Tuesday, 17 July 2018

Cerpen: Sebelum Mutiara Hilang Sinarnya (Bahagian 1)


Cerpen kali ini, mungkin boleh saya kategorikan sebagai genre psikologi. Kalau dalam Microsoft Word, cerpen ini lebih kurang 25 halaman jadi saya pecahkan kepada dua bahagian. Tak mahu pembaca membaca secara meleret. Saya cuba bawakan cerita yang berlatarkan sekolah harian biasa, tapi kisah yang bukan biasa-biasa. Tak mahu cerita panjang, semoga pembaca akan terhibur!




“Manusia ni cuma alat mainan. Bila kau perlu, kau boleh guna. Bila tak perlu, buat apa kau simpan?”

***

“Omar, nanti pinjamkan buku latihan Matematik kau waktu rehat. Aku terlupa nak siapkan,” Han menepuk bahu rakan sekelas yang sedang beratur di hadapannya itu sambil melihat jam di tangan. Dua puluh minit lagi sebelum perhimpunan pagi bermula. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Metrojaya sedikit demi sedikit memenuhi tapak perhimpunan. Ramai juga yang baru tiba dengan kenderaan masing-masing.

“Nak pinjamkan macam mana. Ceritanya aku pun tak siap lagi,” Omar menjeling memerhatikan sahabatnya itu sambil tersengih. Lega kerana ada rakan yang sama-sama tidak menyiapkan tugasan sekolah.  “Han? Farhan?” Omar mengangkat kening sebelah, kehairanan. Pandangan Han sudah beralih ke arah lain dan kelihatannya dia tidak berminat lagi berbual tentang topik kerja sekolah. Omar menoleh ke kiri, mencari punca rakannya itu menjadi tidak fokus.

Seorang pelajar yang bertopi keledar merah muncul di tempat parkir motosikal yang terletak tidak jauh dari tapak perhimpunan sambil menunggang motosikal yang juga berwarna merah. Namun bukan itu yang menjadi tumpuan. Tiga orang pelajar lelaki yang berlari ke arah motosikal itu cukup menarik perhatian mata yang memandang.

“Omar? Siapa yang tunggang motosikal tu? Kenapa ramai yang datang berkerumun keliling dia?”

“Serius kau tak tahu?”

Han menggeleng.

“Itulah salah satu pelajar yang akan bertanding untuk calon presiden MPP. Kemungkinan besar aku rasa dia yang menang.”

“MPP? Majlis Perwakilan Pelajar? Kenapa kau rasa dia yang akan menang?” Han masih kebingungan. Yakin saja si Omar ini.

Omar menolak pipi Han ke kanan, kemudian ke arah yang bertentangan. “Han, bukan tiga orang tu saja yang kenal calon presiden MPP tu. Kau tengok sekeliling. Hampir semua orang di tapak perhimpunan ni sedang perhatikan dia.”

Han memerhatikan semula keadaan sekeliling tanpa bantuan Omar. Memang benar, hampir semua orang sedang melihat ke arah penunggang motosikal merah itu. Han kembali memerhatikan figura calon presiden MPP sekolahnya itu. Pelajar itu perlahan-lahan membuka topi keledarnya. Kedengaran beberapa pelajar perempuan berdekatan mula berbual-bual teruja. Han bergerak sedikit ke kanan untuk menangkap jelas wajah calon presiden MPP yang terlindung oleh kepala Salahuddin rakan kelas sebelah. Dia menolak kepala Salahuddin. “Tepi, aku nak tengok calon presiden tu.”

“Kacak!” Han tergamam. Walaupun dia seorang lelaki, dia sendiri sedikit teruja melihat wajah pelajar lelaki yang iras artis Korea itu. Calon presiden MPP itu melemparkan senyuman kepada tiga orang rakan yang menyambutnya. Senyuman itu seolah-olah mampu menyejukkan hati sesiapa yang melihatnya.

“Walaupun sukar untuk aku akui, nampaknya ada juga pelajar yang lebih kacak daripada aku,” Omar merungut di sebelah Han. “Kau tahu, dia bukan saja ada rupa, tapi juga selalu dapat nombor satu dalam tingkatan setiap kali peperiksaan.”

“Tahu kau ya? Aku tak pernah ambil tahu pun pasal pelajar senior kita.”

“Mestilah. Bukan tu saja, aku dengar cerita dia presiden baru Kelab Tae Kwon Do dan Kelab Bola Sepak tahun ni.”

“Dahsyat. Boleh ke jadi presiden banyak kelab?” Han masih diserang kejutan.

“Setiap pelajar sekolah kita kan wajib sertai sukan, kelab persatuan dan unit uniform. Tae Kwon dikira sebagai unit uniform dan bola sepak dikira sebagai sukan. Jadi aku rasa tak ada masalah pun. Untuk kelab persatuan, aku rasa dia masuk bawah MPP.” Omar melontarkan maklumat berguna hasil penyiasatannya selama ini.

