Thursday, 5 June 2014

La Khauf !



“Nama saya Nurina Izzati, cita-cita saya nak jadi pengarah filem islamik,” ujar saya pada guru wanita di hadapan saya itu. Ketika itu saya sedang mengambil tanda tangannya untuk tugasan yang perlu disiapkan. Kemudian cikgu merenung saya untuk beberapa saat lamanya. 

“Pengarah filem, boleh ke?” Pertanyaan itu diajukan kepada saya. “Insya Allah, cikgu. Saya percaya kalau ada usaha yang sungguh-sungguh mesti boleh tercapai,” balas saya spontan. Saya langsung tidak menganggap pertanyaan cikgu itu sebagai pertanyaan yang negatif, tetapi saya anggap sebagai satu soalan berbentuk cabaran buat saya.


Saya sejak kecil sering bertukar cita-cita, biasalah, belum mencari identiti sendiri lagi. Bermula daripada penulis, usahawan, pengurus syarikat dan yang terkini, pengarah filem. Cita-cita ini berikutan minat saya dalam pembikinan video. Saya tahu, menjadi seorang pengarah filem bukannya sesuatu yang mudah. Mungkin apabila usia saya sudah lanjut nanti, baru cita-cita itu akan tercapai, itu pun belum pasti. 

Berdasarkan sumber sebuah laman web, antara cita-cita yang paling banyak ialah doktor, juruterbang, angkasawan, pengacara, menteri, artis, atlet, guru dan polis. Saya menyokong pernyataan ini kerana itulah karier yang akan disebut-sebut oleh kebanyakan rakan di dalam kelas dulu. Tetapi, sebenarnya ramai juga yang mempunyai minat yang unik dan aneh di luar sana. Saya mengenali beberapa orang rakan yang mempunyai minat dalam bidang yang mungkin kurang dipelopori berbanding yang saya nyatakan sebentar tadi. Antaranya grafik designer, broadcaster (pembaca berita) dan pereka fesyen. 

Tak salah kalau kita mempunyai minat yang unik atau pelik atau lain daripada yang lain. Kita dilahirkan dengan bakat masing-masing. Masalahnya, kebanyakan daripada kita tidak mahu mempelopori dengan lebih mendalam minat dan bakat yang ada, hanya  disebabkan takut dengan pandangan ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling. Contohnya anda seorang lelaki, tetapi minat mereka fesyen. Anda takut untuk meluahkan minat dan bakat yang tersembunyi itu hanya kerana tidak mahu dipandang serong oleh orang lain.


Mungkin ayat saya ini klise, tetapi jangan peduli kata-kata dan pandangan orang lain. Pada saya, dalam sesetengah keadaan memanglah kita patut mengambil kira juga pendapat orang lain, tetapi apabila berbicara tentang cita-cita, semuanya terpulang kepada kita. Jika kita memaksa diri untuk mengerjakan sesuatu yang tidak diminati, akhirnya kita sendiri juga yang akan tewas. Dan ketika itu, susah untuk kita bangkit kembali. Apa yang kita dapat lihat hanyalah penyesalan kerana takut akan kata-kata manusia.

Wahai anda yang membaca, la khauf! Jangan takut! Tetapi berbanggalah dengan siapa diri anda sekarang, berbanggalah betapa unik dan spesialnya bakat yang ada dalam diri anda. Bukan semua orang mampu memiliki bakat seperti anda. Misalnya saya, saya sangat mencemburui mereka yang pandai melukis kerana saya tiada bakat untuk melukis, namun saya bersyukur dengan bakat sendiri yang dimiliki. Alhamdulillah.

Kalau ada ketakutan yang menghalang di dalam diri, tak mungkin kita dapat melangkah lebih jauh. Yang penting kita perlu mempunyai kesungguhan, di samping berdoa pada Allah supaya kita diberi kekuatan untuk terus bergerak maju bagi mencapai cita-cita yang diidamkan itu.

Jika ada yang berminat untuk menjadi pengarah filem, cita-cita kita sama. Saya berharap agar dapat menghasilkan filem-filem islamik yang berkualiti untuk tontonan masyarakat, dan dalam masa yang sama dapat berdakwah kepada umum.

Pada pemerhatian saya, kaca televisyen adalah medium yang paling pantas untuk menyampaikan dakwah kepada orang ramai. Tetapi itulah, seperti yang saya kata, hendak jadi pengarah filem bukannya mudah, banyak halangannya. Banyak ilmu tentang pembikinan filem yang perlu ditimba. Perlu sentiasa mempunyai idea yang baru, segar dan tidak klise supaya penonton tidak bosan. Nampak macam mustahil, tetapi istilah mustahil cuma untuk pengecut yang tidak berani mencuba.

Saran saya, tak kisahlah apa pun cita-cita anda tetapi kalau boleh biarlah karier itu kelak boleh menjadi saham yang membawa kita ke akhirat. Kalau tak, semuanya akan sia-sia juga. Saham ke akhirat? Maksudnya kerja yang tidak melanggar syarak, dan mengajak orang lain ke arah kebenaran (berdakwah). Percaya atau tidak, tak ada alasan dalam berdakwah. Kita boleh berdakwah dalam sebarang jenis pekerjaan pun yang dipilih asalkan kerja itu halal. Kalau nak jadi pengarah filem, hasilkan filem-filem yang tak ada adegan ajnabi berpegangan, buat filem yang membina. Kalau nak jadi pereka fesyen, janganlah reka baju-baju yang ketat dan tidak menutup aurat. Sebaiknya reka pakaian muslimah yang longgar dan tidak jarang.

Kalau nak jadi atlet, pastikan menutup aurat dan jangan tinggal solat. Atlet pun boleh jadi pendakwah, tahu? Contoh yang paling mudah ialah Mesut Ozil, pemain tengah Real Madrid jika tak salah saya. Walaupun saya tak menonton bola sepak, tetapi saya ambil tahu juga isu-isu semasa ni. Eheh. Ozil ni khabarnya seorang pemain yang tidak tinggal solat dan selalu baca al-Quran, sehinggakan peribadinya itu mampu mempengaruhi Christiano Ronaldo untuk turut belajar Islam. Subhanallah. Itulah yang dinamakan dakwah! Ozil ni tak takut pun orang hendak cakap apa tentang dirinya, dia tetap jadi diri sendiri dan tidak terikut-ikut pemain-pemain lain yang bukan muslim.

Google

Point is, setiap orang ada menyimpan rasa takut dalam diri sendiri. Khauf yang pelbagai jenis. Tetapi kita perlu belajar untuk mengatasi rasa khauf itu dan tidak membiarkannya menjadi penghalang. Buktikan pada dunia, yang kita boleh melakukannya kerana kita memang ingin melakukannya.

"Wahai orang yang beriman! Jika kamu menolong Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu." Surah Muhammad ayat 7.

3 comments:

  1. Saya nak jadi saintis, tapi mak tak bagi. Huhu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau betul-betul dah tekad, cuba slow talk dengan mak. walau macam mana pun mak ayah mesti nak yang terbaik untuk kita. boleh jadi juga, apa yang mak ayah suruh kita buat adalah yang terbaik untuk kita

      Delete
  2. all the beshh akak ! hebatnya ozil! Terharuu~

    ReplyDelete