Friday, 30 January 2015

Jangan Tagih Jawatan



Seorang rakan saya ada berkongsi sebuah hadis dalam blognya yang membuatkan saya sangat tertarik.

“Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu.” (Riwayat Bukhari Muslim)

Maksudnya, janganlah kita merayu atau meminta-minta supaya mendapat posisi atau jawatan dalam sesebuah organisasi kerana jika pada akhirnya kita mendapatnya, tanggungjawab itu akan diberikan kepada kita secara bulat-bulat.

Jawatan pemimpin terbuka kepada mereka yang benar-benar layak menyandangnya. Jika seseorang yang meminta-minta jawatan pemimpin itu kurang layak, maka dia akan menutup peluang kepada mereka yang lebih layak memegangnya. Dia tidak dapat menjalankan tugas dengan baik kerana tidak mempunyai kelayakan. Itu yang saya geruni. Orang akan anggap bahawa kita memang mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan baik. Padahal setiap yang bergelar manusia ni tak mungkin sempurna, mesti ada cacat cela di mana-mana.

Sebaliknya, jika kita diberikan jawatan tanpa kita memintanya, nescaya kita akan diberikan pertolongan dalam melaksanakan tugas. InsyaAllah urusan akan berjalan dengan lebih mudah.

Sejak saya sekolah rendah lagi, isu tentang jawatan ni tak pernah luput. Manusia saling bersaing untuk menonjolkan serta membuktikan kebolehan masing-masing. Disebabkan jawatan di sekolah menyumbang kepada markah kokurikulum yang tinggi, maka kita pun berusaha untuk menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Tipulah kalau saya katakan bahawa saya tak suka dapat jawatan. Dapat jawatan, terutamanya ketua, menjadikan kita seolah-olah lebih ‘superior’ sedikit berbanding pelajar-pelajar yang lain. Kita lebih istimewa berbanding yang lain. Kita lebih dikenali dan dikehendaki. Tapi kita juga sepatutnya sedar, tanggungjawab kita juga sudah jadi lebih berat daripada orang lain.

Masuk sekolah menengah, persaingan untuk mendapatkan jawatan itu jauh lebih hebat. Ada kelab dan persatuan, unit uniform serta sukan dan permainan. Detik-detik yang paling dinanti apabila hari mesyuarat agung kelab diadakan. Dan saya akan doa dalam hati supaya mendapat jawatan (kira macam saya meminta jawatan pada ketika itu). Tak kisahlah apa-apa jawatan pun asalkan boleh mendapat markah kokurikulum. Apabila berjaya menyandang jawatan, maka hati pun berbunga-bunga.

Masa pun berlalu dan cikgu-cikgu semakin sibuk merancang aktiviti untuk persatuan. Jasa dan tenaga AJK memang sangat diperlukan dalam detik-detik sebegini. Saya boleh dikira agak aktif dalam unit uniform dan kelab persatuan, kecuali sukan permainan. Eheh. Saya dedikasikan diri untuk membantu kelab, sehingga tiba pada satu tahap saya rasa penat. Rasa serabut. Rasa amanah yang digalas itu, sebenarnya jauh lebih berat daripada apa yang saya sangka. 

Tidak cukup dengan rasa penat, tercetus pula konflik yang melemahkan jiwa. Terjerat dalam jawatan yang selama ini saya sendiri damba. Apa pun saya bersyukur Allah berikan jalan keluar bagi setiap masalah yang saya alami. Jadi janganlah sesekali kita melepaskan tali pegangan kita dengan Allah.

Pengalaman banyak mengajar saya bahawa tak semestinya bila kita rasa kita boleh buat, kita memang boleh buat. Amanah bukannya sesuatu yang ringan untuk digalas. Kena selalu work-out baru larat nak angkat.

Akhirnya saya tidak lagi memandang jawatan itu sebagai suatu perkara yang penting. Ketika masuk ke tingkatan empat di KUSESS (SMS Kuala Selangor), saya berusaha untuk menghindarkan diri daripada memegang jawatan. Saya juga tidak pergi ke interview MPP walaupun nama telah dicalonkan. Maafkan saya cikgu (sekiranya cikgu baca). Rasa macam saya dah banyak hampakan cikgu.

Apa pun, pada akhirnya, saya mendapatkan jawatan-jawatan yang jauh lebih tinggi dari dulu. Jawatan yang paling berat untuk saya ialah penolong ketua BADAR (Badan Dakwah dan Kerohanian). Saya mendapat undian daripada majoriti pelajar puteri yang menulis nama saya di atas kertas-kertas kecil, lalu dikumpulkan dan dihitung jumlahnya oleh pelajar-pelajar yang bertugas.

Saya langsung tidak terfikir untuk mendapatkan jawatan itu memandangkan saya cuma pelajar baru. Saya takut saya penat. Takut tak mampu. Takut akan banyak kemungkinan. Dan segala ketakutan saya perlahan-lahan bertukar menjadi realiti. Memang banyak cabaran yang perlu ditempuhi, apatah lagi bila melibatkan dakwah dan tanggungjawab kepada agama. Tetapi alhamdulillah, Allah utuskan banyak pertolongan sepanjang memikul amanah itu. Maka janganlah sesekali kita melepaskan tali pegangan kita dengan Allah.

Point is, bila saya minta dan berharap pada sesuatu jawatan dan saya dapat jawatan tersebut, semuanya jadi sulit. Tetapi bila saya diberikan amanah oleh orang, saya mendapat banyak bantuan. 

Situasi yang sama sedang berlaku sekarang. Saya diminta untuk menyandang jawatan MPP di sini, walhal sangat berat untuk saya menggalasnya. Tahun lepas saya sudah menolaknya, jadi rasa serba salah pula menolaknya sekali lagi. Moga Allah permudahkan urusan saya. 

Semoga dengan sedikit perkongsian ini, mampu menggerakkan hati yang sedang membaca. Biidznillah.

From movie 99 Cahaya Langit di Eropa 2

No comments:

Post a Comment