“Dahsyat. Kalau beginilah calon presiden MPP sekolah kita, aku dapat rasakan pilihan raya sekolah kita kali ini akan jadi menarik!” Han separuh teruja.

***

Irwan melangkah masuk ke dalam kelas 5 Berlian sambil ditemani Azad, Rashid dan Karim yang sejak pagi tadi sudah menyambut kedatangannya di tempat parkir motosikal. Perhimpunan pada pagi itu disingkatkan kerana pengetua sekolah sedang berkursus di Pulau Langkawi.

“Irwan, macam mana nak jawab soalan nombor enam semalam?” Azad bersuara sejurus sahaja Irwan melabuhkan punggung di tempat duduknya yang terletak di barisan dua dari hadapan.

“Irwan, jom main bola kat padang sekolah petang ni? Tak cukup orang.” Rashid akhirnya menyuarakan hasrat hatinya yang sudah lama terpendam.

“Irwan, jom makan sekali rehat nanti?” Karim sudah membayangkan nasi lemak mak cik kantin yang enak disaluti sambal.

“Sibuklah. Aku kan yang tanya dia dulu.” Azad menolak sedikit Rashid dan Karim ke tepi untuk mendapatkan perhatian Irwan.

“Bola penting lagi!” Rashid menjeling Azad separuh menyinga. Siapa suruh rakannya itu tidak menyiapkan kerja sekolah sendiri.

“Tapi aku dah lapar,” Karim mengusap-usap perutnya yang sedikit buncit.

Irwan tertawa kecil. Matanya kelihatan hampir tertutup setiap kali dia tertawa. “Okey, okey. Nanti kita makan sekali waktu rehat ya Karim? Petang nanti, jumpa kat padang bola Rashid. Dan Azad, sini aku tunjukkan cara jawab soalan enam,” Irwan mengambil buku dari pegangan Azad dan mula menganalisis kehendak soalan.

“Irwan!” Satu suara kedengaran dari luar kelas. Keempat-empat mereka memandang ke arah luar. Kelihatan dua figura pelajar yang sedang melewati tingkap kelas. Seorang pelajar berkaca mata yang kelihatan ceria, manakala seorang lagi mempunyai rambut panjang yang hampir mencecah kolar bajunya. Pipinya mempunyai kesan parut yang tidak terlalu panjang, namun cukup untuk disedari oleh khalayak. Tidak ada senyuman yang terpancar pada wajahnya seperti pelajar-pelajar yang lain.

“Ada apa Syed?” Irwan masih kekal dengan senyumannya.

“Jumpa petang ni kat padang bola! Petang ni kita satu team, kalahkan Rashid!” Syed melaung sambil melambai, isyarat mahu bergerak ke kelasnya sendiri. Pelajar di sebelahnya sekadar membuntuti Syed.

Sejurus sahaja mereka beredar, Azad duduk di sebelah Irwan. “Kau orang tengok si Huzaifah tadi?”
“Huzaifah mana?” Karim memasukkan gula-gula ke dalam mulutnya.

“Ala, Huzaifah yang jalan sebelah Syed tadi. Kau ni Karim, nama saja Presiden Kelab Memasak, ahli kelab sendiri pun takkan tak kenal?”

“Aha, aku baru teringat. Yang senyap-senyap masa perjumpaan kita hari tu. Kenapa dengan dia?”

“Aku dengar cerita, dia kena panggil dengan kaunselor dan guru disiplin sekolah. Kes buli pelajar. Tengok muka tiada perasaan tu pun dah boleh tahu karakter dia.”

“Serius?” Rashid separuh terkejut. Setahunya, SMK Metrojaya jarang dikhabarkan dengan kes buli di sekolah.

Azad menoleh ke arah Irwan. “Kalau tak silap aku, dia sekali Kelab Tae Kwon Do dengan kau orang kan? Irwan, Rashid, kau orang tak ada dengar cerita apa-apa?”

“Kau orang ni, tak baik bergosip pasal orang lain. Daripada habiskan masa bergosip, baiklah gunakan masa sementara cikgu belum masuk ni untuk ulangkaji,” Irwan tersengih. Azad, Karim dan Rashid berpandangan sesama sendiri. Malu pula rasanya ditegur oleh pelajar nombor satu dalam tingkatan itu.

“Baik, bos!” Serentak ketiga-tiga pelajar itu bersuara sambil mengeluh kecil. Sedar tidak sedar, panggilan bos untuk Irwan sudah sebati buat mereka.

“Janganlah panggil aku bos,” Irwan tertawa. Pandangannya menuju ke luar tingkap, tempat Syed memanggilnya tadi. Tawanya mati.

