Monday, 2 June 2014

"Handsomenya Ikhwah Tu!"



Sekarang remaja yang seusia dengan saya, kebanyakannya sudah mula melanjutkan pengajian masing-masing ke tahap yang seterusnya setelah berbulan lamanya bercuti selepas SPM. Banyak yang cakap tentang orientasi. Banyak yang cakap tentang barang-barang yang perlu dibawa ke IPT. Saya tak mahu mengulas tentang semua itu. 

Fasa baru. Jadi cabaran makin bertambah, lebih-lebih lagi buat mereka yang diamanahkan untuk memikul tanggungjawab dan amanah. Setakat ini, alhamdulillah tak banyak cabaran lagi buat saya di tempat baru. Cuma satu yang saya perhati, cabaran yang tidak asing dari dulu lagi. Cabaran yang muncul daripada para ikhwah.

Seingat saya, saya kurang menulis tentang ikhtilat sebab saya assume ramai yang sudah tahu dan peka soal ini, cuma diri masing-masing yang memilih untuk jaga ikhtilat atau tidak. Buat anda yang mungkin tidak mengerti maksud ikhtilat, ikhtilat ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Apabila berada di suasana yang baru, maka sudah pastilah kita akan perhatikan wajah-wajah baru yang bakal menjadi rakan-rakan seperjuangan kita. Secara terus-terang saya katakan, zaman sekarang ini sama ada di IPT, matrikulasi, kolej, sekolah menengah, semuanya mengamalkan konsep belajar bersama lelaki dan perempuan.

Sistem yang dibawa oleh Barat sudah tidak asing lagi dalam sistem pembelajaran kita. Dahulu, guru lelaki hanya dibolehkan untuk mengajar pelajar lelaki dan guru wanita hanya dibenarkan untuk mengajar pelajar perempuan. Sekarang semuanya sudah bercampur, kita tidak dapat lari lagi daripada sistem pembelajaran campur jantina ini. Namun, semua itu tak bermakna pergaulan kita boleh jadi bebas sebebas-bebasnya. Batasan tetap ada.

Carian Google

Sebagai seorang remaja, sebagai seorang muslimah dan paling penting sebagai seorang pelajar, saya tak dapat nafikan pada minggu orientasi sahaja pun akhowat sudah mula goyah dengan ikhwah yang ada. Saya tak nafikan. Bukan semua akhowat mampu menjaga pandangan mata dan bisikan hati daripada melihat ikhwah yang berwajah baru. Dan mungkin juga akan cepat ‘jatuh cinta’ dengan ikhwah, tambahan lagi ikhwah yang menonjol daripada yang lain. Dan banyak bisikan-bisikan halus mula kedengaran.

“Handsomenya ikhwah tu.”

“Putihnya wajah dia.”

“Tingginya ikhwah tu, lebih tinggi daripada ikhwah yang lain.”

“Comel pula tengok ikhwah yang skema ni.”

Anda cakap ini semua fitrah. Yup. Anda cakap ini semua cuma persepsi awal sahaja. Mungkin. Anda cakap anda perhatikan wajah ikhwah semata-mata untuk kenal individu itu. Erm. Saya bukanlah seorang pakar hati, pakar cinta atau apa untuk berikan tips kepada akhowat bagaimana untuk tidak mudah jatuh cinta. Tetapi biarlah saya kongsikan beberapa panduan sendiri, yang mungkin boleh menjadi ibrah buat anda. 

Sejak sekolah rendah lagi saya hidup dalam komuniti yang banyak memerlukan kerjasama dengan ikhwah sehinggalah sekarang. Sekolah rendah, banyak yang perlu dipikul sebagai seorang ketua pengawas. Saya perlu memimpin organisasi pengawas. Sekolah menengah sudah tentulah lebih banyak kegiatan kelab dan persatuan sebagainya yang melibatkan kerjasama dengan ikhwah. Lebih-lebih lagi ketika berada di tingkatan empat, saya menjadi editor majalah yang memerlukan banyak interaksi dengan ikhwah. Pendek cerita, dari dulu hinggalah sekarang komunikasi dengan ikhwah memang tak dapat nak dielakkan. 

Tetapi, alhamdulillah, sepanjang bekerja dalam organisasi, saya tidak pula ‘jatuh cinta’ dengan mana-mana ikhwah. Jadi seorang rakan karib saya meminta saya menulis entry tentang tips untuk tidak mudah jatuh cinta. Seperti yang saya beritahu tadi, saya bukanlah pakar cinta. Tetapi saya akan cuba jelaskan perlahan-lahan.

