Friday, 29 March 2013

Kisah Basikal


Ketua Weekang. Saya masih ingat lagi dahulu saya pernah terkenal dengan gelaran itu. Sewaktu di sekolah rendah, saya dan rakan-rakan selalu menunggang basikal bersama-sama untuk menghadiri aktiviti kokurikulum pada waktu petang. Setiap minggu paling kurang tiga kali. Satu hari untuk persatuan, satu hari untuk permainan dan satu hari lagi untuk unit beruniform. 

Saya ingat lagi, waktu darjah enam. Setiap kali tamat perjumpaan, kami akan bersama-sama cari makan di gerai nasi lemak sebelah sekolah. Satu aktiviti yang pasti kami lakukan ialah berlumba basikal. Yalah, zaman budak-budak. Tipulah siapa yang tidak tercabar setiap kali diajak berlumba.


Pernah sekali, kami berlumba siapa yang akan sampai dahulu ke sekolah. Masing-masing sibuk tunjuk skil masing-masing. Tunggang basikal sebelah tanganlah, berpusing-pusinglah. Masa hendak sampai sekolah, saya pun pecut laju-laju. Bangga bukan main sebab saya menjadi orang pertama yang masuk ke pekarangan sekolah. Dan kebetulan, ada satu jalan yang agak curam di sekolah. Kami perlu melalui jalan itu untuk sampai ke tempat letak basikal. Brek saya tidak berfungsi pada masa itu. Jadi saya dan basikal saya yang berada pada tahap kelajuan maksima itu meluncur turun ke bawah. Kawan-kawan di belakang sudah memperlahankan basikal mereka.

Saya langsung tidak fikir sebarang kemungkinan yang boleh terjadi. Angin pada masa itu bertiup dengan kencang, bila-bila masa saja saya boleh melayang ditiup angin. Alhamdulillah, di depan jalan yang curam itu baru selesai dibina kawasan untuk para pelajar bermain catur. Ada tembok penghadang. Jadi basikal dan saya menghentam tembok itu sekaligus mengakibatkan tayar belakang basikal saya terangkat. Masa tu rasa macam jaguh basikal pula. Kawan-kawan bertanya sama ada saya ok atau tidak. Saya tersengih-sengih dan beritahu saya baik-baik sahaja.

Masih awal lagi sebelum perjumpaan bermula. Kami pun berjalan menuju ke blok tempat perjumpaan diadakan. Takdir menemukan kami dengan geng-geng lelaki bising darjah lima. Waktu sekolah rendah, tak ada istilah panggilan abang dan kakak ni. Masuk sekolah menengah barulah muncul istilah-istilah tu. Dalam kalangan rakan-rakan yang menunggang basikal bersama saya tadi, adalah seorang kawan ni yang mulutnya agak bising. Perkara normallah kan. Dia pun segera menceritakan peristiwa tadi kepada mereka.

Hendak dijadikan cerita saya ni sebenarnya pada waktu itu merupakan ketua pengawas sekolah. Yalah, bila dah jadi ketua pengawas ni macam artislah pula. Semua yang kita buat, ada orang akan buat liputan. Jadi salah seorang daripada pelajar lelaki darjah lima tadi terus menukar gelaran saya daripada Ketua Pengawas kepada Ketua Weekang. Saya tersengih-sengih tetapi dalam hati berkata, “habislah aku.”

Gelaran itu melekat selama beberapa bulan. Semenjak itu, saya tidak pernah lagi berlumba basikal. 



 photo sign-2_zps160b16ac.png

No comments:

Post a Comment