Cerpen kali ini merupakan sebuah cerpen berbentuk fantasi yang mungkin agak panjang sedikit daripada biasa. Cerita yang lahir daripada imaginasi saya di petang hari. Moga terhibur!
“Tuhan itu Maha Adil. Sesiapa yang berkelakuan baik dan mengajak ke arah
kebenaran, Tuhan telah berjanji untuk menyenangkan urusannya. Tuhan tidak
pernah memungkiri janji.”
***
“Cikgu, kenapa dalam televisyen,
selalunya orang baik yang akan menang bukannya orang jahat?” Khairul Rafiq
menurunkan tangannya setelah selesai bertanya soalan. Matanya bertentangan
dengan sepasang mata milik Cikgu Yasmin Afrina yang lebih senang dipanggil
Cikgu Yasmin. Meskipun Yasmin mengajar subjek ICTL, dia tidak kisah jika
anak-anak muridnya mahu bertanya sebarang jenis soalan untuk memudahkan
interaksi sesama mereka.
“Sebab Tuhan itu Maha Adil.
Sesiapa yang berkelakuan baik dan mengajak ke arah kebenaran, Tuhan telah
berjanji untuk menyenangkan urusannya. Tuhan tidak pernah memungkiri janji,
Rafiq,” Yasmin mengukir sekuntum senyuman buat anak muridnya itu. Setelah itu,
seorang pelajar lelaki yang duduk di sebelah Khairul Rafiq pula mengangkat tangannya.
Yasmin mengangguk untuk memberi ruang kepadanya bertanya.
“Cikgu Yasmin, macam mana pula
dengan orang baik yang selalu tewas? Pada hakikatnya, banyak golongan yang cuba
mengajak kepada kebenaran ni tumpas di pertengahan jalan, akibatnya kemaksiatanlah
yang kian berleluasa. Macam mana dengan janji Tuhan?”
Yasmin menghela nafas pendek,
cuba memikirkan sesuatu untuk membalas pertanyaan pelajar itu. Dia memang sudah
menjangka pertanyaan yang sebegitu akan ditanya oleh Hariri Aiman. “Hariri,
betul apa yang awak cakap tu, kemaksiatan semakin berleluasa sekarang ni. Tuhan
sengaja turunkan ujian untuk kita usaha sendiri menegakkan kebenaran di atas
muka bumi ini. Dia ingin melihat sejauh mana kesungguhan kita untuk menyebarkan
risalahNya, sebab itulah kejahatan boleh menang.” Yasmin melemparkan senyuman
indah. Hariri Aiman cuma mendiamkan diri, mungkin memikirkan sesuatu.
Ketika itu, loceng sekolah pun
berbunyi menandakan waktu rehat. Ketua tingkatan segera berdiri dan mengucapkan
terima kasih yang diikuti oleh para pelajar yang lain. Setelah Yasmin
memberikan kebenaran untuk mereka keluar, semuanya berebut-rebut keluar melalui
pintu hadapan makmal kerana pintu belakang telah dikunci. Yasmin cuma mampu
tersenyum melihat keletah anak-anak didiknya yang bersemangat setiap kali waktu
ICTL, mungkin kerana mereka dapat mengurangkan tekanan belajar dengan melayari
internet atau bermain game. Yasmin mengeluarkan buku rekod mengajarnya dan
mencatat sesuatu di dalam buku tersebut. Apabila tamat waktu persekolahan, dia
perlu menyerahkan buku rekod tersebut di pejabat.
“Uhuk..uhuk..” Bunyi batuk
tersebut mengejutkan guru yang berusia 24 tahun itu. Setahu Yasmin, semua
anak-anak muridnya sudah keluar dari makmal. Yasmin memandang sekeliling
ruangan makmal itu. Kosong. Pembantu makmal komputer pula mengambil cuti pada
hari itu. Fikirnya, mungkin dia tersalah dengar. Yasmin meneruskan kembali
mengisi buku rekodnya.
“Uhuk..uhuk..” Kali ini bunyi
tersebut semakin jelas dan berlarutan. Yasmin mengerutkan dahinya. Mungkin ada
dalam kalangan pelajar yang sengaja sembunyi di dalam makmal untuk
menakut-nakutkannya. Yasmin menjenguk ke bawah setiap meja komputer untuk
mencari punca suara itu namun tidak menemui sesiapa. Perlahan-lahan, dia
membuka pintu bilik pembantu makmal. Mungkin ada seseorang di dalam. Pandangan
matanya melirik ke kanan dan ke kiri. Kosong. Ketika itu, tidak ada lagi bunyi
yang kedengaran.
‘Agaknya aku ni sudah terlampau
penat,’ monolog Yasmin. Dia tertawa sendirian sambil menggeleng kepala. Yasmin
kembali ke tempat duduknya semula untuk mengambil beg tangannya. Secara
tiba-tiba, laptop yang tadinya bercahaya terus terpadam. Yasmin sudah bertambah
risau. Dia menggerakkan tetikus berkali-kali dan menekan papan kekunci, tetapi
laptop itu masih tidak memaparkan sebarang gambar. ‘Sudah rosak barangkali,’
Yasmin mengetuk-ngetuk pula laptop itu. Tidak sampai setahun pun dia membeli
laptop tersebut, bagaimana boleh rosak pula tiba-tiba? Berkali-kali diketuk,
paparan di skrin mula bertukar daripada warna hitam ke warna kuning. Bunyi
batuk tadi mulai kedengaran kembali. Hati Yasmin bergetar, namun dia cuba
menyelindungkan perasaannya.
Yasmin mencapai beg tangannya
untuk keluar dari makmal, namun serta merta beg tangannya ditarik oleh satu
tarikan yang entah dari mana munculnya. Beg tangannya seolah-olah cuba disedut
masuk ke dalam laptop. Yasmin menarik beg tangannya namun tarikannya tidak
cukup kuat untuk melawan tenaga yang wujud daripada laptop tersebut. Yasmin
meronta meminta tolong namun beg tangannya sudah disedut masuk ke dalam laptop
dan perlahan-lahan, tubuhnya juga terheret sama untuk masuk ke dalam tenaga
itu.
Yasmin cuba melawan, ditumbuknya
laptop tersebut. Kali ini dia memang sudah tidak peduli lagi jika laptop itu
rosak. Mindanya tidak mampu menterjemahkan situasi yang sedang terjadi. Yasmin
cuba melawan daya tarikan itu. Cahaya kuning semakin lama semakin menyelimuti
ruangan makmal tersebut sehingga mengaburkan pandangan mata Yasmin.
“Tolong...!” Yasmin masih berharap ada yang akan membuka pintu makmal dan
menyelamatkannya daripada situasi gila yang sedang menyedutnya masuk ke dalam
laptop.
“Tolong...!” Cahaya kuning
menjadi semakin terang dan akhirnya Yasmin disedut masuk ke dalam laptop.
Setelah itu, suasana di makmal komputer bertukar normal. Cuma Cikgu Yasmin
sahaja yang telah hilang.
***
Yasmin bagaikan berada di angkasa
lepas yang tiada tarikan graviti. Tubuhnya diselimuti kedinginan. Angin kencang
menampar keras wajahnya. Dia seolah-olah telah terjatuh ke dalam sebuah lubang
yang sangat dalam. Yasmin berdoa kepada Tuhan agar menyelamatkannya daripada
sebarang kejadian yang tidak diingini. Matanya dipejamkan bagi mengelakkan
debu-debu yang berterbangan masuk ke dalam. Hampir tiga minit Yasmin
diselubungi ketakutan, akhirnya tubuhnya menghentam tanah.
Yasmin perlahan-lahan cuba untuk
duduk. Cahaya kuning menyilaukan pandangan sekeliling. Beberapa saat kemudian
barulah Yasmin dapat mentafsirkan pandangannya dengan jelas. Terdapat pelbagai
jenis pohon di sekelilingnya yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Langit
berwarna kuning, tidak seperti di Bumi. Tanah yang diinjaknya itu pun bukan
jenis tanah biasa tetapi dipenuhi dengan batu yang berwarna warni. Tubuh wanita
itu bergetar. Yasmin mencubit pipinya berkali-kali dan setiap kali itu juga
pipinya disentuh rasa sakit. Bermakna Yasmin bukannya sedang bermimpi.
Bunyi kicauan burung di situ lain
daripada biasa. Burung-burung menjerit seolah-olah telah ditembak oleh si pemburu.
Yasmin berjalan perlahan-lahan, cuba mencari pintu keluar atau sebarang portal
untuk menyedutnya kembali ke alam manusia, Bumi. Dia mencuba untuk mencarinya
di balik semak tatkala menemui seekor makhluk yang sungguh aneh. Kepalanya
berbentuk arnab tetapi badannya seperti kucing.
“Subhanallah. Kuasa Tuhan!”
Yasmin separuh menjerit melihat makhluk itu. Semakin dia cuba mendekati makhluk
yang aneh itu, semakin makhluk itu berlari menjauhkan diri.
“Kau siapa?” Satu suara yang
garau menyapa Yasmin daripada belakang. Yasmin segera menoleh dan menangkap
figura seorang wanita tua separuh abad. Rambutnya panjang tetapi berkerinting.
Dia memegang sebuah bakul yang berisi buah-buahan aneh di dalamnya. Wajahnya
berkerut seribu dan jelas menunjukkan sebuah pandangan benci kepada Yasmin.
“Sa.. saya Yasmin,” Yasmin cuba
mengukir kata. Jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan wanita tua itu dapat
membantunya mencari jalan keluar dengan segera. Sudah pastinya dia tidak mahu
berlama-lama di situ. “Mak cik siapa?” gilirannya pula untuk menyoal.
“Mak cik? Adakah aku kelihatan
tua?” Kedua-dua bebola matanya membulat dan hampir terkeluar. Yasmin menggeleng
untuk menyedapkan hatinya. Dia kelihatan berpuas hati dan sedikit tersenyum.
“Panggil aku Kamila. Kau seperti
bukan berasal dari sini?” Wanita yang menggelarkan dirinya Kamila itu memetik
buah-buahan daripada pohon berdaun biru di sebelahnya. Yasmin memberanikan diri
untuk menghampirinya setelah memastikan Kamila bukan ancaman buatnya.
“Saya dari Selangor, mak cik...
maksud saya Kamila. Saya belum pernah lagi ke sini. Boleh awak tolong tunjukkan
jalan pulang?” Yasmin separa merayu.
“Selangor? Aku tidak pernah
mendengarnya sebelum ini?” Kamila menggigit buah yang baru dipetiknya sambil
memejamkan mata, mungkin menghayati keenakan buah tersebut.
“Selangor? Dekat dengan Kuala
Lumpur,” Yasmin bertambah gentar. Sebenarnya di mana dia berada sekarang? Kamila
seolah-olah tidak pernah mendengarnya sebelum ini. “Kuala Lumpur?” Yasmin mengangguk
berkali-kali. “Malaysia?”
Kamila berjalan mundar-mandir,
cuba untuk mengingati sesuatu. Lama dia berfikir. Yasmin setia memerhatikan
segala tindak-tanduknya yang seperti cacing kepanasan itu. “Malaysia...adakah
kau berasal dari Bumi?” Kamila bertentang mata dengan Yasmin, ibarat musang
yang bertemu mangsanya. Yasmin mengangguk meskipun seribu satu persoalan dan
perasaan sedang menari-nari rancak di dalam jiwanya.
“Aku tak faham. Sepatutnya dia
yang dihantar ke sini...” Yasmin hanya mendengar sayup-sayup kata-kata Kamila
itu. “Dia? Siapa? Sebenarnya saya di mana ni? Macam mana saya nak keluar dari
sini?”
“Beginilah Yasmin. Memang bagus
sekali kau bertembung dengan aku. Aku akan menjelaskan semuanya kepada kau.
Ayuh ikut aku,” Kamila memegang tangan Yasmin sambil mengajaknya pulang. Yasmin
memerhatikan sahaja wajah Kamila yang sedang tersenyum itu tanpa sebarang
bantahan.
***
“Hariri, awak ada nampak Cikgu Yasmin
tak?” seorang guru lelaki yang berpakaian segak dengan kemeja biru dan tali
leher tidak bercorak muncul di kantin. Hariri Aiman dan Khairul Rafiq yang
sedang meneguk minuman yang dibeli menggeleng kepala.
“Kali terakhir saya nampak Cikgu
Yasmin waktu ICTL tadi. Lepas tu tak nampak dah. Cikgu Zahran dah cuba cari di
bilik guru?” cadang Hariri.
“Cikgu Yasmin memang tak ada di
dalam bilik guru sepanjang hari. Cikgu dah cuba hubungi Cikgu Yasmin
berkali-kali tetapi tak dapat,” Zahran memeriksa telefon bimbitnya jika ada
sebarang panggilan masuk atau pesanan ringkas daripada Yasmin.
Hariri Aiman dan Khairul Rafiq
saling berpandangan sambil tersenyum. “Cikgu, tak perlulah risau macam tu
sekali dengan tunang cikgu tu. Cikgu Yasmin mesti ada di mana-mana. Cikgu ada
janji temu dengan Cikgu Yasmin, ya?” Khairul Rafiq sengaja mengusik. Mata
kirinya dikenyitkan.
“Eh, kamu ni sibuk saja urusan
orang dewasa,” Zahran tertawa. “Hurm. Hari ni cikgu dah janji nak jumpa
keluarga Cikgu Yasmin, ada urusan sedikit. Dah lambat dah pun ni,” Zahran
memerhatikan jam tangannya. Waktu persekolahan sudah lama berakhir tetapi
Yasmin masih belum muncul. “Kamu berdua pula belum balik lagi?”
“Kami stayback. Ada latihan bola
petang ni,” Hariri Aiman menghabiskan minumannya. “Beginilah Cikgu Zahran, apa
kata kita cuba cari di makmal? Mungkin Cikgu Yasmin masih di sana. Kebetulan
kami pun dah selesai solat Zohor, boleh tolong cikgu carikan Cikgu Yasmin.”
“Bagus juga tu. Jom,” Zahran
menepuk bahu Hariri Aiman sambil melangkah ke makmal komputer sekolah. Khairul
Rafiq juga turut mengekori mereka berdua.
Mereka mendapati makmal komputer
itu tidak berkunci dan sepasang kasut masih lagi berada di luar makmal. Zahran
menolak pintu makmal dan mendapati tiada sesiapa di dalam. Khairul Rafiq cuba
mencari Cikgu Yasmin di dalam bilik pembantu makmal tetapi tidak ada. “Aneh.
Kasut ada tuannya tak ada,” Zahran memandang sekeliling. Sepi.
“Cikgu, kenapa ada cahaya kuning
daripada laptop ni?” Hariri Aiman kebingungan melihat laptop yang bercahaya di
hadapannya itu. Zahran segera menghampiri Hariri dan menolak tetikus untuk
melihat paparan pada laptop. Mereka melihat sebuah permainan komputer yang
sedang bergerak secara sendiri tanpa dimainkan oleh sesiapa. Khairul Rafiq
memerhatikan imej pada skrin dengan teliti. “Cikgu, bukankah itu Cikgu Yasmin?”
Ketiga-tiga mereka terkejut
dengan apa yang dilihat oleh mereka terutamanya Zahran. “Tak, ini tak
mungkin...” Zahran bermonolog tetapi masih mampu didengari oleh kedua-dua
pelajarnya. “Apa yang tak mungkin, cikgu?” Hariri menyoal. “Macam mana Cikgu
Yasmin boleh berada di dalam?” Rafiq menambah penuh cemas.
“Game ini adalah permainan yang
cikgu beli daripada luar negara. Kemudian cikgu ubah suai program dalam
permainan ini termasuk watak-wataknya dan bahasa yang digunakan oleh mereka.
Cikgu namakannya negara Morway. Semakin lama cikgu main, cikgu rasa
karakter-karakter di dalam permainan ini seolah-olah realiti. Banyak musuh yang
berjaya cikgu tumpaskan, tetapi banyak juga yang tidak berjaya. Ada karakter
yang baik dan jahat. Akhirnya cikgu berhenti bermain setelah mendapati
permainan Morway ni semakin pelik. Cikgu tak faham bagaimana Morway boleh
berada di dalam laptop Cikgu Yasmin,” panjang lebar Cikgu Zahran menerangkan.
Wajahnya ternyata menunjukkan riak yang cemas dan gelisah.
“Cikgu, walaupun semua ni macam
tak masuk akal, nak tak nak sekarang Cikgu Yasmin sudah terperangkap di dalam
permainan Morway. Kita kena cari jalan untuk bantu Cikgu Yasmin keluar daripada
situ dan kembali ke Bumi!” gesa Hariri Aiman.
“Ya Allah, apa aku dah buat ni?”
Zahran memegang kepalanya dengan penuh kekesalan. Dia menumbuk meja dengan
penuh geram. Hariri dan Rafiq mencapai kerusi berhampiran dan menariknya
mendekati tempat duduk Cikgu Zahran.
“Cikgu Zahran, sekarang bukan
masa untuk fikir semua tu. Macam mana nak keluarkan Cikgu Yasmin?” Hariri
menyoal lagi. Zahran menatap imej Yasmin dan Kamila di dalam laptop. “Jalan
keluar bagi Cikgu Yasmin adalah dengan memenangi permainan Morway ni. Dah tak
ada jalan lain,” Zahran mengeluh. “Macam mana nak menang?” soal Rafiq.
Zahran menekan menu utama
permainan dan membuka peta negara Morway. “Portal Morway terletak di Istana
Kebenaran. Pemain akan bermula di sebuah rumah kosong dan terpaksa melengkapkan
perjalanan ke sana. Cikgu dah main permainan ini sehingga ke kawasan hutan
kemudian cikgu berhenti. Cikgu Yasmin sudah hampir sekali dengan Istana
Kebenaran untuk pergi ke portal keluar, tetapi banyak halangannya dan jalan
yang bermuslihat.”
“Siapa yang berada dengan Cikgu
Yasmin tu?” Rafiq bertanya. “Itu Kamila, dia suka memetik buah-buahan di dalam
hutan. Mungkin dia menemui Cikgu Yasmin di dalam hutan dan mengajaknya pulang
ke rumah. Cikgu tak dapat pastikan Kamila ni baik atau jahat sebab cikgu belum
pernah bertemu dengannya.”
Khairul Rafiq memandang Cikgu
Zahran. “Cikgu, macam mana Cikgu Yasmin nak menang permainan ini sedangkan dia
langsung tidak tahu tentangnya?”
Cikgu Zahran terdiam.
***
“Morway?”
“Ya, Morway. Jangan bimbang. Kau
tinggal sahaja dengan aku, semuanya akan selamat. Percayalah, Yasmin,” Kamila
mengukir senyum. Tiada siapa yang mampu mentafsirkan maksud yang tersirat di
sebalik senyumannya itu.
“Kamila, tolong beritahu saya
macam mana hendak keluar dari Morway? Saya tinggal di Malaysia, bukannya di
Morway. Malaysia!” Yasmin menegaskan. “Kenapa kau hendak keluar dari Morway,
tinggal sajalah di sini selama-lamanya. Buah-buahan di sini semuanya enak dan
haiwan-haiwan semuanya comel dan jinak. Kau pasti terpikat dengan keindahan
dunia ini.”
Yasmin cuma mendiamkan diri dan
berfikir. Dia tidak mahu menentang Kamila kerana wanita itu sahajalah
satu-satunya harapannya buat masa ini. “Kau duduk di situ diam-diam. Aku akan
siapkan makan malam di dapur. Kau tunggu ya?” Kamila mengusap lembut kepala
Yasmin yang bertudung itu.
“Makan malam? Sebentar, Kamila.”
Yasmin menghentikan langkah Kamila. “Saya belum lagi solat Zohor dan Asar.
Boleh saya tumpang solat? Di sini boleh jamak, kan?” Kamila mengerutkan
keningnya tidak mengerti. “Solat?” Yasmin mengangguk. “Ya, solat. Solat
merupakan kewajipan untuk orang Islam. Awak agama apa?” Yasmin senyum.
“Agama? Apa itu? Aku tidak ada
agama. Manusia dari Bumi ni memang aneh barangkali. Baiklah Yasmin, kau buatlah
apa yang kau suka, terpulang. Asalkan kau tidak meninggalkan rumah ini. Aku ke
dapur dulu.”
Yasmin senang hati mendengar
jawapan Kamila. Dia mencari bilik air untuk berwuduk. Yasmin bersolat
menggunakan pakaian sedia ada yang sudah menutup aurat dan mengerjakan solat
jamak. Meskipun dia masih terkeliru dengan semua kejadian ini, dia tetap perlu
melaksanakan kewajipan umat Islam yang satu itu. Kelak di akhirat amalan
pertama yang akan disoal adalah tentang solat lima waktu. Dia tidak mahu
tergagap-gagap menjawab pertanyaan itu nanti.
Yasmin berdoa agar Tuhan
menunjukkan jalan keluar kepada mimpi aneh yang sedang dialaminya itu. Mimpi
ataupun realiti, dia sudah tidak dapat membezakan kedua-duanya lagi. Entah
mengapa, hatinya diserang perasaan cemas.
Dia teringat sebuah kisah dongeng
Hansel dan Gratel yang popular dalam kalangan kanak-kanak. Hansel dan Gratel
telah tersesat di dalam hutan dan bertemu seorang tua yang baik hati. Rumah
wanita tua itu diperbuat daripada gula-gula. Mereka dilayan dengan baik sebelum
rahsia sebenar wanita itu untuk menjadikan Hansel dan Gratel sebagai hidangan
makan malam terbongkar. Mereka beruntung kerana dapat melarikan diri daripada
wanita kejam itu.
Yasmin risau kejadian yang sama
akan terjadi terhadap dirinya. Perlahan-lahan, dia menghendap Kamila di dapur.
Dia terdengar perbualan Kamila bersama seseorang yang tidak dapat dipastikannya
kerana terlindung di sebalik dinding.
“Jordan, hari ini aku telah
mendapatkan hidangan makan malam yang besar untuk kau. Malam ini kau boleh
makan sepuas-puasnya sehingga kenyang. Bahkan makanan kau pun akan berbaki
sehingga esok rasanya,” ujar Kamila. Yasmin hampir sahaja menjerit mendengar
kata-kata wanita itu namun dia segera menekup mulutnya dengan tangan. Dia tahu
hidangan yang dimaksudkan itu adalah dirinya. Dengan pantas, Yasmin segera
mendapatkan pintu keluar dan keluar dari rumah. Kamila yang menyedari tindakan
Yasmin cuba menghalangnya tetapi tidak berjaya.
“Yasmin, kembali semula ke sini!
Yasmin!” Kamila menjerit berkali-kali tetapi Yasmin menghilang daripada
pandangannya sedikit demi sedikit.
Yasmin tidak berhenti berlari
sehinggalah tubuhnya terlanggar sebuah objek yang keras. Yasmin terjatuh
menyembah tanah. Nafasnya masih tidak stabil akibat berlari tadi. Yasmin
menumbuk kedua-dua tangannya ke atas tanah dan menolak tubuhnya bangun.
Yasmin mendengar bunyi
seolah-olah seseorang sedang bernafas dengan kuat di belakangnya.
Perlahan-lahan dia menoleh dan melihat seekor makhluk yang bertubuh manusia dan
bertubuhkan kuda, mengingatkannya pula terhadap dongeng Narnia. Tetapi manusia
kuda di hadapannya itu sedang diselubungi amarah yang mendalam. Kakinya menguis
tanah, berada dalam posisi untuk menyerang. Jelas sekali, dia bukannya berada
di dalam Narnia tetapi di dalam Morway. Yasmin segera berlari untuk
menyelamatkan diri. Manusia kuda itu tidak dapat berlari dengan pantas kerana
kakinya yang sedikit cedera. Yasmin bersembunyi di belakang pohon yang besar
dengan harapan makhluk itu akan berputus asa mencarinya.
“Yasmin? Yasmin? Awak dengar tak?”
Suara itu pula kedengaran entah dari mana. Suara yang dikenalinya. Yasmin memandang
sekeliling, tidak ada sesiapa pun yang berada di situ. Dia menjadi semakin
gentar, namun tetap yakin dengan pertolongan daripada Allah. “Yasmin, ini saya,
Zahran. Awak dengar tak?”
“Cikgu Zahran?”
***
Hariri Aiman dan Khairul Rafiq
menampar tangan. Nampaknya usaha mereka telah berjaya. Mereka telahmengikut
arahan Cikgu Zahran untuk cuba memasang alat komunikasi ke dalam dunia Morway.
Oleh itu, Cikgu Yasmin dapat mendengar arahan daripada mereka tetapi tidak
dapat melihat mereka. Kini, mereka dan Cikgu Yasmin telah berhubung. Melalui
cara ini, Cikgu Zahran akan cuba memandu Cikgu Yasmin ke Istana Kebenaran untuk
menuju ke portal keluar. Zahran dapat melihat makhluk separuh manusia separuh
kuda berada berhampiran lokasi Yasmin bersembunyi. Mereka tidak mempunyai
banyak waktu lagi.
“Cikgu Zahran, apa semua ni?
Tolong jelaskan kepada saya,” Yasmin menyoal dari Morway.
“Saya akan jelaskan kemudian.
Sekarang awak dalam bahaya. Makhluk Horseman sedang mengejar awak. Kelemahan Horseman
ada pada kakinya yang cedera. Awak perlu mencederakan kakinya berkali-kali
untuk melenyapkannya,” terang Zahran.
“Macam mana saya nak buat?”
Yasmin bingung. Zahran memberi cadangan. “Saya rasa batu-batu di Morway
besar-besar. Lemparkan batu-batu itu ke kakinya sehingga Horseman mengerang
kesakitan..” Belum sempat Zahran menghabiskan ayatnya, Yasmin mendengar nafas
Horseman yang kuat itu dekat dengan telinganya. Tangannya segara mencapai
sebanyak mungkin batu dan berganjak agak jauh sedikit daripada makhluk ganas
itu.
Yasmin melemparkan batu
berkali-kali sepenuh tenaga untuk menyakitkan Horseman namun tidak ada sebarang
kesan terhadapnya. “Cikgu, saya dah lemparkan banyak batu tetapi dia masih
tidak sakit!”
Cikgu Zahran di Bumi cuba
memikirkan sesuatu. Khairul Rafiq sudah menutup matanya tidak sanggup melihat
makhluk Horseman yang ganas itu. Hariri Aiman pula menyeka peluh di dahinya. “Yasmin,
baca basmalah dulu sebelum lemparkan batu-batu itu. Ingat, kita cuma berusaha,
tetapi kuasa menghapuskan yang sebenar-benarnya terletak di tangan Allah.”
Yasmin mengangguk walaupun dia
tidak pasti Zahran melihatnya atau tidak. Dia membaca basmalah sebelum
melemparkan batu-batu itu ke kaki Horseman. Dengan izin Allah SWT, akhirnya
Horseman berhenti menghampiri Yasmin dan terjatuh. Yasmin mengambil kesempatan
itu untuk terus menyerang kelemahan Horseman sehingga makhluk itu mengerang
kesakitan dan akhirnya lenyap daripada pandangan. Yasmin terduduk penat.
“Alhamdulillah, Cikgu Yasmin dah
berjaya!” suara Khairul Rafiq kedengaran. “Rafiq?” Yasmin memandang sekeliling.
“Ya, cikgu. Saya pun ada, Hariri. Cikgu dah usaha yang terbaik! Alhamdulillah!”
Sekali lagi, cuma suara sahaja yang kedengaran.
“Yasmin, saya betul-betul minta
maaf. Awak sekarang sedang berada di dalam Morway, sebuah permainan komputer
yang telah diubah suai oleh saya. Saya tak faham macam mana game ini boleh
berada di dalam laptop awak dan macam mana awak boleh termasuk ke dalamnya.
