Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Saturday, 6 August 2016

Pelukis Jalanan oleh Teme Abdullah



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Tengok tajuk entry ini pun anda pasti sudah boleh menjangka apa yang akan saya kongsikan. Ya, kali ini saya ingin berkongsi tentang naskhah Pelukis Jalanan hasil tangan seorang yang tidak begitu asing dalam dunia maya ini iaitu Teme Abdullah. Sebenarnya saya tidaklah berapa gemar berkongsi tentang buku-buku yang telah saya baca kerana takut akan menjejaskan kandungannya kepada mereka yang belum membaca. Nanti keseronakan dan keterujaan sesuatu bahan bacaan itu mungkin akan terjejas kerana bakal pembaca sudah mengetahui sebahagian besar isi kandungannya. Jadi, dalam entry ini saya akan cuba untuk tidak banyak mendedahkan kandungan Pelukis Jalanan.

Carian Google

Pelukis Jalanan merupakan sebuah buku motivasi setebal 215 halaman terbitan Iman Publication dan boleh didapati dengan harga RM25 di kedai buku. Saya pernah beberapa kali mencari buku ini di kedai buku tetapi selalu gagal menemuinya. Nampak sangat buku ini terlalu laris dan mendapat sambutan ramai. Alhamdulillah, apa pun saya akhirnya berjaya juga menemuinya di Popular Bookstore, City Plaza Mall, Alor Setar. Disebabkan saya ahli Popular jadi dapatlah sedikit diskaun. Selain Pelukis Jalanan, saya juga berjaya menemui Esc karya Budak Tomato. Esc masih lagi sedang saya baca.

Pelukis Jalanan menceritakan pengalaman penulis yang belajar A-Level sehinggalah ke United Kingdom. Saya tertarik dengan karya ini kerana kebetulan juga saya mendapat tawaran ke UK dalam bidang psikologi, tetapi atas faktor kewangan juga saya menolak. Percayalah, kos sara hidup di sana memang sangat tinggi. Tengok yuran pendaftaran saja pun saya dah mengeluh. Bezanya, saya bukanlah pelajar A-Level seperti beliau. Saya belajar STPM. Dan bagi peringkat STPM, sudah tentulah sangat susah untuk memohon biasiswa ke luar negara.

Orang mesti akan hairan kenapa pelajar A-Level seperti Teme tidak mendapat biasiswa untuk ke luar negara. Kalau nak tahu kenapa, kenalah baca. Saya kagum dengan kesungguhan penulis untuk mengumpul wang demi membiayai pelajarannya. Seperti yang saya katakan, kos di UK sangat mahal. Gaji saya bekerja sambilan selama tiga bulan lebih pun baru mencecah 1.4% daripada jumlah keseluruhan bayaran pelajaran di sana. 1.4%, bukan 14%! Saya memang sangat terinspirasi dengan saudara Teme yang menunjukkan kepada kita supaya jangan berputus asa dalam perjuangan. Tapi untuk saya melakukan sesuatu yang luar biasa seperti beliau, itu saya tidak mampu lagi. Saya sendiri masih lagi tercari-cari sesuatu yang boleh saya genggam dengan erat.

“Ia kekal dongeng… jika engkau tidak mula berjalan.” –Teme.

Satu ayat yang cukup mendalam. Semua orang boleh simpan angan-angan. Semua orang boleh pasang harapan. Semua orang boleh mendabik dada dan mengkhabarkan kepada dunia tentang cita-citanya. Tapi semua itu hanya tinggal angan-angan kosong, dongeng, jika tak ada apa yang dilakukan sebagai usaha menjadikannya sebuah kenyataan. Kita perlu mula melangkah, walaupun cuma beberapa tapak, asalkan kita bergerak. Saya ada impian, tapi adakah saya sendiri pernah cuba untuk melangkah ke arah impian itu? Hmm.

“Daripada merungut tidak reti buat tona warna, tak reti lukis potret, tak reti lukis bangunan, tak reti lukis kartun, tangan tak bedung dan macam-macam lagi. Aku cadangkan kalian ambil pensel dan mula berlatih. Jangan cakap banyak.” – kata Teme lagi.