***

“Nasi lemak! Sungguh enak menawan hati. Oh nasi lemak!” Omar menyanyi riang irama lagu ‘Nasi Lemak’ yang diciptanya sendiri sambil meletakkan pinggan di atas meja. “Han, nak rasa sikit nasi lemak aku?” Tiada jawapan. Han seolah-olah terhanyut dalam lamunannya. “Han?” Han terkedu. Tidak jauh di hadapannya, satu pergaduhan sedang berlaku!

“Kau dah kenapa? Sengaja langgar Irwan?” Azad meninggikan suaranya. Tidak peduli pelajar sekeliling yang sedang menjamah selera di meja masing-masing. Beberapa saat sebentar tadi, pelajar lelaki di hadapannya itu kelihatan sengaja melanggar Irwan sehingga makanannya tertumpah di atas lantai. Azad cukup mengenali pelajar itu. Mohammad Ishak. Pelajar kelas 5 Zamrud, kelas terakhir dalam tingkatan. Selalu ponteng kelas dan kerap juga dipanggil ke bilik kaunseling. Sebelahnya, juga satu figura yang dikenali. Huzaifah, pelajar berparut di pipi yang disyaki terlibat dalam kes buli sekolah.

“Oh, lain kali gunalah mata. Mata letak kat mana? Lutut?” Ishak mengangkat kening sebelahnya. Ya, memang dia sengaja melanggar Irwan sebentar tadi. Pantang matanya melihat MPP seperti Irwan. MPP cuma tahu mencari kesalahan dan mengadu kepada guru disiplin. Memang tidak ada kerja lain. Apabila MPP sendiri yang membuat kesalahan, tak ada pula yang pergi mengadu.

“Kurang ajar!” Azad mengepal buku limanya. Dia mengangkat tangannya, mahu melayangkan satu tumbukan ke arah tubuh Ishak. Ishak tersengih. Umpannya menjadi. Namun belum sempat tumbukannya mengenai wajah Ishak, Irwan menghalang tumbukan Azad dengan tangan kirinya.

Suasana tegang. Semua mata tertumpu kepada sinetron di tengah kantin itu.

“Maafkan saya. Lain kali saya hati-hati,” Irwan melemparkan senyum. Ishak kaget. “Hmpphh!” Pelajar itu berlalu pergi. Rancangannya untuk menjatuhkan nama baik MPP gagal.

“Ishak tu, kawan?” Irwan separa berbisik kepada Huzaifah yang masih berdiri di situ. Huzaifah masih dengan muka tiada perasaan. Dia menggeleng, lantas berlalu pergi. Azad sempat melihat Irwan berbisik sesuatu namun fokusnya lebih tertumpu kepada figura Ishak yang berlalu pergi.

“Maafkan kami sebab peristiwa tadi. Semua dah settle. Semua boleh sambung makan,” Irwan memohon maaf kepada pelajar-pelajar yang sedang menjamu selera di kantin. Azad mengeluh tidak berpuas hati. Karim meneruskan suapan nasi lemak ke dalam mulutnya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebentar tadi.

Han menampar bahu Omar yang kembali menyuap nasi lemaknya. “Omar, bagusnya si Irwan tu. Padahal terang-terang pelajar tu sengaja langgar dia. Tabiklah!” Han mengangkat tabik meskipun hanya Omar yang dapat melihat perbuatannya itu.

“Kalau aku jadi perempuan, dah lama aku jatuh hati kat dia,” Han masih kagum. Omar menjauhkan diri sambil mengangkat keningnya sebelah, tanda tidak percaya dengan kata-kata Han.

“Guraulah, gurau!” Han ketawa. Omar menarik nafas lega. Suapan nasinya diteruskan. “Omar?”

“Apa?” Omar mengunyah nasi di dalam mulutnya.

“Ada Kelab Peminat Irwan tak? Aku nak masuk.” Dan satu tumbukan melayang di belakang kepala Han.

***

Irwan mematikan enjin motosikalnya. Dia membuka pintu rumah dan menuju ke biliknya. Satu tumbukan kuat dilayangkan ke dinding. Jantungnya berdegup kencang. Badannya terasa hangat.

“Tak guna! Tak guna! Benar-benar tak guna! Teruknya hidup aku hari ini. Budak bertiga tu ingat mereka setaraf dengan aku? Buat kerja sekolahlah, main bolalah, makan sekalilah. Tak guna!” Satu lagi penumbuk kuat dilayangkan ke dinding. Titisan darah mula mengalir jatuh mengenai lantai.

“Kalau bukan sebab mereka bertiga presiden kelab, tak mungkin aku nak bergaul dengan budak-budak hingusan tu. Tak setaraf dengan aku. Tak guna!” Irwan memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangannya. Matanya menunduk ke lantai memikirkan sesuatu.

“Ahhh! Bahu aku! Budak tadi langgar aku! Tak guna! Kau akan terima balasannya sebab dah langgar bahu aku!” Irwan meramas-ramas rambutnya. “Ah, aku kena mandi. Aku dah kotor dengan tubuh-tubuh manusia!” Baju sekolahnya dibuka dan dicampakkan jauh ke sudut bilik. Irwan memandang ke arah sudut tempat bajunya dilemparkan.