Saya minta maaf,” Zahran menunduk kesal.
“Game?” Yasmin memegang
kepalanya. Terlalu sukar untuk otaknya menghadam semua ini. “Yasmin, saya minta
maaf,” Zahran terus mencuba nasib.
“Macam mana saya nak keluar dari
sini?”
“Awak perlu mencari jalan ke
Istana Kebenaran. Saya, Hariri dan Rafiq akan membantu awak dari Bumi. Kami
dapat melihat awak melalui skrin laptop. Cuma, awak tidak dapat melihat kami.
Awak seorang sahaja yang dapat mendengar suara kami. Karakter-karakter lain di
dalam permainan ini tidak dapat mendengarnya. Istana Kebenaran tidak jauh
daripada tempat awak berdiri. Awak ikut lorong kanan untuk ke sana.”
“Lorong kanan?” Yasmin menoleh ke
kanan dan sekali lagi terkejut apabila melihat seorang lelaki berdiri di lorong
kanan yang dimaksudkan Zahran.
“Kau bercakap dengan siapa?” soal
lelaki yang berambut cacak itu. Pakaiannya agak compang-camping dan dia sedang
menggenggam selaras senapang. Namun wajahnya tetap bersih dan segaris senyuman
terlukis di situ. Yasmin cuma menggeleng.
“Kau siapa? Kenapa kau ada di
sini?” soalnya lagi.
“Saya... saya sedang mencari jalan
ke Istana Kebenaran,” jawabnya. Mungkin kali ini lelaki itu dapat membantunya. “Istana
Kebenaran?!” Lelaki itu terkejut. “Jadi kau Zahran??”
Yasmin menggeleng. “Saya Yasmin,
erm, tunang Zahran.”
“Tunang? Apa tu?” soalnya. Yasmin
malu untuk menjelaskan kerana dia tahu Zahran dan anak-anak muridnya sedang
mendengar perbualan mereka berdua. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menjelaskan
juga kepada lelaki itu dengan harapan dia dapat membantunya.
“Tunang tu adalah ikatan perjanjian
sebelum berkahwin. Maksudnya, saya dan Zahran akan berkahwin tidak lama lagi.
Macam mana awak kenal Zahran?” Secara tidak sedar, Yasmin sedang berjalan
bersama-sama lelaki itu.
“Siapa yang tak kenal Zahran di
Morway ni? Zahran yang cipta karakter-karakter kami semua. Ramai penjahat yang
tidak berpuas hati kerana telah ditewaskan olehnya sebelum ni. Tapi, Zahran
tidak menghabiskan permainannya di Morway. Oleh itu, MD, ketua penjahat di sini
telah berpakat dengan penjahat-penjahat Morway untuk menumpaskan Zahran dan
membalas dendam,” jelasnya. “Oh ya, lupa pula. Aku Lutfi,” lelaki itu
menghulurkan tangannya. Yasmin cuma tersenyum dan menggeleng.
“Kenapa? Kau tak percayakan aku?”
Geleng. “Bukan begitu. Saya tahu,
karakter-karakter di sini mungkin tidak beragama. Tetapi saya beragama Islam.
Dan dalam agama saya, lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai sebarang
pertalian darah tidak dibenarkan bersentuhan.”
“Agama? Suka hati kaulah. Aku
cuma nak kau tahu yang kau boleh percayakan aku,” Lutfi tersenyum.
“InsyaAllah, saya percayakan
awak. Saya ada pertanyaan. Macam mana pula Morway boleh beralih daripada laptop
Zahran ke dalam laptop saya? Kenapa saya pula yang termasuk ke dalam dunia ini?”
Boooooooommmmmmmmmmmmmm!!! Bunyi
letupan secara mendadak membantutkan perbualan Yasmin dan Lutfi. Sebuah letupan
disasarkan ke arah mereka tetapi tidak mengena. Kawasan yang terkena letupan
itu mengeluarkan asap kuning yang belum pernah dilihat Yasmin sebelum ini.
Yamin menutup hidungnya dengan hujung tudungnya bagi menghalang bau busuk yang
berpunca daripada letupan itu. “Nampaknya kita ada teman bermain,” ujar Lutfi
sambil mengangkat senapangnya.
“Cikgu Yasmin, di hadapan cikgu
dan Lutfi ada sejenis makhluk yang bernama Iklimo. Dia mempunyai kepakaran
dalam letupan. Cikgu perlu berhati-hati dan mengelak daripada terkena letupannya.
Kelemahannya adalah pada lengan kirinya. Cikgu perlu serang bahagian tu,” jelas
Hariri Aiman yang hanya mampu didengari oleh Yasmin seorang.
Seperti yang dikatakan oleh
Hariri, Iklimo muncul dari balik semak-samun bersama beberapa bola kecil dalam
genggamannya. Mungkin itulah alat yang digunakannya untuk menghasilkan letupan.
Iklimo mempunyai wajah seperti badut dan berambut merah kerinting. Hidungnya
juga berwarna merah. Pakaiannya tidak ubah seperti badut di sarkas.
“Hahaha,” Iklimo membaling lagi
bola letupan ke arah Yasmin dan Lutfi. Masing-masing tercampak jauh. Yasmin
berasa tubuh badannya dipenuhi kesakitan. “Yasmin, hati-hati!” Zahran menjerit
penuh khuatir.
Lutfi menembak tubuh badan Iklimo
tetapi tidak memberikan sebarang kesan kepadanya. Yasmin menjerit dari jauh, “Lutfi,
serang bahagian lengan kirinya!” Sebelum sempat Lutfi melepaskan tembakan
sekali lagi, Iklimo melompat tinggi ke udara dan mendarat tepat di hadapan
Yasmin yang separuh terduduk. “Hahaha, MD akan berterima kasih kepada aku
kerana menghapuskan kau!” Iklimo mengambil sebiji bola letupan di tangannya dan
melepaskannya. Yasmin memejamkan matanya rapat.
Bummmmmm!
Yasmin memegang tubuhnya. Dia
masih bernyawa! Dia membuka matanya dan melihat asap kuning menggantikan tempat
berdirinya Iklimo sebentar tadi. “Apa...apa yang sudah terjadi?”
“Aku sudah menghapuskan Iklimo.
Tertewasnya dia, bererti bola-bola letupannya itu hilang bersamanya,” Lutfi
mendapatkan Yasmin dan menghulurkan tangannya untuk membantu Yasmin bangun.
Yasmin tidak menyambut tangan lelaki itu dan bangun sendiri.
***
Masing-masing menarik nafas lega
di makmal komputer. “Wah hebatnya Lutfi itu! Mampu menembak dengan tepat dari
jarak jauh. Saya tidak pernah jumpa karakter yang kacak dan hebat sepertinya
sepanjang bermain game,” Khairul Rafiq memuji Lutfi.
“Betul! Untunglah Cikgu Yasmin
bertemu dengannya,” Hariri Aiman menyokong sahabatnya. “Ehem! Cikgu pun boleh
tembak dari jarak tu,” ujar Cikgu Zahran.
