Tuesday, 12 February 2013

Bila Dia Berubah



“Jom pergi riadah sama-sama?” 

“Tak apalah. Aku ada hal untuk diuruskan. Kau pergilah dulu.”

Dan dia menanti dengan penuh harapan, namun rakan yang ditunggu-tunggu tidak muncul tiba. Akibatnya, perasaan kecewa sahaja yang menguasai jiwa. Keesokannya, dia mencuba lagi namun hasilnya tetap sama. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja semuanya, berlagak seolah-olah tidak ada apa yang terjadi. Maka sebuah persahabatan itu makin renggang dan lama-kelamaan menjadi janggal sama sekali.

Berubah. Itu suatu perkara yang boleh terbentuk di dalam diri mana-mana makhluk ciptaan Allah di atas muka bumi ini. Banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu berubah misalnya terperangkap dengan banyak pekerjaan yang menghimpit, jatuh cinta, tertekan dengan pelajaran, berjumpa kawan baru dan macam-macam lagi.



Walau bagaimanapun seseorang itu kuat menjaga hatinya, tetapi bila datang godaan sesuatu yang menarik, boleh jadi dia tinggalkan yang lama dan sibuk menguruskan yang baru. Situasi saya sekarang lebih kurang sahaja seperti peristiwa yang saya gambarkan awal tadi. Saya faham akan kerja-kerja yang terpaksa diuruskannya cuma saya agak terkilan kerana semuanya sudah berbeza. 

Meskipun saya cuba mesra dengannya seperti biasa, dia tetap tidak melayan saya. Kadang saya tertanya-tanya, adakah saya pernah berbuat salah terhadapnya, mungkin tanpa saya sedari. Namun dia kata tidak ada, cuma sibuk sahaja. Pernah sekali, saya cuba menegurnya lagi. Namun pandang saya pun tidak sempat. Adakah dia sudah benar-benar berubah atau saya yang berubah?

Bila difikir-fikirkan kembali, mungkin ada sesuatu yang Allah sedang cuba aturkan di sini. Mungkin Allah sengaja mengubah hatinya kerana Allah mahu melihat apa reaksi dan tindakan yang bakal kita ambil. Allah mahu melihat sejauh mana tahap kesabaran kita dalam menangani masalah itu. 

Apabila saya bertanya kepada rakan-rakan yang lain, nampaknya mereka juga nampak perubahan yang terjadi ke atas dirinya. Nampaknya bukan saya sahaja yang rasakan begitu. Ada rakan yang sampai marah-marah kerana dia memang sudah berubah total. Saya sebagai seorang manusia biasa, tak mampu juga untuk mengawal mulut orang lain.

Dalam sesetengah situasi kita sebagai rakan perlu belajar menerima hakikat perubahan itu. Mungkin dia berubah untuk kepentingan dirinya, jadi kita harus bertindak lebih memahami. Tetapi dalam sesetengah situasi yang lain kita sebagai sahabatlah yang perlu menasihati dan menegur sebarang kesalahan yang dirasakan tidak patut. 


"يَامُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلى دِيْنِكَ "
"Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu"
(HR Imam Ahmad, Imam Tirmidzi dan lainnya)


Kita semua ibarat manusia yang melintas di atas titian yang goyah, tatkala ada yang mahu berpatah balik, kita tarik tangannya dan mengajak supaya meneruskan perjalanan. Jika dia berpatah balik maka berkemungkinan besar titian itu akan bergoyang dan patah maka hanyutlah semua yang berada di atasnya. Sudah tentulah kita tidak mahu situasi itu terjadi. Dan kita harus sentiasa beringat manusia itu bukanlah malaikat yang sempurna. Kita semua cuma hamba.

No comments:

Post a Comment