Friday, 14 October 2011

Motivasi: Jadilah Seperti Pensel

Saya ada membaca satu kolum bahasa inggeris dalam sebuah majalah baru-baru ini dan sangat tertarik untuk berkongsi kisah tersebut. Terdapat sebatang pensel yang baru dicipta. Tetapi sebelum pensel ini dipasarkan, si pembuat pensel telah berpesan kepada pensel akan lima perkara iaitu:

1) Kau boleh buat banyak benda hebat, tetapi hanya jika kau izinkan diri kau dipegang oleh tangan seseorang.

2) Kau akan rasa asahan yang tajam pada waktu-waktu tertentu, dan kelak kau akan jadi pensel yang lebih baik daripada sebelumnya.


3) Dengan bertemankan pemadam, kau akan dapat memperbaiki kesalahan yang mungkin kau lakukan.


4) Perkara yang paling penting untuk kau adalah dalaman kau. (The most important part of you will always be what’s inside)

5) Pada setiap permukaan, kau mesti tinggalkan kesan. Tak kira apa pun yang terjadi, kau mesti teruskan menulis.

Dan kelima-lima pesanan si pembuat pensel ini sebenarnya boleh dijadikan teladan kepada manusia dalam kehidupan seharian. 

Situasi yang pertama ialah kesanggupan anda untuk diketuai oleh orang lain. Sebagai seorang pelajar, penuntut atau apa-apa pun, kita mesti selalu merendah diri dan meminta tunjuk ajar daripada mentor, guru, ketua atau sesiapa pun yang lebih berpengalaman. Melalui cara ini, barulah kita boleh memperbaiki kelemahan diri.

Situasi yang kedua ialah membiarkan diri anda ‘diasah’ walaupun terpaksa menanggung kesakitan yang perit. Manusia akan belajar setelah berdepan dengan pelbagai masalah. Dan saya ingat kata-kata Normant Vincent Peale yang selalu digunakan dalam karangan saya, “Masalah itu adalah tanda kehidupan. Semakin banyak masalah anda, semakin hidup jiwa anda”.

Situasi ketiga, jika anda melakukan kesalahan, tolonglah jangan seksa diri anda. Sebenarnya ini adalah prinsip kehidupan yang agak menarik. Memaafkan diri sendiri adalah penawar terbaik dan setelah itu belajar daripada kesalahan.

Situasi keempat, sama macam pensel. Apa yang paling penting, adalah dalaman kita. Dalam hidup ini, kita akan jumpa ramai orang yang selalu cuba menjatuhkan kita, mengkritik ataupun membunuh semangat anda. Tetapi kekuatan dalaman yang penting sebenarnya untuk atasi semua itu. Jadi, ayuhlah kita sama-sama berusaha membina benteng yang kuat dalam hati.

Dan situasi yang kelima pula, setiap apa yang kita usahakan, haruslah tinggalkan kesan yang bermanfaat. Walaupun pelbagai halangan yang menduga, kita kena sentiasa istiqamah dalam perjuangan. 

Kisah ini benar-benar menaikkan semangat saya! Sebenarnya banyak lagi yang dinyatakan, tetapi saya cuma membuat rumusan berdasarkan kefahaman saya. Akhir penulisan, jadilah seperti pensel, yang sentiasa bermanfaat kepada orang lain. 

No comments:

Post a Comment