Friday, 2 January 2015

Sambutan Birthday dan Refleksi 2014



Assalamualaikum.

Yup. Saya dah kembali ke Malaysia! Alhamdulillah.

Setelah dua minggu pergi menunaikan umrah, macam-macam berita yang saya dengar di sana. Banyak juga yang saya terlepas. Dengarnya, Malaysia telah mengalami banjir teruk terutamanya di negeri Kelantan. Beberapa hari setelah mendengar tentang banjir, saya digemparkan pula dengan berita kapal terbang yang terhempas. Semoga segala masalah yang melanda negara ini dapat diatasi dengan lancar. 

Keputusan PT3 pun dah keluar, dan apa yang saya dengar, keputusannya kurang memberansangkan. Sewaktu saya mengambil peperiksaan PMR dulu, calon yang mendapat straight As adalah sebanyak 100 lebih di sekolah saya. Bagi tahun 2014, cuma 4 orang sahaja calon PT3 yang mendapat semua A. Jauh sekali bezanya. Yup, saya akui PT3 pasti lebih susah dari PMR. Tapi nak buat macam mana, mungkin ini adalah salah satu strategi kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih progresif dan berdaya saing. Setiap apa yang terjadi ada pro dan kontra masing-masing kan. 

Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada semua calon PT3 yang telah berusaha sehabis baik dalam peperiksaan. Apa yang penting bukan kuantiti subjek yang A atau bilangan calon straight As, tetapi kualiti yang ada dalam diri pelajar itu sendiri. Perjalanan hidup ni masih panjang, jadi teruskanlah perjuangan kita. Oh ya, sesi persekolahan juga bermula sedikit lewat dari yang dijadualkan, bukan? Saya tak tahu berita apa lagi yang saya terlepas dalam masa dua minggu ini. 

Oh ya, sebelum kami bertolak meninggalkan Malaysia tempoh hari, kami sempat juga menyambut ulangtahun kelahiran ibu saya (27 Disember tetapi disambut lebih awal). Beliau beruntung kerana ulangtahun kali ini disambut di kota Mekah, dan kami sempat membuat satu umrah pada hari itu. Ucapan saya agar beliau terus sukses pada tahun 2015 ini dan tahun-tahun seterusnya.



Sedar tak sedar, bulan Disember pun telah melabuhkan tirainya. Sekarang kita berada di tahun 2015, lima tahun saja lagi untuk merealisasikan hasrat Wawasan 2020. Umur saya telah mencecah 19. Masuk tahun 2016, sudah tidak ada lagi usia belasan tahun. Cuma ada 20-an dan akan masuk 30-an. Jadi apa yang telah saya capai dalam hayat sepanjang 18 tahun ni? Basically, what have I done in 2014? Tak banyak sangat yang saya capai, dan azam saya untuk tahun 2014, yup, satu pun tak tercapai. But it’s okay. Kadang boleh jadi apa yang kita suka tu, sebenarnya bukan yang terbaik untuk kita. Biar saya imbas beberapa pencapaian kendiri bagi tahun 2014 yang boleh anda baca menerusi artikel-artikel saya.

1. GIVEAWAY WORLD HIJAB DAY
Alhamdulillah, buat kali pertama saya berjaya menghasilkan giveaway di blog ini dengan bantuan sponsor daripada rakan-rakan blogger yang lain. Sebenarnya sudah lama saya teringin nak buat giveaway, cuma baru ada rezeki tahun ini. Sambutan yang diterima juga amat menggalakkan. Insya Allah, kalau ada kelapangan dan peluang, saya pasti akan menganjurkan giveaway lagi.


2. PENGHASILAN VIDEO PENDEK
Walaupun cuma dua video sahaja yang diupload di YouTube, saya boleh juga menganggapnya sebagai pencapaian kendiri. Bukan senang (rajin) saya hendak buat video yang betul-betul saya puas hati untuk upload. Masih ada satu lagi video lakonan bersama rakan-rakan yang belum saya siapkan lagi. Adeh. (youtube.com/nurina24)


3. KEPUTUSAN SPM
Saya tidak mendapat straight As, tetapi keputusannya boleh tahan jugalah. Keputusan SPM itulah yang menempatkan saya di mana saya berada sekarang. Alhamdulillah.


4. LAWATAN KE RAUDHATUS SAKINAH
Tahun 2014 juga sebenarnya merupakan kali pertama saya membuat lawatan ke rumah kebajikan. Saya tak pernah pergi ke mana-mana rumah kebajikan sebelum ini. Alhamdulillah, saya mendapat peluang untuk berbual dan mendengar cerita daripada para penghuni Raudhatus Sakinah yang melayan tetamu dengan mesra.


5. MENUNAIKAN UMRAH
Alhamdulillah, inilah anugerah dan hadiah terhebat saya untuk tahun 2014. Penutup dan pengakhiran yang sangat baik. Saya belum sempat lagi menulis pengalaman sepanjang berada di sana. Saya sangat kagum dan bersyukur kerana berpeluang untuk menjelajah ke lokasi-lokasi bermulanya sejarah Islam. Paling gembira apabila dapat ke sana bersama keluarga tercinta. Semoga saya dapat menjejakkan lagi kaki ke Mekah dan Madinah. Biidznillah.


Itulah beberapa pencapaian tahun 2014. Apa pula azam Nurina untuk tahun 2015? Azam utama saya tahun ini satu sahaja, iaitu untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 3.5 pointer dan kalau boleh 4 flat. Dengan izin Allah.

Marilah kita semua berusaha untuk mencapai azam masing-masing. Yeah!

No comments:

Post a Comment