Kepada yang mungkin tidak mengenali penulis, beliau merupakan seorang pelajar bidang architecture dan seorang pelukis yang berbakat. Saya selalu mengagumi mereka yang berbakat dalam melukis. Tapi saya tak adalah minat pun untuk melukis. Semua orang ada minat berbeza. Dan tak semua orang boleh berikan komitmen serta jiwa ke dalam lukisan masing-masing. Jadi saya kagum dengan mereka yang pandai melukis, kerana nilai komitmen mereka yang begitu tinggi. Penulis ada berkongsi karya-karya beliau di halaman-halaman terakhir buku ini. Jadi anda bolehlah menilai sendiri sama ada betul atau tak kalau saya katakan Teme mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam lukisannya.

Sesuatu yang turut menyentuh hati saya dalam buku ini adalah tentang persahabatan penulis dengan sahabat-sahabatnya. Nak tahu siapa, kenalah baca. Walaupun mereka sendiri merupakan pelajar dan mempunyai kekangan, mereka sanggup untuk membantu Teme sedaya-upaya. Itu adalah persahabatan yang sejati. Bukan senang nak cari kawan yang sanggup membantu kita tanpa sebarang kepentingan. Bukan senang. Tapi tak bermakna tak ada. Apabila tiba masanya kelak, Allah pasti akan hadirkan insan-insan terpilih untuk bersama kita dalam situasi senang dan susah. Tak kiralah dalam kalangan keluarga, rakan-rakan ataupun mungkin bakal suami atau isteri. Mungkin ada dalam kalangan kita yang tak nampak lagi semua tu, tapi percayalah, pasti akan ada juga. Senyum dan terus percaya.

Apa yang saya teringin nak baca sambungannya adalah cerita tentang watak Orange dalam buku ini. Saya tak pasti sama ada ceritanya tamat di situ sahaja, penulis sengaja biarkan tergantung, atau ada lagi lanjutannya. Entahlah. Saya boleh berikan 3.9 daripada 5 untuk rating buku ini. Dan 5 daripada 5 untuk ketekunan penulis.

Apa pun, kepada yang belum membaca Pelukis Jalanan, silalah cari di kedai-kedai buku berhampiran anda. Tak rugi membacanya. Dan harapnya, kita sama-sama dapat mencontohi ketekunan penulis dalam meneruskan perjuangan hidup. InsyaAllah.

Friday, 17 June 2016

Ensiklopedia Pengubatan Herba oleh Dr. Khalid Gadd


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.
Salam 12 Ramadan 1437.

Saya sedang membaca sebuah ensiklopedia Pengubatan Herba – Terapi Alternatif Kedoktoran Islam yang ditulis oleh Dr. Khalid Gadd dan dialih bahasa oleh Fadzilah binti Mohd Ariff. Buku ini terlalu bagus sehingga membuat saya tergerak untuk berkongsi di blog. Selalunya saya sekadar berkongsi di Twitter sahaja. Saya rasa buku ini milik ibu saya yang sudah lama ada di rak buku. Saya tak pernah menyentuhnya sebab tajuknya berkenaan herba. Saya seorang pelajar Sastera jadi kenapa perlu membaca buku herba? Itulah pemikiran cetek saya dulu. Eheh.

Tapi baru-baru ini saya terdetik untuk membelek-belek buku di rumah dan menemuinya. Ensiklopedia ini adalah terbitan Al Hidayah dan mempunyai 578 halaman, berharga RM50. Saya masih belum habis membacanya. Kalau anda fikir ensiklopedia ini adalah tentang herba semata-mata, anda silap. Bagi saya ensiklopedia  ini mampu menjawab pelbagai persoalan tentang kebimbangan kita.Ensiklopedia ini menyentuh tentang tanaman, buah-buahan, ubat-ubatan, segala jenis penyakit, kesihatan wanita, sihir, masalah kulit , kecantikan, kehamilan dan macam-macam lagi. Dan setiap satu penjelasannya adalah sangat terperinci berpandukan al-Quran, hadis serta kajian daripada penyelidik Islam dan juga Barat.




Contohnya kita hendak tahu tentang tanaman. Dari huruf A hingga Z dijelaskan secara terperinci. Penjelasannya sangat menarik sebab saya dapat tahu benda yang tak pernah saya ketahui sebelum ini. Subhanallah. Rupa-rupanya di sebalik setiap pemakanan kita terkandung seribu satu kebaikan dan khasiat. Bahkan rata-rata buah-buahan termasuk bawang boleh digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.  Saya memang sarankan anda membacanya terutamanya buat mereka yang mempunyai masalah kesihatan. InsyaAllah, apa jua penyakit yang kita ada, termasuklah AIDS, cara untuk mengubatinya ada diterangkan dalam ensiklopedia ini.

