataku. Sungguh besar sekali harapan Cikgu Rahman kepadaku.

“Tuan, Cikgu Rahman di mana sekarang?”

“Hah, kamu belum tahu?” Nada suara itu bercampur terkejut. “Cikgu Rahman telah meninggal dunia dalam kemalangan itu. Dia yang mendermakan kornea matanya untuk kamu.”

“Apa?!” Aku tidak terkata-kata. Aku kesal. Semua perasaanku saat itu bercampur aduk. Sungguh aku menyesal. Betapa besarnya pengorbanan seorang guru untuk pelajarnya. Aku masih ingat kata-kata terakhir Cikgu Rahman, “Paling tidak, jika kamu mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab, janganlah pula kamu mengabaikan perasaan hati kamu sendiri.”

Oh Tuhan, apakah di syurga itu penuh dengan para guru persis Cikgu Rahman?

Moral:

Dalam dunia ini, kita tidak boleh terlalu mengikut kata hati. Kita perlu mendepani masalah diri sendiri untuk menghadapi ketakutan itu. Kita perlukan insan-insan untuk berkongsi dan mendidik, iaitu para guru. Tanpa guru, kita tidak mungkin mampu menjadi pemuda pemudi dan aset harapan negara.

4 comments:

  1. wah..pandai tul dia..nana bab2 esei ke..cerpen ke..memang fail la...heheh kalau suh kira2..ok la...hehehhe

    ReplyDelete
  2. @BAKAWALI
    hurm, tak de la.
    hihi, setiap orang ada minat masing2..
    =)

    ReplyDelete
  3. penulis itu jurubina bangsa, teruskan usaha berkarya dik, kak amie follow ye

    ReplyDelete
  4. @Amie
    ya, insyaAllah. doakan saya terus istiqamah ye kak.
    terima kasih.
    =)

    ReplyDelete