Saturday, 1 March 2014

"Allah, Di Mana Engkau Berada?"



Manusia sering mempersoalkan tentang keberadaan Allah, terutamanya mereka yang tidak yakin akan kewujudan Allah. Namun, kadangkala kita yang yakin dengan Islam ini juga mungkin akan tertanya-tanya soalan yang sama. Jika benar Allah itu wujud, maka di mana Allah berada? 

Saya ingin memberikan perkongsian ringkas tentang jawapan yang diberikan oleh seorang tokoh agama termasyhur berkaitan persoalan ini.

Berikut merupakan jawapan daripada Imam Abu Hanifah melalui kisah perdebatannya dengan ateis yang sudah anda sedia maklum. Tersebut kisah pada ketika itu, semua orang sedang berkumpul di dalam masjid. Si ateis itu pun naik ke atas mimbar dan menentang sesiapa sahaja yang mahu berdebat dengannya. Akhirnya Imam Abu Hanifah menyahut cabarannya. 

Si ateis itu pun bertanyakan banyak soalan dan setiap satunya dapat dijawab dengan jawapan yang geliga oleh Imam Abu Hanifah. Si ateis itu masih tidak berpuas hati dan menyoal, “Sekarang, di manakah Allah berada? Sesuatu yang wujud pasti memerlukan tempat, bukan?”

Lalu Imam Abu Hanifah pun bertanya kembali adakah ateis itu tahu tentang bentuk susu. Si ateis mengangguk. “Adakah di dalam susu itu terdapat keju?” soal Imam Abu Hanifah. Sekali lagi, ateis itu mengangguk. “Kalau begitu, cuba tunjukkan di mana tempat keju itu sekarang?” Si ateis membantah dengan jawapan tidak ada tempat yang khusus kerana keju itu telah bercampur dengan susu di seluruh bahagiannya. 

Imam Abu Hanifah yang pintar itu pun menjawab, “Keju pun tidak mempunyai tempat yang khusus di dalam susu. Tuan tidak sepatutnya meminta saya untuk menunjukkan tempat di mana Allah berada.” Begitulah jawapan yang cukup bernas daripada perdebatan Imam Abu Hanifah dan orang kafir tersebut.

Mengikut fakta, kita tidak akan melihat sesuatu yang sangat dekat dengan kita. Allah SWT berada sangat dekat sekali dengan kita sehinggakan kita tidak mampu melihat Allah. Secara analogi, semua orang sudah sedia maklum tentang nyawa. Namun kita tidak dapat menentukan lokasi yang tepat di manakah terletaknya nyawa. Jika dibedah sekalipun tubuh badan kita, kita masih tidak akan dapat melihat nyawa. Hal ini terjadi disebabkan nyawa itu berada sangat dekat dengan kita sehingga kita tidak mampu melihatnya.

Begitu juga dengan mata. Sebagai contoh, seorang rakan memberitahu mata kita berwarna merah. Dia pun bertanya, “Kenapa mata awak merah?” Ketika itu, kita tidak dapat melihat mata sendiri yang dikatakan berwarna merah sehinggalah kita melihat ke dalam cermin. Mengapa boleh terjadi demikian, sedangkan mata adalah sesuatu yang digunakan untuk melihat?

Jawapannya, mata berada sangat hampir dengan kita sehingga kita tidak dapat melihatnya. Begitu juga dengan bulu kening sendiri. Semuanya begitu hampir sehingga kita tidak dapat melihatnya.

Disebutkan suatu kisah di mana ketika itu seorang lelaki sedang berdoa dengan suara yang kuat di dalam masjid. Ketika itu, Rasulullah pun masuk ke dalam masjid dan melihat orang tersebut. Maka baginda pun berkata kepada lelaki itu, perlahankanlah suaramu sesungguhnya Allah itu tidak pekak. Begitulah hampirnya Allah dengan kita. Jika kita berbisik sekalipun Allah masih mampu mendengar bahkan bisikan dalam hati.

Kita tidak seharusnya mempersoalkan keberadaan Allah kerana Allah itu sangatlah dekat dengan kita. Begitu juga seperti kisah keju dan susu tadi. Keju itu telah bercampur dengan susu sehingga kita tidak dapat menentukan di mana posisinya yang tepat. Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar segala sesuatu. Kita cuma perlu yakin dengan kewujudan Allah seratus peratus tanpa ada sebarang keraguan. Semoga kita semua dapat menjadi hamba-hamba yang dekat denganNya. Ameen.


No comments:

Post a Comment