Hariri dan Rafiq cuma tertawa. “Ni
mesti ada kes cemburu! Haha!” Rafiq mengenyitkan sebelah matanya kepada Cikgu
Zahran. “Apalah cikgu ni, dengan karakter permainan pun boleh cemburu.”
“Mana ada cikgu cemburu,
pandailah kamu ni Rafiq,” Zahran berselindung. “Oh ya, kamu berdua pasti tidak
mahu pulang lagi?”
“Cikgu sendiri yang menghubungi
ibu bapa kami tadi. Kami akan bantu cikgu sehingga Cikgu Yasmin berjaya
kembali,” Khairul Rafiq bersemangat. Hari sudah lewat petang dan mereka sudah pun
terlepas latihan bola. Zahran tersenyum.
“Hariri, bagaimana? Kamu dah
lakukan apa yang cikgu suruh?” Zahran beralih pula kepada Hariri. Hariri Aiman
mengangguk. “Saya dah cantumkan wayar dan menukar kod sistem. Tapi Cikgu Zahran
betul-betul yakin semua ni akan berjaya?” Terdapat garis bimbang pada wajah
pelajar itu.
“Cikgu dah meletakkan nyawa Cikgu
Yasmin dalam bahaya. Cikgu tak sanggup lihat dia begitu lagi. Berdasarkan apa
yang dikatakan Lutfi, cikgu rasa MD dan penjahat-penjahat yang lain memang
sengaja menarik Cikgu Yasmin ke dalam Morway untuk menyeksa cikgu. Mungkin
mereka sudah tahu Cikgu Yasmin bakal berkahwin dengan cikgu. Jika Cikgu Yasmin
tewas dalam permainan ini, cikgu akan kehilangan orang yang cikgu sayang dan
mereka memang suka melihat keadaan cikgu macam tu,” keluh Zahran.
“Cikgu Zahran jangan risau. Saya
dan Hariri akan berusaha sebaik mungkin untuk memandu perjalanan cikgu. Cikgu
perlu janji untuk keluar dari portal dengan selamat,” pinta Rafiq.
“Tuhan itu Maha Adil. Sesiapa
yang berkelakuan baik dan mengajak ke arah kebenaran, Tuhan telah berjanji
untuk menyenangkan urusannya. InsyaAllah, kita berada di pihak yang benar. Kita
perlu yakin dengan janji Tuhan,” Zahran senyum.
“Samalah dengan apa yang Cikgu
Yasmin beritahu kami dalam kelas pagi tadi,” kata Khairul Rafiq. Zahran
mengarahkan Hariri Aiman untuk menekan butang ‘enter’.
“Cikgu, Tuhan sengaja turunkan
ujian untuk kita usaha sendiri menegakkan kebenaran di atas muka bumi ini. Itu
yang Cikgu Yasmin pesan pada saya. Cikgu Zahran jangan putus asa ya?” Zahran
mengangguk. Hariri Aiman menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci.
***
“Yasmin, bagaimana kau begitu
yakin untuk melalui lorong ini menuju ke Istana Kebenaran?” Lutfi menyoal
sambil menyepak batu-batu kecil di hadapannya. “Hari dah nak malam dan kau langsung
tidak takut?”
“Anak-anak murid saya ada untuk
memberikan panduan,” Yasmin terlepas bicara. “Anak-anak murid?” Lutfi naik
bingung. “Tak, maksud saya, saya percaya pada naluri hati. Kenapa awak
bersungguh-sungguh mahu menemani saya?”
“Saya cuma mahu pastikan awak
selamat.” Mereka berdua menghentikan langkah apabila melihat cahaya kuning yang
sangat terang-benderang di hadapan mereka.
“Cikgu Yasmin, tidak jauh di
hadapan cikgu itulah Istana Kebenaran. Cepat pergi ke sana, cikgu, tetapi
hati-hati!” Hariri Aiman berpesan.
“Lutfi, kita sudah hampir dengan
Istana Kebenaran. Ayuh ke sana,” ajak Yasmin teruja. Dia bersyukur kerana tidak
lama lagi perjalanannya akan berakhir. Namun tiada sesiapa yang boleh menduga
apa yang menantinya di hadapan.
“Jangan terburu-buru, Cik Yasmin.
Kita masih ada masa yang panjang untuk bermain,” satu suara bergema dari langit
kuning kedengaran. Yasmin memerhatikan keadaan sekeliling, risau jika terjebak
ke dalam mana-mana perangkap. Tidak lama kemudian, suara gelak ketawa pula yang
kedengaran.
“Itulah MD. Aku tidak pernah
melihatnya sebelum ini. Dialah yang menjaga Istana Kebenaran dan menghalang
sesiapa pun untuk keluar ke dunia manusia, terutamanya kau,” Lutfi memberi
taklimat tanpa dipinta. Jantung Yasmin berdegup kencang namun tidak
dihiraukannya. Dia berdoa kepada Allah untuk melindunginya daripada sebarang
musibah yang tidak diingini. Kilat mulai sabung-menyabung di Morway. MD terbang
menuju ke arah Yasmin dan Lutfi.
“Uhuk...uhuk...” MD terbatuk.
Yasmin mengenali bunyi batuk itu persis seperti yang didengarinya sebelum
ditarik ke dalam Morway.
Yasmin merenung MD dengan
pandangan yang tajam. MD mempunyai dua tanduk di kepalanya dan seluruh tubuh
badannya berwarna merah. Matanya berwarna hijau. Dia tidak mempunyai hidung
tetapi dua lubang yang membolehkannya untuk bernafas. Giginya dipenuhi dengan
taring. Badannya tidak ubah seperti seekor naga. Namun Yasmin tidak dapat
memastikan identiti sebenar MD. “Jadi awaklah yang menarik saya masuk ke dalam
Morway?!”
MD ketawa terbahak-bahak. Kilat
sabung-menyabung semakin kuat di Morway sehingga paparan skrin laptop yang
sedang ditonton oleh Hariri Aiman dan Kahirul Rafiq terpadam. Mereka
berpandangan sesama sendiri dengan cemas.
“Hariri, Rafiq, beritahu cikgu
apa kelemahan MD?” Yasmin begitu lantang bersuara. Lutfi bingung namun tidak
mengeluarkan suara. Sepi. Tiada jawapan. “Cikgu Zahran? Rafiq? Hariri?” Sepi.
Yasmin sudah mula cemas. MD tidak puas ketawa.
“Hahaha. Jadi Iklimo, Horseman,
dan lain-lain penjahat yang menghalang perjalanan kau berjaya ditewaskan?
Hebat. Aku tak sangka kau boleh pergi sejauh ini, Yasmin.” MD menepuk tangannya
perlahan-lahan tidak ikhlas.
“MD, hentikan semua ni. Tidak ada
faedah pun penduduk Morway berdendam dengan Zahran. Menang kalah itu semua
memang adat permainan. Kamu semua hanyalah karakter yang direka oleh sebuah
syarikat besar. Kamu semua hanyalah fantasi. Saya, Zahran, kami manusia yang
hidup dari dunia realiti,” Yasmin cuba mempertahankan dirinya.
