Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Sudah hampir dua bulan lebih semenjak saya menjadi seorang guru tuisyen. Nak gelar diri sendiri seorang cikgu pun saya rasa janggal. Saya mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk pelajar UPSR. Apa yang boleh saya katakan, format UPSR kini berbeza dengan apa yang saya pelajari dulu. Dulu UPSR cuma ada lima subjek. Sekarang, sudah ada enam subjek kerana Bahasa Inggeris sudah dibahagikan kepada dua kertas, Comprehension dan Writing. Lebih kurang macam Bahasa Melayu. Dulu, saya belajar Sains dan Matematik dalam English, sekarang sudah ditukar semula ke dalam Bahasa Melayu.
Saya tak pasti tentang isu perdebatan yang mana satu lebih bagus untuk digunakan, tapi secara peribadi saya bersetuju dengan penggunaan Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik. Pada pendapat saya lebih banyak terma yang digunakan dalam Sains melibatkan penggunaan Bahasa Inggeris, jadi lebih bagus sekiranya para pelajar diberikan pendedahan awal dari sekolah rendah lagi. Melalui penggunaan English dalam kedua-dua subjek ni, saya rasa akan lebih banyak membantu pelajar dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Ya, saya akui kita perlu memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu, tetapi bukankah wujud juga slogan untuk memperkasakan Bahasa Inggeris?
Satu lagi yang baru saya tahu, mereka juga belajar subjek Sejarah di sekolah. Maksudnya, Sejarah sudah mula diajar di peringkat sekolah rendah. Baguslah begitu. Harapnya perubahan dalam sistem pendidikan boleh membantu dalam mencapai matlamat pendidikan negara.
Bercakap tentang pengalaman menjadi seorang pengajar, saya boleh katakan bidang ni agak mencabar untuk saya. Pertama, saya tak pernah berminat untuk menjadi seorang guru. Bukannya saya bermaksud untuk merendahkan profesion guru atau sebagainya bahkan sebaliknya. Mungkin ada banyak faktor kenapa menjadi cikgu bukan pilihan saya tapi basically saya tak ada minat yang menjerumus ke arah tenaga pengajar.
Kedua, saya mungkin boleh mengajar, tapi saya tak boleh jamin pelajar akan faham apa yang diajar oleh saya. Apatah lagi untuk mengingat topik yang dipelajari pada minggu sebelumnya. Sama seperti situasi yang selalu kita alami di dalam kelas. Cikgu akan selalu tanya sama ada kita faham atau tidak apa yang diajar oleh mereka, dan pelajar kebanyakannya akan mengangguk faham walaupun tidak faham. Dan apabila pelajar disuruh untuk menjawab soalan, kita tak boleh jawab sebab sebenarnya tak faham. Situasinya sama dengan apa yang saya alami ketika mengajar. Benda-benda ni merupakan satu cabaran untuk saya.
Saya menjadi guru tuisyen kerana hendak mengisi kekosongan tempat. Selepas dua bulan, saya tahu betapa susahnya nak mendidik. Sebab itu, saya tak boleh nak bahasakan diri sendiri sebagai seorang cikgu. Saya masih belum layak, tapi saya akan cuba perbaiki diri.
Jujur saya katakan, saya tak tahu kaedah pengajaran saya betul atau tidak. Untuk subjek English, saya cuba untuk bercakap full English dalam kelas tapi mendatangkan masalah kepada pelajar saya. Saya ajar basic Grammar, tapi kesalahan yang sama selalu berulang. Jadi saya pesan kepada mereka agar banyak membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris. Untuk subjek Matematik, saya rasa pengiraan tambah dan tolak mereka sudah mahir. Tapi banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk darab dan bahagi. Sama macam English, saya tak tahu macam mana nak bagi mereka mahir dalam Matematik. Jadi saya banyak tekankan sifir dan menyuruh mereka memperbanyakkan latihan sahaja. Untuk subjek Sains pula saya rasa ada banyak masalah dalam bahagian eksperimen. Saya akan cuba membantu setakat mana yang mampu.
Mengajar pelajar UPSR tak sama dengan mengajar rakan-rakan sekelas. Kalau rakan-rakan bertanya soalan yang mudah selalunya saya akan suruh mereka merujuk sendiri di dalam buku supaya lebih faham. Kalau ada soalan yang memerlukan penjelasan, saya akan memberi penjelasan sehingga mereka faham. Tapi saya tak boleh nak expect benda yang sama dengan pelajar saya. Kalau saya suruh mereka rujuk sendiri, apa fungsi saya sebagai guru? Dan saya tak rasa pelajar saya boleh faham penjelasan dengan pantas seperti rakan-rakan saya. Jadi sekali lagi, saya agak terbelenggu dengan kaedah pengajaran saya sendiri.
Apa pun, saya akan tetap mencuba yang terbaik sehinggalah mereka menduduki peperiksaan UPSR September nanti. Cuma saya tak rasa saya akan menceburi karier sebagai seorang guru pada masa akan datang. Saya mungkin masih lagi mencari sesuatu yang ingin saya pegang. Dan saya harap saya akan temuinya suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment