Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Semalam saya berpeluang berkunjung ke karnival pendidikan yang dianjurkan MARA di Sunway. Sekadar nak tengok-tengok jika ada yang menarik hati. Kebanyakan booth di situ didirikan oleh pihak IPTS, tapi masih ada juga booth IPTA seperti USM dan UM. Sepanjang melewati booth di situ, banyak brosur yang saya terima.
Sebelum ini, saya tak pernah terfikir untuk mempertimbangkan IPTS sebab adik-beradik saya semuanya masuk IPTA dan saya menganggap kos belajar di IPTS adalah mahal. Kemudian saya singgah di booth Aswara. Saja duduk mendengar cerita tentang institut tersebut. Saya sudah pernah mendengar tentang Aswara sebelum ni. Aswara ni merupakan satu insitut yang dikhususkan kepada bakal penggiat seni. Ada banyak bidang yang ditawarkan seperti filem dan televisyen, penulisan kreatif, tarian dan sebagainya.
Saya pernah bercita-cita untuk menjadi pengarah filem, tetapi atas alasan yang tertentu saya sudah hampir-hampir melupakan hasrat itu. Tapi mendengar cerita dari pihak Aswara, saya mula rasa tidak mustahil jika saya ingin mengejar cita-cita tersebut. Tambahan lagi, Aswara ditanggung oleh dana yayasan jika tak salah saya. Jumlah bayaran untuk 3 tahun pengajian cuma sekitar RM7000 lebih. Bagi saya, ini boleh dikira murah berbanding dengan IPTS yang lain. Ada IPTS yang menelan belanja sebanyak puluh ribu untuk satu tahun pengajian. Kalau 3 tahun pengajian apatah lagi. Timbalan dekan Aswara sendiri pun turun padang semalam untuk merekrut pelajar baru.
Saya pun tak pasti kenapa saya langsung tidak memilih bidang pengarahan dalam pilihan UPU. Mungkin saya dah give up. Tapi mendengar cerita dari Aswara, memang agak menggoda. Aswara juga memiliki peralatan dan teknologi yang lebih canggih berbanding yang mungkin kita temui di IPTA. Dan jika saya memilih bidang perfileman, saya memang akan belajar pengkhususan dan teori perfileman. Saya juga berpeluang untuk meluaskan bakat ke cabang-cabang bidang seni yang lain.
Jadi, pihak Aswara langsung mengeluarkan surat tawaran temu duga untuk saya yang akan diadakan Mei nanti. Pesan timbalan dekan, saya perlu menunjukkan video-video yang pernah saya hasilkan ketika sesi temu duga nanti. Dan saya juga perlu mengetahui tentang filem-filem serta pengarah di Malaysia. Kalau yang itu, mungkin agak mencabar kerana saya tidak banyak menonton filem Melayu akhir-akhir ini. Kali terakhir pun saya menonton filem Terbaik Dari Langit dan saya tak berapa faham mesej dalam filem tersebut. Entahlah. Saya masih mempertimbangkan lagi tentang Aswara.
Setelah itu, saya sempat juga singgah di booth Undang-undang di bawah Universiti Malaya. Pensyarahnya sendiri yang berada di booth tersebut. Saya menunjukkan slip keputusan STPM setelah diminta. Beliau kata saya amat rugi kerana tidak memohon bidang undang-undang kerana keputusan STPM dan MUET saya amat melayakkan saya untuk jurusan itu. Beliau siap memberikan nombor telefon dan menyuruh saya menghubunginya jika saya dipanggil ke sesi temu duga. Saya pun tak tahu kenapa saya tidak memilih undang-undang dalam permohonan UM. Mungkin saya tidak mempunyai minat ke arah itu. Kata-kata pensyarah tersebut membuatkan saya ragu-ragu kembali terhadap pilihan saya, tetapi saya sudah pun mengesahkan permohonan UM dan tidak boleh diubah. Mungkin bukan jodoh saya dengan undang-undang. Eheh.
Kemudian, saya sempat juga singgah di booth USM. Di situ pun sekali lagi saya terbelenggu dalam membuat keputusan. Pihak yang bertugas di situ (saya tak pasti sama ada pensyarah atau pekerja) pula menyarankan agar saya mengambil bidang pengurusan setelah melihat slip keputusan saya. Dia juga mencadangkan beberapa pilihan lain yang kedengaran agak menarik. Jadi saya terbelenggu sama sekali untuk membuat keputusan, memandangkan saya masih tidak mempunyai pendirian yang tetap.
Saya minat untuk mencuba apa sahaja asalkan bidang itu tidaklah terlalu complicated bagi saya. Tapi bila ada banyak pilihan dan cadangan ni dah jadi dilema pula untuk memilih. Belum lagi kalau saya berkunjung ke karnival yang dianjurkan IPTA. Jika saya ke sana, kemungkinan besar saya akan banyak merombak kembali pilihan UPU saya. Nampaknya, saya masih tidak tetap pendirian.
Mindset saya ialah walau apa pun pilihan yang saya pilih, saya tak akan pernah tahu sama ada pilihan itu adalah yang terbaik untuk saya atau tidak. Tapi saya boleh pilih untuk menjadikan pilihan itu sebagai pilihan yang terbaik. Eheh.
Confused. |
Oh ya, by the way, saya juga ada upload video baru throwback 2015. Feel free to watch it. :)
No comments:
Post a Comment