Kalau ada masalah kulit pun diterangkan satu per satu di dalamnya. Ekzima, luka, kulit kering, bisul, ketuat, kudis dan macam-macam lagi. Sangat menakjubkan. Masalah kurang nafsu makan, badan kurus nak gemuk, masalah malas juga turut dinyatakan kaedah penyelesaiannya.

Saya sedang membaca tentang khasiat Habbatus Sauda’ atau Jintan Hitam di halaman 71. Dan tahukah anda, habbatus sauda’ ni ada 18 khasiat dalam perubatan? Semuanya dijelaskan secara terperinci. Antaranya seperti menghancurkan batu karang, mengubati tahi lalat, menyembuhkan sakit kepala, merawat jerawat, mengatasi selesema dan penyakit lumpuh. Itu cuma beberapa khasiat sahaja yang saya senaraikan. Belum lagi senaraikan semuanya.  Tapi habbatus sauda’ ni tak boleh diambil secara berlebihan sebab boleh juga mengakibatkan kematian.

Pendek kata, ensiklopedia ini akan membawa anda ke arah lebih menghayati Islam. Bayangkan hukum Islam yang telah ditetapkan dari dulu lagi dalam al-Quran tetapi saintis baru sahaja menemui kebenarannya. Allahu. Dan setiap perinci yang dipesan oleh Nabi setiap sesuatu ada sebabnya.

Kepada wanita yang mempunyai kebimbangan terhadap kecantikan pun boleh menemui jawapan di dalam ensiklopedia ini, insyaAllah. Sebab ada dijelaskan secara terperinci tentang mata, rambut, gigi, badan, kulit dan sebagainya. Cuma saya rasa kalau nak praktikkan tu mungkin agak susah sedikit bagi saya sebab nak kena cari bahan dia dan sebagainya. Tapi kalau sesiapa yang betul-betul bertekad pasti akan ikhtiar untuk mengubati penyakit mereka selepas membaca.

Memandangkan sekarang bulan puasa, saya titipkan hadis daripada buku ini untuk renungan kita semua. Diriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri, dari Nabi S.A.W., baginda bersabda,

“Barang siapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhkan jarak antara ia dengan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh musim gugur.”

MasyaAllah. Bayangkan sehari sahaja berapa banyak hikmahnya. Inikan pula sebulan? Subhanallah.

Saya ingin berterima kasih kepada Dr. Khalid Gadd atas penulisan ensiklopedia ini, penterjemah, penerbit. Seperti apa yang ditulis di kulit belakang ensiklopedia, “Setitis Ilmu – Sejuta Makna”. 

Saturday, 12 March 2016

Sedang Mencari


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Saya baru mendengar khabar seorang rakan yang bakal bernikah dan seorang lagi yang bakal bertunang. Secara jujurnya, ini kali pertama dalam kalangan rakan saya yang akan menginjak ke satu tahap lebih serius dalam peringkat kehidupan. Siapa tak gembira dengar kawan dah nak berkahwin? Tapi bila teringat kawan sendiri dah nak kahwin, barulah teringat yang diri sendiri ni dah mencecah usia dewasa, jauh meninggalkan zaman kanak-kanak yang hanya tahu bersuka ria dulu. Apa boleh buat, tak ada siapa pun dalam dunia ni yang boleh larikan diri daripada realiti. Eheh.

Apa pun, berita gembira lain yang saya nak kongsikan sebenarnya adalah tentang buku. Buku yang sedang saya cari buat masa ini. Kenapa saya mencarinya? Sebabnya, kedua-dua buah buku ini lebih kurang macam ‘debut’ pertama rakan saya Ariffah. ‘Debut’ sulungnya dalam menghasilkan cover hadapan buku. Walaupun bukan dia yang tulis, tapi saya tetap teruja nak pegang buku yang didesign oleh Ariffah.

