“Assalamualaikum,” Huzaifah melontar salam. Tangan kanannya menggenggam beg plastik yang berisi dua botol Pepsi yang baru dibelinya di kedai runcit. Pintu rumah dibuka. Irwan menarik tangan Huzaifah masuk, kemudian menutup pintu rumah. Irwan berjalan mundar-mandir di ruang tamu. Tangannya menyentuh dagu, gaya berfikir sesuatu. Huzaifah yang melihat situasi itu bertukar kehairanan.
“Kau dah kenapa, Wan?” Huzaifah
meletakkan botol Pepsi di atas meja dan melabuhkan punggungnya di atas sofa
ruang tamu itu.
“Macam mana kalau dia bangun,
Jai? Macam mana kalau dia nampak aku yang tolak?” Mata Irwan sedikit membulat.
Langkahnya semakin laju.
“Sekejap. Apa kau cakap ni?”
Huzaifah mengangkat kening sebelah. Irwan duduk di sebelah Huzaifah, pandangan
mata mereka bertembung. Lelaki itu menjelaskan semua perkara yang telah berlaku
sebentar tadi.
“Kau dah gila, Wan? Kenapa kau
buat sampai si Arif tu jatuh tangga?!” Huzaifah bangkit dari duduknya. Dia tahu
sifat panas baran Irwan yang boleh meletus bila-bila masa sahaja. Namun dia
tidak menyangka Irwan sanggup berbuat sesuatu sampai tahap sedemikian. Rakannya
itu selalu dapat mengawal karakternya di sekolah, tetapi tidak kali ini.
“A… aku tak sengaja. Aku tak
sengaja, Jai. Aku tak sengaja. Ishak! Dia yang bangkitkan kemarahan aku. Arif!
Dia mengata di belakang aku. Bukan salah aku kan Jai?” Irwan memegang kepalanya
dengan kedua-dua belah tangannya. “Macam mana kalau Cikgu Kamal tahu? Lepas tu,
aku tak dapat bertanding pilihan raya. Presiden! Aku kena jadi presiden!” Irwan
mencangkung di hadapan televisyen, menyorokkan kepalanya di balik kedua-dua
belah lututnya.
Huzaifah masih dilanda kejutan.
Dia perlu berhati-hati dalam pertuturannya saat itu. Sudah terang-terangan
Irwan yang bersalah. Kasihanlah Mohammad Ishak jika terpaksa menanggung
kesalahan orang lain.
“Jai!” Irwan mengeluarkan
kepalanya, sedikit berteriak. “Jai, aku tak salah kan? Aku akan jadi presiden
kan? Aku kena jadi presiden! Mak.. mak nak aku jadi presiden MPP.” Air mata
Irwan mula menitis. Huzaifah bangkit, menuju ke arah Irwan. Tangan kanannya
merangkul belakang badan rakannya itu. “Ya, kau akan jadi presiden.”
Tangisan Irwan mula berhenti. Dia
menarik senyum. Huzaifah memandangnya dengan muka tiada perasaan, seperti
biasa. Namun seribu satu perasaan yang sedang bermain dalam hatinya pada saat
itu.
***
Huzaifah memandang buku menu di
hadapannya. Namun dia sudah tahu minuman yang ingin dipesannya. “Milo ais satu,
bang.” Pelayan itu mengangguk dan beredar setelah selesai menerima pesanan.
Tidak ramai pelanggan yang makan
di restoran pada malam itu. Cuma satu keluarga di meja sudut dan dua orang
lelaki di meja yang terletak berhampiran dengan kipas. Huzaifah lega dia
memilih restoran itu sebagai tempat pertemuan mereka. Dia memandang kedua-dua
individu di hadapannya.
“Saya minta maaf sebab telefon
nak jumpa malam-malam ni. Tapi ada benda yang saya perlu cerita.”
“Pasal apa, Huzaifah?”
“Saya tak tahu nak mula dari
mana, tapi saya kena cerita juga. Pasal Irwan.”
Pak Cik Shah dan Cikgu Kamal
berpandangan sesama sendiri.
***
“Wan, mak nak Wan selalu belajar rajin-rajin, ya? Jadi anak soleh,
berbakti kat orang tua, berbakti kat sekolah.” Rambut Irwan diusap lembut.
“Berbakti kat sekolah?”
“Buatlah apa yang Wan suka. Jadi presiden MPP ke, presiden kelab ke. Masuklah
kelab dan persatuan.”
“Kenapa, mak?”
“Sekolah tu bukannya tempat untuk belajar saja. Masuklah persatuan.
Berkenalan dengan ramai orang.”
“Hmm. Okey mak.”
“Jangan hidup sendiri. Dalam hidup ni, kita tak boleh hidup seorang
diri, Wan.”
Irwan mengangguk.
***
“Sir Lim mana?” Syed memegang
bahu Rashid yang sedang duduk di atas lantai Dewan Tertutup SMK Metrojaya itu.
