Thursday, 3 March 2016

Keputusan STPM



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Hampir satu tahun setengah menunggu hari semalam. Detik pengumuman keputusan STPM. Sebelum ini pun dah berkali-kali ambil keputusan peperiksaan penting. UPSR, PMR dan SPM. Jadi, sudah tidak ada lagi rasa gementar dalam diri. Entahlah. Mungkin cuma ada rasa tak sabar nak tahu keputusan. STPM agak berbeza dengan peperiksaan yang lain. Setiap kali peperiksaan penggal kita akan dapat tahu keputusan untuk penggal tersebut. Jadi untuk ketiga-tiga penggal STPM, pelajar dah boleh agak keputusan keseluruhan yang akan diperoleh berdasarkan pencapaian masing-masing. Saya malas mengira ikut panduan MPM, jadi saya buat anggaran kasar mungkin saya akan dapat sekitar 3.4 ke atas.

Sampai sahaja ke sekolah, kami dimaklumkan ada tiga pelajar mendapat pointer 4.00. Seorang Melayu, seorang Cina dan seorang India. Satu Malaysia. Ketiga-tiganya pelajar perempuan. Tahniah kepada mereka bertiga. Kalau tak silap tahun lepas pun ada tiga orang pelajar mendapat 4.00. Saya tak pasti adakah prestasi kami mencapai sasaran sekolah ataupun tidak, tapi dengar kata keputusan STPM 2015 meningkat dari tahun sebelumnya.

Selepas selesai mendengar ucapan, barulah saya menunju ke kaunter kelas. Main ambil sahaja fail dan koyak sendiri keputusan. Kawan-kawan kelas siap berkumpul menanti saya mengoyak slip. Gaya macam tunggu cabutan bertuah pula. Alhamdulillah, walaupun tak mampu mendapat 4 flat, saya mendapat 3.83. 3A dan 1B+. Keputusan yang agak unexpected bagi saya sebab saya buat anggaran kasar 3.40 lebih. Jauh dari expectation saya. Saya tak adalah teruja sangat, lebih kepada rasa lega kerana dapat melebihi pointer 3.50. Saya berasa lega kerana kebanyakan syarat untuk memohon biasiswa adalah 3.50 ke atas, jadi saya dapat memenuhi syarat kelayakan tersebut.  

Bercakap tentang biasiswa pula, agak susah nak cari biasiswa untuk lepasan STPM kerana rata-rata biasiswa yang saya lihat cuma dibuka untuk lepasan SPM. Kalau ada pun untuk lepasan STPM, kebanyakannya akan minta surat tawaran universiti terlebih dahulu. JPA pun sudah tidak menawarkan lagi biasiswa untuk pelajar. Jadi peluang untuk mendapat biasiswa sekarang ni saya lihat macam dah terhad. Saya bukannya apa, cuma rasa rugilah dah bersusah payah dapat 3.83 tapi tak dapat biasiswa. Buat masa sekarang, saya terpaksa tunggu tawaran dari pihak universiti dulu sebelum boleh memohon biasiswa.

Berbalik kepada cerita, setelah mendapat tahu keputusan masing-masing, saya dan rakan-rakan yang lain pun membuat kunjungan ke bilik guru. Alhamdulillah, nampaknya pensyarah yang mengajar kelas kami agak gembira dengan keputusan yang kami peroleh. Cikgu Ishak pun nampak lebih teruja dan gembira dari biasa. Bila diajak bergambar pun terus saja beliau bersetuju. Dulu selalu mengelak saja. Sebelum keluar dari bilik guru sempat juga saya mengutip nasihat dari pensyarah-pensyarah yang lain tentang universiti dan masa depan. Terima kasih semuanya atas tunjuk ajar dan nasihat yang diberi selama ini. Tapi saya tetap minta maaf sebab tak dapat mencapai expectation beberapa orang pensyarah untuk mendapat 4 flat. Saya lebih banyak main daripada bersungguh-sungguh. Maaf. 

Jadi satu bahagian sudah selesai. Keputusan STPM sudah tahu. Sekarang barulah permulaan kepada semuanya. Nak fikir nak mohon universiti mana, bidang apa, dengan yuran pengajian lagi. Kalau tersalah pilih, mungkin boleh bagi kesan negatif. Jadi perlu pilih dengan berhati-hati. Saya masih belum dapat membuat keputusan lagi, tapi yang pasti saya akan memilih bidang yang sesuai dengan apa yang telah dipelajari di peringkat STPM sebelum ini. Saya lebih runsing fikir tentang pencarian biasiswa daripada kemasukan ke universiti. Saya harap insyaAllah akan mendapat tawaran ke universiti pilihan. Cuma untuk biasiswa, kena banyak usaha.

Sebenarnya saya bersyukur kerana tidak perlu membelanjakan wang yang banyak di peringkat STPM. Serius saya katakan. Yuran pendaftaran cuma RM40 kalau tak salah saya. Duit buku dapat baucar RM250. Itu pun banyak lebih dulu. Yuran PIBG RM50. Kos-kos tambahan yang lain biasalah untuk beli uniform, kerja kursus dan sebagainya. Kalau diploma atau asasi, mungkin lebih banyak kos yang terpaksa dibelanjakan berbanding STPM. Secara ringkasnya saya boleh katakan konsep tingkatan enam ini agak relaks sedikit berbanding universiti. Rasanyalah. Kerja kursus pula kalau faham konsep dan apa yang dikehendaki sangatlah membantu.

Apa pun, saya nak berterima kasih kepada semua tenaga pengajar serta pihak yang terlibat termasuklah keluarga dan rakan-rakan atas sokongan yang diberikan. Saya harap keputusan yang tak seberapa ini bolehlah sedikit sebanyak membayar apa yang saya terima selama ini walaupun saya tahu saya tak akan pernah dapat membayarnya. Tahniah untuk semua yang berjaya, dan kepada yang kurang berjaya, ini bukanlah pengakhiran segala-galanya. Kegagalan tu bukannya bila gagal dalam pelajaran, tapi bila kita gagal teruskan perjuangan dalam hidup.

p/s: Tahniah juga kepada adik saya yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM hari ini serta semua calon SPM yang lain.




2 comments: