Saya dan seorang rakan berbangsa Cina sedang duduk berehat sambil memerhatikan orang lain yang sedang menembak di lapangan sasar itu. Waktu itu, saya telah pun selesai menembak. Kami perhatikan sahaja suasana sekeliling. Tiba-tiba, dia bertanya kepada saya.
“Saya tahu orang Islam tak boleh sentuh antara lelaki dan perempuan. Semasa saya di PLKN dulu baru saya tahu lelaki dan perempuan Islam ni tak boleh sentuh. Handshake pun tak boleh. Kenapa?”
“Oh, itu untuk menjaga batasan pergaulan. Dalam Islam…” belum sempat saya berhujah panjang lebar dengan bangga tentang Islam, pertanyaan dia yang selanjutnya membuatkan saya tersentap.
“Tapi kenapa mereka tu boleh pegang belakang perempuan Islam sesuka hati?” Dia menunjuk ke arah anggota-anggota bertugas yang berdiri di belakang para penembak. Saya tersentap. Malu. Memang benar apa yang dikatakan rakan saya itu.
Saya kembali teringat semasa giliran saya menembak sebelumnya. Saya berusaha mengelak daripada bersentuhan dengan petugas yang menjaga saya sebab saya tahu aspek sentuhan di situ tidak terlalu dititikberatkan. Tapi ketika saya menembak, tubuh saya sedikit tertolak ke belakang dek kerana momentum tembakan yang menghentam kuat. Waktu itulah si penjaga menahan sedikit tubuh saya dengan tangannya takut saya terjatuh, padahal saya cukup yakin yang saya tak akan jatuh pun. Nasib untuk tembakan kali kedua dia tidak lagi menahan tubuh saya.
Berbalik kepada soalan rakan saya tadi, saya sebenarnya tak tahu nak jawab macam mana untuk menjelaskan situasi itu. Hendak kata darurat, sebenarnya tak adalah darurat sangat. Bukannya kecemasan pun. Menurut pendapat Imam Syafie, kita cuma dibenarkan untuk menyentuh bukan mahram dalam keadaan darurat seperti ketika berubat, pembedahan, mencabut gigi dan sebagainya, sekiranya tidak ada jantina sama yang boleh melakukannya. Kalau kes begini?
Saya tidak langsung menjawab pertanyaannya, sebaliknya bertanya soalan kepadanya. “You agama apa? Buddha kan?” Dia mengangguk. “Dalam kalangan penganut Buddha, ada 2 golongan. Satu golongan yang mengamalkan ajaran agama dengan taat. Pergi tokong, sembahyang. Satu lagi golongan tak berapa kuat buat ibadat. Tak amalkan sangat agama. Betul tak?”
Dia mengangguk lagi dan mengaku dirinya tidak percayakan Tuhan. Walaupun agama Buddha, dia tidak beribadat kepada Tuhan. Dia mempercayai sains yang menjawab segala-galanya tentang kejadian alam ini. Saya tidak terkejut mendengar pernyataannya kerana saya pernah bersembang dengan beberapa non-muslim lain yang juga tidak percayakan Tuhan.
Saya menyambung jawapan saya. “Dalam Islam pun ramai yang solat dan beribadat kepada Tuhan. Kalau you tengok hari-hari kami solat 5 kali.”
“Ha, betul. Saya selalu observe masa PLKN dulu.”
“Haa, tapi… bukan semua orang Islam tu amalkan konsep yang diajarkan dalam Islam dengan sepenuhnya. Kalau you nampak lelaki dan perempuan Islam pegang tangan atau shake hands, mungkin mereka masih belum dapat petunjuk lagi. Tapi kalau ikutkan, sebenarnya tak boleh pegang.” That’s the best random answer I could give her at the moment.
Dia mengangguk lagi. Saya tak pasti sama ada dia faham ataupun tidak. Kemudian dia lanjutkan lagi soalannya. Pagi sebelum ke lapangan sasar itu, dia memerhatikan peserta perempuan Islam bangun seawal 3 pagi dan mandi. Kemudian solat berjemaah. Untuk apa? Dan macam-macam lagi soalan lain.
Salah satu pertanyaannya lagi, kenapa saya memakai handsock walaupun memakai lengan baju yang panjang. Kata saya, perempuan Islam kena tutup sehingga sini (sambil menunjuk ke arah hujung lengan). Kalau terselak, nanti orang lelaki nampak.
Saya tidak keberatan menjawab soalannya, setakat yang saya mampu. Saya tak berani berhujah panjang, cukup memberi penerangan mudah untuk dia faham. Tapi saya rasa, walaupun dia faham dengan jawapan saya, susah nak tarik dia untuk menghayati nikmat Islam. Sebab dia memang berpegang kuat kepada Sains dan tidak percayakan Tuhan. Saya sangat berharap mampu untuk menjadi pengantara yang mengubah seseorang ke arah mendekati Allah, sambil memperbaiki diri saya sendiri. Banyak lagi ilmu yang perlu saya cari.
Sepanjang perkhemahan dua hari itu, banyak juga pengalaman baru yang saya timba. Salah satu yang membuat perut saya kecut apabila menjadi antara finalis dalam permainan “Simon Says” atau versi Melayunya “Jebat Kata”. Memang gelabah apabila dipanggil naik ke atas pentas. Siapa tak pucat? Tapi nak tak nak kita kena belajar untuk tangani saat-saat mengejutkan dengan tenang.
Pada awalnya saya masih mampu mengejar permainan bersama tiga finalis yang lain walaupun disaksikan oleh hampir 180 peserta yang lain. Tapi bila sahaja fasilitator memberi arahan untuk tutup mata, terus saya hilang fokus. Pada waktu itulah saya sedar kelemahan diri sendiri. Saya tak mampu untuk tumpukan perhatian jika menutup mata. Tapi rakan di sebelah saya mampu melakukannya dengan tenang seterusnya memenangi permainan dengan bergaya. Tahniah padanya. Saya sangat kagum.
Perkhemahan ini banyak memberikan kami peluang untuk belajar tentang erti kerjasama hingga kumpulan kami berjaya mendapat tempat ketiga (tetapi atas masalah teknikal diumum sebagai tempat keempat) dalam pertandingan memasak buah Melaka. Dapatlah hamper balutan sendiri.
Satu lagi pengalaman berharga apabila pertama kali memegang senapang patah. Selama ini saya asyik mendengar cerita orang, kali ini baru dapat pegang dan menembak. Saya teringat satu pernyataan yang pernah saya baca sebelum ini, walau apa pun bidang atau perkara yang kita buat, kita kena buat dengan sungguh-sungguh. Jadi semasa menembak, saya cuba sasarkan dengan baik dan tarik picu. Tapi saya tak nampak peluru mengenai sasaran atau tidak. Ingatkan tak kena langsung.
Sewaktu Husna (pengacara majlis) umumkan nama saya di tempat kedua, memang sangat awkward. Sudah tentu saya tak lupa ucap syukur. Pertama kali untuk beberapa tahun lamanya saya tak pegang piala. Eheh. Tapi kalau ikutkan, pencapaian tu bukanlah satu benda yang boleh dibanggakan sangat kerana markah saya cuma 24/90. Saya mungkin cuma bernasib baik kerana tidak ada yang mengatasi markah saya selain Fatin (25/90). Tahniah saya ucapkan kepada Fatin, Alia dan pemenang-pemenang lain.
Sesiapa yang cukup berani untuk pegang senapang patah dan menembak pun sebenarnya seorang pemenang sebab berjaya atasi perasaan takut dalam diri masing-masing.
No comments:
Post a Comment