Saturday, 19 February 2011

Diari#12: Ada Orang Dengki dengan Saya?


Wahai pembaca blog sekalian, ingin saya coretkan kesedihan hati di sini, tidak mengapa kan? Huhu. Ceritanya begini, macam biasalah kan, kalau saya update sebarang artikel terbaru di blog secara automatik akan keluar di Facebook melalui widget NetworkedBloggers. Tetapi, akhir-akhir ini saya perasan artikel-artikel terbaru saya tak keluar di Facebook pun. Jadi, saya mengambil insiatif seterusnya untuk langsung letakkan link blog saya sebagai status di Facebook. Alih-alih, mesej ini yang saya dapat.

"This message contains blocked content that has previously been flagged as abusive or spammy. Let us know if you think this is an error."

Ah! Terkejutlah juga bila baca mesej tersebut. Siapalah yang begitu kejam men-flag kan blog saya. Akibatnya, sebarang kaitan tentang blog saya langsung diHARAMKAN di Facebook. Ah, dahsyat! Siapa yang dengki ni?? Huhu.

Hrm. Bersabar sahajalah Nurina Izzati. Inilah ujian. Allah sentiasa berada bersama orang-orang yang bersabar, insyaAllah.




Cerpen: Harapan

Cerpen kali ini saya tujukan khas sempena hari guru yang akan datang. Saya sangat menghargai pengorbanan para guru yang telah mendidik saya sehingga ke hari ini. Mungkin masih terlalu awal, tetapi sengaja saya titipkan cerpen ini untuk bacaaan anda. Malah, saya telah pertaruhkan cerpen ini untuk pertandingan di sekolah. Hihi. Okay, terimalah Harapan ...

Embun pagi sudah menumpang teduh di atas dedaun pohon. Burung-burung sedang berkicauan riang di udara, bebas berterbangan tanpa sebarang keresahan semahunya. Udara pagi itu dingin sekali dan sesekali menyapa lembut wajahku yang berkulit sawo matang ini. Cuaca pagi itu sungguh tenang, segar dan damai. Aku sedari tadi cuma berteleku di jendela kamar tanpa memikirkan apa-apa. Fikiranku kosong saat ini. Mataku sesekali melingkar ke arah jam dinding yang pada waktu itu menunjukkan tepat jam tujuh pagi.

‘Aduh, sudah terlambat!’ aku bermonolog sendirian lantas mencapai beg sekolahku dan segera menuju keluar dari rumah. Ternyata ayah sudah menghidupkan enjin keretanya dan menungguku. Baru aku teringat, usai mandi dan bersiap aku cuma mengelamun memanjang.

Perjalanan ke sekolahku mengambil masa lima belas minit, belum ditambah tolak lagi dengan kesesakan sepanjang perjalanan. Setelah tiba di sekolah, kelihatannya pengawas yang bertugas telah menunggu di pintu pagar, bersama guru disiplin sekolah, Cikgu Rahman. Namun, hatiku langsung tidak bergetar dan terjejas sedikitpun.

“Muhamad Amir!” pekikan yang memecah kedinginan pagi itu kelihatannya menyeru namaku. Langkah laju yang diorak segera dihentikan. Aku memandang wajahnya, sambil membuat muka selambaku.

“Saya rasa ini kali kesepuluh kamu ditangkap datang lewat. Apa masalah kamu sebenarnya?” suara lantang guru disiplin yang cukup terkenal di sekolah itu menyoalku. Aku cuma menjungkit bahu, sambil mengunyah gula-gula getah kegemaranku. Cikgu Rahman yang kemarahannya sudah tidak mampu dibendung lagi menghampiriku serta memegang erat kedua-dua belah bahuku.

“Amir, esok saya mahu berjumpa dengan ibu bapa kamu,” wajah kebapaan itu sedikit mengusik kalbuku, namun keegoanku tetap memuncak. Aku mengangkat kening sahaja tanda setuju. Cikgu Rahman kemudiannya melepaskanku pergi, alasannya aku tidak tahu.

Suasana persekolahan pada waktu pagi memang suasana yang paling aku benci. Aku malas mahu bangun pagi, bertarung dengan kedinginan air subuh dan membanteras nafsuku untuk terus tidur. Menurutku, tingkatan empat langsung tidak membawa sebarang perubahan atau era baru dalam kehidupanku. Memang sesi persekolahan untuk tahun baru ini baru sahaja bermula, tetapi aku akan terlambat hampir setiap hari. Lazimnya tatkala aku tiba di sekolah, perhimpunan telah pun habis, persis sekarang. Aku tersenyum puas. Rakan-rakan sekolahku semuanya sedang bergerak masuk ke kelas masing-masing dan bersemangat untuk belajar. Ada yang sedang berbual-bual dan tidak kurang juga yang hampir berlanggar sesama sendiri akibat kekalutan yang terlampau. Aku tersengih sendiri.

“Mir! Pengetua!” seru Anas teman sekelasku lantas membunuh lamunanku. Hatiku bercampur perasaan cemas, namun aku segera menangkisnya. Tuan Haji Idris. Itulah yang tertera pada tanda nama pengetua sekolah. Walaupun Tuan Idris suka bergurau, tetapi para pelajar akan jadi takut untuk menyapanya kerana dia ada angin.

Dalam sekolah ini, cuma ada dua orang yang paling aku tidak suka, iaitu Cikgu Rahman dan Tuan Idris. Semenjak tahun lepas, aku sering berulang-alik ke bilik guru dan pejabat hanya untuk dihadapkan kepada mereka berdua, seolah-olah aku ini pesalah yang telah melakukan hukuman berat. Aku kemudiannya mengorak langkah sedarap menuju ke kelas dan mengambil posisi duduk di sebelah Anas seperti biasa bagi mengelak daripada bertembung dengannya.

Cikgu Rahman yang berjambang itu pula mengatur langkahnya ke dalam kelasku. Dia seperti harimau beranak muda. Aku cuma mampu mengeluh. Cikgu Rahman mengajar subjek sejarah untuk para pelajar tingkatan empat.

Seperti biasa juga, aku terlupa untuk membawa buku teks sejarahku. Semua manusia tidak sempurna, mudah terlupa. Cikgu Rahman melontarkan pandangan tajam ke arahku setelah arahannya untuk mengeluarkan buku teks tidak kuikuti.

“Muhamad Amir, mana buku teks kamu?” Soalan basi. Sudah terang lagi bersuluh, tidak ada di atas mejaku. Mungkin Cikgu Rahman perlu memakai kaca mata pula selepas ini. Aku cuma menjungkit bahu dengan selamba. Cikgu Rahman yang bengis itu kelihatannya sedang menahan marah.

“Berdiri di luar kelas segera!” bentaknya. Aku perlahan-lahan bangun dan bergerak. Muka protes. Untung sahaja hari ini aku tidak dirotan oleh Cikgu Rahman seperti biasa, ertinya aku terselamat. Aku berdiri tegak bagai sedang menyanyikan lagu Negaraku di hadapan kelas. Perasaanku bahagia sekali kerana tidak perlu belajar sejarah untuk hari ini. Alangkah bahagianya hatiku apabila turut ditiup angin tenang pagi. Damai. Namun angin tenang itu seolah-olah sedang menyampaikan suatu perkhabaran yang buruk kepadaku. Firasatku sungguh mengena. Mataku tertancap pada Tuan Idris yang sedang menghampiriku. Kebetulan dia sedang membuat rondaan pagi pada hari itu dan mungkin aku telah menjadi mangsanya yang pertama.

“Ikut saya ke pejabat!” Ringkas sahaja arahannya tetapi membawa makna yang cukup dahsyat. Di sekolah ini, sesiapa yang disuruh pergi ke pejabat sama sahaja ertinya dengan menempah maut. Namun, aku sudah beberapa kali menempah maut tetapi ajal itu di tangan Tuhan. Ternyata aku masih selamat. Aku membuntuti Tuan Idris sambil mengeluh panjang. Sudah lepas dari mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya.

Pejabat sekolah memang agak menyeramkan tetapi sungguh luas dan menyamankan kerana dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa. Ternyata tidak sia-sia juga aku ke sini. Sudahlah dingin, boleh santai juga!

Tuan Idris berdehem. Aku yang khusyuk menyesuaikan diri di atas sofa secara automatik berdiri dan menukar tempat duduk di hadapan mejanya.

“Amir, pertama sekali saya mahu kamu berterus-terang dan jujur sepanjang kita berbicara ini. Boleh?” Persoalan pertama dilemparkan olehnya. Aku mengangkat kening dengan selamba tanda setuju. Tuan Idris mengangguk.

“Kamu ada masalah di rumah?” Aku menelan liur. Gaya pengetua sudah sama dengan tukang tilik. Pintar meramal dan cuba membongkar kepincanganku. Aku yang ditakhluki keegoan cuma menggeleng.

“Masalah kewangan? Kesihatan? Kawan-kawan?” Sekali lagi geleng.

“Kenapa kamu selalu datang lewat ke sekolah?”

“Malas bangun.” Mata Tuan Idris sedikit membesar. Tidak percaya dengan jawapan selambaku barangkali. Aku cuma menuruti permintaannya untuk tidak berbohong.

“Kenapa selalu tidak membawa buku ke sekolah?”

“Lupa. Bukankah itu fitrah manusia?” Sekali lagi pengetua mengangguk. Entah apa yang difikirkannya juga aku tidak tahu. Aku sudah cukup kenal dengan perangainya yang suka angguk dan geleng itu. Aku cuma menjawab semua pertanyaan yang diajukan dengan selamba hinggalah akhirnya aku disuruh pulang ke kelas. Menurut aku, perjumpaan ini cuma sia-sia.

Begitulah sikapku dalam kehidupanku seharian. Suka memprotes dan melawan kata-kata guru. Aku langsung tidak menghormati mereka. Aku ingin mendapatkan kemasyhuran dan perhatian. Aku tidak suka dikongkong. Aku mendapat kepuasan. Malah, setiap kali aku tersalah dalam membuat latihan sejarah, aku semakin berani menyalahkan Cikgu Rahman yang tidak mengajarku bersungguh-sungguh persis peribahasa tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket. Peduli apa aku? Yang penting, aku puas.

***

Subuh beralih. Berengsot-engsot. Aku lambat-lambat turun ke bawah. Namun, suasana pada pagi itu telah dicemarkan dengan perdebatan ayah dan ibu, seperti biasa. Aku sungguh tidak menyukai semua ini. Aku benci.

“Lain kali tidak perlu lagi pulang ke rumah, tinggallah di rumah isteri kedua itu!” ibu meninggikan sedikit suara, marah dengan sikap ayah yang lupa pada janji.

“Berapa kali abang beritahu, abang terlupa! Bukankah itu fitrah manusia?”

Dan begitulah seterusnya. Aku sudah serik.

“Ayah! Ibu! Boleh tidak ayah dan ibu hentikan semua ini? Bising!” Aku sudah tidak mahu mendengar perbalahan mereka lagi, kerana aku tidak sanggup.

“Mir! Pergi masuk kereta. Sudahlah hari-hari bangun lambat, menyampuk perbualan orang tua pula!” ibu memarahiku. Aku mengeluh panjang. Orang lain makan nangka orang lain kena getahnya. Aku sengaja menghempas pintu kereta dengan kuat tanda protes. Paling tidak, di sekolah aku boleh mendapatkan ketenangan meskipun aku sendiri tidak tahu mengapa.

Suasana persekolahan masih berjalan seperti biasa, tiada yang luar biasa melainkan sikap Cikgu Rahman. Jika dahulu aku sering ditegurnya, entah mengapa kini dia tidak menegurku pula atas setiap kesalahan yang dilakukanku. Sudah penat barangkali.

Waktu untuk subjek sejarah sudah bermula. Aku cuma berteleku di atas meja, memikirkan masalah orang tuaku yang tidak pernah selesai tanpa menyedari kehadiran Cikgu Rahman di sebelahku.

“Amir?” Aku terkejut. Panggilan namaku itu segera membunuh lamunanku. Aku memandang tepat mata guru disiplin merangkap guru sejarahku itu. Panggilan itu lembut, langsung tidak menggambarkan ketegasan seorang guru disiplin.

“Buku teks?” Aku menggeleng tanda terlupa seperti kelazimanku. Kemudian tanpa dipinta aku terus mengatur langkah untuk berdiri di luar kelas, mencari sedikit ketenangan. Aku tidak pernah malu apabila didenda di khalayak ramai kerana aku sudah terbiasa dengan kondisi tersebut.

Beberapa minit kemudian, aku menyedari Cikgu Rahman berdiri di sebelahku sekali lagi. Ketinggianku hampir sahaja menyamai ketinggiannya. Cikgu Rahman memegang erat bahuku. Kali ini aku mendapat suatu kelainan dan semakin tenang.

“Sebenarnya apa yang mengganggu fikiran kamu?” Cikgu Rahman cuba mendekatiku sebagai seorang abang. Aku diam membisu.

“Jangan segan untuk berkongsi dengan saya. Kamu ada masalah keluarga, ya? Cuba ceritakan. Paling tidak, jika kamu mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab, janganlah pula kamu mengabaikan perasaan hati kamu sendiri.” Cikgu Rahman mengukir senyum. Entah kenapa aku tidak menyenangi pernyataannya itu. Aku rimas. Cikgu ini seolah-olah menyibukkan dirinya ke dalam kehidupanku. Aku segera mengatur langkah untuk keluar dari sekolah. Hatiku memberontak. Aku tidak peduli lagi sesiapa yang cuba menghalangku.

“Amir!” Namaku diseru kuat dari belakang. Aku tetap dengan pendirianku. Langkahku semakin melaju.

“Kereta!” Aku sungguh terperanjat apabila Cikgu Rahman ternyata memberiku amaran tentang sebuah kereta yang mendekat. Aku menoleh ke belakang namun kereta itu telah pantas menghampiri. Sangat pantas. Segalanya terjadi dalam sekelip mata sahaja.

***

Aku membuka mata perlahan-lahan. Kabur. Samar-samar. Sepi bercampur sejuk. Aku rasa sungguh lemah dan tidak berdaya.

“Mir, Amir …” Ayah menyentuh lembut tangan kananku. Ibu mencontohinya tetapi di tangan kiriku. Aku cuba untuk bersuara, tetapi tersekat-sekat. Aku menanyakan ibu tentang situasi yang telah terjadi. Nyata, aku telah ditimpa kemalangan, tetapi bukan kerana dilanggar. Aku hampir-hampir dilanggar tempoh hari, tetapi Cikgu Rahman telah bertindak proaktif menolakku ke tepi jalan. Aku terjatuh dan terlanggar batu besar di tepi jalan lantas kornea mataku rosak gara-gara itu. Cikgu Rahman yang kemalangan sekarang. Aku juga diberitahu bahawa ada penderma yang kebetulan telah meninggal dunia mendermakan matanya buatku.

“Ibu …”

“Ya, sayang?”

“Cikgu Rahman, bagaimana kondisinya sekarang?”

“Dia tenang. Dia baik-baik sahaja.” Aku dapat menangkap ada nada sayu pada suara itu. Aku menyesal dan sedih. Hatiku sakit. Aku telah menyakiti guru-guruku terutamanya Cikgu Rahman sebaliknya dia yang telah menyelamatkan nyawaku. Aku insaf dan terkesima. Oh Tuhan, apakah yang telah aku lakukan?

***

Sekian lamanya aku tidak bersekolah akhirnya dapat jua aku menjejakkan kaki di sini. Aku tersenyum lebar. Aku datang dengan harapan dan azam yang baru. Aku bukan Muhamad Amir yang dahulu lagi. Pertamanya, aku harus mencari Cikgu Rahman untuk meminta maaf dan berterima kasih padanya. Tidak ketinggalan juga semua insan yang pernah aku sakiti dan ingkari dahulu. Oh, berdosanya aku.

Niat aku itu dibatalkan apabila namaku dipanggil oleh pengetua sekolah ke pejabat. Aku memerhatikan kondisi sekeliling. Masih tidak berubah. Di sinilah pejabat yang sering aku kunjungi dahulu. Aku mengambil posisi duduk di hadapan Tuan Idris. Aku mencium tangannya lantas menyatakan kekesalanku yang amat. Aku benar-benar insaf. Tuan Idris kemudiannya mengeluarkan sebungkus kotak yang berbalut lantas diserahkan kepadaku. Aku terkejut.

“Untuk siapa?” soalku. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Sudah tentulah hadiah itu untukku. Tetapi dari siapa?

“Cikgu Rahman yang serahkan kotak ini pada saya sebelum dia pergi.” Aku tergamam. Pergi? Cikgu Rahman ditukarkan sekolah? Aku segera mengoyak balutan hadiah tersebut untuk mengetahui isinya. Sejadah baru?

“Untuk apa semua ini?”

“Amir, dulu sebelum kamu dan dia kemalangan, Cikgu Rahman saban hari runsing memikirkan tentang kondisi kamu. Dia takut jika cara tegurannya membuatkan kamu semakin bermasalah. Dia selalu mengadu kepada saya tentang kerunsingannya itu. Dia menitipkan bungkusan ini buat kamu. Katanya, cuma kamu tahu apa yang perlu dilakukan.”

Tanpa disedari, air mata kelelakianku yang sedari tadi bergenang di tubir mata mengalir jua. Aku perlahan-lahan menyeka air mataku. Sungguh besar sekali harapan Cikgu Rahman kepadaku.

“Tuan, Cikgu Rahman di mana sekarang?”

“Hah, kamu belum tahu?” Nada suara itu bercampur terkejut. “Cikgu Rahman telah meninggal dunia dalam kemalangan itu. Dia yang mendermakan kornea matanya untuk kamu.”

“Apa?!” Aku tidak terkata-kata. Aku kesal. Semua perasaanku saat itu bercampur aduk. Sungguh aku menyesal. Betapa besarnya pengorbanan seorang guru untuk pelajarnya. Aku masih ingat kata-kata terakhir Cikgu Rahman, “Paling tidak, jika kamu mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab, janganlah pula kamu mengabaikan perasaan hati kamu sendiri.”

Oh Tuhan, apakah di syurga itu penuh dengan para guru persis Cikgu Rahman?

Moral:

Dalam dunia ini, kita tidak boleh terlalu mengikut kata hati. Kita perlu mendepani masalah diri sendiri untuk menghadapi ketakutan itu. Kita perlukan insan-insan untuk berkongsi dan mendidik, iaitu para guru. Tanpa guru, kita tidak mungkin mampu menjadi pemuda pemudi dan aset harapan negara.

Friday, 18 February 2011

Frekuensi Part 9

PERAMPAS.

Mata Nurul Fatini sedikit membesar. Gadis itu terkejut besar tatkala melihat sehelai kertas yang disisipkan di dalam buku rujukannya. What is going on? Apa ni? Perampas? Kalau tuduh aku pemalas tak pe lah juga, ni perampas?

“Assalamualaikum!” Hafizah menyapa Nurul Fatini. Dia perasan ada yang tidak beres pada wajah sahabatnya itu.

“Kenapa ni Nurul? Ada masalah?” Nurul Fatini teragak-agak memberitahu. Dia menyerahkan helaian kecil itu pada Hafizah.

“Apa? Perampas? Rampas apa? Apa yang anti rampas?” Hafizah menyerbunya dengan pelbagai soalan bagai polis yang melepaskan berdas-das tembakan pada penjahat.

“Manalah ana tahu. Ana pun bingung.” Nurul Fatini menggaru-garu kepalanya. “Mungkin kerja budak-budak nakal kot.”

“Hrm … boleh jadi juga. Eh, cuba anti tengok Shah. Bergaya kan dia?”

Pandangan mata Nurul Fatini secara automatik tertancap pada jejaka yang dimaksudkan sahabatnya itu. Shahruddin baru sahaja tiba di kelas berpakaian kemeja hitam bertali leher putih. Songkok hitamnya yang dipakai tambah membuatkan lelaki itu kelihatan bergaya.

Kebetulan, cuma dua sahaja tempat kosong yang masih bersisa. Satu di hadapan Nurul Fatini dan satu di sebelahnya. Nurul Fatini gundah.

‘Erk, takkanlah dia nak duduk sebelah aku pula?’ monolognya tatkala memerhatikan langkah lelaki itu yang semakin mendekat.

‘Biar betul?’ gadis itu semakin gelisah apabila langkah kaki Shahruddin menghampiri barisan tempat duduknya.

“Nurul, Ustazah Mardiah nak jumpa di depan,” ujarnya perlahan takut bising. Lelaki itu kemudiannya segera mengambil posisi duduk di barisan hadapan.

‘Fuh … alhamdulillah! Lega!’

Nurul Fatini mengatur langkahnya untuk menemui pensyarah muda di hadapan kelas yang sedang asyik dengan laptopnya.

“Ustazah nak jumpa ana?”

“Ya. Petang ni ustazah nak adakan halaqah sikit dengan akhowat ekonomi yang bermasalah. Harap anti dan Hafizah boleh bantu, ya?” ustazah muda itu mengukir senyum.

Gulp. Nurul Fatini menelan liur. Akhowat ekonomi? Tak lain tak bukan Lina and the geng. Mereka cukup terkenal dengan kenakalan masing-masing di kampus ini. Bahkan, mereka cukup anti dengan akhowat tudung labuh. Entah macam mana ibu bapa mereka masukkan mereka ke sini. Ya Allah, help me!

Trivia: Pelancaran Bulan Semarak NILAM 2010

Hari Ahad yang lepas, sekolah saya ada mengadakan pelancaran sempena Bulan Semarak NILAM dan Bahasa Kebangsaan 2011. Mungkin sudah terlambat bagi saya menulis entry ini, cuma sekadar coretan semata.

Pada hari itu, pengetua sekolah Puan Hajjah Azizah binti Rasol ada membuat ucapan tentang penggunaan bahasa moden yang kita gunakan sekarang. Hihi. Umpamanya, perkataan seperti baik, rajin atau cantik mesti akan ditambah dengan perkataan 'gila' dibelakangnya. Baik gila, rajin gila, cantik gila. Tahukah anda, gila sebenarnya merujuk kepada orang yang menderita sakit fikiran atau lebih senang saya takrifkan sebagai sakit mental?

Penggunaan perkataan kekasih pula selalu ditukarkan kepada... pakwe, makwe, awek dan sebagainya. Saya sendiri bingung dari mana perkataan-perkataan ini muncul? Sesiapa yang tahu bolehlah beritahu saya, ya?

Sebenarnya, pada hari itu juga saya dikehendaki membaca resensi buku. Dari belakang pentas, berpeluh-peluh saya menunggu, Maksudnya, saya gementar lah. Tetapi alhamdulillah selepas pembacaan sajak saya terus baca resensi dan semuanya berjalan dengan lancar. Masuk kali ini, sudah dua kali saya 'terpaksa' berucap ketika perhimpunan rasmi di hadapan semua para pelajar sesi pagi dan guru-guru. Bayangkanlah, betapa segan dan malunya saya. Hihi. Anda sendiri, kalau diberi kesempatan mahu tak berucap seperti itu?

Oh ya, untuk bulan bahasa ini juga ada pelbagai pertandingan yang dianjurkan seperti pidato, bahas, forum, pantun dan resensi. Kalau ikutkan, semua saya nak masuk cuma kondisi yang tidak mengizinkan. Ada banyak lagi teks yang perlu saya hafal. Hujung bulan pula ada pertandingan resensi buku di luar sekolah. Doakan saya berjaya ya? InsyaAllah. =)

Wednesday, 16 February 2011

Muhasabah: Merenung Siapa Kita

Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah masih mengurniakan saya kudrat untuk bernafas dan menggerakkan jari-jemari untuk menulis setiap patah perkataan yang lahir dari hati hambaNya yang kerdil ini. Sesungguhnya kepada Allahlah tempat kita meminta dan kepadaNya jugalah kita berserah. Saya sempat juga mencuri waktu yang tersisa dan bertarung dengan kebobrokan kehidupan untuk menulis artikel ringkas ini.

Pertamanya, saya menyeru kepada semua yang sedang membaca, tanyalah hati anda masing-masing. Siapa saya? Suatu persoalan yang cukup mudah tetapi mengundang pelbagai konflik kepada diri sendiri. anda mungkin sahaja merupakan seorang yang berstatus tinggi, berjawatan hebat, popular, sederhana, sangat pendiam atau langsung tidak dikenali, maka bersyukurlah. Kesenangan atau kesusahan yang anda alami merupakan suatu hikmah yang Tuhan bentangkan di balik 1001 lagi rahsia kehidupan yang belum diterokai. Allah ada berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2-3,

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji?Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Sesungguhnya, sepanjang proses menjadi hamba Allah yang beriman, Dia akan terus menguji kita, yang mampu membawa kita merenung jauh. Adakah iman kita sudah cukup kuat? Saya akui, masih jauh lagi perjalanan hidup saya. Saya cuba untuk berubah ke arah yang lebih baik, bermusafir di bumi Tuhan dan cuba menjawab persoalan, siapakah saya? Perwatakan keimanan kita, apakah sudah cukup sebagai bekalan ke akhirat?

Saya ingin berkongsi salah satu daripada bahan bacaan terkumpul saya, Travelog Seorang Da'i karya Abdul Rahman Mohamed. Membaca kisah Ustaz Rahman, kisah benar, membuatkan saya bersyukur adanya dengan apa yang diperoleh di dunia fana ini. Karya terbitan Telaga Biru ini mampu membuatkan sesiapa sahaja yang menghayatinya menangis. Perjalanan yang dihadapi beliau sungguh perit, daripada seorang yang kurang mengambil berat tentang agama akhirnya sedar akan kesilapannya dan langsung berubah.

Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, saya yakin anda pernah tertanya-tanya, "Kenapa saya tidak mendapat apa yang saya idam-idamkan?" Sesungguhnya, suatu ayat daripada kalam suci Allah sudah mampu menjawab persoalan ini.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah ayat 216)


Kadangkala mungkin sahaja diri kita diuji dengan pelbagai ujian seperti kehilangan insan yang tercinta, lantas segala bebanan terasa menghimpit diri kita. Itu juga merupakan suatu ujian Allah untuk menguji hambaNya yang terpilih. Umur yang tinggal juga kita tidak pasti. Maka, sebelum ajal sampai ke halkum, (waktu taubat tidak diterima lagi) kita perlu merenung jauh, sangat jauh ke dalam diri. Kita cuma perlu percaya dengan Allah kerana Dia sentiasa bersama orang yang percaya....

Monday, 7 February 2011

Informasi: My Facebook Has Been Deactivated

Sekadar coretan sepintas lalu untuk memberitahu anda bahawa saya, Nurina Izzati, dengan ini, telah menutup akaun Facebook buat sementara waktu atas alasan ingin fokus pada pembelajaran. InsyaAllah saya akan mengaktifkannya semula apabila benar-benar kelapangan atau perlu sahaja. Anda masih boleh menghubungi saya melalui YM atau e-mel, nurina24@ymail.com serta blog ini. InsyaAllah saya akan mencari masa untuk curi-curi online jika mampu. Apa yang saya pinta, doakanlah saya agar mampu belajar bersungguh-sungguh demi PMR. Gambatte kudasai!

Kepada rakan-rakan di luar sana, maafkanlah saya sebab tidak top-up telefon bimbit, i'm so sorry. Jika ada kelapangan tidak usah khuatir, saya sendiri yang akan hubungi anda. Kepada followers yang sangat baik hati mengikuti blog saya ini, jutaan terima kasih saya ucapkan. Sangat terharu. Maafkan saya kerana tidak meng-update blog dengan kerap selepas ini.

Kepada rakan-rakan maya yang telah lama saya kenali atau baru saya kenali, maafkan saya andai ada tersalah bicara atau perilaku. Saya tahu kadang-kadang saya suka merapu di Facebook, maafkan saya. Setiap mesej perkenalan, ingin merapatkan ukhuwwah dan sebagainya sebenarnya mengharukan saya. Saya sangat menghargainya, terutama anda yang menghargai usaha penulisan saya.

Kepada rakan-rakan, anda masih boleh cari saya di SMK Sultan Badlishah, jadi jangan khuatir. Saya akan selalu berada di kelas 3A8, insyaAllah. Siapa tahu, mungkin hujung minggu saya akan online Facebook semula? Hehehe.

Saturday, 5 February 2011

Diari#11: Bercuti di Pulau Jerjak!

Destinasi percutian sempena tahun baru ni di Pulau Jerejak, sebuah pulau di Pulau Pinang. Pulau Jerejak dulu pernah dikenali sebagai pulau tempat banduan. Waktu mak kata nak bercuti di pulau ni dulu, rasa terkejut pun ada. Hah? Tapi, selepas saya menjejakkan kaki di pulau ni, rasa tidak puas pula! Sangat indah dan menarik.

Ada macam2 aktiviti menarik yang disediakan misalnya flying fox, wall climbing, menyeberangi titi gantung dan jungle-trekking. Aktiviti berbasikal juga disediakan di sini. Waktu awal-awal tiba dengan keluarga belah mak, beg memang berat-berat. Nasib baik ada tukang tolak beg guna troley, ringan sedikit beban saya. Kami dibawa ke sebuah resort yang bernama AnCasa apa entah. Suasana dari atas bukit memang indah. Semua aktiviti yang dinyatakan tadi dilakukan. Pada sebelah malam pula, makan di restoran bawah. Chicken chop + ice blended chocolate. Tiba-tiba ada persembahan api di situ dan tarian poco-poco tengah malam. Tapi memang best la. Lain daripada yang lain. Pekerja-pekerja pun semuanya sporting. Alhamdulillah.

Insya-Allah kalau ada kesempatan lagi, saya akan ke sana!

*Monyet luar tingkap bilik yang pandai posing.

Apa pun, lusa dah buka sekolah, jadi kena prepare. Fokus Nurina Izzati, fokus! Sekarang update blog pun dah tak sekerap dulu, kena kurangkan online lah nampaknya...

Wednesday, 2 February 2011

Cerpen: Destiny

Nurina perlahan-lahan mengambil posisi duduk di atas sebuah bangku putih di sebuah taman permainan yang terletak berhadapan rumahnya. Pandangannya asyik memerhatikan kanak-kanak yang sedang bergelak ketawa, berkejar-kejaran dan bersuka ria di kawasan itu. Dia tiba-tiba tersenyum, terimbas kembali kenangannya ketika usianya sebaya dengan anak-anak itu.