Tepat jam 3 petang nanti mereka akan mulakan kelas Tae Kwon Do. Syed dan Rashid
masing-masing merupakan pemegang tali pinggang hijau dalam Tae Kwon Do. Sekiranya
mereka menyertai Kelab Tae Kwon Do dari tingkatan satu, mungkin mereka sudah
memegang tali pinggang hitam. Sayangnya mereka baru bermula tahun lepas.
“Rasanya Sir Lim tak datang hari
ni. Dia kena mengajar ganti kelas Tae Kwon Do kat sekolah lain. Irwan yang akan
ambil alih training macam biasa,” Rashid menekup mulutnya yang sedang menguap.
Entah kenapa awal pula dia datang ke dewan hari itu.
Syed berjalan melintasi Rashid.
Rashid menahannya. “Kau nak pergi mana?”
Syed menunding jarinya,
menunjukkan figura seorang lelaki yang sedang duduk di hujung sudut dewan.
Parut di pipinya jelas kelihatan dari jauh.
“Huzaifah? Sejak bila kau rapat
dengan budak kelas 5 Zamrud?”
Syed ketawa. “Kau ni Rashid,
don’t judge a book by its cover. Huzaifah tu walaupun kelas Zamrud, dia yang
selalu dapat nombor satu dalam kelas. Dan ranking dia dalam tingkatan lebih
tinggi daripada separuh budak kelas aku.”
“5 Delima? Maksudnya dia setaraf
dengan kelas kedua terbaik?” Rashid terkejut mendengar khabar baru itu.
“Kelas Berlian ke, Delima ke,
Zamrud ke, bukan boleh tentukan kepandaian seseorang. Jangan taksub sangat
dengan perbezaan kelas ni, Rashid.”
“Tapi elok kau hati-hati juga
dengan dia, aku ada dengar dia terlibat dengan kes buli sekolah kita,” Rashid
masih ragu-ragu.
Syed mengusap kuat rambut Rashid,
sengaja merosakkannya. “Sayang juga kau kat aku kan? Kau jangan risaulah. Aku
taklah rapat sangat dengan dia, tapi aku tahu dia baik orangnya,” Syed mengatur
langkah menghampiri Huzaifah.
Rashid menghantar Syed dengan
pandangan matanya. Syed kelihatan berbual mesra dengan Huzaifah. Huzaifah juga
kelihatan seronok berbual dengan Syed, meskipun wajahnya tidak berperasaan.
Rashid berfikir sesuatu. “Don’t judge a book by its cover?”
“Kau dah kenapa cakap seorang
diri?” Satu suara mengejutkan Rashid dari belakang. Irwan sedang mengangkat
Target dan Body Protector yang digunakan untuk latihan Tae Kwon Do. “Eh, bos!”
Refleks Rashid bangkit dari duduknya. Sewaktu kelas Tae Kwon Do, dia perlu
lebih hormatkan Irwan memandangkan pelajar itu mempunyai tali pinggang hitam
dan merupakan jurulatih ganti jika Sir Lim tidak ada. Sejujurnya dia tidak mahu
dikenakan denda lebih-lebih saja di dalam kelas. Rashid mengambil Target
daripada tangan Irwan.
“Tu ha, aku tengah tengok si Syed
dengan Huzaifah.”
Irwan memandang ke arah yang
dimaksudkan Rashid. Dia melemparkan senyuman kepada Rashid. “Kenapa dengan dia
orang?”
“Tak adalah. Tak tahu pula aku si
Syed tu dah rapat dengan Huzaifah sekarang. Dari tadi aku perhatikan. Seronok
dia orang berbual. Tapi, aku tak tahulah apa yang budak berdua tu bualkan.
Haha.” Rashid berjalan pergi, meletakkan Target di atas pentas di hadapan
dewan. Irwan tidak berganjak. Pandangan matanya melekat kepada Syed dan
Huzaifah.
“Nak angkat apa lagi, Irwan?”
laungan Rashid dari hadapan mematikan lamunan Irwan. Dia menggeleng.
Kelas Tae Kwon Do pada petang itu
bermula seperti biasa. Latihan asas tumbukan, tendangan dan latihan Taegeuk,
sejenis latihan rutin mengikut pangkat tali pinggang. Selepas rehat, training
diteruskan semula dengan Sparring, iaitu latihan berlawan. Irwan meminta hampir
tiga puluh lima orang yang berada di dewan itu untuk duduk dan memerhatikan
Sparring.
“Baiklah. Rasanya dah lama saya
tak Sparring depan kamu semua. Untuk pusingan pertama, siapa yang nak Sparring
dengan saya?” Irwan melemparkan senyuman.
Semua pelajar senyap. Rashid
mengunci bibir. Hanya orang tidak waras saja yang akan mengangkat tangan untuk
berlawan dengan jaguh Tae Kwon Do itu. Sudah berapa banyak perlawanan dan emas
yang dikumpul si Irwan selama ini.
Irwan ketawa kecil di hadapan.
“Jangan risau, saya akan kawal diri. Erm. Apa kata Syed? Jom kita Sparring.” Syed
terkejut namanya dipanggil. Padahal dia sudah berkali-kali membaca doa dalam
hati agar tidak dipanggil. Kini, semua mata memandangnya. Mahu tidak mahu, dia
terpaksa bangkit meskipun kakinya terasa berat. Saat itu, barulah dia terasa
menyesal kerana menuruti ajakan Rashid untuk sertai Tae Kwon Do tahun lepas.
“Biar aku jadi pengadil,” Rashid
juga bangkit. Dia memang suka jadi pengadil.
“Boleh. Lepas ni, tukar pula.
Saya lawan dengan pengadil,” Irwan mengukir senyum. Rashid menelan liur.
Menyesal pula dia menawarkan diri tadi. Syed ketawa di dalam hati sambil
memakai Body Protector. “Nak kena pakai Head Guard, Irwan?” soal Syed merujuk
kepada pelindung kepala. Irwan menggeleng, memberi isyarat bahawa dia tidak
akan berlawan secara berlebihan. Syed menuruti. Irwan juga menyarungkan Body
Protector pada tubuhnya.
Rashid meletakkan tangan kanannya
di tengah antara Syed dan Irwan. “Joonbi!” laungnya memberi isyarat agar
masing-masing lawan bersedia. Irwan dan Syed mengambil posisi bersedia.
“Si chak!” Rashid mengangkat
tangan ke udara, melaungkan arahan untuk bermula dalam bahasa Korea. Syed dan
Irwan masing-masing melonjak kecil berulang kali. Syed cuba mencari ruang untuk
menendang. Baginya, dapat melepaskan tendangan sekali pun jadilah.
Syed melepaskan turning kick
dengan kaki kanannnya. Irwan berganjak sedikit ke kanan belakang, melepaskan
diri dari tendangan. Syed mencuba turning kick dengan kaki kirinya. Irwan
berjaya mengelak. Berkali-kali Syed mencuba untuk menendang, namun tendangannya
cuma mengenai angin.
Nafas Syed semakin
tercungap-cungap. Mana mungkin dia mampu menewaskan jaguh Tae Kwon Do di
hadapannya itu. Irwan menarik sengih. “Giliran aku!” bisiknya yang hanya mampu
didengari oleh dirinya sendiri. Irwan memusing badannya 360 darjah, melepaskan
tendangan back thrust kick tepat mengenai Body Protector Syed. Syed terundur ke
belakang, terasa tendangan yang begitu kuat telah hinggap di perutnya.
Irwan melepaskan tendangan
turning kick kanan, kemudian kiri. Syed masih terundur ke belakang. Penonton
yang melihat memberi ruangan kepada mereka untuk berlawan. Irwan kembali melepaskan tendangan
bertalu-talu dan Syed tidak mampu mengelak setiap satu tendangan itu.
Keringat membasahi pipi Rashid.
‘Woi..woi. Ini macam dah lebih-lebih. Patut aku hentikan ke?’ monolognya.
Huzaifah yang memerhatikan mulai
bimbang. Apa pula yang membuatkan Irwan naik angin kali ini?
Irwan masih menyerang Syed.
Tendangannya diselangi dengan tumbukan pada bahagian perut. Walaupun Syed
memakai pelindung, tubuhnya masih terasa oleh tendangan dan tumbukan tersebut.
“Kelyook!” Rashid memberikan arahan
untuk berhenti namun tidak diendahkan oleh Irwan. Irwan masih menendang Syed.
Kaki kanannya ditarik sedikit ke belakang. Dia melayangkan Double Turning Kick,
tendangan yang membuatnya sedikit melayang ke udara dan kaki kirinya hinggap di
kepala Syed yang tidak memakai Head Guard. Syed terjatuh di atas lantai.
“Kelyook! Kelyook!” Rashid
terkejut melihat Irwan yang menendang kepala Syed. Dia segera mendapatkan Syed
yang terjatuh.
“Kau okey, Syed?” Rashid membantu
Syed yang sedang memegang kepalanya yang kesakitan. “Okey. Okey. Aku okey.”
Tindakannya memegang kepala bertentangan dengan pernyataannya. Rashid bangkit
memandang Irwan.
“Irwan. Aku dah suruh berhenti
kan tadi? Kenapa kau tendang kepala dia?” Rashid tidak berpuas hati.
“Aku tak dengar tadi. Teruja
sikit sebab dah lama tak Sparring,” Irwan tersengih. Tangan kanannya mengusap
belakang kepalanya yang tidak gatal. Dia berjalan ke arah Syed, tidak
mempedulikan Rashid.
“Kau okey, Syed?” Irwan memandang
Syed, tersenyum.
Syed mengangguk lantas mendongak,
memerhatikan lelaki yang mempunyai senyuman penuh misteri itu.
***
Hari pengumuman keputusan pilihan
raya sekolah sudah tiba. Empat orang calon presiden MPP sedang berdiri di atas
pentas dalam perhimpunan rasmi sekolah, tidak termasuk Arif Ikmal yang masih
berada di hospital. Semua pelajar tertanya-tanya tentang presiden baru yang
akan mentadbir sekolah pada tahun ini. Keempat-empat pelajar yang berada di
atas pentas sedang menjadi tumpuan semua warga sekolah yang berada di situ pada
hari itu. Namun berbanding keempat-empatnya, Irwan yang paling banyak menerima
perhatian, terutamanya dalam kalangan pelajar perempuan.
“Syarifah, kau rasa antara lima
orang senior kita, siapa yang akan menang?” Omar berpaling kepada Syarifah,
rakan sekelas yang sedang beratur di sebelahnya.
“Kenapa kau tanya soalan tak
masuk akal? Mestilah Abang Irwan aku!” Syarifah mencebik bibirnya.
“Tapi, Arif Ikmal kelas 5 Delima
tu pun hebat juga. Kalau aku, aku rasa Arif Ikmal,” Han mencelah tiba-tiba.
“Abang Irwan! Tak ada yang boleh
lawan kehenseman dia,” Syarifah membantah.
“Abang, abang. Geli aku. Beza dua
tahun saja pun dengan kita,” Han buat muka menyampah.
“Cemburulah tu. Abang Irwan, aku
tak boleh lupa dia senyum kat aku masa aku bagi kad good luck hari tu,”
Syarifah mula berangan.
“Eleh. Entah-entah dia buang saja
kad tu dalam tong sampah. Dikoyaknya jadi empat bahagian, buang dalam tong
sampah sebelah,” giliran Han pula mencebik.
“Haha. Pandailah kau
berimaginasi, Han. Dah, senyap. Pengetua dah nak umumkan presiden kita,” Omar
meletakkan jari telunjuk pada bibirnya. Mereka bertiga kembali fokus terhadap
ucapan Pengetua sekolah.
“Baiklah. Dengan ini, saya
umumkan, sebanyak 254 undian, presiden Majlis Perwakilan Pelajar SMK Metrojaya
tahun ini ialah… roll the drum, please…”
“… Arif Ikmal!” Tepukan gemuruh
kedengaran, meskipun tuan badan tidak berada di tempat kejadian.
Mendengar pengumuman itu,
senyuman pada wajah Irwan yang sedang berdiri di atas pentas perlahan-lahan
bertukar kendur.
***
“Kau yakin tak nak main bola
dengan aku petang ni?” soal Syed sambil berjalan beriringan dengan Huzaifah.
“Tak apa. Kau orang mainlah. Aku nak singgah rumah kawan petang ni.”
“Oh, rumah Wan yang kau selalu
cerita tu?”
Huzaifah mengangguk. Langkah
kakinya terhenti apabila Syed berhenti di hadapan kelas 5 Berlian. Dia yakin
Syed sedang mencari Rashid. Huzaifah turut menjenguk, mencari kelibat Irwan.
Pasti rakannya itu kecewa teruk selepas hanya menyandang jawatan Naib Presiden
MPP.
“Rashid, jom main bola petang ni.
Ajak Irwan, Azad dengan Karim sekali,” Syed melaung dari luar.
“Boleh, boleh. On,” Rashid
mengangkat tangannya.
“Tapi Irwan baru saja balik,
Syed,” Azad yang berada di sebelah Rashid bersuara.
“Aik, awalnya dia balik hari ini.
Dia frust dengan keputusan pilihan raya kot,” Syed menggaru kepalanya yang
tidak gatal.
“Tak juga. Sepanjang hari dia
senyum saja. Tapi waktu balik tadi, dia macam resah sikit, terburu-buru nak
balik,” Azad menjelaskan.
Huzaifah pantas masuk ke kelas 5
Berlian, matanya bertembung dengan mata Azad. Azad terundur sedikit ke belakang,
gentar melihat Huzaifah yang sedang memegang kolar bajunya. “Wan ada cakap dia nak
pergi mana?” nada Huzaifah meninggi. Personalitinya yang tadi kelihatan tenang
bertukar gelisah.
Azad menoleh ke arah Rashid,
minta diselamatkan. Rashid memandang Karim yang sedang makan lolipop. “Karim,
dia ada bagitahu kau dia nak pergi mana?”
“Oh, ha ada. Dia cakap dia nak
pergi hospital, jenguk adik dia Irham,” Karim menjawab selamba. Huzaifah kaget.
Dia melepaskan genggaman kolar baju Azad.
“Panggil Cikgu Kamal sekarang,”
Huzaifah memberikan arahan.
“Jai, kenapa ni?” Syed kelihatan
bingung. Azad, Rashid dan Karim juga tertanya-tanya.
“Aku kena pergi cari Wan
sekarang. Maaf Syed aku tak join petang ni,” Huzaifah bergegas keluar.
“Huzaifah, apa masalah kau?”
Rashid mengangkat sebelah kening.
“Masalahnya, adik Irwan dah
meninggal dunia lima tahun yang lepas,” Huzaifah melangkah pergi, menghilang
dari pandangan.
Azad, Rashid, Syed dan Karim
berpandangan sesama sendiri. Azad mengelap keringat di dahinya. “Habis tu, siapa
adik yang selalu dia cerita selama ni?”
***
“Saya minta maaf sebab telefon nak jumpa malam-malam ni. Tapi ada benda
yang saya perlu cerita.”
“Pasal apa, Huzaifah?”
“Saya tak tahu nak mula dari mana, tapi saya kena cerita juga. Pasal
Irwan.”
Pak Cik Shah dan Cikgu Kamal berpandangan sesama sendiri. “Apa yang
kamu nak cerita pasal anak pak cik tu?” Pak Cik Shah meneguk kopi Pak Belalang
kegemarannya.
“Saya syak, Wan ada Personality Disorder. Saya taklah pandai sangat
dalam Sains, Cikgu Kamal. Tapi saya adalah juga baca simptom-simptom penyakit
tu kat internet.”
“Jai, apa kamu merepek ni? Personality Disorder? Apa benda tu?” Pak Cik
Shah meletakkan cawan kopinya di atas meja. Dia tahu mengenai penyakit itu,
namun masih tetap ingin mendengarkan penjelasan yang lebih lanjut.
“Personality Disorder tu ringkasnya macam ada lebih daripada satu
personaliti, pak cik. Tapi itu cuma apa yang saya syak saja. Maaflah kalau saya
buat tuduhan tak pasal-pasal.”
Cikgu Kamal merapatkan tubuhnya ke meja, berminat untuk mendengar.
Selain guru disiplin, dia juga merupakan seorang guru subjek Sains di SMK
Metrojaya. “Huzaifah, cuba kamu ceritakan dekat cikgu dan Encik Shah, kenapa
kamu cakap macam tu?”
Huzaifah memandang tepat mata Cikgu Kamal. “Macam ni cikgu. Saya dengan
Wan dah lama kawan baik. Sejak darjah satu lagi. Saya kenal Wan tu orangnya
macam mana,” Huzaifah menarik nafas panjang.
“Dalam lima tahun yang lepas, adik Irwan meninggal dunia sebab kena
langgar dengan kereta depan rumah. Kemalangan tu berlaku betul-betul depan mata
Wan sendiri. Saya ada masa pengkebumian adik dia. Saya tahu macam mana patah
hati Wan bila satu-satunya adik dia meninggal dunia. Dia memang rapat dengan
adik dia. Betul kan, pak cik?” Huzaifah memandang Pak Cik Shah.
“Betul. Dia orang berdua memang sangat rapat,” Pak Cik Shah tidak mahu
berkata panjang. Pilu hati mengenangkan kisah itu. Mana ada dalam dunia ini,
seorang ayah yang sanggup melihat anaknya pergi dulu sebelumnya.
“Mula-mula saya ingatkan Wan okey. Dia boleh tersenyum pergi sekolah
dan tak ada apa-apa yang berlaku. Tapi bila saya datang rumah pak cik,
kadang-kadang saya nampak dia sedih, dan dia cepat marah daripada biasa. Saya
rasa, perubahan Wan mula terjadi masa arwah Mak Cik Hajar disahkan menghidap
kanser setahun selepas Irham meninggal dunia.”
Pak Cik Shah mengerutkan keningnya.
“Saya faham pak cik selalu sibuk dengan kerja. Mungkin sebab tu Wan
lebih rapat dengan Mak Cik Hajar. Saya sendiri pun jarang nampak pak cik kat
rumah Wan. Depan Mak Cik Hajar, Wan selalu berlakon kuat. Tapi belakang ibu
dia, dia selalu menangis. Saya kagum dengan Wan. Saya tak pernah jumpa orang
yang lebih tabah daripada dia.” Air mata kelelakian Pak Cik Shah mulai gugur
perlahan. Cikgu Kamal tekun mendengar.
“Hampir hari-hari pak cik, saya tengok Wan jaga ibu dia. Jaga makan
minum, mandikan, ceriakan Mak Cik Hajar. Sampai hari arwah meninggal, Wan juga
yang ada di samping dia,” Huzaifah menahan dirinya daripada menangis. “Pak cik,
cikgu, macam mana perasaan, bila kita tahu orang yang kita sayang akan meninggal,
kita buat macam-macam untuk dia, tapi kita jugalah yang jadi saksi orang yang
kita sayang tu hembuskan nafas yang terakhir di hospital?”
“Saya rasa, Wan selalu salahkan diri dia atas kematian arwah Irham dan
Mak Cik Hajar. Sebab tu saya akan selalu jenguk dia, buat apa yang saya mampu
untuk dia. Saya tahu keluarga pak cik semua tinggal jauh, dan pak cik pula
selalu sibuk. Tapi saya rasa, Wan sebenarnya perlukan sokongan yang kuat dalam
hidup dia.”
“Jadi… sejak bila kamu perasan Irwan ada Personality Disorder?” soal
Cikgu Kamal.
“Saya rasa, keadaannya makin serius sejak arwah mak cik meninggal dua
tahun yang lepas. Waktu tu kami baru lepas PMR. Kalau kat rumah, dia akan
mengamuk secara tiba-tiba, menangis secara tiba-tiba, ketawa tiba-tiba. Kalau
saya cerita pasal kawan-kawan saya, saya perasan dia akan melenting. Parut di
pipi saya ni pun, sebab dia marah kat saya. Saya faham kenapa dia buat macam
tu. Mungkin, dia takut saya pun pergi?” Huzaifah menunduk berfikir.
“Mula-mula saya ingatkan dia cuma stress tapi lama-kelamaan, saya syak
itu bukan lagi tekanan, tapi penyakit. Kadang-kadang dia ada juga cerita pasal
adik dia bermain dengan dia. Saya rasa Irham cuma imaginasi yang dia wujudkan
dalam minda dia untuk tenangkan diri dia sendiri.”
“Saya ada kaji juga maklumat ni dalam internet. Saya rasa saya terlalu
banyak mengkaji sampai satu tahun saya tak buat benda lain,” Huzaifah separuh
bergurau.
“Dia pernah buat apa-apa yang serius selain cederakan kamu?” Cikgu
Kamal meneguk minumannya.
“Sekali tu saja dia cederakan saya. Lepas tu dia menyesal, merayu minta
saya maafkan dia. Tapi, cikgu mesti tahu kan kes Arif Ikmal petang tadi?” Cikgu
Kamal mengangguk. “Sebenarnya Wan yang tarik Arif sampai jatuh tangga. Sebab
itu saya telefon, nak jumpa cikgu dan Pak Cik Shah.” Cikgu Kamal dan Pak Cik
Shah terkejut. Pak Cik Shah tidak mampu menahan sesalnya kerana tidak
memberikan perhatian kepada anaknya selama ini. “Saya harap Ishak tak dikenakan
hukuman yang salah, walaupun dia yang mulakan pergaduhan.”
“Saya ada permintaan untuk cikgu dan pak cik.”
“Apa?” Kedua-dua lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu menyoal
serentak. Mereka masih dilanda kejutan dengan cerita Huzaifah.
“Cikgu Kamal, saya harap cikgu boleh buat sesuatu supaya Ishak atau Wan
tak kena sebarang hukuman? Kalau Wan kena pun, sekurang-kurangnya selepas
selesai pilihan raya. Wan kata, itu yang arwah Mak Cik Hajar nak.”
“Pak Cik Shah, saya harap pak cik boleh luangkan masa untuk bawa Wan
jumpa pakar psikiatri. Sekurang-kurangnya kita boleh sama-sama rawat dia.”
“Terima kasih Jai, sebab ceritakan semua ni. Walaupun pak cik gagal
jadi ayah yang baik, pak cik bangga Wan ada kawan macam kamu. Pak cik minta
maaf sebab anak pak cik yang sebabkan parut kamu.” Pak Cik Shah serba salah.
“Tak apa, pak cik. Sakit saya boleh sembuh. Sakit Irwan, saya tak tahu
macam mana nak hilangkan.”
***
Huzaifah berlari pantas ke tempat motosikal.
Jantungnya berdegup kencang. Entah kenapa, dia mempunyai firasat buruk sejak
pengumuman presiden MPP pagi tadi. Dari kejauhan, dia dapat menangkap kelibat
Irwan yang baru sahaja hendak meninggalkan parkir motosikal. “Wan!”
Irwan mematikan sebentar
hasratnya untuk bergerak. Huzaifah pantas berlari mendapatkan rakannya. “Kau
okey?” Namun Huzaifah tidak dapat menangkap reaksi wajah Irwan di sebalik topi
keledar merahnya. “Kau nak pergi mana, Wan?” Huzaifah membetulkan nafasnya yang
masih tercungap.
“Hospital,” sepatah lelaki itu
menjawab.
“Kenapa?” Huzaifah menyoal.
“Sebab aku yang sepatutnya jadi
presiden MPP, bukan dia!” Irwan memecut, meninggalkan Huzaifah di situ. “Wan,
aku ikut!” Huzaifah melaung. Lelaki itu pantas mendapatkan motosikalnya dan
cuba mengejar rakannya.
Huzaifah berjaya menyamakan
kedudukan motosikalnya bersebelahan Irwan. Dia menoleh kiri, cuba mendapatkan
perhatian rakannya.
“Wan, kau nak buat apa ni?”
“Jangan ikut akulah!” Irwan maju
ke hadapan.
“Wan, berhenti!” Huzaifah
mengikuti rodanya.
Irwan menoleh ke hadapan, sebuah
lori dari arah bertentangan sedang bergerak laju ke arah mereka. “Jaiiii!!!”
Irwan pantas bergerak ke hadapan, menghalang motosikal Huzaifah.
Baaanggggggggggg.
Kedua-dua rakan itu terlambung
dari motosikal masing-masing.
***
Gelap.
Perlahan-lahan kedua-dua kelopak
matanya dibuka. Ruang putih. Bau ubat-ubatan. Irwan terbatuk-batuk kecil.
“Irwan? Irwan dah bangun! Rashid,
kejut pak cik, ” Azad teruja. Rashid mendapatkan Pak Cik Shah yang tertidur di
sebelah katil hospital itu. Pak Cik Shah bangkit, berdiri di sisi anaknya.
“Jai! Jai mana, ayah? Jai mana?”
Irwan mula berteriak memanggil nama rakannya. Dia langsung tidak peduli dengan
keadaannya sekarang. “Jai mana?!”
“Wan?” Huzaifah muncul dengan
tangannya yang berbalut.
“Jai!” Irwan cuba bangkit, namun
Pak Cik Shah menahannya. Azad dan Rashid berundur, memberikan ruang kepada
Huzaifah.
“Jai. Kau tak apa-apa, kan? Kau
okey kan?” Irwan cuba mengangkat tangannya namun terasa berat.
Huzaifah mengangguk. “Aku okey,
Wan. Kau jangan banyak bergerak,” Huzaifah tersenyum, namun setitis air matanya
gugur. Dalam kondisi Irwan sebegitu, dia masih memikirkan tentang orang lain.
Sewaktu dia menjenguknya ketika Irwan belum sedarkan diri, doktor memberitahu
bahawa tangan kanan dan kaki kanan Irwan telah patah. Huzaifah cuma mengalami
sedikit keretakan di tangan.
“Jai, maafkan aku Jai. Lain kali
aku takkan tinggalkan kau. Jai, maafkan aku Jai. Maafkan aku,” Irwan merayu
agar dirinya diampunkan. Tangisannya tumpah. Dia sudah pernah merasakan dua
kehilangan terbesar dalam hidupnya. Dia tidak mahu ditinggalkan lagi.
Jantungnya berdegup kencang. “Jai jangan pergi, Jai. Jangan pergi,” Irwan masih
berteriak seperti orang histeria.
“Tak, Wan. Aku tak pergi
mana-mana. Aku kat sini,” Huzaifah cuba menenangkan.
“Betul tu Irwan. Huzaifah tak
pergi mana-mana,” Azad cuba meyakinkan.
“Betul kau tak pergi mana-mana?
Kau maafkan aku Jai?”
“Ya Wan, aku maafkan kau,” ujar
Huzaifah walaupun dia yang sebenarnya berasa bersalah atas kemalangan itu. Huzaifah
dan Pak Cik Shah saling berpandangan.
***
Cikgu Kamal berlari-lari anak
mendapatkan Huzaifah dan Pak Cik Shah yang sedang berdiri di luar wad.
“Huzaifah, kamu okey? Irwan macam mana?” Bahu Huzaifah dipegangnya lembut.
“Saya okey, cikgu. Wan dah sedar
tadi, tapi sekarang dia dah tidur. Kawan-kawan ada kat dalam tengah tengokkan
dia.”
“Maaf saya lambat, Encik Shah.
Saya baru dapat berita. Alhamdulillah kalau Irwan dah sedar,” Cikgu Kamal
menarik nafas lega.
“Cikgu, lepas Wan sedar tadi, dia
meraung panggil nama saya. Dia minta maaf, lepas tu janji tak akan tinggalkan
saya. Padahal kemalangan semua tu bukannya salah dia pun. Saya pun tak tahu apa
niat sebenar dia nak datang ke hospital ni. Saya tak tahu macam mana nak tolong
dia, cikgu. Saya buntu.” Huzaifah menunduk. Ketika itu, Azad dan Rashid keluar
dari wad.
“Saya terkejut tadi masa nampak
Irwan menjerit panggil nama Huzaifah. Rupanya kau orang kawan baik. Tapi pelik
sebab kau orang tak pernah bercakap kat sekolah. Saya cuma pernah nampak sekali
saja Irwan berbisik dengan Huzaifah di kantin sekolah.” Azad membahasakan
dirinya dengan panggilan ‘saya’ di hadapan Cikgu Kamal dan Pak Cik Shah.
Lagipun, dia masih belum rapat dengan Huzaifah.
“Patutlah saya rasa macam kau berdua
kenal satu sama lain,” Rashid mencelah. “Minta maaflah sebab dah tuduh Huzaifah
yang bukan-bukan,” Azad tiba-tiba rasa bersalah. Sesuka hati saja dia menuduh
Huzaifah pembuli dulu.
“Huzaifah, Encik Shah. Saya ada
cadangan. Memandangkan Irwan paling dengar cakap Huzaifah buat masa sekarang,
saya rasa inilah waktu yang terbaik untuk kita sama-sama rawat Irwan. Kita
boleh bawa pakar psikiatri ke hospital ni.”
“Irwan sakit apa, sebenarnya?”
Azad terpinga-pinga. Huzaifah masih menunduk.
“Ya, Jai. Pak cik rasa betul apa
yang cikgu kamu cakap tu. Kali ni, pak cik takkan ulang kesalahan yang sama.
Pak cik akan ada di sisi anak pak cik, sebab apa yang paling penting untuk dia
sekarang ialah sokongan.”
“Betul Encik Shah. Sokongan
daripada saya sebagai cikgu, Encik Shah sebagai ayah, Huzaifah, Azad, Rashid
sebagai kawan-kawan. Kita kena sama-sama bantu Irwan,” Cikgu Kamal meyakinkan.
“Walaupun kami tak faham sangat
apa yang terjadi, tapi Irwan tu kawan kami. Kami akan sokong dia, kan Azad?”
Rashid melontar pendapat. Azad mengangguk sambil tersenyum.
Huzaifah mendongak, menembak
sebuah senyuman yang jarang ditembaknya.
***
DUA TAHUN KEMUDIAN.
“Omar, nanti pinjamkan buku
latihan Matematik kau waktu rehat. Aku terlupa nak siapkan,” Han tersengih
memandang Omar.
“Kau ni Han. Asal tak siap je
Matematik. Asal Matematik je, tak siap. Kita dah nak ambil SPM tahun ni.
Sedarlah wahai sahabatku!” Omar menggeleng kepala tanda kecewa. Padahal dia
sendiri pun belum menyiapkan latihannya. “Syarifah, pinjamkan aku buku
Matematik kau,” sesuka hati saja Omar meminta rakan sebelahnya.
“Ah, daripada aku pinjamkan kau
berdua, baik aku pinjamkan dekat presiden MPP kita si Yusuf tu,” Syarifah
memandang ke arah MPP yang sedang memasang mikrofon di hadapan perhimpunan.
“Ish.. ish.. pantang nampak
lelaki kacak,” Omar menggeleng kepalanya.
“Eh, itu siapa?” Han menunjuk ke
arah lima buah motosikal yang baru muncul di pekarangan sekolah.
“Erm, aku ada dengar cerita.
Katanya hari ni ada alumni nak datang sekolah kita. Itu sajalah cerita yang aku
dengar,” Omar memberikan maklumat yang tidak berapa membantu.
“Eh, itu kan Abang Irwan!”
Syarifah menekup mulutnya tidak percaya.
Irwan dan empat orang penunggang
motosikal yang lain turun dari motosikal masing-masing. Huzaifah membuka topi
keledarnya.
“Wah, baru setahun lebih saja
kita masuk universiti, rasa macam dah bertahun-tahun tak jejakkan kaki kat
sekolah,” Huzaifah memandang sekeliling. Tidak banyak perubahan sejak dia
kembali ke sekolah untuk mengambil keputusan SPM dahulu.
“Kita nak jumpa cikgu mana dulu
ni?” Arif Ikmal membetulkan kedudukan motosikalnya.
“Kita jumpa Cikgu Kamal dululah.
Aku paling banyak buat salah dekat Cikgu Kamal. Hahaha,” Ishak tergelak
sendiri.
“Ya, aku ingat lagi kita pernah
jumpa Cikgu Kamal sekali dalam pejabat dia. Jahatnya aku dulu. Aku mati-mati
ingat kau dah kena gantung sekolah, rupanya tak kena pun. Aku sendiri pun tak
kena gantung. Hairan aku,” Irwan mula membuka kembali kisah lama, menyesali
tindakannya. Huzaifah mendiamkan diri. Dia yang sebenarnya meminta Cikgu Kamal
untuk tidak mengenakan sebarang tindakan. Arif Ikmal juga telah bersetuju
dengannya dahulu.
“Tak perlu nak buka cerita sedih
kat sini. Sebabkan peristiwa itulah aku dah banyak berubah, sampai dah berkawan
baik dengan Presiden dan Naib Presiden MPP sekolah kita,” Mohammad Ishak
merangkul bahu Irwan.
“Kau dah lupa ke, Wan dah letak
jawatan dulu?” Huzaifah menyinggung lengan Ishak. Ishak tersengih, sengaja.
Irwan ketawa sendiri.
“Alhamdulillah, lepas aku letak banyak jawatan, keadaan aku makin baik. Paling
penting, sebab aku dapat sokongan kawan-kawan macam kau orang semua,
terutamanya Jai. Banyak salah aku dah buat dulu kat kau orang, tapi kau orang
masih sanggup berkawan dengan aku.”
Arif Ikmal menampar belakang
badan Irwan. “Kan Ishak dah kata, tak payah buka cerita sedih. Cepatlah aku dah
tak sabar nak tengok muka terkejut Cikgu Kamal ni.” Irwan mengukir senyum. Dia
tidak tahu apa yang mungkin dilakukannya kepada rakannya itu sekiranya dia
tidak ditimpa kemalangan dulu. Ternyata, ada hikmah di balik semua musibah yang
datang.
“Jom!” Irwan, Huzaifah, Ishak dan
Arif bergerak dengan penuh rasa teruja. Langkah Irwan terhenti. Dia menoleh
belakang.
“Awak, buat apa termenung kat
atas motosikal tu? Jomlah,” Irwan mengukir senyum.
Seorang gadis bertudung yang
mengikuti rombongan mereka mengangguk, membuntuti langkah rakan-rakannya.
“Untunglah ada Lisa!” Huzaifah di
hadapan menjerit dari kejauhan.
“Petang ni main bola kat padang
jom!” Arif Ikmal mengajak penuh semangat.
“Jom! Ajak Cikgu Kamal sekali,”
Ishak mempercepatkan langkahnya.
Irwan tersenyum. Tiada sebarang
kata yang mampu mengungkapkan perasaannya pada saat itu.
TAMAT
Kredit foto: Google
Kredit foto: Google
No comments:
Post a Comment