“Dalam Morway, kami adalah
realiti dan manusia seperti kau adalah fantasi. Dan fantasi perlu dihapuskan...!”
MD meniup api yang marak keluar daripada mulutnya. Yasmin dan Lutfi cuba
mengelak. Lutfi cuba menembak berkali-kali namun tidak ada satu pun sasarannya
yang mengenai tubuh MD. MD mampu terbang dengan pantas dan tenaganya begitu
kuat. Aura kuning yang menerangi Morway selama ini berpunca daripada dirinya.
MD terus mengeluarkan api secara
bertalu-talu. Yasmin tidak dapat melarikan diri daripada tiupan api tersebut.
Tubuhnya sedikit sebanyak terkena api. MD terus ketawa.
“Hahaha. Akulah Morway’s Devil!
Penjahat yang paling berkuasa di Morway! Tidak ada sesiapa yang mampu
menewaskan aku. Tak lama lagi Zahran yang berlagak bagus itu akan kehilangan
orang yang disayanginya!” MD baru sahaja ingin membakar Yasmin hidup-hidup
tatkala Zahran muncul.
“Kau silap, MD! Kau dah lupa aku
telah mengubah suai beberapa karakter di dalam Morway? Aku tidak pernah lupa
bahawa kau yang paling banyak aku ubah!” Zahran berteriak. Nafasnya sedikit
tercungap-cungap.
“Apa maksud kau, Zahran?” MD
mendekatkan hidungnya yang panas dan besar dengan hidung Zahran secara tiba-tiba.
Zahran berundur ke belakang sedikit. “Aku telah meletakkan satu kelemahan dalam
diri kau, yang mungkin tidak kau sedari.”
“Pembohong!” MD menarik nafas
panjang dan mengehembuskan nafas apinya kepada Zahran.
“Allahu akbar! Allahu akbar!”
Zahran mula melaungkan azan. Biji mata MD yang berwarna hijau mulai terbeliak. Dia
menumbuk-numbuk tubuhnya sendiri berkali-kali. MD mulai menangis. Yasmin yang
memerhatikan kejauhan mulai tersenyum. ‘Ya lah, mana-mana syaitan pun akan
bertempiaran lari jika mendengar azan!’ getusnya sendiri.
MD mulai mengecil. Taringnya yang
teratur semuanya terpatah dengan sendiri. Kuku-kukunya yang tajam tercabut
daripada tangan dan kaki. Tanduknya mengecut. Aura kuning yang menyelimuti
dirinya mulai pudar daripada pandangan. Zahran meneruskan laungan azan sehinggalah
tubuh MD meletup kesemuanya. Seraya itu, langit Morway yang dulunya berwarna
kuning bertukar menjadi biru serta-merta.
Zahran mengucapkan syukur kepada
Allah. Dia sendiri tidak dapat memastikan rancangannya akan berjaya. Tidak ada
apa yang mustahil boleh terjadi di Morway. Zahran menghampiri Yasmin yang lesu.
“Cikgu Yasmin, awak tak apa-apa?” Yasmin menggeleng. Dia juga turut bersyukur
kerana MD telah dapat dihapuskan.
“Portal keluar untuk kita kembali
ke Bumi hanya beberapa langkah sahaja dari sini. Ayuh.”
“Kenapa mesti terburu-buru?” Hujung
senapang melekat pada belakang badan Zahran. Zahran menelan liur. Yasmin yang
masih terduduk juga terkejut. “Lutfi? Apa awak buat ni?”
“Oh ya, aku lupa mahu berterima
kasih kepada kau Yasmin kerana telah membawa aku ke Istana Kebenaran. Aku akan
dapat keluar dari Morway dan hidup di dunia manusia selepas ini. Cukup di sini
sahaja pertolongan kau, aku boleh teruskan dari sini,” Lutfi ketawa penuh
gembira. Yasmin menggeleng tidak percaya. “Aku minta maaflah. Nampaknya kau
terpaksa tinggal di sini untuk selama-lamanya!”
Banggggg!! Satu tembakan
dilepaskan. Darah mengalir dari tubuh Zahran. Zahran diselubungi kesakitan yang
amat. Rupanya, beginilah kesakitan yang dialami oleh orang yang ditembak.
Beginilah kesakitan yang dialami oleh manusia yang hampir menemui sakaratul
maut. Perlahan-lahan Zahran jatuh menyembah tanah. Lutfi menggeleng sambil
tertawa. Air mata Yasmin mulai bergenang.
“Cikgu Yasmin, macam mana pula dengan orang baik yang selalu tewas? Pada
hakikatnya, banyak golongan yang cuba mengajak kepada kebenaran ni tumpas di
pertengahan jalan, akibatnya kemaksiatanlah yang kian berleluasa. Macam mana
dengan janji Tuhan?”
Yasmin menghela nafas pendek, cuba memikirkan sesuatu untuk membalas
pertanyaan pelajar itu. Dia memang sudah menjangka pertanyaan yang sebegitu akan
ditanya oleh Hariri Aiman. “Hariri, betul apa yang awak cakap tu, kemaksiatan
semakin berleluasa sekarang ni. Tuhan sengaja turunkan ujian untuk kita usaha
sendiri menegakkan kebenaran di atas muka bumi ini. Dia ingin melihat sejauh
mana kesungguhan kita untuk menyebarkan risalahNya, sebab itulah kejahatan
boleh menang.”
Lutfi mengacukan pula senapangnya
ke arah Yasmin yang sedang menangis. Lututnya terasa longgar. Dia teringat
kembali kali pertama dia berjumpa dengan Cikgu Zahran di sekolah dulu.
“Saya tak fahamlah, Cikgu Arina. Saya fikir budak-budak tu akan hormat
saya memandangkan saya guru baru di sekolah ni. Saya cuma nak mengajar mereka,
saya nak jalankan kewajipan saya sebagai seorang pendidik. Sudah seminggu saya
di sini, budak-budak tu akan bising sahaja setiap kali saya mengajar tentang
komputer. Susah betul nak mengajar,” keluh Yasmin kepada Cikgu Arina. Cikgu
Arina sejak dia mula mengajar di situ.
“Tuhan itu Maha Adil. Sesiapa yang berkelakuan baik dan mengajak ke arah
kebenaran, Tuhan telah berjanji untuk menyenangkan urusannya. Tuhan tidak
pernah memungkiri janji, cikgu.” Cikgu Zahran meletakkan begnya di atas kerusi.
“Eh, Cikgu Zahran, macam mana kursus? Ok?” Cikgu Arina menyoal. “Penat
tetapi alhamdulillah bermanfaat. Siapa ni Cikgu Arina? Cikgu praktikal atau
cikgu baru?” Mata Zahran bertembung dengan mata Yasmin.
“Ha, Cikgu Yasmin, ini Cikgu Zahran, mengajar subjek Fizik. Cikgu
Zahran, ini Cikgu Yasmin, guru baru kita mengajar subjek ICTL. Kenal-kenal
sendirilah, ya?” Cikgu Arina bangkit dan bergerak keluar dari bilik guru.