“Ahhh. Aku terlupa.” Di hadapannya, seorang kanak-kanak kecil sedang menangis teresak-esak, mulutnya diikat dengan kain. Tangan dan kakinya terikat dengan selotep dan tali rafia. Irwan segera berlari, memeluk tubuh kecil di hadapannya itu. Kain di mulutnya dibuka. Kanak-kanak berusia enam tahun itu menangis sekuat hati. Irwan memeluk kuat tubuhnya.

“Shhh! Shhhh! Jangan nangis. Maafkan abang. Abang terlupa buka ikatan adik. Maafkan abang.”

“Abang kenapa ikat adik?” suara kanak-kanak itu tersekat-sekat diselangi tangisan.

Irwan memegang pipi adiknya Irham. “Adik… lain kali adik nak ikut ayah kerja?” Irwan menyeka tangisan adiknya.

Irham menangis kuat. “Adik… adik nak ikut ayah.”

Paaaapppppp! Satu tamparan melayang di pipi kiri Irham. “Tak faham lagi ke? Aku kata duduk rumah, duduklah rumah!” Irwan menengking. Irham terkelu. Tangisannya tidak berhenti.

“A…adik… adik tak ikut ayah.” Irham mengalah.

“Ha, macam itulah adik abang. Adik kena temankan abang,” Irwan merangkul tubuh kecil Irham. “Abang akan jaga adik. Shhhh. Jangan nangis. Shhhhh.”

***

“Irwan, kenapa kau masih belum buat poster lagi untuk bertanding?” Rashid menarik kerusi kosong di hadapan Irwan. Entah ke mana tuan punya kerusi menghilang. Dia tidak peduli.

“Iya lah Irwan. Bukankah sepatutnya kau dah mulakan kempen?” Azad di sebelah mencelah.

“Bertanding? Untuk presiden MPP? Entahlah, macam tak layak saja aku,” Irwan tersengih sambil mengusap belakang kepalanya.

“Kau jangan berguraulah Irwan. Tak ada calon lebih layak daripada kau. Erm, tapi si Arif Ikmal kelas sebelah pun macam hebat juga.” Azad memegang dagunya tanda berfikir.

“Arif Ikmal? Kelas 5 Delima? Boleh jadi juga. Hebat juga Arif tu, dapat menang nombor tiga pertandingan catur di Jepun hari tu. Sekolah siap buat banner lagi sambut kepulangan dia. Aku hairan juga kenapa orang genius macam dia tak masuk kelas 5 Berlian,” Rashid mengutarakan pendapat.

“Tak apalah. Setiap kelas hantar seorang calon presiden bukan? Kalau dia dari kelas 5 Berlian juga, susah nanti nak pilih calon presiden wakil kelas kita. Erm, tapi aku tetap akan sokong Irwan. Irwan nombor satu dalam sekolah kita. Hidup Irwan!” Azad cuba membodek. Rashid membuat muka menyampah. Kadang dia hairan macam mana orang cepat naik angin seperti Azad boleh bertukar jadi karakter mengada.

“Bukannya hebat sangat pun aku. Aku rasa segan nak buat poster dan tampal sekeliling sekolah. Macam angkat nama sendiri,” Irwan ketawa kecil. Azad dan Rashid saling berpandangan, seolah-olah kuasa telepati telah menggabungkan minda mereka.

“Kau jangan risau Irwan. Aku, Rashid dan Karim akan uruskan semua tentang kempen kau. Kami yakin kau akan menang. Anggap saja gantung-gantung poster semua itu dah selesai!” Azad menggenggam penumbuk, penuh semangat. Presiden Kelab Bola Tampar itu memang bersemangat tentang hal-hal membuat promosi kelab dan semua jenis promosi.

“Eh? Kenapa libatkan aku sekali? Aku sibuk minggu ni dengan pertandingan memasak kelab,” Karim di belakang yang sedang mengunyah gula-gula terkejut namanya diseru.

“Bukannya kau yang masak pun, kau mesti jadi juri saja! Itu motifnya kau jadi presiden kelab kan?” Azad tidak berpuas hati.

“Haha. Sudah, jangan gaduh. Kalau macam tu, aku bergantung kepada kau bertiga,” Irwan menembak senyuman.


***

Irwan mendaratkan tubuhnya di atas sofa ruang tamu. Adiknya Irham sedang menonton siri animasi Upin dan Ipin yang sedang ditayangkan di televisyen. Kanak-kanak itu sejak tadi duduk di hadapan televisyen tanpa berganjak.

“Adik.” Irham berpaling seketika, kemudian berpaling semula ke arah televisyen. Irwan berfikir sesuatu sebelum menyambung ayatnya. “Apa yang menarik sangat dengan catur? Main atas papan yang sama saja. Corak permainan pun lebih kurang sama. Lebih baik main bola sepak, bolehlah juga keluarkan peluh. Macam mak selalu kata, badan cergas otak pun cerdas,” Irwan membebel sendirian. 

