Sara menuju ke warung pada pagi itu dengan berbekalkan seringgit yang dimilikinya. Sebagai seorang pelajar, dia tidak memiliki duit yang banyak untuk berbelanja. Sara teringin sekali untuk menikmati minuman Milo ais. Kebetulan, cuaca pada hari itu memang agak panas terik. Sampai sahaja di warung Mak Piah, Sara terus menjatuhkan basikalnya dan menuju ke kaunter pesanan. Sudah tidak sabar lagi rasanya dia mahu membasahi tekaknya dengan air Milo yang sungguh menyelerakan itu.
Tiba-tiba, dia didatangi seorang pengemis tua yang berpakaian compang-camping dan kelihatan sangat tidak terurus. Sara naik hairan kerana dia belum pernah melihat wanita itu di kawasan kejiranannya sebelum ini. Pengemis itu meminta wang seringgit daripada Sara untuk membeli makanan. Sara berfikir sejenak. Pada saat itu dia terasa begitu haus dan dia cuma mempunyai duit satu ringgit untuk membeli minuman. Jika dia menyerahkan duit tersebut, alamatnya dia akan pulang ke rumah kehausan. Sara memerhatikan wajah pengemis tua tersebut.
Dek kerana dasar simpati yang tinggi terhadapnya, Sara menyerahkan satu-satunya duit yang dimiliki kepada pengemis itu. "Ambillah nek. Ini saja yang Sara mampu bagi," katanya dengan penuh lemah lembut. Pengemis itu mengambil duit yang dihulurkan dan membalas dengan senyuman. Sara kemudian berlalu pergi dan mendapatkan basikalnya. Belum sempat dia membetulkan kedudukan basikalnya, dia mendengar namanya dipanggil. Sara mencari punca suara itu.
Ternyata, Farha yang memanggilnya. Sara mengukir senyum. Tidak sangka akan menjumpai sahabatnya di situ. Farha menyerahkan sebungkus air Milo ikat tepi kepada Sara. "Ambillah, sebenarnya saya belikan untuk adik saya, tetapi dia sudah pulang terlebih dahulu. Kalau sampai rumah takut ais cair dan tak sedap," beritahu Farha.
Sara menjadi begitu gembira dan bersyukur atas rezeki yang Allah kurniakan. Dia segera mencari pengemis tua tadi untuk berkongsi air Milo yang baru diterimanya itu. Namun, nenek pengemis itu sudah tiada lagi di tempatnya. Sara menoleh sekeliling, namun kelibatnya tidak langsung ditemui....
Cerita di atas cuma rekaan saya semata-mata. Jika ada kaitan dengan sebarang perkara mungkin cuma kebetulan. Apa pun, moral yang cuba saya sampaikan di sini adalah hidup haruslah sentiasa memberi. Jika kita memberi, kita pasti akan menerima. Allah akan berikan rezeki dengan cara yang mungkin kita sendiri tidak menduganya.
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
[Surah At-Talaq, ayat 2 - 3.]