Tuesday, 3 August 2010

Frekuensi Part 3

Hafizah menarik lengan Nurul Fatini. Suasana di universiti itu terasa sepi meskipun berpuluh-puluh orang yang lalu di kawasan tersebut. Nurul Fatini mengekori langkah temannya itu tanpa banyak bicara.

Tiba di suatu sudut ruangan, Hafizah menghantikan langkah. Nurul Fatini hampir-hampir terlanggarnya. Kakinya turut sama berhenti. Nurul Fatini tersentap melihat insan di hadapannya itu. Matanya dikesat berulang kali.

"Hafizah, cuba anti cubit pipi ana. Pasti ana bermimpi," Nurul Fatini bersuara kuat. Nadanya tinggi sedikit daripada biasa.

Hafizah menggeleng. Pipi rakannya itu dicubit halus namun masih meninggalkan kesan. Nurul Fatini menggosok pipinya. Matanya berkaca-kaca. Adakah Imzad terselamat dari nahas setahun yang lalu? Empunya badan tersebut sedang berdiri benar-benar di hadapannya namun wajahnya kelihatan agak hairan.

Nurul Fatini menundukkan pandangan. Segera gadis itu menarik lengan Hafizah sambil berlalu pergi. Sanubarinya bagai terbuai mimpi. Entah apa yang dirasakannya kini.

"Ana tahu pasti sukar anti percaya, wajahnya mirip sekali dengan arwah Imzad," Hafizah menyuarakan hasratnya yang terpendam. Ternyata Nurul Fatini juga tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sebantar tadi. Nurul Fatini mengangguk perlahan.

"Ana juga belum tahu namanya, tetapi yang pasti dia baru je ditukarkan ke sini," Hafizah menyambung bicara. Meskipun peristiwa nahas tersebut sudah setahun berlalu, wajah tenang dan bersahaja Imzad masih disimpan kukuh dalam sanubari Nurul Fatini.

Nurul Fatini terimbas kembali sewaktu kali pertama dia menemui Imzad.

“Oh, antilah Nurul Fatini yang selalu tanya kat ana pasal ICT itu?" soal Imzad tenang. Sekuntum senyuman diraut manis di wajahnya. Nurul Fatini menundukkan pandangan. Teman-teman yang lain sibuk dengan hal masing-masing di bilik akses itu.

Nurul Fatini mengangguk perlahan.

"Maaf kalau ana mengganggu masa akh. Ana cuma nak belajar dengan bersungguh-sungguh," Nurul Fatini meluahkan hasratnya jujur.

"Oh, tak payahlah panggil akh. Panggil je Imzad, kita cuma beza setahun," ujar Imzad. Senyuman masih belum hilang di bibir. Pemuda itu kemudiannya meneruskan bicara.

"Ana akan membantu anti mencapai matlamat dan anti juga harus berjanji pada ana yang anti akan berusaha untuk mencapai kejayaan," ujarnya lagi.

"Baik, ana janji. Ana akan membawa Islam ke mata masyarakat melalui teknologi moden. Ana akan buktikan bahawa teknologi begini bukannya sekadar membazir waktu."

Imzad tersenyum kecil.


No comments:

Post a Comment