Perkara pertama yang sebenarnya mungkin menjadi daya tarikan kepada akhowat adalah rupa paras ikhwah. Kalau ada yang berwajah cerah, hidung mancung dan sebagainya sahih ikhwah itu akan disukai ramai. Jadi, kalau terjumpa dengan golongan seperti ini, saya akan cuba elakkan daripada melihatnya secara berterusan atau terlalu lama. Kata orang, dari mata turun ke hati. Semakin lama dipandang, pandangan itulah yang akan membawa masuk perasaan muncul dalam hati. Paling penting, elakkan daripada stalk Facebook, Twitter, lebih-lebih lagi Instagram ikhwah itu. Sebab selalunya ikhwah yang handsome ni banyak muat naik gambar di laman sosial, jadi semakin anda stalk, semakin anda akan suka padanya. Cubalah elakkan.

Perkara yang selalu saya lakukan untuk mengelakkan daripada terlebih ‘attach’ pada mana-mana ikhwah adalah berfikiran negatif terhadapnya. Negative in a positive way. Kurangkan fikir pasal perkara-perkara positif yang dilakukannya dan besar-besarkan perkara negatif. Tetapi ini semua cuma dalam minda sajalah, tak perlu hebahkan pada dunia pula. Negative in a positive way ini adalah cara yang paling berkesan buat sayalah untuk mengelakkan diri daripada menyukai seseorang. Cubalah, mungkin berkesan juga buat anda.

Golongan ikhwah yang dari dulu hingga sekarang saya jumpa, golongan artis. Uhuk. Mereka yang selalu buat persembahan untuk majlis-majlis khas di sekolah dan sebagainya. Saya pula bukannya jenis yang suka golongan macam ni. Sebahagian akhowat mungkin dapat menolak temptation golongan ikhwah ni, tetapi yang lain tidak.  Cara untuk elakkan daripada menyukai mereka, adalah dengan menganggap bahawa semua orang menyukai mereka. Disebabkan itu, mereka sudah tidak istimewa lagi. Eheh. Maafkan saya sekiranya ada performer yang terbaca entry ini. Asif. Ini cuma cara saya, bukannya bermaksud anda tidak istimewa ya.

Dan golongan ikhwah yang mungkin paling sukar ditolak adalah mereka yang berkarisma, berkaliber dan berkepimpinan. Yang ini saya tak ada tips. Tapi tak mustahil untuk kita sendiri memahalkan hati, supaya tidak mudah jatuh cinta. Alhamdulillah, jujur setakat ini saya mampu meskipun menuntut ilmu dalam komuniti yang banyak ikhwah. Kalau saya boleh, pastilah anda, akhowat di luar sana mampu untuk menghadapi dugaan dan menepis perasaan menyukai mereka.

Kelas sama, kuliah sama, organisasi sama, bukanlah alasan untuk kita bebas bergaul dengan ikhwah. Kalau boleh, bercakaplah perkara yang penting sahaja. Jangan jadikan lelaki ajnabi sebagai ‘kawan baik’. Mungkin boleh berkawan tetapi jika persahabatan itu cuba mengundang ke arah perkara yang melalaikan, lebih baik kita anggap dia sebagai kenalan sahaja. Istilah kawan baik inilah yang boleh mendatangkan dosa secara tidak sedar. Berpandangan, bertepuk tampar, berpegangan. Mungkin pada pandangan mata kasar kita itu semua perkara biasa, tetapi jangan lupa syaitan yang sentiasa memerhati.

Andai Rasulullah masih bersama kita, pasti baginda akan sedih melihat keadaan umat baginda yang leka dalam menjaga ikhtilat. Saya pun masih banyak cacat celanya, kerana itulah saya menulis artikel ini untuk mengingatkan diri sendiri dan akhowat di luar sana yang membaca untuk berhati-hati dalam perkenalan dan persahabatan dengan ikhwah. Belajar dan bekerja sama-sama bukan alasan untuk menghalalkan yang haram. Batasan tetap perlu dijaga. Insya Allah, doakan saya mampu menjaga ikhtilat yang pastinya lebih mencabar kini.


7 comments:

  1. ikhtilat sangat2 kena jaga nak nak bila dah melangkah ke alam universti :)

    ReplyDelete
  2. Entry yang bermanfaat utk saya & mana pljr yg bakal masuk uni. In Sha Allah, tips yang di-share akan dipraktikkan. TQ ^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah. selamat menempuhi alam universiti ya.

      Delete
  3. bila diri & hati kita masih bertapak teguh... takkan goyang walaupun dilanda gempa bumi...

    ReplyDelete
  4. Fall in love with God first. Yeah ^_^

    ReplyDelete
  5. tak mudah banyak godaan tetapi janganlah berputus asa dr berdoa kpd allah

    ReplyDelete