“Adik. Antara catur dengan bola sepak, yang mana lagi menarik?”

Irham masih khusyuk menonton televisyen.

“Adik! Catur dengan bola sepak, mana lagi menarik?” Irwan mengulangi soalannya, kali ini dengan nada yang lebih tinggi.

Irham berpaling. “Catur!” jeritnya tanpa banyak berfikir. Irham menoleh ke hadapan semula menyaksikan watak Jarjit yang sedang berteka-teki dalam animasi Upin dan Ipin. Irham tertawa mendengar teka-teki yang lucu baginya.

Paaappppp! Satu pukulan keras mengenai belakang kepalanya menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh ke hadapan, hampir mengenai skrin televisyen. Irham mula menangis. Belakang kepalanya terasa hangat.

“Kan mak dah cakap, berpeluh lagi sihat. Yang kau suka sangat catur tu kenapa? Kau ingat dengan catur, kau dah hebat sangat? Boleh menang presiden MPP? Empat tahun aku berhempas pulas dalam MPP, kau ingat dengan catur, boleh kalahkan aku? Ini Irwanlah!” Irwan ketawa terbahak-bahak. Irham masih menangis kesakitan.

Irwan berjalan mundar-mandir di ruang tamu sambil berfikir sesuatu. “Tak… tak mungkin dia menang. Aku lagi hebat. Aku presiden Kelab Tae Kwon Do, presiden Kelab Bola Sepak, pelajar paling cemerlang dalam tingkatan, kacak, berduit.” Langkah Irwan semakin laju. “Tapi bukan duit aku. Duit ayah. Bukan kaya sangat. Tapi taklah miskin sangat.”

“Aha! Pelajar perempuan, mesti akan undi aku. Sudah berapa kali aku dapat confession? Cikgu-cikgu sekolah kenal aku. Aha… aku yakin aku akan menang. Betul tak adik? Abang akan menang kan?” Irwan memandang Irham yang masih terbaring menangis.

“Woi, jawablah!” Irwan menendang perut Irham sehingga tubuh kecil itu terganjak ke kanan. Dia mencangkung, memerhatikan sekujur tubuh yang kesakitan itu. Irwan mencengkam rambut Irham sehingga mata mereka bertembung. Irham masih menangis. “Abang akan menang, kan?”

“Me… menang,” Irham menggagahkan diri untuk menjawab pertanyaan abangnya. Irwan melepaskan cengkaman rambut adiknya. Dia mengusap lembut kepada Irham, menarik tubuh kecil itu masuk ke dalam dakapannya. “Shhh.. jangan menangis. Abang akan menang. Shhh…” belakang tubuh Irham diusap.

Ketika itu, kedengaran suara orang memberi salam dari luar rumahnya. Irwan bangkit, melepaskan Irham dari genggamannya. Irham berlari masuk ke biliknya. Pintu rumah dibuka. Seorang lelaki yang mempunyai parut di pipinya sedang berdiri di hadapan rumah.

“Jai! Masuklah, aku ada game baru untuk kita main. Ayah aku belikan,” Irwan tersengih teruja. Huzaifah membuka kasutnya, menuju masuk ke ruang tamu rumah banglo itu. Huzaifah membuka televisyen dan memasang CD game yang dimaksudkan Irwan. Dia sudah menghafal hampir setiap sudut rumah itu, kecuali bilik Pak Cik Shah yang terletak di tingkat atas.

Skrin di kaca televisyen menunjukkan karakter pemain yang perlu dipilih. Huzaifah membuat pilihannya. Dia memandang Irwan di sebelah yang kelihatan teruja mahu bermain permainan baru itu.

“Wan. Kau dah tengok poster-poster kau yang tergantung kat sekolah?”

“Oh.. poster? Dah siap gantung? Presiden Kelab Bola Tampar tu.. siapa namanya.. Azad kot. Dengan kuli-kuli yang lain pasang agaknya.” Irwan memilih pedang sebagai item pertarungannya. Huzaifah menghela nafas panjang.

“Wan. Kalau kau nak jadi presiden, aku rasa kau yang kena pasang sendiri poster tu. Dan hal-hal pilihanraya yang lain, kau tak boleh serahkan dekat kawan-kawan kau yang lain saja.” Huzaifah menekan butang ‘Main’. Karakter game mereka dibawa ke kawasan gunung yang agak gelap. Zombi dan penjahat mula muncul satu demi satu.

“Apa kau merepek? Bukan aku yang suruh. Dia orang sendiri yang sukarela. Aha… satu lagi. Dia orang bukan kawan-kawan aku. Dia orang semua plastik saja. Berkawan dengan aku semua untuk kepentingan masing-masing. Aha.. tapi kau terkecuali. Kau saja yang aku anggap kawan,” Irwan melibas kepala zombi yang menghalang laluannya, tetapi zombi itu masih belum tewas.

“Kenapa kau kata dia orang plastik?”

“Aku tak suka dia orang. Dia orang kata kau senyaplah, kau buli oranglah, kau muka tiada perasaanlah. Aku benci.”

“Kalau macam tu, kenapa kau tak bagitahu saja dia orang?” karakter permainan Huzaifah tertewas, namun masih tinggal dua nyawa.

“Aku tak boleh bagitahu dia orang yang kau kawan aku. Kalau aku ada kawan dari kelas paling corot, jatuhlah reputasi aku. Kau pun jangan pandai-pandai bercakap dengan budak-budak tu,” Irwan menjeling Huzaifah sekilas, sebelum matanya melekat kembali pada kaca skrin. “Ingat Jai, kat sekolah, jangan cakap dengan aku.” Nada suara itu mendatar, namun Huzaifah tahu keseriusan di balik kata-kata itu.

Huzaifah memandang kaca skrin dengan pandangan kosong. Dia hanya mengikuti corak permainan Irwan bukan kerana gentar, namun untuk menjaga emosi rakan baiknya itu.

“Wan. Aku rasa… kau dah banyak berubahlah sejak…”

Irwan memotong ayatnya. “Berubah? Apa yang berubah? Aku rasa, aku semakin kacak adalah.”

“Bukan tu maksud aku.”

“Keputusan peperiksaan? Aku rasa aku tak pernah berganjak dari dapat nombor satu,” Irwan menekan kuat punat pada game controller.

“Bukan peperiksaan.”

“Aha, kau risau pasal Lisa? Jangan risaulah, aku dah reject dia. Aku kan dah ada kau. Haha,” Irwan ketawa sendiri dengan lawaknya yang dirasakan kelakar.

“Bukan pasal Lisa. Tapi, lebih kuranglah. Wan, kenapa kau tak nampak niat baik orang kat kau? Kenapa kau dah tak percaya dengan orang lain?” Huzaifah cuma selongkar rahsia hati rakannya itu. Penjahat yang baru muncul di kaca skrin ditembaknya.

Irwan ketawa terbahak-bahak. Lucu mendengar pertanyaan rakannya. Huzaifah menoleh ke arah Irwan. Wajahnya serius, langsung tidak dijangkiti ketawa lelaki itu. Irwan mula berhenti ketawa secara tiba-tiba. Namun pandangan matanya masih ke arah skrin.

“Manusia ni cuma alat mainan. Bila kau perlu, kau boleh guna. Bila tak perlu, buat apa kau simpan?” Irwan bercakap dengan nada serius.

Huzaifah terkejut dengan ayat yang dilontarkan itu. Dia tidak sangka, Irwan yang dikenalinya sejak sekolah rendah akan mengeluarkan ayat sedemikian. Huzaifah menelan liur. Irwan memandang Huzaifah kembali. Tawanya pecah. Tangan kirinya melingkar ke belakang bahu Huzaifah.

“Hahaha. Tapi jangan risau, walau apa pun yang terjadi, kau seorang saja kawan aku. Aku takkan biarkan apa-apa yang buruk terjadi kat kau. Hahaha,” Irwan masih dengan tawanya. “Kau… banyak tanya soalan kan hari ni? Sekarang aku nak tanya kau pula. Apa hubungan kau dengan Syed?”

“Syed? Kelas 5 Delima? Oh, dia pernah ajak aku main bola sekali. Lepas tu, jadi kawanlah kot. Kenapa?”

Zaaapppppp!!! Game controller Irwan dilempar mengenai kaca skrin televisyen. Namun skrin yang tebal itu mampu bertahan dari retak atau pecah.

“Ahhhhhhh! Mati!” Irwan memegang kedua-dua belah kepalanya. Karakter permainannya telah tewas. Dia bangkit, menuju ke arah televisyen dan menghentak peti itu dengan kedua-dua belah telapak tangannya. “Mati! Mati! Mati!”

Huzaifah segera bangkit, menghalang rakannya itu daripada mencederakan tangan sendiri. “Wan, kau kenapa? Ni game saja!” Huzaifah meninggi suara. Irwan menolak pasu bunga yang terletak berhampiran televisyen sehingga terjatuh dari kabinet. Kaca bertaburan di atas lantai.

“Wan!” Huzaifah menolak bahu Irwan kuat untuk menyedarkannya. Bukan pertama kali dia melihat Irwan hilang kawalan seperti itu.

Irwan menarik nafas panjang. Nafas sedalam-dalamnya. Akhirnya tawa pecah dari mulutnya. Dia memandang Huzaifah. “Jai, big boss tadi muncul tiba-tiba. Aku rasa kalau aku nak lindungi kau, aku kena bunuh dulu big boss sebelum cari magic item. Hahaha!”

Huzaifah mengakui kebenaran kata-kata Irwan. Namun jauh di sudut hatinya, ayat itu agak menggentarkan.

***

Suasana berkempen semakin terasa kehangatannya di SMK Metrojaya. Seramai lima orang MPP yang bertanding untuk menjadi presiden pada tahun ini. Wakil dari kelas 5 Berlian, 5 Delima, 5 Intan, 5 Mutiara dan 5 Nilam. Kelas 5 Zamrud tidak menghantar wakil. Poster-poster berkempen sudah dinaikkan di hampir setiap pelusuk kawasan sekolah. Perhimpunan pagi pula lazimnya akan dipenuhi dengan manifesto-manifesto daripada calon-calon presiden.

Hanya tinggal tiga hari sahaja lagi untuk hari mengundi. Selepas tamat sesi persekolahan, Irwan memutuskan untuk berjalan keliling sekolah untuk melihat poster-poster yang telah digantung sejak minggu lepas.

“Abang Irwan!” Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga menghampiri Irwan yang kelihatan bersendirian. Irwan menghentikan langkahnya, menoleh belakang ke arah punca suara tersebut. Terdapat tanda nama Syarifah pada tudungnya. Pakaiannya yang berwarna kuning menunjukkan dia seorang pengawas perpustakaan.

“Saya?” Irwan melemparkan senyuman, langsung mencairkan hati Syarifah. Syarifah mengeluarkan sekeping kad dari poket bajunya, menghulurkan kepada Irwan. Matanya menunduk ke lantai akibat malu. Sudah hampir seminggu lebih gadis itu memberanikan dirinya untuk bercakap dengan calon presiden MPP sekolah itu. Sudah tujuh keping kad yang dibuangnya kerana takut tersalah tulis dan tidak cantik.

“Apa ni?” Irwan menyoal dengan nada lembut.

“Ni.. ni kad ucapan good luck untuk Abang Irwan. Saya akan undi Abang Irwan untuk presiden!” gadis itu masih menunduk.

“Syarifah… kan? Kenapa pandang bawah?” Irwan ketawa kecil, menampakkan lesung pipitnya. Syarifah mengangkat kepalanya. Pandangan mata mereka bertembung.

Irwan mencapai kad dari tangan gadis itu. “Terima kasih. Harap kad ni akan datangkan good luck kat saya,” senyumannya masih melekat. Syarifah terasa seolah-olah dirinya sedang dipanah petir saat itu.
“Sa.. sama-sama,” gadis itu kemudian beredar, mendapatkan rakannya yang sudah menunggu di hujung koridor bangunan.

Irwan menghantar kedua-dua pelajar perempuan itu dengan senyuman. Sejurus sahaja mereka hilang dari pandangan, senyumannya turut menghilang. Kad di tangannya segera dikoyakkan kepada empat bahagian, dilemparkan ke dalam tong sampah yang kebetulan berada di sebelahnya. Langkahnya diteruskan sambil matanya meliar melihat poster-poster calon lain yang tergantung di sekitar koridor tingkat tiga bangunan itu. Langkahnya terhenti setelah melihat sesuatu yang menarik perhatiannya.

“Menarik!” bicaranya sendiri. Tidak jauh di hadapannya, dia melihat kelibat seorang lagi calon presiden MPP yang lain bersama kaki ponteng sekolah. Arif Ikmal, pemain catur kebangsaan yang sedang berdiri di hujung tangga dan Mohammad Ishak yang berdiri di hadapannya. Bangunan itu mempunyai dua tangga, sebelah kiri dan kanan. Irwan mengundur ke belakang, turun ke tingkat dua melalui tangga kiri dan cuba untuk mendengar perbualan mereka dari tangga bawah.

“Kenapa kau hisap rokok lagi pagi tadi? Bukankah aku dah bagi amaran, kalau aku jumpa kau hisap rokok dalam tandas lagi, aku akan laporkan kepada Cikgu Kamal.” Irwan mendengar jelas suara itu. Namun itu bukan suara Mohammad Ishak kerana dia pernah mendengar suara kaki ponteng itu sebelum ini. Dia yakin, itu suara Arif Ikmal, MPP sekolah.

“Macam ni lah MPP. Kerja nak buat laporan saja. Eh, baik kau jadi wartawanlah daripada main catur 24 jam,” Ishak menyindir MPP di hadapannya itu.

“Itu memang tanggungjawab MPP. Aku cuma jalankan tanggungjawab aku.”

“Boleh jalanlah kau dengan tanggungjawab kau tu! Kau dengan Irwan tu sama saja. Kuli sekolah. KAu ingat dengan jadi MPP, masa depan kau dah terjamin?” Irwan tersentap apabila namanya disebut. Tangan kanannya mula menggenggam penumbuk. Hatinya masih cuba bersabar memandangkan dia masih berada di kawasan sekolah.

