Friday, 24 October 2014

Sedikit Kisah Hijrah



Assalamualaikum!

Salam Maal Hijrah, awal Muharram. Dah masuk tahun baru untuk kita yang beragama Islam. Adakah kalian rasa masa begitu pantas berlalu? Atau rasa biasa-biasa sahaja? 

Sebenarnya, masa tak berlalu dengan pantas pun. Masa tetap akan berlalu sesuai dengan ketetapan. Apa yang membezakan diri masing-masing adalah pengisian mereka terhadap masa itu sendiri. Kalau kita banyak kerjakan amal dan ibadah, masa akan berlalu dengan tenang, seolah-olah lama. Misalnya waktu baca al-Quran. Jam seolah-olah sangat malas untuk bergerak. Namun sebaliknya, jika kita pilih untuk kerjakan perkara yang tidak bermanfaat, sudah tentulah kita terasa seolah-olah masa sedang bergerak dengan sangat pantas. Scroll handphone, sembang kosong, menonton televisyen, bermain permainan video, dan sebagainya. Pejam celik pejam celik saja dah masuk tahun baru. Ya, saya akui saya pernah berada dalam kedua-dua situasi di atas. Itulah perbezaan antara mereka yang menggunakan masa dengan baik dan sebaliknya. 

Apa yang saya harapkan untuk tahun baru ini? Tak banyak. Semuanya Allah dah bagi serba serbi cukup. Alhamdulillah. Nikmat kesihatan, keselesaan, pembelajaran, rezeki, keluarga, kawan-kawan, dan banyak lagi. Jadi tak banyak yang saya harapkan. Cuma saya yang perlu lebih gigih berusaha untuk memastikan nikmat-nikmat itu tidak putus. Hendak sentiasa sihat, kenalah jaga diri. Hendak selesa, pandai-pandailah cari persekitaran sendiri. Hendak berjaya dalam pelajaran, sudah tentulah kena lebih banyak usaha. Allah dah bagi semua, cuma kita yang kena usaha lagi. Dan jangan lupa sertakan doa dalam setiap perkara yang dilakukan. InsyaAllah, peringatan buat diri ini juga.

Menyentuh tentang Maal Hijrah, sudah tentulah mengingatkan kita semua pada peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. yang menjadi titik permulaan kepada seluruh umat Islam. Hijrah bahkan membawa maksud sesuatu yang lebih daripada itu. Bagi saya, peristiwa hijrah ni seumpama satu galakan untuk manusia sentiasa mulakan sesuatu yang baru dalam hidup mereka. Perubahan. Nak mulakan sesuatu yang baru dan besar, memang bukan mudah tetapi tidak pula begitu susah. Sepanjang hidup saya selama 18 tahun yang dikurniakan Allah, saya sudah beberapa kali melalui proses perubahan, terutamanya dari segi personaliti. 

Bermula dari tadika, alam kita baru mengenali dunia sosial, sudah tentulah perkenalan dan persekitaran di tadika sangat asing bagi kita kerana terpisah dari keluarga untuk beberapa jam lamanya. Seingat saya, saya memang susah untuk buka mulut dan hanya bersembang dengan dua orang rakan sahaja. I don’t really have a good memory on those early days. Kemudian masuk pula ke sekolah rendah, hijrah saya agak ketara kerana saya sudah berani bersuara dan bergaul. Ketika darjah enam, para guru memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi ketua pengawas yang memimpin organisasi pelajar. 

Apabila di sekolah menengah pula, masuklah zaman kematangan. Saya jadi segan untuk bercakap dengan sembarangan orang. Dalam sesetengah situasi, sikap introvert saya memang banyak mendatangkan kelemahan berbanding kelebihan. Mungkin juga mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan kerana mereka yang banyak melakukan komunikasi untuk saya. Oleh itu saya banyak melakukan pemerhatian terhadap respons yang saya terima sebagai akibat karakter yang dibawa oleh saya. Alam di sekolah menengahlah yang paling banyak mengajar saya hakikat kematangan yang sebenar kerana ujiannya lebih banyak berbanding tadika dan sekolah rendah. Mungkin juga usia remaja yang menjadikan kita lebih banyak membuat keputusan dan berfikir. 

Kini, saya sendiri menyedari hijrah yang saya lakukan. Saya menjadi diri sendiri dengan semua orang, well, almost everyone. Saya tidak banyak memendam apa yang mahu saya ungkapkan. Saya akan meluahkannya, asalkan kata-kata itu berbaur positif. Saya menjadi lebih berani dan jujur terhadap diri sendiri. Alhamdulillah, hasil perubahan setakat ini, tidak langsung menimbulkan sebarang masalah terhadap dunia sosial saya. At least for now. 

Namun begitu, satu pesan saya buat para pembaca. Dalam hidup ni, terutamanya dalam proses hijrah, kita tak boleh berdiri sendiri. Kita perlu ada back-up, iaitu sokongan sama ada daripada keluarga, murabbi mahupun rakan-rakan. Mustahillah ada orang yang boleh berdiri dan berjaya dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa pun. Sedangkan Nabi Muhammad sendiri pun mendapat sokongan daripada Khadijah, lagikan kita yang tahap keimanan tak berapa nak kukuh ni. Paling penting, pergantungan kita terhadap manusia tidak boleh keterlaluan sehingga melebihi pergantungan terhadap Allah. Tak salah berdikari, tetapi akhirnya nanti jika rebah akan terasa perit jika tak ada yang tolong mengubati. Saran saya, banyaklah berdamping dengan guru atau pendidik kerana mereka merupakan insan yang kaya dengan ilmu serta berpengalaman luas. InsyaAllah, nasihat-nasihat yang diberikan mereka lahir dari hati yang tulus. Pendidik ni merupakan salah satu agen yang dihantar Tuhan untuk sentiasa mengingatkan kita yang sentiasa lupa.

Sebelum mengakhiri coretan ringkas ini, saya ingin memohon kemaafan kalian sekiranya pernah menyinggung kalian sama ada secara sedar atau tidak. Tegurlah saya jika salah kerana saya hanya manusia yang penuh khilaf. Semoga hasrat anda semuanya akan tercapai untuk tahun baru ini. Salam Maal Hijrah. 

No comments:

Post a Comment