“Nurina! Sini kejap!” suara Dila memanggil kedengaran. Nurina yang waktu itu masih keanak-anakan, berlari mendapatkan temannya itu. “Cepatlah!”

“Ada apa?”

“Itu, cuba kau lihat dalam longkang tu!” Dila menarik tangan Nurina. Tubuh kecil Nurina itu bergerak ke tepi. Matanya liar memerhatikan objek yang dimaksudkan Dila.

“Eh, eh. Kucinglah!” suara Nurina terperanjat kecil. Serta-merta perasaan simpati membelenggu dirinya. Nurina cuba masuk ke dalam longkang bagi mendapatkan anak kucing jingga yang kasihan itu.

“Nurina, apa yang kau nak buat? Nanti bagaimana kau nak keluar?” Dila sedikit khuatir dengan tindakan temannya yang baru berusia lima tahun itu. Nurina tidak peduli. Dia tidak peduli. Yang penting, anak kucing itu selamat! Perlahan-lahan kedua-dua kaki kecilnya berjaya jejak ke bawah. Nurina sedikit menunduk, lantas mengangkat anak kucing itu. Dia tersenyum. Segera membersihkan bulu-bulu kucing itu yang keguguran.

Anak kecil itu kemudiannya mendongak ke atas, cuba mencari jalan keluar. Ternyata, dari dalam longkang barulah dia menyedari longkang tersebut sebenarnya dalam. Nurina jadi takut dan bungkam.

“Sekejap, nanti aku datang balik!” Dila separuh menjerit dan pergi dari situ. Dia kemudiannya muncul kembali membawa sebatang kayu dan menghulurkannya kepada Nurina. Nurina perlahan-lahan menarik kayu tersebut tetapi patah. Mana mungkin kayu itu mampu bertahan! Nurina jadi takut, dan setitis air mata sudah mula jatuh berlinangan melalui kelopak mata kecilnya.

Tiba-tiba, tanpa diduga ada tangan yang terhulur. Nurina menyeka air matanya sambil tersenyum. Akhirnya. Dia memegang tangan tersebut tanpa peduli apa-apa. Anak kucing jingga itu masih berada di tangan kirinya. Dila dan pemilik tangan misteri itu membantunya naik perlahan-lahan. Setelah berjaya keluar, Nurina segera terduduk dan memeriksa anak kucing itu. Mungkin sekali dia berdarah ketika terjatuh tadi atau mungkin ada anggota tubuhnya yang patah. Setelah diperiksa berkali-kali, tidak ada satu luka pun yang singgah pada kucing itu. Nurina tersenyum lantas mendongak.

Bersebelahan Dila, ada seorang kanak-kanak lelaki cina sedang tersenyum padanya. Dia mempunyai kulit yang cerah dan rambutnya yang tersisir rapi sekali-sekala ditiup angin petang.

“Terima kasih, Dila, err..” ayatnya terputus. Nurina tidak tahu nama empunya pemilik badan itu.

“Jae Hee.” Dia masih dengan senyumnya.

“Terima kasih Jae Hee!”

“No problem,” dia bercakap dalam bahasa inggeris. Nurina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Manalah dia tahu bahasa inggeris.

“Oh, maksudnya tidak ada masalah!” kanak-kanak itu menerangkan. Nurina mengangguk sahaja. Ingatkan tidak reti berbahasa melayu.

“Kenapa aku tak pernah tengok kau di sini sebelum ni?” Dila menyoal. Dia memang peramah, tidak malu-malu persis Nurina.

“I baru pindah sini. Daddy and mummy forced me to pindah,” dia berbahasa campur, melayu dan inggeris. Mungkin masih belum pintar berbahasa melayu total. “I still do not have any kawan. Can you all be my friends?”

Nurina dan Dila berpandangan. Walaupun mereka tidak berapa mengerti dengan ‘perosak bahasa’ di hadapan mereka itu, tetapi Jae Hee kelihatan sangat baik dan matang. Meskipun dia seusia dengan mereka, dia jauh lebih tinggi daripada mereka.

“Mestilah. Kita kawan.”Nurina tersenyum.

“Kawan.” Semuanya berjabat tangan.

***

“What are you going to call anak kucing ni?” Jae Hee menyoal Nurina pada suatu hari, ketika mereka sedang bermain-main di taman permainan.

“Kau ada cadangan?”

“I tak tahu. Dila?” Dia menyoal Dila pula.

“Comel boleh? Kucing ni kan comel?”

“Ish, balik-balik nama Comel. Carilah nama-nama yang gempak sikit. Nama islam,”Nurina membangkang.

“Hah? Where did you know this kucing is islam or not?” Jae Hee pula menyoal.

“Mana aku tahu. Kau agama apa?”

“I’m a Christian.”

“Kalau macam tu kita letaklah kucing ni satu nama Melayu satu nama orang putih,” cadang Dila. Semuanya masih keanak-anakan pada masa itu. Nurina dan Jae Hee mengangguk.

“Kita panggil Jinggalah untuk nama melayu dia.” Nurina bersuara. “Bahasa inggeris nak letak nama apa, Jae Hee?”

“Err.. err..” Saat itu fikiran Jae Hee kosong. Dia mana pernah beri nama pada seekor kucing sebelum ini. What to do? What to do?

“Destiny?”

“Hah?!” Nurina dan Dila terperanjat. Binatang apa pula itu?

“I don’t know the perkataan melayu. I just know Destiny in English.”

“Dinasti.. destiny.. apa-apa sajalah. Bukannya kami berdua faham pun,” Dila buntu.

“If satu hari nanti you both dapat jawapan the meaning of Destiny, cakap pada I.”

“Okay, boss!” Nurina buat gaya tabik.

Semuanya tertawa.

“Nurina! Mengelamun apa ni?” Dila menyergahnya dari belakang.

“Kau rupanya Dila! Terkejut aku kau tahu?” Nurina sedikit geram.

“Maaflah. Yang kau duduk di taman permainan ni siapa suruh? Teringin nak jadi budak-budak balik?” Dila bergurau.

“Boleh juga,” Nurina tersenyum. Dila kemudiannya mengambil posisi duduk di sebelah Nurina. Bahu mereka bertembung.

“Tak terasa, masa cepat sangat berlalu kan?”

“Hrmm…”

“What you say if I masuk islam?” Jae Hee menyoal. Ketika itu cuma ada Nurina dan Jae Hee di taman permainan. Nurina mengangkat kedua-dua keningnya. Terkejut.

“Apa kau merapu ni?”

“Ya lah. Sudah enam tahun kita berkawan. I sekarang dah pandai la juga cakap Melayu. I pun dah belajar banyak tentang islam. I was attracted by its light.”

“Ibu bapa kau setuju?”

“They do not know yet. Yang tahu baru you dan Jingga. Nanti I tanya Dila.”

“Aku tengok kau ni kecil lagi, tetapi sudah berfikiran matang. Bak kata orang putih, matured.”

“I always tengok you dan Dila baca al-Quran. Someday, I really want to recite it.”

“Bila kau nak masuk islam ni?”

“I will if I’m totally bersedia.”

“Baiklah. Akanku tuntut janjimu,” Nurina bicara tanpa menyedari bahawa Jae Hee sebenarnya serius.

“Oh ya, I hampir terlupa. Happy birthday,” Jae Hee menyerahkan sebuah bungkusan kotak padanya. Nurina tersenyum lebar. Seronok.

“Boleh aku buka?” Jae Hee mengangguk. Nurina membuka balutan hadiah tersebut perlahan-lahan. Sehelai tudung sarung berwarna biru dicapainya.

“Ya Allah, thank you Jae Hee!” Nurina teruja.

“Anything for you,” dia tersenyum. Nurina segera menyarungkan tudung tersebut ke kepalanya.

“I know you suka warna biru. I pesan pada mummy nak beli tudung untuk kawan I. Mummy pun beli.”

“Cakap terima kasih pada mummy you, okay?” Nurina yang masih gembira menangkap kelibat Jingga atau Destiny di hadapannya. Dia segera meletakkan ikan bilis di hadapan kucing tersebut yang sentiasa akan berada di taman permainan itu. Seolah-olah, kucing itu telah sedia tahu bahawa mereka akan datang ke situ hari-hari. Dia memerhatikan Destiny makan. Destiny … apa maksudnya sebenarnya?


***

“Ya Allah mengelamun lagi budak ni! Aku cakap dengan kau lah! Nak pergi atau tidak?” Dila sedikit meninggikan suaranya tatkala menyedari Nurina terus dibuai khayalan.

“Hah, pergi mana?”

“Pergi lawat Jehanlah! Kau ni…”

“Hrm, jomlah.”

Dila masuk ke dalam kereta Toyota Corolla miliknya. Nurina duduk di sebelahnya. Sepanjang perjalanan, Nurina cuma membisu. Dila juga begitu. Akhirnya setelah setengah jam perjalanan mereka tiba juga di destinasi. Nurina dan Dila mengorak langkah masing-masing. Nurina dan Dila memandang ke arah nama yang cukup menggetarkan hati mereka.

‘Jehan bin Abdullah’

“Kau bawa Yasin tak?” Dila menyoal. Nurina mengangguk. Mereka menghadiahkan empunya nama di batu nisan itu dengan bacaan al-Fatihah dan Yasin. Jehan bin Adullah atau dahulunya pernah dikenali sebagai Jae Hee. Jae Hee meninggal dunia setelah memeluk islam ketika usianya lapan belas tahun. Waktu itu, dia cuba menyelamatkan Destiny yang berada di tengah jalan raya. Akibatnya, kedua-duanya dirempuh sebuah lori. Langgar lari. Nurina rasa seperti baru semalam sahaja mengenalinya. Tetapi, akhirnya dia mengerti. This is what they call, Destiny. Bahasa melayunya, takdir. Dia mendongak ke langit seraya berdoa, “Ya Allah, kau tempatkanlah arwah Jehan di kalangan orang-orang yang beriman. Ameen.”


* pascaskrip: nama Dila adalah watak teman saya yang dipinjam. =)