“Jangan samakan aku dengan Irwan. Aku tak tahu apa kaedah dia, tapi aku tak suka cara dia gunakan kawan-kawan dia untuk selesaikan semua kerja. Masa depan aku memang belum terjamin, tapi sekurang-kurangnya aku buat benda yang betul,” Arif Ikmal melontar pendapat.

Irwan sudah menggelegak. Bukan saja pelajar nakal sekolah menghinanya, calon presiden itu juga terang-terangan menghinanya. Dia tidak boleh membiarkan mereka berdua terlepas! Dia menjenguk sedikit kepalanya untuk melihat situasi, namun belum sempat dia berbuat apa-apa, Ishak sudah melayangkan satu penumbuk tepat mengenai hidung Arif Ikmal. Arif Ikmal menekup wajahnya yang kesakitan.

“Peluang!” Irwan meluru naik ke atas, memeluk perut Arif Ikmal dari belakang dan melemparkan tubuh itu ke bawah. Gelarannya sebagai pemegang tali pinggang hitam Tae Kwon Do memang berguna pada saat itu. Arif Ikmal terguling jatuh ke bawah dan kepalanya terhantuk ke dinding menyebabkan pelajar itu pengsan. Ishak sedikit ternganga, tidak percaya dengan kejadian yang berlaku di hadapannya itu.

Mata kedua-dua lelaki itu bertembung. Bulu roma Ishak menegak. Renungan mata itu tidak sama dengan pandangan mata mereka yang bertembung di kantin suatu ketika dulu. Renungan mata itu, ibarat seekor ular yang sedang menunggu untuk mematuk mangsanya.

“Arif! Arif!” Suatu suara kedengaran dari tingkat bawah. Mereka berdua cukup mengenali suara itu. Suara guru disiplin sekolah yang cukup terkenal dengan ketegasannya. Cikgu Kamal. “Arif!” suara itu semakin menghampiri.

Irwan pantas berlari turun tangga, mendakap tubuh Arif Ikmal yang masih tidak sedarkan diri. “Arif! Arif!” Tubuh Arif digoncangkan.

“Ya Allah! Apa dah jadi ni?” Cikgu Kamal berlari naik sejurus melihat Irwan yang sedang memangku Arif.

“Arif, bangun Arif!” Irwan menampar lembut pipi Arif Ikmal berkali-kali, cuba menyedarkannya. Tangisannya mula jatuh membasahi pipi. “Arif, bangun!”

“Allah, macam mana boleh jadi macam ni Irwan?” Cikgu Kamal panik. Irwan memandang ke atas. Ishak masih lagi berdiri tegak, tercegat di situ.

“Dia tolak Arif.” Jari telunjuk Irwan menunding tepat ke arah Mohammad Ishak.

***

Mohammad Ishak memandang jam yang tergantung dalam pejabat itu. 3.35 petang. Matanya beralih pula kepada Cikgu Kamal yang sedang bercakap di telefon bimbit. Ishak menelan liur. Biarpun sudah berkali-kali dia menghadap Cikgu Kamal, getaran kali ini terasa lain. Jantungnya sedikit berdebar. Cikgu Kamal mematikan telefon.

“Cikgu, Arif macam mana cikgu?” Irwan yang berada di sebelah Ishak memegang meja di hadapannya. “Arif okey tak, cikgu? Cikgu, Arif okey tak?” Irwan semakin cemas.

“Arif kat hospital, tak sedarkan diri lagi. Tapi insyaAllah dia akan okey,” Cikgu Kamal menjelaskan. “Apa sebenarnya dah jadi, Ishak, Irwan?”

“Saya kebetulan lalu di koridor tu untuk persiapan pilihan raya, tapi dari jauh saya nampak Ishak tumbuk muka Arif, lepas tu tolak dia jatuh tangga. Saya terkejut Ishak sanggup buat macam tu. Arif tu kawan saya, cikgu. Dah lebih empat tahun kami masuk MPP sama-sama,” Irwan mengerut dahi, matanya menunduk ke bawah. “Saya… saya tak akan tenang kalau ada apa-apa terjadi kat Arif.”

Ishak terkejut dengan kata-kata Irwan. “Tak.. saya cuma tumbuk Arif saja, tapi saya tak tolak dia,” Ishak cuba menafikan.

Cikgu Kamal memegang kepalanya. Dia menghela nafas pendek. “Esok kita akan jumpa Pengetua. Kamu akan jelaskan lebih lanjut kepada dia. Besar kemungkinan, kamu akan digantung sekolah untuk dua minggu.”

“Cikgu, kalau tak ada apa-apa, boleh saya balik sekarang? Saya nak jenguk Arif di hospital,” Irwan meminta izin.

“Oh, boleh. Saya tuliskan nombor wad Arif,” Cikgu Kamal mencatat sesuatu pada nota memo dan menyerahkannya kepada Irwan.

Irwan keluar dari pejabat guru kaunseling itu, mendongak kepalanya. Nota memo Cikgu Kamal dibuang ke dalam tong sampah. Senyumannya terukir.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment