Fly high, and you'll reach the top of the tower. |
Destinasi seterusnya, Alor Star. Bercuti dalam negeri sendiri, apa kurangnya. Kadang-kadang orang terlalu sibuk mengatur percutian ke Kuala Lumpur atau luar negara tanpa menyedari bahawa sebenarnya banyak lagi tempat menarik dalam Malaysia ini. Satu fakta tentang diri saya ialah saya belum pernah menjejakkan kaki ke Lembah Bujang meskipun sudah belasan tahun bermastautin di negeri Kedah.
Walaupun Kedah ini tidaklah terkenal dengan pusat-pusat peranginan ataupun mercu tanda yang menarik, masih banyak tempat yang boleh dilawati di negeri ini. Yang utamanya pastilah Pulau Langkawi. Apabila anda menjelajah Pulau Langkawi, anda pasti tidak akan berasa rugi tambahan pula pulau itu bebas cukai. Langkawi terkenal dengan lagenda Mahsuri yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Tetapi ada juga orang yang mengaku sebagai keturunan Mahsuri. Wallahu alam bissawab.
Jika anda singgah di Kulim, tempat yang wajib anda pergi ialah The Tree Top Walk Sedim. Titian gantung yang tertua dan terpanjang di Malaysia. Tempat inilah yang menjadi daya tarikan utama Kulim. Lazimnya pengunjung yang datang tidak mahu melepaskan peluang daripada melawat tempat ini.
Berbalik kepada tajuk entry, destinasi saya baru-baru ini ialah di Holiday Villa, nama sahaja villa tetapi sebenarnya merupakan sebuah hotel. Apa yang menarik tentang tempat ini ialah lokasinya yang begitu strategik. Keluar saja hotel, anda dapat melihat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Terdapat juga pusat beli-belah City Plaza yang sering menjadi tempat melepak pada waktu malam. Rasanya tidak perlulah saya ceritakan di sini ragam-ragam aneh yang saya temui sepanjang saya berjalan malam di hadapan pusat beli-belah tersebut.
Bercakap tentang ragam manusia, ketika mengikuti keluarga berbelanja di hadapan sebuah kedai pakaian, saya ada terlihat seorang pak cik berbangsa Cina yang meminta sedekah di hadapan kedai itu. Lalu saya perhatikan kudratnya sihat-sihat sahaja, tidak ada sebarang anggota yang sakit atau bermasalah. Tangan kanannya memegang sebatang rokok yang mungkin baru dinyalakan.
Dalam hati saya timbul rasa simpati terhadap pak cik itu. Bukannya apa, cuma saya simpati kerana dia tidak tahu menghargai dengan sepenuhnya kudrat sihat yang Tuhan berikan kepadanya. Saya pasti, sekiranya dia berusaha dia boleh mencari pekerjaan halal yang lebih jauh lebih baik daripada meminta sedekah. Lalu saya amati lagi, orang yang lalu-lalang ramai, tetapi tidak ada seorang pun yang menghulurkan duit ke dalam tabungnya. Manakan tidak, orang ramai pun tahu, duit yang mereka hulurkan, paling tidak digunakan untuk membeli rokok.
Bukannya saya mahu mengadili atau menghukumi pak cik itu, jauh sekali tidak. Saya cuma berharap perkongsian ini dapat dijadikan pengajaran kepada sesiapa yang membacanya. Semoga kisah pendek ini dapat dijadikan iktibar. Kejayaan seseorang itu terletak pada cara pemikirannya, bukan?