Wednesday, 7 January 2015

Mekah + Madinah



Assalamualaikum.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya diberikan peluang untuk menunaikan ibadah umrah. Sebelum ini, mungkin saya cuma pelajari tentang ibadah umrah dalam subjek Pendidikan Agama Islam di sekolah menengah dahulu. Bila sudah mengalaminya sendiri, barulah saya faham konsep umrah itu sendiri. Menjejakkan kaki di tanah haram merupakan impian semua umat Islam, tetapi bukan semua orang mempunyai peluang sebegini. Semuanya bergantung kepada rezeki Allah.

Sebelum sampai ke Madinah, saya membayangkan padang pasir, tetapi Madinah dan Mekah bukan seperti yang saya bayangkan. Sudah tentulah saya amat teruja menjejakkan kaki di Madinah. Kali pertama saya ke luar negara setelah hampir belasan tahun berada di bumi Malaysia.


Pembangunan Kota Madinah boleh disamakan dengan Kuala Lumpur. Bangunan canggih. Sepanjang jalan ke Masjid Nabawi, para peniaga sibuk menjual barang niaga masing-masing. Laluan itu dikenali sebagai Bin Dawood. Mungkin boleh disamakan dengan Jalan TAR di Kuala Lumpur? Apabila polis datang, masing-masing terpaksa bergegas pergi bersama barang niaga mereka. 

Kali pertama ke Masjid Nabawi, saya sangat teruja, tetapi telah dilarang untuk masuk ke dalam disebabkan membawa kamera di dalam beg. Ya, saya terlupa pesan nenek, mereka tidak membenarkan penggunaan kamera di dalam Masjid Nabawi. Oleh itu, saya cuma solat Asar di pekarangan masjid. Waktu Maghrib baru saya masuk ke dalam. Subhanallah, tak dapat digambarkan betapa luas dan cantiknya Masjid Nabawi. Kawasan di dalam sangat luas sehingga tak nampak penghujung tiang-tiang di dalam masjid. 

Sepanjang perjalanan pergi dan pulang ke hotel, kami memang akan melalui Bin Dawood dan kedai-kedai di sekitarnya. Di situ saya langsung tidak mengalami kesulitan dengan peniaga kerana kebanyakan mereka sangat fasih berbahasa Melayu. Mungkin mereka pernah datang ke Malaysia, atau mungkin juga mereka mengambil inisiatif sendiri untuk memikat jemaah Malaysia. 


Saya juga berpeluang untuk berziarah. Kami ke Masjid Quba’ dan alhamdulillah dapat menunaikan solat di dalamnya meskipun terpaksa mengharungi kebanjiran manusia. Di Bukit Uhud pula, saya sempat melihat sekumpulan Syiah yang turut berkunjung di situ. Jujur saya katakan, itulah kali pertama saya melihat Syiah dengan mata kepala sendiri. Selama ini cuma dihidangkan dengan tayangan video dan televisyen semata-mata. Moga Allah memberikan hidayah kepada mereka. Di kilang kurma dan coklat pula, semua pengunjung dibenarkan untuk makan sepuas hati, asalkan kurma dan coklat tersebut tidak dibawa keluar dari kedai tanpa bayaran terlebih dahulu. 

Saya juga banyak mendengar cerita daripada rakan baru di sana. Sepanjang berada dalam Masjid Nabawi, saya melihat manusia dari pelbagai bangsa, budaya, dan juga pegangan (Islam tetapi mazhab berlainan). Seorang mak cik dari Dubai pernah mengajak saya berbual, tetapi saya langsung tidak memahami bahasanya. Saya juga sempat berbual dengan seorang kakak berusia 25 tahun dari Malaysia yang baru 2 minggu bernikah. Dia lebih banyak bercakap daripada saya memandangkan pengalamannya lebih luas. Salah satu ayat yang dilontarkannya kepada saya, “Awak beruntung tak kahwin lagi, datang sini boleh minta jodoh yang baik.” Saya cuma tersenyum. 


Sebelum meninggalkan Kota Madinah, buat kali terakhir saya masuk ke dalam raudhah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah. Pada awalnya, saya tertanya-tanya juga, kenapa jemaah perlu ke Madinah, sedangkan ibadah umrah dilakukan di Mekah sahaja. Kemudian baru saya teringat, Rasulullah pernah berpesan, sesiapa yang mengerjakan haji di Mekah tetapi tidak menziarahi baginda, seolah-olah memutuskan pertalian dengan baginda. 

Perjalanan bas ke Mekah pula memakan masa hampir 5-6 jam jika tak salah saya. Kami berhenti di Miqat Zulhulaifah untuk berniat umrah dan ihram. Setelah tiba di hotel, para jemaah dibenarkan untuk berehat dan makan seketika dan terus ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah. Sebenarnya, tak ada perkataan atau ayat yang sesuai untuk saya gambarkan perasaan dan pengalaman di Masjidil Haram, apatah lagi apabila berada di hadapan Kaabah. Allahu. You just have to be there to experience it by yourself.

Di Mekah juga jemaah kami dibawa untuk berziarah. Pemandangan dari puncak Jabal Nur:




Seorang sepupu bertanya kepada saya, “Akak sempat buat umrah berapa kali?”

“Empat. Alhamdulillah.”

“Empat. Bukan tiga ke?”

“Solat dalam Masjid Quba’ kan pahala bersamaan satu ibadah umrah. So tiga tambah satu jadi empat.”



No comments:

Post a Comment