“Erm, apa maksud Cikgu Zahran tadi? Saya tak berapa tangkap,” jujur Cikgu
Yasmin memberitahu.
“Cikgu Yasmin, kalau niat kita nak buat benda yang baik nawaitu lillahi
taala, insyaAllah semua urusan kita akan dipermudahkanNya. Cikgu baru seminggu
mengajar di sini, kan? Janganlah berputus asa, perjalanan hidup kita masih
panjang. Jangan biarkan orang lain yang menang,” Cikgu Zahran melemparkan
senyum.
Kini, Zahran sedang terbaring di
hadapannya, kaku. “Heh, sudahlah tu. Banjir pula Morway nanti!” Lutfi menyindir.
Picu senapang ditarik.
Bangggg!! Yasmin memejamkan mata.
Lama. Tidak ada kesakitan pun pada tubuhnya. Perlahan-lahan dia membuka mata.
Terhambur darah putih daripada mulut Lutfi. Dia telah ditembak dari belakang.
Perlahan-lahan, Lutfi menghilang dari pandangan. Karakternya telah terhapus.
Kamila setia berdiri sambil
memegang selaras senapang, tidak berganjak dari lokasinya. “Ka..Kamila?” Yasmin
tidak percaya. Apa lagi musibah yang akan menimpanya selepas ini?
“Yasmin, kenapa kau lari dari
rumah? Aku kan dah berjanji hendak menyediakan kau makan malam. Tak sopan tahu
keluar dari rumah aku begitu sahaja,” Kamila menggeleng. “Sa...saya tak faham.
Bukankah awak nak jadikan saya hidangan makan malam untuk binatang peliharaan
awak, Jordan?”
Kamila mengeluarkan seekor
makhluk berkepala arnab dan memiliki badan kucing yang dilihatnya ketika
mula-mula termasuk ke dalam Morway. “Inilah Jordan. Mungkin kau dah salah faham
barangkali. Jordan haiwan herbivor. Aku telah memetik banyak buah-buahan
untuknya pagi tadi. Tak mungkin aku akan jadikan kau hidangan untuk Jordan.
Hahaha.”
“Maafkan saya, Kamila. Tapi macam
mana awak boleh tahu jalan ke sini?”
“Aku pun tidak tahu. Mungkin aku
cuma mengikut naluri hati orang tua. Hahaha,” Kamila ketawa dengan lawaknya
sendiri. “Sebelum aku pulang, aku cuma nak serahkan kau sedikit hadiah daripada
Morway.” Kamila mengeluarkan sekuntum bunga berserta akarnya sekali. Bunga itu
sungguh cantik dan berwarna pelangi, tidak pernah dilihat di Bumi. Setelah
mengambil bunga itu, Kamila pulang sambil bercakap-cakap dengan Jordan, haiwan
peliharaannya.
Cikgu Zahran sibuk menanda buku latihan ketika Cikgu Yasmin masuk ke
dalam bilik guru. “Eh, tak balik lagi Cikgu Zahran?” Cikgu Yasmin terkejut.
Kebanyakan guru yang lain sudah pun pulang ke rumah untuk berehat.
“Cikgu Yasmin. Tak, saya belum balik lagi. Saya tunggu awak hari ni,”
Cikgu Zahran senyum menampakkan lesung pipitnya.
“Eh, tunggu saya. Kenapa?” Yasmin mengangkat sebelah keningnya.
“Boleh saya tahu alamat Cikgu Yasmin?”
“Kenapa?”
“Saya nak hantar rombongan, itu pun jika Cikgu Yasmin setuju.”
Air mata Yasmin masih menitis. “Maafkan
saya, Cikgu Zahran. Nampaknya saya telah percayakan orang yang salah sehingga
mengorbankan nyawa awak. Saya langsung tak marah pada awak. Semua yang terjadi
di Morway ini adalah takdir Tuhan yang tertulis untuk saya. Banyak yang saya
pelajari sepanjang berada di sini. Terima kasih, abang.”
Seraya itu, jari-jemari Zahran
sedikit bergerak. “Uhuk...uhuk...” Zahran terbatuk. Kesakitan pada tubuhnya
masih menyengat. Yasmin mengesat air matanya tidak percaya. “Alhamdulillah.
Abang dah sedar?”
“Yasmin...”
“Ya?”
“Awak panggil saya abang tadi?”
Yasmin tertawa.
***
“Agak-agaknya bagaimana keadaan
Cikgu Yasmin dan Cikgu Zahran sekarang? Hariri, saya betul-betul risau ni,”
Khairul Rafiq bermundar-mandir sejak tadi.
“Entahlah Rafiq, kita cuma boleh
mengharapkan yang terbaik sahaja. Kita sudah hantar Kamila untuk membantu
mereka. Walaupun saya tidak tahu apa yang terjadi, harapnya rancangan kita
berjalan lancar,” Hariri Aiman cuba menenangkan. “Ameen, insyaAllah.”
Tiba-tiba, laptop milik Cikgu
Yasmin memancarkan cahaya kuning yang sangat terang. Hariri dan Rafiq saling
berpandangan. “Mungkin ini mereka. Ke tepi,” Rafiq menarik Hariri menjauh
sedikit daripada laptop. Tepat seperti jangkaan mereka, Cikgu Yasmin dan Cikgu
Zahran kembali pulang ke dunia nyata. Hariri dan Rafiq memeluk Cikgu Zahran.
“Kesan tembakan pada tubuh awak
dah hilang,” Yasmin bersuara separuh teruja. “Luka-luka awak pun dah hilang,
alhamdulillah,” Zahran membalas. Mereka berdua tidak berasa sakit bahkan lebih
sihat daripada biasa. Begitulah kekuasaan Allah yang Maha Kuasa.
“Terima kasih Hariri, Rafiq sebab
banyak membantu cikgu dan Cikgu Zahran. Cikgu tahu, kamu berdua yang hantar
Kamila untuk selamatkan cikgu,” Yasmin tidak tahu bagaimana membalas jasa anak-anak
muridnya itu.
“Tidak ada apalah, cikgu. Cikgu
berdua adalah guru-guru kami. Cikgulah yang telah banyak berjasa kepada kami.
Kalau hendak diikutkan, jasa cikgu pada kami yang tidak mampu kami balas,”
Hariri Aiman tersenyum lebar.
“Marilah, cikgu hantarkan semua
pulang,” Cikgu Zahran merangkul bahu kedua-dua pelajarnya itu dengan mesra.
Yasmin menutup laptopnya dan menyimpannya rapi ke dalam beg. Sekuntum bunga
berwarna pelangi juga masih setia di dalam genggamannya. Selepas ini, dia mahu
menanam bunga tersebut. Bunga simbolik kepada sebuah perjalanan yang sangat
mencabar dan penuh makna buatnya.
Zumal suka sangat cerpen fiksyen macam nie. Sebuah hasil karya terbaik :)
ReplyDeleteWah panjangnya citer dia.hehe :)
ReplyDelete