1. Menyingkap Tabir oleh Muhammad Mikael




Menyingkap Tabir adalah sebuah novel akidah yang membongkar penyelewengan syiah. Harganya RM 15. Kata Ariffah, model cover hadapan tu classmate dia. Muka nampak macam tengah senyum di sebalik penutup muka tu. Tapi memang nampak style cover tu. Saya tak baca lagi jadi tak dapat nak buat ulasan, tapi saya rasa novel berkenaan syiah ni mesti mendatangkan banyak input dan menarik.


2. Antologi Cerpen Akhirnya Aku diselenggara oleh Khairy Tajudin & Nor Liana Omar
(gabungan hasil tangan ramai penulis tanah air)



Saya tak jumpa lagi sinopsis tentang buku ini di enjin carian, mungkin kerana antologi ini baru saja masuk dalam pasaran. Akhirnya Aku… apa? Kalau nak tahu, nampaknya kenalah dapatkan sendiri buku ini di pasaran. Kalau dah baca, mungkin anda boleh ceritakan pada saya. :)

Dan ada lagi dua buah buku yang disarankan oleh kakak saya. Katanya, kedua-dua buah buku ini ditulis oleh rakannya. Jadi saya pun buat sedikit penyelidikan tentang buku yang dimaksudkannya.


3. #Henshin Mahasiswa oleh Eqhwan



Saya sudah membaca buku #Henshin tulisan Aiman Banna. Kalau anda tahu tentang #Henshin, tak mustahil anda pun pernah mendengar tentang #Henshin Muslimah. Jadi saya rasa mungkin buku #Henshin Mahasiswa ini lebih kurang versi penghijrahan untuk para mahasiswa pula. Buku tulisan Eqhwan ini berharga RM25 terbitan Inspirasee Publication. Pada pendapat saya, mungkin buku ini banyak menyentuh tentang kehidupan pelajar di universiti yang selalu sibuk dengan macam-macam perkara. Sibuk, sibuk juga. Akhirat kena jaga. Mungkin itu yang hendak ditekankan dalam buku ini. Saya rasa buku ni memang sesuai untuk saya dan saya perlu membacanya.


4. Resus - #SiriStudentGempak




Buku Resus ni ditulis oleh doktor-doktor muda yang mempunyai misi besar dalam bidang perubatan. Harganya RM 25, terbitan Synergy Media. Buku ini mengajak anda untuk membuka bukan sekadar mata, tetapi juga hati untuk dihidupkan dan disedarkan tentang hakikat kehidupan berlatarbelakangkan dunia perubatan. Saya jarang membaca buku tentang perubatan, tapi mungkin saya boleh cuba menambah input baru melalui penulisan buku ini, insyaAllah.


Jadi inilah keempat-empat buah buku yang sedang saya cari untuk membunuh masa. Mungkin bukan cuma buku yang saya cari, tetapi saya hendak mencari sesuatu yang lebih daripada itu. Harapnya penulisan mereka mampu memberikan impak kepada masyarakat dan saya akan terus menyokong industri penulisan tempatan kita.

Monday, 26 November 2012

Buku: Jihad Mardina oleh Fida Rohani


Alhamdulillah saya telah selesai membaca sebuah novel berjudul Jihad Mardina yang ditulis oleh Fida Rohani. Sebelum saya mengulas tentang novel ini biarlah saya memperkenalkan sedikit sebanyak latar belakang penulisnya dahulu. Rohani Deraman atau nama penanya Fida Rohani merupakan penulis sepenuh masa yang bekerja di bawah syarikat Alaf 21. Beliau yang dilahirkan di Pasir Putih, Kelantan kini menetap di Johor Bahru. Antara novel lain yang telah beliau hasilkan ialah Kuserahkan Kasih dan Kemahuan Hati. 

Apa yang menarik tentang novel ini yang membuatkan saya tergerak untuk berkongsi bersama anda ialah keunikan yang dibawa oleh pengarang. Novel ini bukannya novel cinta seperti yang biasa diterbitkan oleh Alaf 21 tetapi merupakan sebuah novel islamik yang mengetengahkan jihad seorang wanita untuk membawa keluarganya yang telah lalai dengan dunia kembali ke jalan Islam. 

Mardina, dia telah dihantar untuk belajar di luar negara oleh orang tuanya. Namun di sana, dia telah berkenalan dengan seorang rakan yang bernama Sylvia. Sylvia ni orang yang tidak ada pegangan agama. Sebab itu, jiwanya selalu rasa kosong. Dia mengkaji agama-agama yang ada, dan akhirnya Allah bukakan juga pintu hatinya untuk memeluk Islam. Jadi, Mardina yang telah hanyut dan alpa ini sedikit sebanyak turut terkesan. Dia dan Sylvia pun belajar agama dengan seorang ustaz.

