Thursday, 28 March 2013

Muhasabah: Saya Bosan!



Bosan, malas, antara perkataan yang sudah sebati dalam hidup insan-insan yang bergelar manusia. Bila malas, bosan akan datang dan bila bosan, malas akan datang. Antara punca bosan adalah kerana kita kerap melakukan sesuatu perkara berulang-ulang kali, ataupun kita tidak tahu hendak melakukan apa. Perkara ini pasti akan terjadi kepada semua orang, tidak kira cepat atau lambat. Bosanlah yang menimpa saya malam semalam sehingga menggerakkan hati saya untuk buat video. Menggunakan video cam Sony, saya merakam aktiviti-aktiviti yang dibuat ketika saya bosan.





Saya pernah mendengar satu ceramah yang saya tidak ingat siapa penyampainya. Ceramah itu berkisar tentang bosan. Mengapa manusia boleh bosan. Walaupun kita cuba melakukan itu dan ini, tetap sahaja rasa bosan. Bila kita berhibur, mungkin boleh menghilangkan kebosanan tetapi apabila selesai menghiburkan diri sendiri, kebosanan itu pasti akan datang melanda kembali. 

Kata penceramah itu, sebenarnya bila kita mengingati Allah, kita tidak akan rasa bosan. Kenapa? Kerana hati kita akan sentiasa ada connection dengan Allah. Kita tidak hanya mengingati Allah dalam solat saja, tetapi bila-bila masa tidak kira apa yang kita lakukan. Kita akan jadi lebih kuat untuk melawan perasaan bosan yang cuba hendak menyelinap masuk ke dalam hati itu. Allah merupakan motivasi yang terbaik untuk semua orang. 

Baiklah, apa pula aktiviti yang boleh dilakukan selain daripada mengingati Allah dengan hati? Kalau saya, hrmm, saya lebih suka menulis (menaip sebenarnya) dan buat video, walaupun video tersebut entah apa-apa. Terpulanglah kepada diri masing-masing, setiap orang ada kegemaran mereka tersendiri. 

Saya mempunyai seorang ibu saudara yang sangat menyukai kucing. Jadi setiap kali ada kelapangan, dia akan membelai-belai kucing-kucingnya dan bermain dengan mereka. Nenek saya pula suka menjahit. Setiap masa, ada sahaja kain yang ingin dijahit. Entah dapat dari mana pun saya tak tahu. 

Kalau di kampung, ramai yang suka berkebun. Di belakang kampung saya di Johor itu ada kebun   sayur-sayuran jika tidak salah dan reban ayam. Ada seorang abang sepupu ni subuh lagi sudah keluar dari rumah untuk mengerjakan kebun. Ada juga rakan yang gemar buat kira-kira. Bila bosan saja, mulalah dia buka buku Additional Mathematics dan menyelesaikan soalan-soalan. Seorang lagi rakan saya ni pula, gemar ke masjid. Setiap kali solat dia akan pergi ke masjid yang terletak berdekatan rumahnya. Katanya dia lebih suka pergi ke masjid daripada solat di rumah.

Walau bagaimanapun caranya kita menghabiskan masa mengisi kebosanan yang melanda, cukuplah kita memastikan aktiviti itu bermanfaat. Saya juga sebenarnya bukan manusia sempurna, banyak saja masa yang dibazirkan dengan perkara-perkara tidak berfaedah. Tetapi tidak ada salahnya juga untuk saya mengajak anda ke arah kebaikan. Kalau nak tunggu diri sendiri sempurna, sampai bila kita mahu mengajak orang lain ke arah yang lebih baik, kan?

Sebenarnya terdapat satu lagi aktiviti bermakna yang boleh kita semua lakukan untuk mengisi masa, iaitu menyibukkan diri dengan mengimbangi amalan dunia dan bekalan akhirat. Jihad, sama ada dengan belajar atau cara-cara yang lain. Ada banyak cara untuk kita semua hilangkan bosan. :)

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” [al-Baqarah : 30]
 photo sign-2_zps160b16ac.png

No comments:

Post a Comment