Balik ke Malaysia, Mardina telah berubah sepenuhnya, dia telah berjihad. Oleh itu, dia ingin turut mengajak keluarganya untuk sama-sama berjuang di jalan Allah. Tetapi, semuanya bukan sesenang yang disangka. Orang yang telah lama hidup dalam kejahilan, tidak akan berubah serta-merta. Sudah tentulah, mereka perlukan masa. 

Konflik yang berjaya ditonjolkan oleh pengarang ialah ketika tunangnya terlibat dalam suatu kemalangan. Apa yang terjadi kepada tunangnya, hidupkah, nyawa-nyawa ikankah, itu kenalah baca sendiri. Mardina ada mendirikan sebuah rumah kebajikan. Dalam masa yang sama, papanya menyuruh dia menguruskan syarikat. HE Holdings gitu. Bagaimana, seorang pengurus syarikat menguruskan rumah kebajikan dalam masa yang sama? Jeng jeng jeng.

Itu sahajalah yang dapat saya ringkaskan daripada novel yang setebal 551 halaman ini. Walaupun baca tebal-tebal, tetapi insyaAllah kita pembaca akan mendapat inputnya yang tersendiri kerana pengarang ada menyelitkan hadis dan ayat-ayat al-Quran yang bersesuaian dengan cerita. Apa pun, tahniah kepada Fida Rohani atas penghasilan Jihad Mardina. Semoga beliau terus menghasilkan karya-karya islamik yang bermutu.

Mengajak orang lain ke arah kebaikan, diri kita sendiri pun mendapat tempiasnya, insyaAllah. 

Wednesday, 21 November 2012

Mengemudi Bahtera Perubahan Minda

Alhamdulillah, beberapa hari yang lalu saya telah pun menerima buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda yang dikirim oleh blogger Pena Maya. Saudara empunya blog tersebut selalu mengadakan giveaway percuma di blognya dengan bantuan dana daripada pihak yang tertentu. Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk menambahkan ilmu pengetahuan melalui buku-buku percuma ini bolehlah berkunjung ke blog beliau. Mungkin selepas ini giliran anda pula yang terpilih, insyaAllah.

Dapat kiriman pos laju.

Blog Pena Maya ini merupakan satu usaha dakwah yang baik. Blog ini memaparkan ilmu-ilmu dunia dan akhirat yang berguna. Bahkan, blog ini juga turut memuatkan isu-isu yang sedang berlaku terhadap saudara-saudara kita yang sedang berperang di luar sana. Ada satu entry di blog tersebut menarik minat saya, iaitu entry Keperluan Media Yang Benar-Benar 'Bebas' yang menyatakan tentang pentingnya internet ataupun bahan-bahan media yang lain dalam memberi kefahaman kepada masyarakat kita yang lain. Apa yang saya dapat simpulkan daripada entry itu ialah masih ramai lagi masyarakat Malaysia yang tidak mengerti tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku di Gaza dan negara-negara Islam yang lain.

Jadi, kita yang tahu, yang faham, yang mengerti ini perlulah membuat mereka faham melalui kemudahan internet yang ada. Misalnya Facebook, Twitter dan juga blog. Kita boleh berkongsi info terkini bersama mereka. Melalui kaedah ini, pastilah mereka akan lebih memahami dan peka terhadap isu-isu sebegini. Untuk ulasan yang lebih lanjut lagi, bolehlah menjenguk blog Pena Maya ya.


Buku ini mengumpulkan isu-isu yang diutarakan oleh Dr.Asri dalam kolum Utusan Malaysia. Tulisan bekas mufti Perlis ini bukan sahaja berani tetapi berjaya membuka minda ramai. Berdasarkan apa yang saya tahu, buku ini diterbitkan atas permintaan ramai pembaca. Buku ini disarankan kepada golongan muda yang ingin berubah.

Saya baru menyelak sedikit sahaja buku ini kerana masih belum selesai membaca buku Tika Bidadari Berbisik karangan Siti Farrah Shahwir dan Noraini Ismail. InsyaAllah, saya akan membacanya nanti. Moga-moga bermanfaat.